Friday, 31 August 2018

Balik kampung

Balik kampung
Bukan Bukit Keluang sesatu tarikan
Berdekatan melambai Kuala Besut
Ketika kecil laman permainan
Selesa di rantau naluri menjemput.

Tokoh Bertokoh Bahasa Melayu

Tokoh Bertokoh
Pemakalah ‘terlajak’ prolifik, Zul menyetujui pandangan Asmah Haji Omar tentang perbezaan makna “tokoh” dengan “orang bertokoh”. Kemudian, beliau mengenal pasti orang-orang bertokoh itu serta memerikan peranan mereka dalam mengembangkan bahasa Melayu di negara merdeka. Secara kronologi, orang-orang bertokoh itu ialah, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Muhammad Ghazali Shafie, Syed Husin Ali, dan Profesor Diraja Ungku Aziz. (lihat, Zulkifli Salleh, “Orang Bertokoh dan Bahasa Melayu”, (Dunia Bahasa), Dewan Bahasa, Februari 2016, muka surat 22-25).
Zul menutup rencana beliau dengan sangat kemas, mengatakan empat mereka “mempunyai pandangan dan pendirian yang konsisten” sedangkan seorang lagi tidak!
Sekadar menyempati hantaran, adakah orang-orang bertokoh lain yang ‘friend’ hendak tambah, dengan memahami istilah “orang bertokoh” itu?

Sastera di sekolah

26.4%
Dalam tahun 2012, daripada 2,340 sekolah menengah seluruh negara hanya 617 sekolah sahaja menawarkan subjek Kesusasteraan Melayu kepada pelajar-pelajar Tingkatan 4 dan Tingkatan 5.
(Lihat, Hasan Baseri Budiman, “Mencari Kecerdasan Emosi dan Spiritual Sebenar dalam Kesusasteraan Melayu” (Fokus), Dewan Sastera, Bil. 06 [Jun] 2015, muka surat 17 (15-20).


Bagi mereka yang ingin mendalami isu, ditunjukkan bahan berlampir (Dipetik daripada, Samat bin Buang, “Input P&P KOMSAS Fasa Ketiga”, (Sastera Dalam Bahasa), Pelita Bahasa, Januari 2016, muka surat 14-17).
Man

Pantulan A/01/26/2017: Sajak Wan A. Rafar (WanRafar Ishak), “Attempt at a Description”

Pantulan A/01/26/2017: Karenah sulung
Senggang waktu melurukanku bertumpu kepada ‘keharuan’ Wan A. Rafar (WanRafar Ishak), menyelesaikan “Attempt at a Description”, Dewan Sastera, November 1975, muka surat 20. Sebagai satu pemerian, sajak yang panjang boleh menghadang semangat pembaca menamatkan. Silap haribulan, tinggallah ia terhimpit pada dan bersama-sama halamannya yang tidak dibelek lagi. Pun, aku melintasinya kini. Atas keyakinan reputasi karyawan ini, berdasarkan prestasi beliau yang lebih awal, kususuri juga adunan ini sekujurya. Dan yang terkesan, betapa gembira seorang “papa” kerana berputerakan anak kecil sedang nakal membesar menjadi tumpuan sekeluarga. Benar-benar dia, anak itu, telah hadir di tengah-tengah famili, disayangi.
Tidak sewajarnya dihairankan kalau seseorang, apalagi bapa sendiri, tidak pasti hendak memulakan cerita tentang buah hatinya, sebab semua seginya boleh jadi pangkalnya. Kalau secara berbabak, kita boleh dahulukan babak menemani ‘mama’ di dapur. Kalau bapa, yang lebih ghairah, mulakan pengalaman menukar lampin atau menyediakan susu botol, ganti yang asli.
Tetapi sebagai karya seni, ketidaktentuan tetap mengujakan. Asalkan bahan atau pengalaman disulam dengan maksud menimbulkan kesan. Bukan sekadar meluah tak keruan. Jadi, masalah apakah begitu besar sampai membangkitkan dilema untuk ‘papa’ memberi penjelasan? Tidak lain, pengalaman keibubapaan yang hampir semua insan beroleh giliran. Ada episod berlaku, satu demi satu. Anak kecil menjalani dunianya tanpa terlepas dari pemantauan. Dan aku yakin, tidak banyak yang berbeza dengan yang dialami pasangan atau keluarga yang lain. Berlanjutan sehingga yang disayangi berdikari, meneroka pengalaman sendiri pula.
Tetapi masa telah berlalu lebih 40 tahun. Semoga anak yang diperihalkan itu telah pula mengulangi pengalaman papa-mamanya. Semoga sajak ‘papa’ ini terus mantap, disedari, telah sebenar-benarnya merakamkan tingkah laku semua watak yang terlibat. Semoga karya ini dirujuk sesekali, kerana bertepatan suasana dan takah usia lalu menghilaitawakan seisi keluarga ketika berkumpul mempererat pertalian musim-musim pertemuan.

Pantulan A/01/25/2017: Sajak Leo Aws [Leo A.W.S.] “Mendung Pagi”

Pantulan A/01/25/2017: Zaman yang pergi
Barangkali kaedah munasabah lagi bijak untuk merakamkan pengalaman ialah dengan mencipta sajak. Dengan kesungguhan, peristiwa-peristiwa yang dilalui akan terakam bererti dan boleh dikongsi dengan pemerhati yang bersimpati. Maka dengan tiba-tiba aku melintasi keratan akhbar Mingguan Malaysia, Ahad, 13 Disember 1992, pada ruangan “Puisi” yang memang sebahagian daripada koleksi. Daripada 7 pemuisi yang terpapar nama, tiga daripada mereka adalah ‘friend’ fbku, termasuk Leo Aws [Leo A.W.S.] di Dewan Beta, yang menyanyi “Mendung Pagi”, muka 11. (Biarkan ‘mendung’ itu kerana fenomena demikian hanyalah sementara -- meruap kabus, menyinarlah suasana).
Ia sebuah senandung yang mudah tetapi berbuah coretan kenangan merentasi zaman yang semakin menghilang. Sebab, ‘kekuningan’ padi sudah tiada lagi menyerikan sekitaran kebanyakan desa di tanah air. Yang ada lalang, belukar dan keterbiaran, atau pembangunan yang merobah landskap kawasan. Sedikit kemodenan sudah tersingkap ketika temanku merentakkan irama kerana para petani mengutip rezeki “dari mesin menuai” berbanding sedikit awal mereka sendiri atau bergotong-royong mengetam beramai-ramai. Kelainan itupun sudah menyerlahkan betapa perubahan dan teknologi telah meragamkan atau mengancam kekukuhan bermasyarakat. Ia lagi drastik menukar suasana kalau sekarang seseorang hendak merakamkan proses pembangunan selepas negara kian matang menghirup keringat kemerdekaan.
Aku berasa bertuah kerana sempat mengalami peringkat-peringkat bermakna bernegara sendiri atau menjadi rakyat yang sangat menghargai pengalaman yang sudah banyaknya bukan lagi menjadi sebahagian amalan seharian masa kini. Fasa-fasa kehidupan, bidang-bidang pelibatan mencari makan sudah jauh berlainan daripada ketika silam. Dan, alangkah kita berasa bertuah dengan rezeki yang berlimpahan – lahir dalam kemiskinan, membesar dengan keriangan mengekang kekurangan, tetapi dewasa menyumbang untuk pembangunan negara, sambil menikmati keselesaan dalam takwa. Semoga demikian, bukan kebalikannya.
Sekelumit coretan tidak tersesia. Untuk diri ia mengembalikan ingatan, semoga dimuhasabahkan. Untuk peneliti ia pun bermanfaat kerana boleh dibandingkan dengan hakikat pengalaman – sama ada berbeza atau hampir-hampir sedarjat.

Pantulan F/01/24/2017: Sajak Djazlam Zainal, “Mata Yang Menatap”

Pantulan F/01/24/2017: Hakikat hamba
Alam nan terbentang bersaujanaan ini sentiasa berupaya mendetikkan insan mengilahaminya untuk menjelmakan sesuatu. Dalam kes Djazlam Zainal, beliau menimbulkan kehebatan ciptaan Ilahi itu dengan seolahan sajak berseri berjudul “Mata Yang Menatap”, (Puisi Bulan Ini), Dewan Sastera, Bil. 6 [Jun] 2017, muka surat 70. (Walaupun tiada kaitan apa pun, tiba-tiba sahaja, aku teringat sebuah judul filem Argentina/Sepanyol, “Secret in Their Eyes” (2009). Ia sebuah filem yang hebat, yang difilemkan semula sebagai sebuah filem Amerika pada 2015. Kebetulan pula, Djazlan mempelawaku menyukai “Panggung Seni Tradisional 2017” hari ini (13 September).
Ya, sewajarnyalah diakhiri analisis dengan kebenaran pemahaman. Bahawa, semuanya akan berakhir dengan rumusan iaitu yang berkuasa itu ada, dan Dia adalah Yang Maha Besar. Ini selaras dengan kepercayaan kita selama ini, penganut Islam yang suci. Tidak boleh disimpulkan selainnya.
Hanya, seharusnya tidak semestinya dalam sunyi, ‘… sepi dan … sendiri ..’ sahaja keagungan Allah SWT itu hadir kerana dalam kebingaran pun minda harus tidak mengabaikan kewujudan-Nya. Tidak kira dimana-mana, juga meliputi kebila-bilaan waktu-waktunya. Pancaindera yang dikurniakan itu alangkah bermanfaatnya jika sentiasa dirangsangkan untuk kebaikan semata-mata.
Diakui, dalam suasana atau fenomena yang sama, tidak pula semua orang mampu menghayati dengan ketajaman yang serupa. Bahkan, untuk merakamkannya pun, tidak semua orang berupaya menggandakan kesan atau impaknya kepada pembaca. Oleh sebab itu, aku menghargai keupayaan sesiapa, dalam kes ini, Djazlam Zainal, mempersembahkan fenomena alam itu sepadat-padatnya dengan balutan bahasa yang serba kena pula. Aku lagi-lagi suka kerana ciptaan ini demikian positif menjunjung kebesaran Yang Maha Esa. Sungguh insan ini cumalah hamba Penciptanya.

Pantulan C/01/23/2017: Sajak (Leo Aws) Leo A.W.S, “Merpati Dua Sejoli”

Pantulan C/01/23/2017: Di luar kotak
‘Kejutan’ adalah salah satu unsur yang wajar hadir kerana ia menyerikan serentak itu mengemaskan sesebuah puisi. Ini aku temui dalam ‘sesyair’ sajak (Leo Aws) Leo A.W.S, “Merpati Dua Sejoli”, (Puisi Bulan Ini), Dewan Sastera, Bil. 5 [Mei] 2017, muka surat 73. Pada judulnya gubahan ini begitu klisĂ©. Tetapi barangkali tiada alternatif lain terbaik menjudulkannya kecuali seperti telah sedia dilakukan itu. Dalam pada itu, yang memeranjatkan puisi ringkas ini mengharukan kerana yang “sejoli” sebenarnya hanya ‘sejenis’ lantas tidak membahagiakan atau berfaedah seperti yang dijangkakan seawal-awalnya. Lalu, malang bertimpa-timpa apabila ‘jantina’ lain yang berupaya mengambil alih peranan menyelamatkan keadaan, tidak sekufu pula sebab bukan sebangsa.
Tampaknya yang diketengahkan Leo adalah suatu hakikat yang tiba-tiba ditemui sesudah bertahun wujud tanpa disedari atau diselidiki. [Ada ketakcanaan tuannya terserlah]. Sedangkan sesuatu pengusahaan berharapkan hasil daripada pelaburan, tidakkah wajar pendirian berzaman itu disesuaikan dengan kesempatan atau alternatif yang satu-satunya diberikan?
Aku tidaklah akan teruja memantuli puisi ini kalau Leo menggantikan “punai” dengan helang atau gagak! Namun, dunia sentiasa mengandungi keanehan dalam sebahagian peristiwa yang berlaku. Persoalannya, masihkah mahu kita terus bermangu-mangu, kejap berpegang tentu prinsip terbukti dalam semua situasi mendatangi? Relakah kita berterusan menjunjung amalan merugikan (?) sedangkan ada penyelesaian di luar kebiasaan?
Puisi ini bererti sungguhpun pendek berhias tradisi. Setiap pembaca boleh bertanggapan berlainan. Ia mampu mencungkil pelbagai persepsi. Ia berseri lagi bernilai lantaran mengasah minda dan kalbu pembacanya sekali.