Tuesday 5 January 2016

Pantulan A/01/5/2016: Sajak Wan A. Rafar, “Sajak Sepasang Selipar”

Pantulan A/01/5/2016: Mengukur batasan
Membelek semula majalah yang setahun dibelek tertarik pula untuk mencungkil falsafah yang terselit dalam kebiasaan harian yang tidaklah sangat pelik. Tetapi “Sajak Sepasang Selipar”, Dewan Sastera, Jun 2006, muka surat 16, memberi ilham kepada WanRafar Ishak (Wan A. Rafar), untuk menganalisis kehidupan dengan ketajaman yang mecurahkan faedah kepada manusia. Ada persoalan kesetiaan yang berterusan, keselesaan, kebaktian, kesesuaian, kekhusyukan beribadat, mutu, kejanggalan dan kehormatan.
Ini sajak ‘kecil’ satu baris maksimum tiga patah perkataan dan banyak juga yang sepatah perkataan sahaja. Strukturnya walaupun empat rangkap semuanya berjumlah 26 baris yang segera dapat diberes. Karya ini kalau dibaca secara prosaik, terasa demikian pada rangkap keempat tetapi kian puitik pada rangkap-rangkap yang lain, dengan rangkap pertama paling puitik diikuti rangkap kedua.
Yang menarik dibicarakan ialah bagaimana Wan mengolah semua perkara besar itu dalam ekonomi kata-kata. Dalam sebutan lain, sajak ini berupaya membesar menjadi berkajang-kajang pemerihalan. Kalau kesetiaan menjadi pokok bicara, dicirikan kesetiaan itu dengan kekerapan, keseringan, keselaluan, ke”sentiasa”an hadir, wujud, ada bila-bila masa diperlukan perkhidmatannya (sepasang selipar). Dari segi penggunaannya, begitu mudah kaedahnya, hanya dengan “kuseret” berbanding kalau memakai “sepatu” yang tidak boleh dibuat begitu!. Dan kebobrokan dalam masyarakat, bahkan dalam bidang peribadatan diserlahkan dengan mengakui kepraktikalan menggunakan “selipar” ketika pergi ke masjid beribadat. Sudah menjadi pengetahuan umum, bahawa jenayah atau kecurian berlaku di masjid tetapi “selipar” sangat menakjubkan telah mententeramkan pemiliknya, “khusyuk” menyembah Tuhan, tiada kebimbangan ia hilang dicuri, tidak memberi kesan bererti kerana “harga”nya rendah. Kehormatan diri menutup pemerian kegunaan selipar oleh Wan. Bahawa bijaksana memahami ada kekurangan nyata yang diakui iaitu selipar bukan sebahagian pakaian rasmi kerana dalam upacara atau majlis yang berprestij pemiliknya dikira tidak beradab jika menggunakan selipar sebagai ‘teman’ menghadirkan diri.
Maka sebenarnya dalam kehidupan ini ada tempat yang berpadanan untuk sesuatu dan semua. Demi kelangsungan kehidupan bermakna, manusia seharusnya mampu menilai kesesuaian dengan tidak mengabaikan kekuatan dan kelemahan setiap suatu menggunakan budibicara akal anugerah-Nya.

Pantulan F/01/4/2016: Sajak M. Ashikin, “Memohonlah Selalu”

Pantulan F/01/4/2016: Mengenang jasa
Bukan senang memudahkan ciptaan seni sambil mengekalkan ciri-ciri kesenian itu!
Sajak M. Ashikin, [Mohd Mansor Abdullah], “Memohonlah Selalu”, Dewan Sastera, Mei 2009, muka surat 58, haruslah dibaca lantaran seruan luhur agar kita tidak melupakan Allah kerana “Dia ada memiliki”. Dalam pada itu terbayang pula visi “mama” sendiri sebagai seorang manusia yang berpekerti misali. Temanku ini amat menyanjungi “mama” yang tidak putus-putus berpesan kepada beliau supaya berhenti meminta “jika kau sudah miliki”. Aku mencatat, bahawa peribadi yang dikehendaki ibu ialah, jangan tamak, reda dengan ketentuan, “bertawaduk dan merendah diri” dan gigih. Yang terkesan ada dua watak menyerlah, seorang ibu yang penuh bertanggungjawab mendidik puteranya tanpa henti-henti agar ber“budi pekerti” dan seorang anak yang begitu menghormati ibunya dengan merakamkan proses pendidikan itu melalui sajak ini (dan tentulah mengamalkannya).
Aku sukakan sajak yang ada menyampaikan amanat apalagi secara yang berhikmah sesuai dengan ciri-cirinya genrenya. Yang sedikit sukar ialah bagaimana hendak mengadunkan keindahan penyampaian agar sesebuah sajak itu benar-benar berseni. Tetapi meneliti susunan kalimat, pendek panjangnya, perangkapan, rima, dan nada lembut tetapi tegas yang dipilih, terbukti penyajak ini telah mengambil kira semua sekali sampai tergubah karya tanpa membuka tanggapan menciptanya senang dan sewenang-wenang!
Maka, sajak-sajak begini terkategori bererti, berlandaskan niat suci. Kenapa tidak ? Dengan sekali baca, semua nilai yang tertera terus menjelira ke minda lalu mengingat dan menginsafkan diri apalagi mereka yang telah lupa diri. Di sebalik kejelasan makna, ia tidak pula bakal segera lesap menyepi kalau kita bersedia mencari lebih banyak maksud tersembunyi. Kita boleh sahaja membezakan hamba dan Tuannya, dan bagaimana seseorang hamba seharusnya mengakui keterbatasan kudrat sendiri. Pun hakikat demikian tidak sewajarnya melumpuhkan diri daripada terus berikhtiar sebelum bertawakal dengan keyakinan “Allah maha pemberi lagi mengasihani.” Juga, bahawa dalam dunia ini, kemesraan dan hubungan rapat dalam masyarakat tidak harus diketepikan, misalnya dengan bersikap tidak mengekang sifat tamak peribadi yang mampu mencetuskan kerenggangan dan perselisihan sesama sendiri.
Kuakui, aku tidaklah terlalu asing mengalami sendiri apa yang dipuisikan, walaupun ternyata ada sedikit kelainan dalam pendekatan dan pengalaman khususnya mengenai kaedah penerapan amanat atau perutusan berkenaan. Semoga aku pun terlorong ke jalan yang dirahmati-Nya.

Pantulan E/03/3/2016: Sajak Solihin Osman, “Aku Penenun Waktu (Selamat Tahun Baru 2007)”

Pantulan E/03/3/2016: Menyulam azam
Barangkali belum terlewat untuk menyiarkan hari ini sesuatu yang lazim direnung setiap tiba tahun baru.
Saya pernah memantul , “Dialog Kendiri Musim Baru (Selamat Tahun Baru 2004)”, Dewan Sastera, Januari 2004, muka surat 36. Dan saya melewati “Puisi Untuk Esok” (Selamat Tahun Baru 2006), Dewan Sastera, Januari 2006, muka surat 50 dan hari ini melalui “Aku Penenun Waktu (Selamat Tahun Baru 2007)”, Dewan Sastera, Januari 2007, muka surat 33. Mungkin akan saya serempaki sajak-sajak teman yang prolifik ini, Solihin Osman, bertema sama dalam belekan yang akan datang. Tetapi, secara rambang kupetik,”Apakah itu nasib?” (2006) atau “sesekali menoleh ke belakang/ada referensi senyuman dan tangisan” (2007), yang membantu kita merumuskan: bahawa waktu yang berlalu tidak pergi begitu sahaja kerana orang yang berminda menimba hikmah dari rebah bangun perjalanan hidup memanfaatkannya demi kelangsungan kembara seterusnya. Itulah pendirian yang bakal melimpahkan tuah atau lebih menghasilkan faedah.
Tidak pula aku ingin berpanjangan dengan gaya bahasa, misalnya metafora yang berceretetan sekujur rangkap. Cukuplah mengakui frasa “penenun waktu”, pada judulnya menunjukkan kekreatifan kerana memang lakuan dan minda penenun penuh tertib lagi berimaginasi. Dia ada bahan-bahan yang mencukupi, ada ketekunan, ada kemahiran menjalin, ada keselarasan tindakan, ada peringkat-peringkat kemajuan, matlamat akhir, ada produk yang sempurna! Ada khalayak yang memperolehi faedah!
Kita yang berminda bernyala mutiara, melarik citra dari liku-liku perjalanan yang bercampur tahap pencapaian. Dalam menuju ke depan, beberapa syarat wajar diingati. Pada masa yang berlalu adakah kita berjaya dan menjadi rutinlah penerusan semasa dan ke muka. Kegagalan tentu oleh sebab terganggu, kurang menumpu, kecundang oleh dugaan, dangkal ilmu, atau bersikap asal cukup makan. Kita boleh terus berpuas hati dengan kedudukan atau mendongak serta bertekad, jadikan mereka yang di atas teladan agar menyemarakkan semangat juang. Pengalaman boleh membenihkan petua dan formula. Dengan kehendak Allah, kita bakal lebih berwibawa dan paling di hadapan memimpin pasukan. Mencitra niat harus berdasarkan realiti. Keupayaan jangan diketepikan. Jika tidak, cita-cita boleh bertukar rupa semacam angan-angan. Sungguh malang! Walaupun kita ada, seperti tiada di mata khalayak lantaran hari-hari yang berlalu, sekarang dan yang mendatang tidak sedikit pun mengilhamkan penambahbaikan. Azam tahun baru, sesiapa pun, lazimnya serupa. Pendekatan bergelumang kamilan suka duka, senang susah di medan juang dari bulan ke bulan membezakan pencapaian – gagal atau handal.

Pantulan E/02/2/2016: Sajak Hilmi Rindu, “Cerita Sepasang Kasut”

Pantulan E/02/2/2016: Melangkah bermakna
Bagi orang dewasa, pengalaman telah sewajarnya memberi teladan atau iktibar demi berada pada tahap yang ada sekarang (dan masa depan). Di kalangan remaja, kesedaran tentang faedah menggurui pengalaman seharusnya diberi penekanan kerana pertimbangan tanpa pengalaman bakal menghasilkan pembuatan keputusan atau pemilihan pendirian yang kurang mantap bahkan merugikan. Maka kukira, Hilmi Rindu (Mohd Abdullah) melalui sajak beliau “Cerita Sepasang Kasut”, Dewan Sastera, Mac 2002, muka surat 89, telah mengajar (memperingatkan) manusia agar tidak mengetepikan segala yang mereka lalui dalam kehidupan ini. Yang baiknya, pengajaran itu bukan dituangkan ke minda sebaliknya dipaparkan untuk dikunyah sendiri, jika sudi. Pendekatan yang diambil Hilmi kukira bestari, membiarkan pembaca mencungkil dan memamah apa sahaja faedah daripadanya!
Dalam tiga rangkap yang pendek/sederhana panjang, dimulai puisi menarik ini dengan “Pengalaman lebih berharga” (rangkap pertama) dan “Pengalaman tidak pernah bersisa” (rangkap ketiga). Semua kalimat yang lain adalah peneguhan kepada pengakuan/penyataan tersebut. Dan yang bermanfaatnya ialah pembangkitan kesedaran kepada pembaca bahawa hidup yang dijalani ini ada pelbagai pancaroba. Ada pula surut pasangnya. Maka yang dituntut ialah kegigihan mendepani dan keredaan menerima segala rupa nasib (pasrah), tentulah termasuk yang malang.
Sebagai pencari keindahan, “pecahan kerikil”, “lumpuran rumput”, “mengutip kecaian hujan” sewajarnya memadai dalam sebuah sajak sependek ini. Tidak wajar dilebih-lebihkan sangat frasa-frasa bergaya sampai ‘lejuh’. Asalkan, dilenggokkan pula dengan alunan kalimat-kalimat yang tergembleng menyeluruhi puisi maka menjadilah ia sebuah gubahan yang berjaya.
Lalu, ternyata untuk mencipta sajak kita tidak semestinya merangka bentuk yang kelihatan rumit dan bermuatan objek ‘besar’. Sesebuah sajak boleh bersifat pendek, telus tetapi berisi dan boleh dikembangkan ke skala panjang. Inilah contoh berkreatif; betapa perkara rutin harian yang mudah terlepas pandang (seperti berkasut dan yang seumpamanya) sebenarnya berharga direnung dengan cara yang dipermudahkan melalui pemilihan diksi dan pengungkapan kalimat-kalimat dipandu oleh matlamat melarik kesenian dalam gumpalan ciptaan terakhirnya telah menyerlahkan sebuah lagi sajak yang bermakna.

Pantulan E/01/1/2016: Sajak Siti Zainon Ismail, “Nisan luka”

Pantulan E/01/1/2016: Menarah sejarah
Ada sajak lain telah kuselesai memantulnya dan sewajarnya didahulukan pemaparannya. Oleh sebab-sebab ‘teknikal’ sajak berkenaan kusimpan dahulu. Maka, sebagai membuka pantulan 2016, kupilih sajak Profesor Dr. Siti Zainon Ismail, “Nisan luka”, Dewan Sastera, Mac 2002, muka surat 88. Sajak ini menghiris.
Dari segi suasana, terakam gambaran yang tidak bermaya lagi melumpuhkan di persada negara. Dari segi watak-watak, menyerlah semuanya yang telah menjadi “arwah”. Tetapi yang sangat-sangat menggangguku ialah menonton “Kitab sejarah telah dibakar”, langsung memaparkan keterbiaran akan perkara-perkara asasi yang membangunkan mercu tanda, jati diri, tugu atau bukti-bukti kebaktian para pejuang masa silam, sedangkan merekalah yang merealisasikan cita-cita bernegara. Bahawa pengorbanan (darah, penderitaan) rupa-rupanya bukanlah sentiasa dihargai walaupun hasil perjuangan itu dinikmati oleh anak cucu mereka. Maka, kalau begitu di manakah harus kita meluahkan perasaan akan ketidakberhutangan budi/bakti/jasa para pewaris yang memalu serentak memilukan itu? Setiap orang tentu boleh memberi pandangan masing-masing. Tetapi untuk meletakkan simbol dan penghargaan setimpal kepada para pejuang terhadap satu bentuk sumbangan abadi mereka kepada tanah air, tentulah pihak yang berwibawa atau berwewenang terpikul tanggungjawabnya. Apabila tanggungjawab ini diabaikan, maka tiadalah lagi pihak lain boleh dan mampu mengambil alih, kerana keterbatasan yang nyata. Bukankah demikian mewajarkan kita mengisytiharkan ini sebagai suatu tragedi? Suatu kegagalan akibat kejahilan lantaran tertutup minda terhadap sejarah perjuangan mengangkat martabat bangsa menjadi kembali bermaruah!
Sajak ini pendek. Tetapi pendek yang menyenangkan. Sebabnya, setiap baris daripada 14 barisnya puitik belaka tambah lagi judulnya, menjadi 15 baris. Bacalah pula sendiri! Kemudian, rangkap pertama mencengkam rasa. Dalam kepayahan mengalami, masih mampu “mengutip pesan para arwah”. Titik rasaku, lagi-lagi tertinju oleh “Setelah surau semakin sepi/Tambak kering/Panen udang tidak menjadi.”
Aku lagi mahu memetik, tetapi kerana kependekannya bimbang nanti semuanya diulang-ulang sedangkan teksnya juga kupamerkan terang-terangan!
Tetapi, ya, sajak ini boleh berhenti dengan serangkap itu. Perutusan Siti tentang episod malang itu tetap tertanam jua. Bertuah aku, kerana tambahan serangkap tiga baris itu telah menyempurnakan riwayat menyayat ini dengan pemerian berharapan terlampau menggetirkan. (Aku teringat terserempak dengan nama “Mardhiah” dalam Siti Zainon Ismail, “Perjalanan Gelumbang Rayeuk”, Dewan Sastera, Julai 2005, muka surat 84-85 (tentang Tsunami). Ada tertulis “Mardhiah, si kecilku yang setia menunggu di teduh pohon kekuda di pantai Lamgha!”
Ah! Kalaulah setiap hari terbelek sajak-sajak begini alangkah bererti meneliti puisi!
(NOTA: Ruangan “Puisi Bulan Ini”, Dewan Sastera, Mac 2002 memuatkan 16 buah sajak. Ada ulasan ringkas, seperenggan empat ayat, terhadap sajak “Nisan luka” oleh Zurinah Hassan, “Perjalanan Mencari Kebenaran (Analisis Puisi Dewan Sastera, Mac 2002)”, Dewan Sastera, April 2002, muka surat 73-75.)