Pantulan D/03/26/2016: Perimbangan
Aku pilih satu kalimat, “Bumi semakin sakit” olahan Solihin Osman, melalui sajak beliau, “Apa Khabar Bumiku”, (Sejambak Puisi), Seni dan Budaya, Utusan Melayu Mingguan, 17-23 April 2005, muka 30 untuk merembaskan isu yang dicerakinkan penyair lantaran melihat “kerakusan budi/dan kejelekan budaya” sehingga manusia bertindak honar sampai berderu-derulah bala bencana menimpa alam tempat bersuaka. Secara khusus aku yakin, karya ini terhasil ekoran tuangan minda beliau mencernakan kesan tragedi tsunami yang amat dahsyat itu, yang berlaku sekitar tarikh pengkaryaan. Kata Solihin, “Ia datang lagi/kekuatan dari bawah kaki/lalu mengajak angin dan air/membasuh luka hidup/…”
Solihin mengakui sesuatu kejadian yang berlaku ada maknanya. Hanya tiada seorang pun mengetahui erti yang sebenar-benarnya di sebalik setiap kejadian. “Ia membawa berjuta persoalan untuk ditafsirkan.” Dengan ilmu dan ketajaman jentera fikir masing-masinglah baru iktibar atau teladan menyerlahkan faedah-faedah sebenar.
Tetapi di kalangan penganut teguh, takdir adalah dalam kewibawaan Tuhan. Pun, manusia tidak boleh sewenang-wenang bertindak jahil, mengetepikan sebab-akibat terjadi peristiwa. Akal yang dimiliki seharusnya memandu mereka agar tidak berleluasa memenuhi selera yang tidak lain akan berakhir dengan kecelakaan, jauh dari memakmurkan. Ada mesej oleh karyawan, bahawa bumi ini boleh menjadi tempat yang membuka peluang dan kesempatan untuk manusia sentiasa membangunkan ketamadunan, yang menafikan sebarang unsur kehaiwanan. “Jiwa yang tenat dengan duniawi” ternyata tertutup perasaannya terhadap ukhrawi. Maka, mustahillah akan terbit satu pendekatan yang seimbang dalam menangani persoalan yang muncul sepanjang kembara berona sementara.