Friday, 18 March 2016

Pantulan D/2/24/2016: Sajak Siti Zainon Ismail, “Taman-taman yang Hilang”

Pantulan D/2/24/2016: Keharuman bumi
Yang dikesali Siti Zainon Ismail, lewat “Taman-taman yang Hilang”, Dewan Bahasa, Mac 1978, muka surat 202, tidak perlu tafsiran. Cerahnya tak payah bersuluh lagi. Tetapi mesejnya tetap sama, sebaru 38 tahun yang lalu.
Aku pernah tinggal seketika diharumi bau kenanga, cempaka dan sundal malam. Seminggu dua ini, kenanga yang ditanami jiran mulai meletuskan keharumannya. Menyerbu ke laman rumahku. Bunga sundal malam yang ada di lamanku pun menyembulkan semula bunga yang baru. Harumannya yang terbukti itu akan datang lagi, bahkan akan menjadi hiasan di meja sendiri. Keseniaan susunan dan kewangian yang menyenangkan. Semuanya membuktikan alam seharusnya dilestarikan.
Kalau Siti memilih burung, embun dan unsur-unsur alam kita tidak ada sikap lain menyatakan pendirian kecuali serupa beliau, mempersetujukannya.
Hidup ini diakui sementara. Kita harus menyedari untuk akhirnya pergi jua. Tetapi ketika sedang berada di sini kita mahukan keselesaan dan kesejahteraan. Ia boleh hadir dengan penggemblengan sempurna kesemuanya.
Menutup pantulan aku rela meminjam “desah bertumpuk di tiang hitam”. Semoga, sambil sanubari menikmati jambangan puisi, pemusnahan yang berleluasa terhenti dan kehidupan tidak tergendala, sebaliknya selangkah dengan kemajuan hakiki.

Pantulan D/1/23/2016: Sajak Zurinah Hassan, “Kau Mengajakku Berbicara”

Pantulan D/1/23/2016: Membaca alam
Sedang mencari-cari sajak mana-mana teman-teman fbku, setelah agak lama membelek-belek tanpa menjumpainya kebelakangan ini, melintasilah aku Dewan Bahasa, November 1975 yang memfokus kepada puisi lalu termasuklah dalam muatan genre itu dua buah sajak Zurinah Hassan, salah satunya, “Kau Mengajakku Berbicara”, muka surat 785-786. Kebetulan pula masa telah sangat senja. Hujan yang turun telah sangat halus benangnya. Sungguhpun tetap membasahi usia siramannya jelas terhad. Lalu, tidak boleh kunafikan lagi bahawa, senja tetap meninggalkan kesan kepadaku. Berbagai-bagai. Ia satu fenomena kerana kepelbagaian kepada suasana alam. Alam yang cerah menjadi gelap bernama malam, langit mungkin berbintang gemerlapan kemudian, bulan yang asalnya tiada muncul menghiasi dan menerangi, patuh jadual edarannya, pantai pun didesiri ombak dan pabila awan beredar pecahan ombak yang bergulung-gulung memercikkan cahaya menyerikan suasana. Pun, ada segi lain sama menyerlah. Alam sentiasa memberikan bahan mencabar minda insan. Orang bestari, tidak menyaksikan semuanya tanpa mencari hikmah. Sudah semenjak azali, alam telah mempengaruhi kehidupan – pengaruh yang menambahbaikkan dan pengaruh yang menambahburukkan. Dengan akal manusia harus meneroka lorong-lorong yang menerbitkan faedah kepada diri, masyarakat dan sekitaran. Manusia tidak boleh berdiam dan terpegun hairan atau hilang pertimbangan.
Dato' Dr. Zurinah Hassan, tidak pun mempersembahkan formula untuk kita menjalani hidup di dunia secara paling mudah. Kita sedari beliau tidak mampu dan bukan maksud beliau pun berbuat demikian. Tetapi kita tahu Zurinah sentiasa memperhatikan kejadian alam. Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Dan masa depan tidak terpampang jelas bahkan membuntu. Ada persoalan, ada isu berkancahan dan walau tiada jawapan tersedia langkahan harus terus dilakukan, ke hadapan, ke arah yang lebih baik daripada yang telah sedia dicapai. Demikian aku mahu, pembicaraan “masakini” tidak dipermudah lantaran tidak diketahui status terakhir di perhentian muktamad. Sudah berkurun begitu. Kemajuan tetap dicapai tetapi kemanusiaan, jika ia suatu keutamaan, adakah kalah oleh feomena yang setiap individu masih belum menguasai sepenuhnya untuk muncul juara dan melaba?
Sebuah sajak sewajarnya teradun dan menimbulkan kesan, mencetuskan gambaran keindahan berjalinan walaupun berlumuran kekaburan memandu penyelesaian. Asalkan kita terdorong untuk mencungkil persoalan yang mendesak penciptaannya maka sudahlah tidak tersia-sia kita sejenak menghirup madu olahannya.

Friday, 4 March 2016

Pantulan A/1/22/2016: Sajak Sutung Umar RS, “Aku Pengembara”



Pantulan A/1/22/2016: Menebus kejahilan
Ketika berundur membelek semula majalah-majalah yang lebih lama, terserempak dan tertarik pula dengan karya Sutung Umar RS, “Aku Pengembara”, Dewan Bahasa, April 1971, muka surat 171. Sajak ini sudah 45 tahun usianya. Tetapi aku percaya karyawan ini masih mengembara, seperti juga kita dan orang lain. Yang aku ingin nyatakan, sesebuah sajak tidak perlu panjang, tidak perlu disukarkan untuk muncul sebagai sebuah ciptaan menarik dan bertenaga menjunjung makna. Idea yang mendasari karya boleh biasa-biasa sahaja, disampaikan secara bersahaja, dan dimana perlu diulang, diulangkan sepada-padanya. Inilah sajak. Kalau sajak ini dipersembahkan di hadapan khalayak, (dan memang harus dideklamasikan) aku mahu yang tertinggal dalam kalbu, suatu kesan yang mengharukan – bahawa dunia ini adalah sementara; manusia hidup untuk berbakti dan berjasa; walaupun tidak maksum, manusia jangan melakukan dosa besar yang tak henti-henti mengganggu ketenteramannya dalam berikhtiar menuju pelabuhan dan pangkalan hayat.
Aku sungguh faham perwatakan pengembara, dan ini sebijaknya dilakukan Sutung, secara mengisytiharkannya awal-awal lagi. Bertambah lagi terkesan apabila imej pengembara dan perkelanaannya berlumuran “sesalan lama” yang mengelubunginya “setiap malam/setiap siang”. Aku akan bersyukur kalau pengembara ini berjaya “melupakan sesalan lama yang luka/sesalan lama yang luka”. Biasa kita dengar ada cerita demikian. Manusia bertaubat nasuha dan tenang menghadapi Ilahi. Tetapi kalaulah kita sendiri senasib dengan pengembara ini, (memang kita pengembara), mampukah kita melakukannya? Ya, mampukah kita menyamai? Mampukah?
Tidak mudah bermadah mudah!

Pantulan E/3/21/2016: Sajak Ahmad Sarju, Anak Zaman Penuh Azam”



Pantulan E/3/21/2016: Wira beretika
Saya tidaklah mengungguli Hang Jebat kerana tindakan beliau bukanlah elok disanjung dalam semua segi. Barangkali sebab utama orang menyanjung tokoh itu kerana pendirian dan keberanian beliau menentang kesewenang-wenangan raja menitahkan Bendahara membunuh Hang Tuah tanpa usul periksa sedangkan diketahui kes itu berpunca fitnahan. Kalau Sultan Melaka, membentuk ‘mahkamah’ dan membicarakan ‘jenayah’ Laksamana itu tentulah Hang Jebat tiada sebab untuk menyanggah perintah raja, yang tentunya bersandarkan siasatan yang rapi. Mahkamah tentulah akan membuat atau mengsyorkan keputusan berdasarkan fakta-fakta dan falsafah berkesultanan era itu. Atau, kalau ia tetap menentang juga, maka ia telah tidak menjadi ‘penjawat’ yang setia, tidak profesional. Demikian itu menjelmakan dirinya di mata umum sebagai orang yang tidak boleh diberi tanggungjawab mendukung keutuhan pentadbiran atau pengurusan kesultanan. Beliau tidaklah wajar diangkat martabat sebagai wira zaman itu kerana terjelas tidak mencerminkan seorang penjawat misali abad bahari. Dalam kaedah mentadbir negara, penjawat yang ‘salah laku’ boleh diambil tindakan mengikut undang-undang atau peraturan-peraturan yang berkuatkuasa. Kedudukan peribadi dan status perjuangannya tergantung kepada proses penilaian yang harus dilalui.
Maka, ketika saya terserempak dengan Ahmad Sarju, mencorakkan pendiriannya (ketika berusia 25 tahun) melalui “Anak Zaman Penuh Azam”, Dewan Bahasa, Januari 1968, muka surat 31, saya sebenarnya sudah lama tidak memberati tindak-tanduk Hang Jebat yang ‘janggal’ dalam situasi yang di luar konteks. Pada saya Hang Jebat sewajarnya tidak berleluasa mencemarkan kesultanan. Apalagi setelah berada di puncak kuasa melalui rampasan kuasa, suatu kaedah yang sangat tidak beretika. Sementelahan pula, apabila disanggah beliau melenting ganas, bermaharajalela. Pun saya tidak lupa, Kassim Ahmad pernah mewirakan Jebat melalui “Dialog” pada tahun-tahun yang lebih awal.
Maka kalau kita berjuang, berjuanglah sampai mencapai matlamat. Pun, jangan pula perjuangan itu dicemari oleh falsafah yang menidakkan hak dan kebenaran pihak-pihak lain yang sama-sama mengimpikan keadilan sentiasa menjadi asas merancang dan melaksana tindakan-tindakan. Selepas 500 tahun penderhakaan itu berlaku, sewajarnya yang harus menjadi pedoman ialah yang berasaskan kebenaran dan keadilan. Ini bermakna kalau “membungkus kecurangan”, “bangun mengusir sipenderhaka” ia mewajarkan “mati dalam buih darah perjuangan”. Hanya, kewajaran moden seharusnya berasaskan keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
(NOTA: Sajak ini boleh juga dibaca dalam kumpulan puisi “Bunga Pahit”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986, muka surat 45).

Pantulan C/02/20/2016: Sajak Sahrunizam Abdul Talib, “Sejarah Bercerita”

Pantulan C/02/20/2016: Sejarah lagi!
Sebagai menghormati Sahrunizam Abdul Talib, selaku, Karyawan Bulan Ini Dewan Sastera, Februari 2016, kujelangi mutakhir dan kupilih sajak pendek beliau, “Sejarah Bercerita”, muka surat 27.
Terutama kerana pantulan terdahulu tentang karya beliau juga mengenai sejarah (lihat Pantulan C/1/14/2016: Tragedi melangkaui imaginasi iaitu tentang sajak “Angka-angka”, Dewan Sastera, Februari 2012), lalu hendak kutelitikan, sejauh mana idea yang diungkapkan kebelakangan berkaitan atau berbeza dengan yang terdahulu itu. Mengenai sajak yang baharu ini, aku tidak sangat hendak menyelak-nyelak segi gaya bahasa kerana ia telah teranyam sewajarnya sebagai sebuah sajak. Ertinya serangkap yang tercipta itu bukan prosa! Makna yang berlapis, atau pemerian yang memerlukan kalimat-kalimat yang lebih panjang daripada sajak itu sendiri (untuk membicarakannya) sudah membuktikan ialah sebuah sajak. (Tulisan 'bersajak' yang panjang tanpa mampu menerbitkan pemerian yang lebih panjang daripadanya, kukira bukan sajak!!! Ciri ini tidak kuingin berpanjang-panjang lagi.)
Sebelum itu perhatikan terdapat kata-kata seperti “sejarah”, “bercerita”, “hidup” yang boleh dijumpai di dalam kedua-dua sajak.
Maka, sejarah kalau hendak didefinisikan semula, berdasarkan kalimat-kalimat Sahrunizam Abdul Talib, ialah perlakuan merujuk kepada peristiwa-peristiwa yang sudah berlaku kerana impaknya menyerlahkan teladan atau iktibar. Unik atau istimewanya sejarah ialah kerana ia tidak luput daripada ingatan sungguhpun pelaku-pelakunya sudah berpindah ke alam barzakh. Dan aku hampir sependapat dengan beliau, tentang kecenderungan generasi pewaris lebih merujuk sejarah peristiwa-peristiwa “mencipta helah” dan inilah yang diuar-uar, diungkit-ungkit, dipersoal atau dipersalahkan, berkekalan sampai ke cucu-cicit. Sungguhpun sejarah tidak sempit ruang lingkupnya dan pada hakikatnya positif, perujukan terhadap perkara-perkara gelap, derita, penyelewengan, pengkhianatan, seharusnya mengajar pelaku-pelaku sejarah untuk lebih berhati-hati, agar tidak tersalah langkah mengulanginya. Pada pentas sejarah seseorang harus mengambil peranan agar menjadi pencetus kebaikan, kemakmuran, pendukung agama, bangsa dan negara pada peringkat tertinggi (ataupun terunggul pada peringkat keupayaan diri dan kesempatan yang terlorong untuknya.
Sejarah sebenarnya tanpa pelabuhan. Ia berusia selagi ada insan.

Pantulan F/02/19/2016: Sajak Solihin Osman, “Membaca Takdir”

Pantulan F/02/19/2016: Menggali erti
Apa yang hendak dibicarakan Solihin Osman melalui, “Membaca Takdir”, Dewan Sastera, Mac 2012, muka surat 65 ialah “Membaca takdir dan mentafsir nasib” bukan setakat menonton dan membiarkannya berlalu tanpa sebarang manfaat atau impak. Ada tujuh kali “perkataan “membaca” digunakan, mengawali setiap rangkap, dengan setiap rangkap menumpukan pada isu-isu atau situasi-situasi yang berlainan. Rangkap-rangkap itu secara berturutan ditunjangi, “…angin songsang…”, “…jambak awan…”, “…curahan takdir…”, “…luahan api…”, “…retak digegar tamadun”, dan “…abstrak laut…”. Setiap satunya pula berangkaian dengan kalimat-kalimat yang menyusuli bagi mengantarkan makna yang penuh. Aku memilih untuk tidak mencungkil ke inti erti oleh deraan berseni.
Namun, aku kira membaca berminda bermaksud menghayati, menganalisis, dan merumuskan. Lalu dipersetujui, “takdir” adalah ketentuan Ilahi ke atas hamba-hamba-Nya. Berdasarkan pengajaran para ustaz, tuan-tuan guru, difahamkan bahawa manusia boleh merancang tetapi Allah S.W.T. menentukan. Kalau pernyataan itu diterima, maka rasa kecewa sewajarnya tidak berbangkit lagi, apabila seseorang bergesel dengan musibah atau kegagalan, sebab di sebalik pengakuan terhadap Yang Maha Kuasa itu, tertunjang falsafah tunduk kepada-Nya. Makhluk wajib redha sentiasa.
Manusia yang merancang harus berilmu. Perancangan tanpa diwawasi ilmu adalah kesia-siaan kerana hasil yang wujud itu tanpa input-input pencetus yang seharusnya memainkan peranan. Hal ini demikian kerana tanpa persiapan, atau melalui prosesnya seakan sesuatu peristiwa berlaku, tanpa dikawal oleh ilmu atau kaedah yang sesuai menyokong kerealisasiannya. Dalam kata-kata lain, sesuatu tidak berlaku tanpa sebab. Ada unsur-unsur yang bergemblengan mencetuskannya.
Maka kalau Solihin Osman, mengatakan kehilangan nilai keindahan daripada “taman kehidupan”, bukankah ia suatu kecacatan yang tak tersembuhkan? Begitu pula, “siang semakin pudar dirinya” menjongolkan kemerosotan keupayaan untuk bertahan pada unsur-unsur yang selama ini menjadi asas bertapak atau berdikari. Bergerak lagi, aku lebih ingin tidak bertolak ansur dalam hal-hal yang menyentuh “kesilapan/yang disengajakan” demi mempastikan penjawatan dan penikmatan keistimewaan yang terpaut padanya, tidak dipertikaikan langsung. Pun, pengecualian tidak sama sekali meruntuhkan prinsip-prinsip murni sekiranya beriringan dengan keikhlasan dan ketakwaan.
Demi menyingkatkan, kupilih sekalimat lagi, “bukan cuma dari pandangan mata” (di rangkap akhir), untuk mengamati pengalaman yang dilalui, sebab kita sentiasa diingatkan Ilahi, bahawa selain menggunakan penglihatan, jangan pula terlupa menggunakan pendengaran, dan hati untuk lebih menyeluruh membuat pertimbangan dan keputusan. Dan itulah yang kukira menjadi ‘fitrah’ manusia, supaya yang berlaku bernatijah baik, terhindar daripada runtunan nafsu yang mencemarkan sahsiah diri.
(Nota: Sajak ini termuat juga dalam kumpulan puisi, “Gelombang Diri”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2015, muka surat 87-88. Ada beberapa buah puisi lain oleh Solihin Osman, berjudul, “Buku Takdir”, muka surat 27; “Mengukir Takdir”, muka surat 93. Dalam kumpulan puisi “Sangkar Alam”, ITBM, 2015, ada sebuah puisi Solihin Osman berjudul, “Buku Takdir”, muka surat 4 (tidak sama dengan yang disebut terawal); dan “Benarlah Itu Takdir”, muka surat 46).

Pantulan F/01/18/2016: Sajak Fahd Razy, “Daerah Kalbu II”



Pantulan F/01/18/2016: Taubat
Pagi-pagi hari ini aku benar-benar teringat kepada hakikat diri dalam mengharungi kesementaraan duniawi. Hasilnya kuciptaka sebuah sajak mencetuskan perasaan tentang kuat sekali tarikan dan usapan kehidupan di musim tua yang mengalpakan sedangkan yang sebenarnya ada satu lagi hidup, yang abadi, selepas kita menghabisi sisa-sisa usia yang sedikit sahaja lagi ketika kembara di bumi (Lihat, “Pesona”, 22 Januari 2016, yang kupamerkan sebelum pantulan ini). Maka melintasilah aku sajak teman fb baruku, Fahd Razy, “Daerah Kalbu II”, Dewan Sastera, Mac 2012, muka surat 66, menguli-uli hatiku ketika bersendirian. Kuhayati kalimat-kalimatnya dan ternyata apa yang beliau tuangkan itu berjalin makna, seperti yang kurasakan pagi tadi!
Hakikat yang dimaksudkan kuyakini banyak dialami oleh kebanyakan manusia. Apalagi yang telah meningkat tangga pendakian, yang telah merasai asam garam, pahit maung dan manis lazatnya kehidupan. Mereka adalah orang baik-baik pada mata dunia. Mereka menjalani hidup dalam kesedaran berpindah pergi ke alam lain, tetapi dengan persediaan yang biasa-biasa sahaja; mendirikan Rukun Iman dan Rukun Islam seadanya, bak pernah jua dilakukan oleh nenek moyang semenjak berabad-abad lalu tanpa banyak berubah ke tahap yang lebih maju. Kerana itu aku sependapat dengan Fahd, “betapa perahuku digelut/sarap duniawi yang berkemelut.” Inilah yang sukar diatasi, sedang sanubari menyedari dan tidak sangsi, ketipisan taqwa telah melekakan, memaut agar tidak berhenti mengasihi duniawi, dan menangguh-nangguhkan niat murni kembali mengadap Ilahi dengan sikap berani seorang hamba yang benar-benar mematuhi perintah. Sedang dosa tetap kian bertambah, membendung kecenderungan beribadat dan memasungkan kudrat mengangkat segala amalan kebaikan yang diniat-niatkan.
Ya, bukan mudah melaksana atau mengamalkan berbanding dengan meluahkan hasrat dengan ketaqwaan terbebat oleh ujian yang di luar darjah ibadat seharian. Semoga mampuku terus berbuat tepat selagi ada hayat, insya-Allah.