Friday, 2 June 2017

Umrah (7)

Umrah (7)
Kami pun akhirnya selesai bersaie. Aku membacakan doa menandakan tamat rukun itu. R mengaminkan.
Kukira, elok kusalinkan doa yang disediakan dalam buku Tabung Haji itu (1989, muka surat 71),
“Ya Tuhan, kami memohon diterima doa kami, afiatkanlah dan ampunilah kami. Berilah pertolongan kepada kami untuk taat dan bersyukur kepada Engkau. Janganlah membiarkan kami bergantung kepada yang lain selain dari Engkau. Matikanlah kami di dalam iman dan Islam yang sempurna, sedang Engkau redha kepada kami. Ya Allah ya Tuhan, peliharalah diriku [kami] dengan meninggalkan segala kejahatan selama hidupku dan peliharalah aku [kami] supaya tidak membuat perkara yang tidak memberi guna dan kurniakanlah kepadaku elok pandangan pada perkara-perkara yang membawa keredhaan Engkau wahai Tuhan yang bersifat amat belas kasihan.”
R ada membawa gunting kecil. Aku mencadangkan beliau meminta bantuan mana-mana jemaah wanita yang ada di situ untuk menyelesaikan tahlul. Aku sendiri begitu juga. Salah seorang jemaah lelaki kuminta bantuan untuk menggunting sedikit rambutku sebagai memenuhi syarat bertahlul. Bila ada Jemaah lain melihat aku memiliki gunting, ramai juga yang datang menghampiri meminta bantuanku untuk menyelesaikan rukun tahlul masing-masing. Aku melayan mereka sekadarnya. Aku percaya jika lama berada di tempat itu semakin ramai yang akan mendekatiku dan meminta bantuan!
Ada doa yang dibaca ketika bertahlul, seperti dalam buku rujukanku,
“Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar. Ya Tuhan inilah hujung rambutku, maka jadikanlah tiap-tiap sehelai rambut itu cahaya bagiku di Hari Kiamat, dan ampunkanlah dosaku, wahai Tuhan yang luas pengampunan. Amin. Segala puji-pujian kepada Allah (yang telah) menyempurnakan ibadat-ibadatku kurniakanlah satu kebajikan dengan tiap-tiap sehelai rambut, dan hapuskanlah dengan satu kejahatan dan angkatkanlah dengannya darjah dan ampunkanlah kepada aku dan kepada orang-orang yang bercukur dan bergunting dan kepada sekalian orang-orang Islam ya Tuhan, tambahkanlah iman, yakin, pertunjuk dan pertolongan kepada kami dan ampunkanlah kepada kami dan ibu bapa kami, dan selawat dan salam di atas penghulu kami Saidina Muhammad dan keluarga dan sahabatnya. Amin.” (Ibid., muka surat 72-73).
Selepas bertahlul kami masing-masing mencari ruang yang sesuai berdekatan dengan bukit Marwah untuk melakukan solat sunat dan membaca doa yang berkaitan.
Maka sempurnalah sudah umrah kami. Terlepaslah semua larangan yang sentiasa mengawasi tingkah berihram semenjak turun dari rumah kami kelmarin. Kami mengerjakan umrah terakhir pada tahun 2001 dan dengan umrah kali ini tercapailah cita-cita kami semoga termasuk dalam golongan seperti hadis yang maksudnya,
“Daripada Abi Hurairah radhiallahuanhu, sabda Rasulullahi sallallahualaihiwasallam dosa yang berlaku di antara dua umrah adalah dihapuskan dan tidak ada balasan bagi haji yang mabrur (haji yang diterima) melainkan syurga.” (Buku “Ibadat Haji Umrah dan Ziarah”, Lembaga Tabung Haji, 1999, muka surat 15). In sya Allah.

Umrah (6)

Umrah (6)
Pusingan tawaf ini sengaja kujauhi dilakukan dalam lingkaran dalaman. Pengalaman mengerjakan haji mengajar. Setiap kali memulai di rukun Hajarul Aswad, jemaah bersesak-sesakan sebelum beransur lega pada rukun-rukun Iraki dan Shami tetapi mulai bersesakan semula pada rukun Yamani. Adalah lebih baik untuk menyelesaikan rukun kedua umrah ini dengan tidak terlalu ghairah melakukan pusingan kecil iaitu secara mendekati Kaabah, yang setiap masa padat bahkan menyesakkan dengan saling bertolakan di kalangan jemaah.
Sungguhpun sistem membaca atau menyebut pujian terhadap Allah S.W.T. itu diatur rapi, suasana yang bersesakan telah menjadikan timbul juga waswas sama ada tujuh pusingan yang disyaratkan itu benar-benar telah dilakukan atau sebaliknya. Untuk mengatasi ketidakpastian, kami sepakat melakukan satu lagi tawaf sebagai tindakan mengesahkan sebarang syak wasangka.
Cabaran besar bertawaf ialah memastikan pengekalan wuduk. Ia menjadi wajib. Sungguhpun ada kelonggaran dalam mazhab Shafie dalam aspek ini (seperti diberitahu oleh pengkuliah Tabung Haji), lalu ia memudahkan perlakuan setiap pusingan, ternyata kejadian sentuh-menyentuhi kecil antara lelaki dan perempuan, sama ada membabitkan tangan dan lebih kerap lagi, terpijak atau dipijak kaki jemaah berlainan seks, hampir mustahil dielakkan. Untuk berpegang ketat dengan pendirian berwuduk tanpa mengarifinya tentulah sangat membebankan. Menundakan tawaf yang sedang berlangsung hanya untuk mengambil semula wuduk pastilah satu alternatif yang kurang keutamaannya.
Kami mencari tempat yang sesuai untuk melakukan solat sunat tawaf di kawasan makam Ibrahim. Ketika itu selain pentawaf, dataran Kaabah agak rata dipenuhi oleh mereka yang bersembahyang sunat, mengikut keperluan masing-masing. Kami mencari tempat masing-masing. Duduk berdekatan sesama kami tidak menjamin pengecualian kawalan atau awasan pegawai keselamatan masjid. Kerapkali mereka akan menghalang jemaah lelaki dan wanita bersolat bersama di suatu tempat yang sama, bercampur-aduk
Aku ingat beberapa ketika selepas solat sunat itu azan pra-Subuh dilaungkan. Sejam lagi azan Subuh pula menyusul. Sambil menunggu aku isikan waktunya dengan amalan sunat. Sebaik selesai solat Subuh, kami balik ke hotel untuk sarapan. Perjalanan yang panjang dan tuntutan fizikal yang hebat memerlukan kami menambah tenaga sebelum melaksanakan rukun umrah seterusnya, bersaie.
Aku mengambil pek sarapan di Restoran D’Saji menggunakan kupon yang dibekalkan oleh mutawwif. Kami makan di meja yg tersedia. Kupon-kupon juga digunakan untuk waktu-waktu makan tengah hari dan malam. Sedikit istimewa berbanding waktu-waktu tengah hari dan malam, sarapan pagi diiringi dengan secawan teh tarik. Rasanya setanding dengan yang boleh dinikmati di Malaysia. Pun, kami tidaklah sangat mengirakan keenakan atau kelazatan habuan. Asalkan hidangan itu wajar dan boleh mengalaskan perut, maknanya memberikan tenaga yang mencukupi untuk mengerjakan ibadat, itu sudah sangat memadai. Aku ingat bekalan yang disediakan itu tidaklah jauh berbeza dengan apa yang kami nikmati ketika bermuassasah dengan Tabung Haji belasan tahun yang lalu. Seperti juga ketika mengerjakan ibadat haji itu, sikap kami terhadap bekalan yang disediakan ialah “bersyukur” dan penuh kerelaan. Ya, kami datang untuk beribadat dan semua yang lain tidak setara dengan keutamaan ini.
Kami tidak berehat selepas sarapan. Larangan berihram yang ketat tetap memandu tingkah laku kami. Ia menggesa rukun-rukun umrah diselesaikan secepat mungkin. Kami kembali semula ke Masjidil Haram dan kemudian menuju ke Bukit Safa untuk memulaikan rukun Saie. Ramai juga jemaah yang sedang bersaie waktu itu. Untuk mengisi rukun ini aku menggunakan sepenuhnya doa-doa yang termuat dalam “Risalah Kecil Mengandungi Doa-doa di Tanah Suci” terbitan Tabung Haji tahun 1986 (cetakan kedua belas). Mentertibi panduan itu sekali gus mengelakkan timbul kewaswasan menyempurnakan tujuh pusingan yang disyaratkan. Kadang-kadang ketika melalui laluan berlampu hijau di kedua-dua arah, terimbau pula kisah Siti Hajar berlari-lari anak di lembah yang kering kontang ribuan tahun dahulu. Terkesan dan mengharukan juga di hati. Betapa bermaknanya peristiwa itu sampai diangkat martabatnya menjadi rukun yang sekali gus mengagungkan kebesaran Tuhan oleh para hambanya .
Bersaie tidaklah kuanggap lebih mencabar berbanding bertawaf. Tempat berulang-aliknya lebih selesa. Laluan di latar bawah semuanya berhawa dingin, teduh dan penuh bergema lagi mengujakan. Kami memasang niat di garisan permulaan yang ditandakan di Bukit Safa. Kemudian berdoalah kami mengadap Kaabah dengan mengangkat kedua-dua tangan sambil menyebut “Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, walillahilhamd”. Dari situ kami berjalan secara sedar dan khusus ke Bukit Marwah. Kuperhatikan ada kelompok jemaah yang berdoa secara nyaring, mengikuti ketua atau pembaca doanya. Lebih ramai yang membaca doa secara bersendirian. Bahkan, ada juga yang hanya berlenggang santai seakan bersiaran. Masing-masing memperagakan tahap penglibatan peribadi dalam beribadat.
Aku dan isteri tidak membenarkan suasana gema keriuhan, kehingaran para jemaah menyelewengkan hasrat beramal. Keramaian jemaah hanyalah menjadi latar yang menghidupkan lagi semangat memaknakan kehadiran kami. Ia tidak sama sekali melekakan daripada niat melakukan sepenuh hati. Aku penuh sedar hakikat ini. Aku menghayati doa-doa yang dibaca. Teks yang digunakan ialah terjemahan bahasa Melayunya. Kukira ia menjadi lebih berkesan berbanding membaca teks bahasa Arabnya. Ia secara langsung meletakkan aku ke tahap kekerdilan paling kenit berbanding dengan keagungan Allah S.W.T. Sungguh menjelira dan kadang-kadang menusuk kalbu. Serentak itu, aku sentiasa mengingati sejarah peristiwa yang menjadikan rukun ini sebagai satu syiar dalam peribadatan seorang jemaah umrah (atau haji). Selain mengaminkan apa yang kubaca, isteriku juga membacakan sendiri doa-doa dalam buku yang dibawanya, pada luang-luang waktu yang tersedia. Nyata R lebih serius melakukan amalannya. Aku senyap-senyap mengakui.
Setiap kali selesai satu pusingan kami berhenti sekejap di bukit batu yang masih ada dikekalkan, terutama di Bukit Marwah. Ramai jemaah terutama wanita, yang duduk-duduk di atas bukit itu. Tidak banyak ruang tersedia untuk kita berpijak dengan selesa di situ. Ramai juga jemaah yang bersolat sunat sekitar bukit itu. Tentulah mereka telah selesai melakukan Saie.

Umrah (5)

Umrah 5
Makanan malam yang disediakan masih boleh kami dapati walaupun tiba jauh melewati jadualnya. Sebaik menaiki bas di lapangan terbang, mutawwif telah berhubung dengan pihak D’Saji untuk mengelakkan pihak jemaah kelaparan disebabkan karenah tertunda melepasi pemeriksaan imigresen tadi. Sebaik tiba di hotel kami telah dibawa ke tingkat dua untuk mengambil pek makanan malam masing-masing di Restoran D’Saji. Habuan itu diselesaikan di situ juga. Ia memadai bagi mengisi tuntutan perut yang tertangguh lama oleh halangan di luar kawalan. Sekurang-kurangnya, para jemaah lebih tenang dan terkawal dengan perut masing-masing berisi.
Mutawwif pun tidak pula tertekan.
Mutawwif menetapkan kumpulan kami berkumpul di lobi hotel selepas masing-masing menghantar beg dan menselesakan diri sekadarnya di bilik-bilik yang ditentukan. Aku melakukan solat jamak taakhir Maghrib-Isyak di dalam bilik 416, bilik menginap. Ini bilik yang tersangat strategik. Sangat hampir masjid. Ia mengadap Masjidil Haram. Dari situ bumbung Kaabah kelihatan jelas. Saiz dan bilangan dan pergerakan orang awam di tingkat bawah, di dataran masjid pun boleh disaksikan dengan mata sendiri tanpa perlukan petunjuk lain. Apalagi, skrin tv dalam bilik pun menayangkan secara langsung suasana jemaah bertawaf di sekeliling Kaabah.
Aku bersyukur sungguh dengan lokasi hotel ini. Terlalu murah kos yang dikenakan berbanding manfaatnya. Hotel Al Safwah ini sebenarnya belum lagi dibangunkan ketika kami kali pertama datang berhaji pada tahun 2001. Ketika itu, walaupun secara muassasah, kami bernasib baik kerana di tempatkan di bangunan bersebalahan dengan hotel ini. Bangunan dahulu itu ternyata telah dirobohkan dan ia berganti kini dengan bangunan Hotel Royal Dar Al Eiman, bersebelahan Hotel Al-Safwah New Orchid yang kami huni kini. Berbanding Royal Dar Eiman, kedudukan Al Safwah lebih dekat dengan Masjidil Haram. Begitulah bertuahnya kehadiran kali ini.
Kami berkumpul di lobi hotel (paras RE). Apabila semua hadir kami dibawa mutawwif turun ke tingkat bawah dan melalui dataran masjid lalu berjalan serentak memasuki masjid bersebelahan pintu Malik Abdul Aziz, sejauh 50 meter jarak perjalanan. Kami turun ke dataran Kaabah pada sudut Yamani. Jemaah yang sedang bertawaf tetap ramai tetapi tidaklah terlalu padat.
Matlamat asal kumpulan adalah untuk bertawaf beramai-ramai. Tetapi pertembungan dengan para jemaah lain menjadikan pendekatan kami tidak cukup praktikal. Aku dan isteri awal-awal lagi memutuskan keluar daripada kumpulan dan bertawaf sendiri. Pengalaman mengerjakan haji dahulu memberikan keyakinan urusan ini boleh dilakukan dengan teratur. Memang ternyata sebelum habis satu pusingan, rakan-rakan jemaah yang lain sudah tidak kelihatan sosok tubuh masing-masing. Mereka, seperti juga kami, dilanda gelombang ribuan para pentawaf lain.
Tiadalah kami cuba membacakan doa-doa setiap pusingan seperti yang ada dalam buku yang dibawa. Bagi pusingan pertama selepas berniat tawaf di penjuru Hajarul Aswad, kami mengulang-ulang sebutan “Subhanallah”, sehingga berubah menjadi “Rabbana atina fi dunniyah...” di rukun Yamani. Pada pusingan kedua, kami menyebut “Alhamdulillah” berganti, ““rabbana atina fi dunniyah...” sebaik tiba di rukun Yamani. Pada pusingan ketiga, kami menyebut “Allahu Akbar” berganti “ “rabbana atina fi dunniyah...”, di rukun Yamani. Demikian kami gilir-gilirkan pada pusingan keempat, kelima dan keenam. Pada pusingan terakhir, kami membaca “Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar” bergantikan “rabbana atina fi dunniayah...” di rukun Yamani. Menara Jam menjadi panduan berguna memulai rukun Yamani sebelum dipandu lampu hijau di rukun Hajarul Aswad.
Kami berdua selesai bertawaf dalam masa lebih kurang setengah jam.

Umrah (4)

Umrah (4)
Mentari telah tenggelam ketika pesawat MAS mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah. Aku perhatikan para penumpang bukan jemaah umrah diangkut dengan bas berasingan ke kompleks ketibaan. Kami, para jemaah umrah diangkut dengan bas lain dan dibawa ke terminal haji yang agak jauh juga dari tempat pendaratan itu.
Ketika tiba di ruangan menunggu aku perhatikan sudah ramai para jemaah daripada negara lain yang tiba lebih awal dari negara masing-masing. Ruangan menunggu itu ada disediakan kemudahan bilik air. Bolehlah kami menselesakan diri setelah lama duduk dalam penerbangan. Di situ kulihat ramai juga para jemaah lelaki maupun perempuan sedang mendirikan solat di ruang yang tersedia – di tepi dinding, di lorong pejalan kaki, dan di atas kerusi.
Urusan untuk membawa kami ke ruangan pemeriksaan imigresen kulihat dikendalikan oleh dua orang mutawwif kami dengan petugas lapangan terbang. Barangkali ada ketidakselarasan sehingga kami dibawa ke sana ke mari sebelum akhirnya beratur panjang dalam beberapa baris di hadapan kaunter imigresen lebih dua jam kemudian. Pemeriksaan sebenar setiap passport untuk setiap jemaah tidaklah terlalu lama tetapi sedikit ketidakcekapan dan kesambilewaan para petugas di kaunter masing-masing dan ditambah bilangan jemaah yang ramai dari negara-negara lain telah menyumbangkan kelewatan kami melepasi proses itu.
Selepas lulus pemeriksaan imigresen, kami terus ke kawasan bagasi untuk mengambil milik masing-masing. Aku perhatikan para petugas (porter) (yang kukira berasal dari Pakistan dan Bangladesh) cuba meminta upahan kerana ‘menjaga’ beg-beg itu sekian lama di jaluran tersebut. Aku tidak menghiraukan dan menarik beg-beg kami untuk di heret sendiri keluar. Perjalanan dari situ ke tempat menunggu bas di luar sejauh lebih kurang 100 meter.
Dua bas mengambil rombongan kami yang dipecahkan kepada dua kumpulan. Perjalanan dari Jeddah ke Mekah sejauh lebih kurang 100 KM mengambil masa lebih kurang sejam. Perjalanannya lancar. Kami tiba di Al Safwah Royale Orchid Hotel di sisi Masjidil Haram lebih kurang pukul 12 malam.

Umrah (3)

Umrah (3)
Mutawwif datang memberitahu bahawa pesawat telah menghampiri Miqat. Para jemaah sudah boleh memasang niat mengerjakan umrah dan berihram dengannya. Aku melakukan sewajarnya. Takut juga terlupa melakukannya langsung mencacatkan amalan. Kami diperingatkan bertalbiah. Sememangnya aku telah bersedia melakukannya walaupun bersendirian dan perlahan-lahan dalam nada suara yang rendah, hampir didengari sendiri. Yang sangat kuutamakan ialah mengingati senarai larangan ketika berihram. Aku mahu umrahku sekali ini yang paling baik mampu dilakukan. Sudah dua bulan kami suami isteri merancangkannya. Sudah banyak persediaan dan amalan peribadi selama itu kami pertingkatkan.
Kami sudah biasa bangun malam, bersolat tahajjud, taubat, hajat, berwitir dan lain-lain. Aku pun tidak ketinggalan ke masjid, pada awal waktu, bersolat Subuh dan juga Maghrib. Setiap kesempatan itu aku melakukan pelbagai solat, doa, zikir, membaca al-Quran dan seumpamanya. Aku pun biasa juga dengan solat Duha. Dengan aktiviti amali itu kami berharap perlakuan dan ibadat di Mekah dan Madinah kelak tidaklah suatu yang mendadak atau tiba-tiba atau luar biasa.
Banyak juga buku-buku pengerjaan haji dan umrah yang kubaca. Bahan-bahan yang berkaitan bidang itu memang telah sedia terkumpul ketika kami mengerjakan ibadat haji pada tahun 2001 dahulu. Aku bahkan membeli juga bahan-bahan bacaan yang baharu yang berupa travelog haji dan umrah oleh beberapa penulis tempatan. Pengalaman mereka memang berguna untuk dijadikan panduan dan perbandingkan. Kami pun sempat juga menghadiri kuliah umrah, sebanyak tiga kali, satu di Shah Alam dan dua kali di Ibu Pejabat Tabung Haji.
Bukan sahaja aspek itu diberi penekanan. Aspek lahiriah atau fizikal tidak ketinggalan. Aku berlatih bersenam di halaman rumah, di taman berdekatan, bahkan berbasikal dalam jarak yang agak jauh dan lama. Pengalaman mengerjakan haji dahulu memandu persediaan untuk ibadat umrah ini. Bahkan kerana pengalaman itulah menjadikan persediaan berumrah ini lebih daripada yang dilakukan semasa menghadapi ibadat haji tersebut.

Umrah (2)

Umrah (2)
Penerbangan
Para penumpang menaiki pesawat apabila diarahkan. Aku menduduki kerusi 14C dan R pada kerusi 15D. Sepasang suami-isteri berloghat Utara ‘kedengaran’ memiliki nombor 18A dan 18C, mengambil keputusan menduduki tempat 16A dan 16C. Mereka teragak-agak untuk beralih tentunya kerana dikira mereka duduk di tempat yang ‘kosong’, ketika itu.
Seketika kemudian masuk sekumpulan jemaah dari Indonesia. Mereka berjuakan terpaksa menunggu pasangan yang ‘tersalah duduk’ itu berpindah ke tempat duduk mereka yang sebenar. Dengan gesaan pramugara pasangan itu akhirnya berpindah. Entah apa sebabnya mereka awalnya tidak terus mengambil tempat yang terhak bagi mereka, menimbulkan tanda tanya.
‘Kawan’ di sisiku pula, pada kerusi 14A, ialah seorang wanita, kukira sebaya denganku . Dia ternyata tidak selesa di sebelahku. Beliau ternyata sebahagian daripada dua orang jemaah lain, sepasang suami isteri yang menduduki kerusi nombor 15A dan 15C, di belakang kami. Menyedari mereka bertiga ternyata ‘bersaudara’, lantas aku menawarkan berpindah ke kerusi 15C dan isteri itu beralih tempat mengisi tempat asalku. Sebaik penyesuaian itu, suaminya segera memberitahu bahawa wanita di sisiku itu ialah adik iparnya.
Pertukaran tempat duduk itu mendamai dan menceriakan adik beradik berkenaan. Mereka kecoh saling berbual lega kerana segera terlepas dari ‘dugaan’ tak semena-mena sebentar tadi. Memang, wanita itu beristighfar tak putus-putus. Ia menganggap susunan kedudukan asal itu sebagai “dugaan” awal ke Tanah Suci.
Penerbangan berlepas mengikut jadual. Aku kira 90% tempat duduknya berisi – jemaah dan penumpang-penumpang biasa.

Kami disajikan dengan makan tengah hari beberapa ketika kemudian. Kukira masanya sangat wajar, apatah lagi jam sudah lebih pukul 3 petang. Tingkap-tingkap mulai ditutup supaya ruang menjadi gelap. Terpulang kepada penumpang sama ada untuk tidur atau menghiburkan diri dengan kemudahan yang disediakan pada tempat duduk masing-masing.
Lebih kurang sejam ke destinasi, kami dihidangkan jamuan sekali lagi - makan malam. Aku dapat menyelesaikan bagianku itu dengan berselera. Dalam fikiran, tertanam tekad memantapkan tenaga demi urusan penting dan utama perlu dilakukan apabila mendarat kelak. Pun, jamuan MAS tidak pernah mengecewakan, walaupun di kelas ekonomi. Aku telah berpuluh tahun mengalami serta menikmati perkhidmatan demikian ketika bertugas rasmi semasa berkhidmat dengan kerajaan dahulu.

Umrah (1)

Umrah (1)
Hari 1 (Ahad) – 23 April 2017 = 26 Rejab 1438.
Aku siap berpakaian ihram. Begitu juga R. Sebelum meninggalkan rumah kami solat sunat ihram dan solat musafir.
Anak kami, Era menghantar ke KLIA. Ketika tiba pada jam 10.30 pagi, satu keluarga empat beranak dari Kedah mendahului. Ku lihat salah seorang Mutawwif memakai jaket syarikatnya juga berlegar-legar di jalur terhujung kaunter chekin penerbangan di Tingkat 5. Aku segera memperkenalkan diri kepadanya seraya mendaftarkan kehadiran kami seperti dikehendaki.
Rombongan kami dari seluruh pelusuk Semenanjung semuanya 65 orang, yang dibahagi kepada dua kumpulan. Taklimat telah disampaikan seperlunya kepada semua jemaah.
Urusan chekin dan bagasi berjalan lancar. Sebaik diserahkan passport, tiket penerbangan dan kad pengenalan diri oleh mutawwif, kami terus beredar ke kaunter pemeriksaan passport dan kemudian menaiki tren ke terminal penerbangan antarabangsa.
Aku ditolak mengimami solat jamak takdim Zohor-Asar di Surau yang tersedia. Sebaik selesai kami berdua ke ruangan menunggu penerbangan MH 150 Kuala Lumpur-Jeddah. Pesawat MAS itu akan berlepas pada 3 petang.