Wednesday 30 December 2015

Pantulan 83/15: Sajak Solihin Osman, “Kelambu Usia”

Pantulan 83/15: Menjana kurnia
Melintasi sajak Solihin Osman, “Kelambu Usia”, Dewan Sastera, Julai 2009, muka surat 66. (Termuat juga dalam Kumpulan Puisi “Gelombang Diri”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2015, muka surat 61).
“Kelambu usia …/semakin kelabu diwarnakan kehidupan/ada tompok hitam tertulis/ingatan dari langit cinta.” Dan “Yang direndam hanyalah kelambu usia/ke kolam keinsafan///untuk esok yang menanti/sebuah anugerah fitrah”. Ini sajak yang sarat dengan personifikasi dan metafora dari awal hingga akhir. Pun, setiap satu tidak gelap untuk digarap.
Sudah ghalib, orang terlajak bertindak sehingga timbul penyesalan. Baiknya, ketika sedang muda, sihat sejahtera, kita berhenti berterusan keliru, berfikir secukup waktu dan kembali memilih jalan yang dianjurkan-Nya. Dan Solihin Osman amat yakin inilah pendekatan yang betul. Dengan melihat diri sendiri, merenung prestasi hingga terkini, tidak boleh tidak terlorong arah tuju yang tidak menyesatkan.
Perjalanan hidup seseorang lazimnya berpadanan dengan tuntutan keperluan peribadinya. Agama memberi panduan yang terang, agar bertaqwa, apalagi apabila terlanjur, segera berpaling ketika sedang atau masih diberi kesempatan. Kalau kehidupan diambil sebagai perbandingan, maka ada peringkat-peringkat yang harus dilalui oleh setiap insan - bayi, kanak-kanak, remaja, dewasa, dan tua. Adalah bertuah sekiranya dalam melangkah takah-takah usia itu, seseorang melepasi ujian dengan mendapat pangkat lulus atau lebih baik lagi, kepujian bahkan terbaik pada tingkat cemerlang. Tetapi, latar belakang yang berbeza, memberikan cabaran dan kemampuan yang berbeza pula. Sebahagian gagal awal dan terus kecundang sepanjang hayat. Ada pula yang rebah, bangun, rebah lagi tetapi bangun semula dan akhirnya mencapai apa yang dicari-cari dalam hidup ini. Begitu juga, ada yang lama teruji sebelum sampai ke puncak sedangkan ada yang tidak sangat terdesak (dengan mudahnya) dan masih tetap mengecap nikmat duniawi. Barangkali, yang seharusnya paling kurang diharapi, pengakhiran yang merugi. Semua orang ada peluang mencapai kejayaan, asal tetap gigih dan terarah menuju destinasi. Tidak rugi kalau kita awal-awal lagi menyematkan dalam hati bahawa kita makhluk yang terpuji ciptaan Ilahi dan kerana itu tidak boleh sama sekali mencemarkan status murni itu dengan berbuat dosa dan kemungkaran. Yang mengotorkan usia atau mencorengkan riwayat kita ialah kejahilan peribadi yang menguja ke arah penderhakaan sehingga menyeleweng dari jalan kesempurnaan.
Bersyukur kita terhadap anugerah dan tanda yang sewajarnya menggambarkan kesyukuran itu ialah dengan menjadikan diri seorang insan misali. Tentunya ada pelan tindakan agar niat menjadi.

Pantulan 82/15: Sajak Malim Ghozali Pk, "Merah Derita Senja Ketika Tiba Wira"

Pantulan 82/15: Lakonan kelabu
Ada puisi perlu dibayar harga tinggi menghayati. Malangnya puisi demikian tidak pula boleh ditolak ke tepi. Dan yang satu ini oleh Malim Ghozali Pk termasuk sekali. ("Merah Derita Senja Ketika Tiba Wira", Dewan Sastera, September 2008, muka surat 87). Ada sajak bukan hanya untuk orang bijak (mengagak). Sesiapa yang ingin keindahan susunan bahasa boleh juga membaca sambil bercanda tanpa dicuba menggali makna. Dan bagi penikmat, inilah kaedah bestari. Biarkan sajak-sajak begini muncul dan lestari kerana tidak dimengerti maksud asli. Sebab masa, bak wang, sering dimiliki, walau dalam kekurangan, sentiasa tidak memberi ruang berhamparan untuk perahan minda waktu senggang. Namun, baca boleh berulang-ulang. Seharusnya tidak mudah berundur akur.
“Merah derita senja disapa kelam kolam”, “Merah derita senja terbenam di perut malam” adalah pembuka dan penutup yang seimbang. Dan alam telah mengilhamkan, mewarnakan latar perlakuan. Ada “wira berbakat besar”, yang tiba ketika “Merah derita senja terbenam di perut malam” tetapi jangan lupa “seri panggung sudah lama beradu”. Maka kalau pun pentas tetap bersedia menerima pelakon handalannya, tanpa prasyarat, segala-galanya akan sesia. Ya, sia-sia. Tidak syak lagi. Barangkali demikian satu versi reaksi. Pun sajak harus berfungsi, menggamit, mengikat, kerana berseri, tersendiri, memercikkan versi-versi tafsiran sipi lain-lain lagi!

Pantulan 81/15: Sajak Zulkifli Salleh, “Senja di Kuta”

Pantulan 81/15: Menyulam pesona
Lebih 7 tahun yang lalu, penulis prolifik, Zulkifli Salleh terpesona bersenja ketika “suria kian terbenam” di Kuta. Begitu hidup suasana kota Kuta pada saat “senja berlabuh”, dengan pelbagai kegiatan manusiawi. Peristiwa itu kuketahui, kerana terserempak dengan sajak beliau, “Senja di Kuta”, Dewan Sastera, September 2008, muka surat 88. Dalam 8 rangkap, Zul merakamkan kesan dan pemerhatian beliau ketika berada di tempat tumpuan manusia berwisata itu. Yang sangat terkesan padaku ialah kata-kata puitika Zul, di rangkap akhir, sebahagian paling berharga, “Di Kuta/tradisi dan kosmopolitan tersulam indah/terukir kemekaran budaya/kesatuan dalam kepelbagaian”.
Inilah yang kita mahukan. Pembangunan yang melestarikan alam agar manusia beroleh pulangan agam! Betapa kemakmuran yang kita miliki, seharusnya tetap memberi kesempatan untuk kita menikmati keindahan dan manfaat terbaik ketika kita berkunjung ke atau di mana-mana. Lalu tertanya-tanyalah aku: Adakah sekarang, kalau pantai yang kita jadikan asas penilaian, ‘sulaman’ yang Zul katakan itu terserlah, di Pulau Pinang, Port Dickson, Kuala Terengganu, dan lain-lain bandar/destinasi pelancongan yang utama? Sedikit beralih lokasi, aku pernah berada di beberapa lokasi taman negara di negara ini, tetapi sulaman yang Zul senangi itu tidaklah muncul menjolok untuk dibanggakan! Paling boleh kuberitahu ialah kepuasan yang tak terceritakan melihat mentari luruh ke samudera jauh ketika suatu senja berada di Tanjung Piai. Betapa sekali lagi hendak ke sana menontonnya semula!

Pantulan 80/15: Sajak (Mohd Abdullah) Hilmi Rindu lewat “Di Kedai Cincin”,

Pantulan 80/15: Kuman di saujana pandangan
Perhiasan diri yang dipakai untuk tempoh yang sekian lama, apalagi masih tetap begitu berseri-seri, bahkan sampai kini sedang dipakai menghiasi, seharusnya disayangi dan dibelai. Mata jangan kabur oleh gangguan kemilau perhiasan yang sama bukan kepunyaan sendiri, walaupun memang menggoda dan mampu dibeli. Begitulah secara langsung pintalan berharga (Mohd Abdullah) Hilmi Rindu lewat “Di Kedai Cincin”, Dewan Sastera, Jun 2009, muka surat 37.
Yang biasa berlaku, kita mudah terlepas pandang hak milik sendiri yang oleh kebiasaan penggunaannya cenderung mengabui hakikat ketulenan mutunya, walaupun kemilaunya gemerlapan, bahkan boleh jadi lebih mengatasi, berbanding yang kita sedang tenang-tenangi. Maka kukira satu kebetulan yang bererti pada usia senja begini temanku menyerlahkan fikir mindanya secara yang berdiplomasi lagi santun sekali. Banyak perumpamaan orang tua-tua boleh jadi teladan atau iktibar melangkah ke depan. Jangan pula tak kita endahkan!

Pantulan 78/15: Sajak Rudi Mahmood, “Kulihat Rumahmu, Kulihat Tangga Terakhir”

Pantulan 78/15: Menghormati Rudi
Di antara tujuh buah sajak karya Rudi Mahmood, yang tersiar sempena penobatan beliau sebagai “Karyawan Bulan Ini”, Dewan Sastera, Disember 2015, kupilih “Kulihat Rumahmu, Kulihat Tangga Terakhir”, muka surat 21, kerana ia tercipta paling awal, serasi dengan pendekatan pentelaahan harianku, meneliti yang bahari. Dan ini tidak lain untuk menghormati penemuan semula dan pengiktirafan terhadap penyair berbakat besar ini. Pun tak pula mahu aku mengerti setiap patah kata-kata beliau, walaupun setiap satunya tercanai indah lagi mengaduni keseluruhannya. Hanya kalau dipetik seuntai, “di belakangku,/pohon dan perbukitan/semakin mengecil”, lebih dari mencukupi untuk memantul sesuatu yang bererti dalam pengembaraan hidup ini.
Betapalah bertuahnya kita dipanjangkan usia demi menjalani ujian Tuhan. Dengan akal, kita sudah diberi upaya untuk menentukan haluan yang pada akhirnya menjuruskan kita ke pelabuhan. Sangat merugi kalau dengan anugerah itu kita tidak meninggalkan jejak-jejak bertapak bakal disusuli atau dikenang abadi. Berjuta-jutaan manusia telah pernah mendatangi bumi, tetapi hanya segelintir muncul terbilang merentas zaman. Jika kita tidak dapat menjadikan mereka teladan, sewajarnyalah kita boleh dikelompokkan sebagai manusia termalang, hidup seperti layang-layang terputus ikatan. Langkahan kita sentiasa mendekati pelabuhan, dan amatlah bermakna sekiranya dalam menggagahi usia berbaki, jalan lurus yang kita ikuti, bertaburan pula haruman kita limpahkan sehingga orang yang menyusuli bersyukur nyata atau sembunyi-sembunyi menikmati manfaatnya!

Pantulan 79/15 (atau 67a/15): Sajak Solihin Osman, “Sketsa Hayat Kendiri”

Pantulan 79/15 (atau 67a/15): Mencorak Peribadi
Solihin Osman, karyawan prolifik yang baru bersama-samaku hadir di PULARA 6, Pulau Pangkor menjengokku pagi ini dalam rupa sajak berjudul “Sketsa Hayat Kendiri”, Jendela Utara, Ogos 2008, muka surat 30. Jelaslah kebersahajaan beliau seharian bukanlah cerminan prinsip hidup yang dipegangi beliau. Ternyata segala gerak geri, tingkah laku, percakapan, pembawaan adalah hasil dari pemanfaatan daripada pengalaman hidup yang dilalui dan dialami seiring pertambahan usia. Tiada tersesia apapun langkah-langkah menakah usia itu. Semuanya telah memanusiakan beliau seperti tertampil melalui kerjaya dan karya-karya yang mengaliri sungai sastera negara. Bukan pula kedudukan atau tahap masa kini dicapai seperti golekan bola mendatangi. Beliau telah “memijak cabar duri/meredah duga belantara/mengharungi laut gelora”. Setiap sesuatu ditafsir memercikkan baja peribadi.
Aku pun sependapat dengan penyair. Bahawa manusia yang dianugerahi minda seharusnya memaksimumkan ‘harta’ itu untuk menempatkan dirinya pada tempat yang wajar dalam masyarakat dan sejarah. Banyak cerita kejayaan melakar hidup yang boleh diteladani. Dalam semua bidang. Sebagai guru ada tokoh terbilang boleh dicontohi. Sebagai penyair, ada raja penyair boleh diselidiki untuk mengental diri supaya berupaya mencipta puisi-puisi abadi. Kalau semasa hidup kita bertekad untuk berbakti, maka peribadi kita harus terpuji; berilmu, kreatif, disenangi, tidak pernah berhenti berpuisi kerana telah sebati mendagingi dan mendarahi sekujur badani dan rohani. Kala jaga mencipta, kala lena bermimpi sumber inspirasi. Semoga pemerhatian terhadap serba-serbi yang ada di sekitar kita, dengan perahan minda yang ditajami unsur-unsur berfaedah menjelmakan diri kita sebagai insan paling berketrampilan boleh digarap, dengan perkenan Allah. Dengan begitu, nanti tertinggalah sesuatu yang bererti. Kemudian, dalam sejarah manusiawi kita tergolong salah seorang yang terbukti berbakti! Insya-Allah.
(Nota: Aku pernah memantul sajak ini melalui “Pantulan 67/15: Demi kemanusiaan” bertarikh 9 Oktober 2015. Namun, pantulan kali kedua ini adalah dengan gaya yang berlainan. Sebagai satu catatan mengapresiasi karya, elok juga kupamerkan, pantulan kedua ini).

Pantulan 77/15: Sajak Ahmad Sarju, “Anak Zaman Penuh Azam”,

Pantulan 77/15: Dilema?
Salah sebuah buku terbaru tentang Hang Tuah yang kulihat di Ekspo Buku petang tadi berjudul “Hang Tuah Wira Bangsa”. Dan banyak lagi buku lain tentang Hang Tuah kebelakangan ini, seperti Hang Tuah, Catatan Okinawa, Hikayat Hang Tuah yang diselenggarakan oleh Siti Hawa Salleh, semuanya memberi isyarat bahawa Hang Tuah tetap hidup segar dalam minda masyarakat. Kemudian, saya teringat membaca senaskah lama Dewan Masyarakat, yang melaporkan seorang pemimpin besar negara mengatakan, untuk maju pada zaman ini, Hang Tuah dan Hang Jebat tidak sesuai diikuti lagi. Semuanya ini, termasuk pandangan Kassim Ahmad semasa menyiapkan tesisnya dan selepas itu, edisi baru Hikayat Hang Tuah pada tahun-tahun 1960-an, menjadikan seseorang harus berhati-hati untuk memahat pendirian tentang ketokohan dua watak yang tersangat kontroversial ini. Tetapi sudahlah jelas bahawa, penyair Ahmad Sarju, melalui “Anak Zaman Penuh Azam”, Dewan Bahasa, Januari 1968, muka surat 31, telah bertekad untuk mendukung Hang Jebat ketika “Bangun mengusir sipenderhaka”.
Aku kira apa yang wajar dilakukan sebelum menetapkan pendirian ialah memahami situasi dunia ‘perkhidmatan’. Sudah menjadi kemestian bahawa sebagai penjawat seseorang ada sumpah yang mengikat. Dengan sumpah atau ikrar itulah dia memikul tanggungjawab, berbakti dan berjasa. Beliau tidak boleh ingkar daripada melaksanakan perintah jika itulah yang menjadi keutamaan, yang menentukan kelangsungan organisasi yang didokongi. Memanglah ada pembenturan antara peribadi dengan organisasi dalam setengah-setengah kerja yang diserahkan. Tetapi organisasi yang baik ada kod-kod etikanya. Apabila kedudukan perintah atau tanggungjawab yang perlu dilaksanakan itu tidak sama sekali bertentangan dengan kod organisasi yang mengikat para warganya maka hilanglah asas untuk tidak mematuhi. Dalam keadaan demikian, individu yang tidak bersedia mengorbankan pendirian peribadi hendaklah berundur secara yang wajar. Sambil dia tidak bersedia menyokong pendirian pihak lain, tentulah pada masa yang sama, pihak yang lain itu, tidak semestinya sependapat dengannya. Masing-masing ada asas-asas yang kuat untuk tidak mengalih prinsip yang dipegang. Dalam situasi serba salah, ‘ditelan mati emak, diluah mati bapa” tentulah ada kaedah penyelesaian yang terbaik. Dan, penyelesaian itu adalah yang kena pada tempatnya.
Dalam perjuangan yang bermatlamat mencapai kesejahteraan ramai adalah wajar jika suara ramai menduduki tempat terunggul. Maknanya, asalkan perjuangan adalah berasaskan kebenaran yang mendapat dokongan paling ramai, kelompok yang lebih kecil seharusnya akur. Sekurang-kurangnya untuk sementara waktu. Penyuaraan pandangan yang bertentangan tidaklah pula dihalang. Apabila keputusan telah dibuat secara yang sah, pandangan pinggiran harus terketepi. Ertinya, yang terakhir harus berlaku ialah pengakuran kumpulan lebih kecil terhadap kumpulan yang lebih besar apabila masanya sudah tiba, tidak dapat dielak atau ditangguhkan lagi. Maka, perjuangan, dari mana-mana pihak pun boleh berterusan tanpa mencetuskan kekeruhan, kegawatan, kegentingan, kehuru-haraan, kemusnahan, kepupusan, yang tiada siapa pun memperolehi faedahnya.

Pantulan 76/15: Sajak Aladin Mohamad, “Gaulilah Kami Semesra Rasulullah”

Pantulan 76/15: Janji YB
Seorang teman fbku yang baru, penyair Aladin Mohamad, Air Molek, Melaka, mengharapkan benar-benar YB beliau menunaikan janji setelah menang mengumpul lebih undi dalam peti pilihan raya. Seruan ini bukan baru tetapi lebih tiga dekad yang lampau, melalui sajak “Gaulilah Kami Semesra Rasulullah”, Dewan Masyarakat, Oktober 1982, muka surat 56. Betapa tingginya tuntutan itu tidak diragukan lagi apabila disebut “Rasulullah” pada judulnya. Barangkali, ramai YB tidak berani berikrar janji jika tersyarat begini!
Aku kurang pasti sama ada sikap YB sekitar 1970-80-an tidak berubah selepas 33 tahun kemudian, iaitu sekarang. Walau bagaimanapun, aku perhatikan di kalangan YB masa kini, ada juga yang kita boleh anggap sangat kanan, tetap mewakili kawasan Parlimen atau DUN, masing-masing untuk beberapa penggal. Tentulah mereka telah berkhidmat, menabur bakti dan dikira berjasa. Kalau tidak, tentulah mereka hanya tercatat sebagai bekas-bekas YB dan tidak dapat berprestasi sewajarnya, sama ada dari kaca mata para pengundi atau parti yang mencalonkan mereka.
Aku tidak mempunyai petua atau formula untuk menasihatkan YB-YB bagaimana hendak popular (dihormati?), mengikat hati pengundi kawasan, apalagi untuk kekal terpandang baik di mata ketua-ketua parti. Tetapi sebagai warga yang tidak ada memiliki kuasa atau pengaruh, kukira YBku mestilah seorang yang berwibawa. Ia harus berpendidikan, boleh ke tengah ke tepi, ke atas ke bawah, ada di mana-mana. Ia boleh merasakan hasrat rakyat yang tidak ada pihak lain untuk bergantung harapan. Paling utama, kalau di kawasannya ketinggalan dari segi infrastruktur, maka ia harus berjuang mengadakan; Kalau kawasannya mundur dari segi pencapaian pendidikan, dia tidak harus membiarkan sampai orang membangkitkan kekurangan itu. Kalau negara lebih mengutamakan isu pengantarabangsaan, pengglobalan, pencapaian terbaik dari segi pencakar langit, dewan persidangan bertaraf dunia, sedangkan di kawasannya banyak pengangguran, banyak perceraian, banyak perempitan, bertambah-tambah kes jenayah, taugih naik harga sampai luar kemunasabahan, sayur-sayur daun dari RM1.99 menjadi RM3.99 mengekal, buah tomato tak turun-turun harga, cili merah/padi menyombong sama, ikan kembong mulai tak mampu dijamah, jauh sekali tenggiri, maka YBku tidak boleh berhenti menampakkan beliau berjuang mengurangkan bebanku, beban rakyat jelata.
Sama ada dahulu atau sekarang, peranan dan tanggungjawab YB tidak jauh berbeza bahkan beliau lebih-lebih lagi diharapkan tidak memperlihatkan kepentingan diri mengatasi kepentingan yang diperlui para pengundi.

Pantulan 75/15: Sajak Ahmad Sarju, “Gigih”

Pantulan 75/15: Menagih kelangsungan
Tentang perjuangan, tentang ke“gigih”an, tentang perseteruan, tentang pengkhianatan dan yang sejenisnya, bukan perkara baru bagi orang lama, penyair Ahmad Sarju. Ketika saya ulangi membelek Dewan Masyarakat, Jun 1966, terbacalah sajak beliau, “Gigih” di muka surat 55. Hampir setengah abad dahulu, ketika masih berusia 24 tahun telah beliau lakukan iaitu menyeru dan membakar semangat para pejuang agar tidak patah tabah menghadapi onak duri, gelombang badai yang mengkecamukkan perjuangan demi “mencapai kebesaran”.
Tahun-tahun 1960-an adalah masa bergejolak negara yang baharu merdeka. Segala-galanya jauh dari kesempurnaan. Demikian daifnya kita – jati diri tidak wujud. Tinggalan penjajah sedang lagi bersemarak di kalangan majoriti yang berpendidikan tinggi. Bahasa Melayu kekurangan dalam semua aspek – ejaan, kamus, istilah, akta, persekolahan, buku-buku, para pendukung, dan lain-lain. Ekonomi hanya secukup makan. Orang tengah bermaharajalela, Tanah Simpanan Melayu bertukar tangan, kemiskinan berleluasa, membaca berpelita, air di perigi perlu diangkut saban hari, dapur berkayu api, berpergian berjalan kaki, mengharung sungai, malam gelap gelita. Ya, pendek kata puluhan kali ganda ketinggalan berbanding sekarang. Semuanya itu menunjukkan betapa kerdilnya negara ini. Maka, mujurlah kekurangan itu tidak dikira sebagai pelemah semangat untuk memperbaiki diri. Para pemimpin sedar peranan dan tanggungjawab. Rakyat pun gambira menyokong usaha-usaha memajukan semua aspek yang sewajarnya terbela apabila sesebuah negara diisytihar merdeka. Begitulah, DEB telah memainkan peranannya, biasiswa telah diperbanyak, luar bandar diubah wajah lebih berseri, perbandaran tersebar ke sana sini, LKTP/Felda memakmurkan bumi, dan banyak lagi.
Ada halangan untuk mencapai sesuatu. Tetapi dengan wawasan, strategi, pelaksanaan, pemantauan tanpa henti serentak dengan kegigihan mendepaninya maka kita telah mencapai sebahagian cita-cita. Ada kegelinciran dialami, ada kegagalan muncul menghantui, bahkan sampai hari ini. Lalu, yang harus disedari, perjuangan tidak pernah selesai. Kejayaan tidak berkekalan jika kealpaan dibiarkan berkuasa. Perombakan hanya perlu jika merperkuat kedudukan bukan kerana berundur ke pinggiran. Generasi silih berganti. Perjuangan jangan berhenti.

Pantulan 74/15: Sajak Ahmad Sarju, “Lilin Di Tengah Ruang”

Pantulan 74/15: Kebaktian
Ketika hampir menggenapi usia 44 tahun, penyajak prolifik Ahmad Sarju, merakamkan falsafah berkarya dan kededikasian seorang tokoh/beliau lewat sajak “Lilin Di Tengah Ruang”, Dewan Budaya, Februari 1987, muka surat 14-15. Tentulah bukan sedikit minda diperah untuk menjana untaian rangkapan yang sangat peribadi lagi panjang ini. Nyatalah, “dia mengerti seorang yang bernama pengabdi seni/pahit hidupnya adalah segala yang pasti.” Dua perkataan yang kucengkam untuk menusuk sanubari ialah “pengabdi” dan “pahit”. Maka jika ini disepakati, semua kata yang lain adalah pemerian yang logikal terhadap kerelaan diri untuk berkorban agar tercapai matlamat yang dipilih sendiri tanpa paksa. Di samping itu, beberapa rangkapan yang bermakna iaitu “…pembela maruah moyang” bersama-sama “… melindungi seni budayanya” adalah sangat-sangat menepati lantaran menambah nilai, mendasari hakikat sesuatu perjuangan itu seharusnya murni. Sememangnya, perjuangan hanya bererti sekiranya impaknya besar, faedahnya melimpahi khalayak manusia atau sekurang-kurangnya bangsa sendiri. Tentulah dalam melangkah ke depan, jati diri dan kebijaksanaan budaya warisan sama sekali tidak diketepikan. Itulah sewajarnya, asal sahaja ia tidak merugikan dalam persaingan mengungguli persada kesejagatan, meliputi serba-serbi segi.
Perjuangan memerlukan peribadi yang boleh dijadikan teladan. Beliau menjadi pemimpin oleh kehebatannya; pengikut akan bertambah lalu menjadi pendukung-pendukung yang akan mempertahankannya apabila ada mana-mana pihak memperlekehkan. Perjuangan menuntut komitmen yang tidak kendur oleh pijakan-pijakan petualang. Perjuangan berkehendakkan semangat waja yang tidak luntur oleh kikisan seranah seteru berkepentingan. Perjuangan memerlukan ketulusan hati yang sedar bahawa tanpa pimpinannya, anak-anak buah akan bercempera kehilangan punca lalu tidak bermakna sekali gus merentap pencapaian atau memupuskan sedikit sebanyak tanda-tanda kejayaan yang baharu terbina. Sejarah perjuangan dalam apa pun bidangnya merakamkan penghargaan terhadap sumbangan jasa bakti pelopor-pelopor yang terpuji. Ada yang kemudian menjadi ternama, berkedudukan, selesa penghidupan kerana pihak-pihak berwibawa tidak lupa mengenang jasa, menganugerahi setimpalnya. Pun banyak pula jasa-jasa itu tersorok melapuk seakan tidak pernah terjadi. Pelakunya terpinggir sepi. Semoga yang demikian lebih berupa terkecuali berbanding penghargaan yang sewajarnya menyusuli. Itulah sebabnya, perjuangan seharusnya bermula dengan satu azam atau niat suci. Sambil mengharapkan yang terbaik mendatangi, para pejuang harus redha dengan penangan-penangan di luar kawalan sambil pasrah kepada Ilahi. Dialah pemberi akhiran yang terbaik sekali.
L

Sajtun Lili

Sajtun Lili
1971 UKM menetas
Menjulang obor jati diri
Pengantar Melayu meneroka puncak 
Gagasan Winstedt berkubur sendiri
Lili lelabah kembang bebas
Empat rumpun berjurai berseni
Tergambar satu tanpa semerbak
Hiasan cantik bersyukur nikmati.

Sajtun Amali

Sajtun Amali
Gustaaf Schlegel pakar ternama
Keturunan Jerman terdidik di Vienna
Bermastautin di Leiden, profesor di universiti 
Pengkaji sejarah, budaya dan bahasa China
Dipantau juga pinjaman bahasa Melayu
Kerap ditafsir kalangan sarjana
Amalan harian tegar di pustaka
Laksana cendekiawan membelek peka
Prihatin bertumpu berunsur peribadi
Inti ditelaah menjana minda
Ditinjau huraian lantaran bermutu
Berharap terhasil nukilan bermakna.

Sajtun Misai Kucing

Sajtun Misai Kucing
Leban Tunggal istana di Pekan
Sempena pokok diberi nama
Empunya Tengku Besar Sulaiman 
Seni binaan sungguh langka
Bukan misai berupa sembarangan
Berkhasiat banyak diakui semua
Direbus daun jadikan minuman
Sakit pundi kencing sembuh segera.

Pantulan 73/15: Sajak Azmi Yusoff, “Kumbang dan Kupu-kupu”

Pantulan 73/15: Pengalaman di halaman
Hari ini kusinggah membaca peri Azmi Yusoff, “Kumbang dan Kupu-kupu”, Dewan Sastera, Mei 2008, muka surat 91. Terasa pula hendak membandingkan pengalaman sendiri yang kerap berulangan. Sebenarnya hampir setiap hari aku memperhatikan, kumbang hitam ‘menyeri’ bunga yang berwarna ungu/biru di tepi jalan berhampiran rumah. Takku tahu pula namanya. Pokok bunga itu melilit ke pokok besar yang tumbuh di situ, lalu bergayutanlah bunga-bunganya. Dari satu kuntum ke satu kuntum yang lain, kumbang itu menjajap. Banyaklah nectar bunga dicicipnya. Kuperhatikan juga dengan berbuat begitu terbawalah debunga ke kuntum-kuntum yang lain bahkan ada juga yang tergugur daripada badan/kakinya ketika keluar dari kuntum-kuntum itu, langsung ke bumi.
Tidaklah pula dapat kumemahami lebih jauh daripada apa yang kelihatan di mata. Tetapi aku yakin, kumbang itu melakukan tanggungjawabnya, dengan ‘kesedaran’ bahawa itulah yang wajar dilakukan pada masa yang ditentukan. Ia akan beredar sebaik selesai melakukan. Dan tentulah ia tidak bermaksud memusnahkan bunga itu. Dihirupnya madu untuk kesihatannya, dilumurinya debunga dengan maksud-maksud yang berfaedah, yang seharusnya semula jadi wajar berlaku. Kita mempelajari rasionalnya dahulu, ketika masih bersekolah!
Dan, biasa pula aku memperhatikan kupu-kupu yang berterbangan di sekitar halaman rumah. Kadang-kadang ia terbang agak tinggi tetapi lebih lazim terbangnya rendah merumput, barangkali kerana saiznya yang kecil atau mengelak daripada bahaya. Yang nyata ia terbang dengan tidak terarah dan kerap kali nampak tidak bermaya.
Dan kupu-kupu, tugasannya lebih tidak menyerlah. Kekecilan badannya, keawang-awangan gerak-geri terbangannya menimbulkan tanda tanya. Tetapi aku percaya, seperti juga kumbang, kupu-kupu yang berbagai-bagai jenis itu melaksanakan tanggungjawab yang terkhusus baginya semenjak azali. Dan kalau ia merosakkan pastilah ada usaha mengawal kebiakannya. Sambil ia berjuang untuk hidup ia terdedah kepada pemangsa dan tentulah ia harus bertindak mempertahankan survivalnya.
Dengan begitulah alam berterusan menampung keperluan semua. Mungkin kita perlu mencungkil rahsia-rahsia atau hikmah-hikmah di sebalik penciptaan dan perlakuan yang beraneka itu.
Aku tidak bercadang meneruskan, dengan menyelak ‘kebestarian’ di sebalik kata orang tua-tua…! Secalit coretan pun mampu melimpahkan kebanjiran huraian.
Jusoh MohamedSmas Dan Uitm and 6 others like this.
Comments
M Jusoff Taib Setelah membelek-belek dan mencari-cari, maka bertemulah dengan MENGEMAM JADAM - Antologi Azmi Yusoff. Dari catitan tanggal membelinya, ternyata saya membelinya pada tahun yang sama dengan terbitnya buku itu -1994.
Ahmad Said Mengemam Jadam telah saya kemam dengan kejadamannya. Saya menghargai mesej yang terkandung di dalamnya. Agak malang tiada orang mahu mencungkil mutiara dan kreativiti karyawannya. Apabila diizinkan, pada pusingan kedua, saya akan lawati semula bersama-sama karya-karya yang lain. Saya masih jauh untuk menghabisi pusingan pertama.
M Jusoff Taib Semoga, in sya' Allah, disampaikan hasrat.
Ahmad Said Kumbang hitam menggerami bunga.
Ahmad Said's photo.

Kempen Bulan Bahasa

Membelek pilu
Telah selesai membelek, Pelita Bahasa, Dewan Bahasa dan Dewan Masyarakat bagi tempoh 2001-2006. Aku lemas oleh wacana kebahasaan yang lebih dari lengkap terutama tentang keterbiarannya. Aku akan membelek-belek lagi naskhah-naskhah bagi tempoh 2007 - Oktober 2015 tetapi hanya untuk menyelesaikan belekan. Itu sahaja. Wadah yang sudah terbelekkan, telah sempurna mewajahkan bahasaku!
Dan, jangan lupa, semenjak bersara aku telah juga membelek Dewan Bahasa, Dewan Masyarakat semenjak keluaran-keluaran nombor satu. Sungguh pilu!
Comments
Ahmad Said Di kulit belakang Pelita Bahasa, Oktober 2010.
Ahmad Said Pelita Bahasa, Oktober 2011.
Ahmad Said Pelita Bahasa, Oktober 2011.
Ahmad Said Lihat pula inisiatif tahun 2012 oleh Pelita Bahasa.