Thursday 8 May 2014

Pantulan 36/14, sajak Rudi Mahmood, "Ceritera Kota Purba"

Pantulan 36/14

“Sajak” tidak bijak dielak atau dianjak bila terserempak. Jadi, apabila mendepani, telitilah dan nikmati (semoga!). Begitulah karya Rudi Mahmood , “Ceritera Kota Purba”, Mastika, Oktober 1980, muka surat 51. Tumpuan beliau tidaklah asing sangat. Riwayat terakam dalam Hikayat Hang Tuah sudah memberi pelbagai ilham dan sumbangan kepada para penelaah. Ada orang menjadikan sumber memperoleh ijazah. Ada yang mereka-reka drama dengan tafsiran sendiri-sendiri dan banyak pula yang bersajak dan menempa nama pula kerana menyerlahkan keaslian sanubari dan akal bestari. Kalau kehebatan karya klasik itu berhasil pula memerah minda para karyawan alangkah bertuahnya khalayak dapat menumpang meneguk kepuasan. Dan Rudi mengembalikan ingatan kita tentang Melaka. Ada sebutan tentang “bendahara”, “syahbandar”, “biduanda”, “dang wangi”, “empayar”, “soldadu”, “raja”, “istana”…. Ada pertanyaan, “bagaimanakah duka si jebat”; ada pernyataan “…kedukaan abadi si biduanda.” Aku sukakan, “… betapakah dang wangi itu/tertidur dalam mutiara cemburu/igauannya menitip dada si Jebat/dengan darah Melayu; …” Tidak pula hendak aku menggali, lebih-lebih lagi kalimat terakhirnya, “bangsa tak pernah runtuh”.

ASKAT: Aku sebenarnya tidak suka menyekat imaginasi dan tafsiran seseorang terhadap bahan-bahan dari sumber yang dijadikan asas menggubah ciptaan. Kalau hendak tahu perihalan, sumber asal tidak pernah menolak sesiapa melakukan rujukan. Dan pilihlah pendirian, tafsirlah berlasan. Tetapi mestikah apa yang dibaca, dituang tanpa sedikitpun perubahan atau seharusnya sedemikian berlainan? Hakikatnya, atau bukan lagi khayalan kini, Hang Tuah dan Hang Jebat akan tetap mengombakkan pemikiran, mencetuskan pengkajian demi pengkajian. Dan, keperwiraan dan perjuangan kedua-dua tidak pernah ada permuafakatan sanjungan kerana setiap pihak tidak pernah boleh sekata dari sudut pandangan, apalagi jika dicampuradukkan perbezaan zaman. Rudi telah mencantikkan latar serentak mempengaruhi perasaan dengan mengaitkan karya asal dengan selampit, tok bageh yang masih bercerita dan berdoa, lantas merumitkan pemahaman. Tapi masihkah ada menonton dan bersedia melayani seniman tradisi sampai jauh-jauh malam atau biarlah mereka ditelan peredaran?
 — at Mastika, Oktober 1980.

Pantulan 35/14, sajak Norhisha Mustafa, "Keberangkatan"

Pantulan 35/14

Tokoh gigih ini muncul mendahului, menyinari laluan pengamatan bahan-bahan koleksiku, berupa sajak berinti murni, “Keberangkatan”, Utusan Kiblat, Mei 1982, muka surat 9, mencungkil kisah-kisah al-Quran yang penuh berperistiwa, menyentuh jiwa, sampai bebila. Cerita-cerita kemungkaran manusia dan keyakinan mereka boleh terselamat dari bala Yang Maha Berkuasa, merapuh seperti kaca akhirnya. Demikian lama telah terjadi dan sudah abadi dalam Kitab Suci, siapapun yang mengingkari akan tetap menerima padah teramat ngeri. Dan alangkah berfaedah membaca sejarah kerana ternyata, “benarlah manusia, kebaikan bukanlah ajakan yang memikat/kebenaran telah mereka luputkan/memuja mungkar itu lebih nikmat”. Sedutan ini merangkumi pemikiran Norhisham Mustafa dan sekali gus memberi bakti. Kita seharusnya mensyukuri.

ASKAT: Anehkah, sampai sekarang pun, kemungkaran tetap berlaku? Dan yang malangnya, demikian berterusan berlaku dalam keadaan kita sudah tahu, sering pula diberitahu, berulang-ulang akibat-akibatnya yang bakal menimpa, sebagai balasan kerana tidak taat mematuhi suruhan. Ya, lebih ramai yang lebih suka memilih larangan. Sedangkan, yang kita tahu, kesementaraan tiada sama dengan keabadian; hakikatnya nafas kita akan terputus lupus. Tetapi kita bakal bangkit lagi, tidak mati, tidak boleh lari bersembunyi. Hari Pembalasan benar ada. Dalam al-Fatihah, banyak sekali kita ulangi menyebutnya!
 — at Utusan Kiblat, Mei 1982

Pantulan 34/14, sajak Norhisha Mustafa, "Peribadi 14"

Pantulan 34/14

Tanpa teratur susunan kedatangannya, muncul ke mari ia hari ini. Ya! Sajak memuati ruangan “Getaran Sukma” oleh karyawan waja Norhisham Mustafa,“Peribadi 14”, Pengasuh, bilangan 462, September/Oktober 1981, muka surat 41 menggamit rasaku agar mengingati keagungan Ilahi dalam keadaan diri sendiri yang jauh dari bersedia rapi mengabdi. Pengakuan jujur insan yang membongkar diri, “getir seorang pengecut, kerdil seorang penakut”. Dalam bersujud terasa masih tetap tergoda dengan cabaran-cabaran, dilanda kelemahan milik hamba yang sedang kembara menuju pengakhiran. Begitu pun memang tak perlu dibimbangkan kerana pada hakikatnya, teman kita ini sentiasa “…akur/pasrah dan syukur!”

ASKAT: Bukanlah pelik seseorang yang ingin melengkapkan diri dengan kewajipan yang perlu selaku insan soleh/solehan menghadapi rintangan-rintangan dalam meneruskan langkahan di landasan yang lurus, sepanjang-panjang perjalanan. Pasang surut tingkat iman demikian sukar ditentukan lantaran ada dua aspek yang sentiasa datang mendepani – berupa kebaikan dan kemungkaran. Beruntunglah kalau didikan yang diperolehi, ilmu yang dituntut, pemikiran yang dicerna, pergaulan yang memanfaati, iman yang dapat dibina dan diserapi, amalan murni yang berterusan meningkat menjadi faktor-faktor yang bakal membantu cerahnya jalan melangkah pulang. Semoga amalan kita subur sejajar dengan niat yang luhur.
 — at Pengasuh, September/Oktober 1981.

Pantulan 33/34, sajak Zaen Kasturi, "MONOLOG 'I'

Pantulan 33/14

Dalam “Daiges Malaysia”, Februari 1986, muka surat 47, muncul sajak teman fbku yang lama tak dirai, Zaen Kasturi, “Monolog ‘I’. Kutahankan diri dari memetik, ringkasnya sudah cantik, membacanya di hati terdetik dan asyik. Begitulah, kalau tema yang digarap, pembacapun boleh seiring menyerap dan berhasrat menggilap mana yang berkarat. Apapun, aku tertawan oleh, “bilakah bahteramu akan kembali”. Pengharapan tahap maksimum, bergantung kepada inisiatif diri sendiri.

ASKAT: Ada kemerosotan pegangan setelah lama tanpa penghayatan. Ada keperluan memperbaharui, dan hakikat kerap terbukti bahawa iman ada pasang surutnya. Pengukuhan bukannya mudah tetapi tekad baru harus ditanam dan dibajai supaya pengakhirannya adalah yang diredhai.
 — at Daiges Malaysia, Februari 1986.