Pantulan 67/15: Demi kemanusiaan
Kerana “Jauh … berlari”, dan “semalam adalah hitamnya karya” telah menimbulkan persoalan yang memerah minda Solihin Osman, seperti terpancar lewat sajak beliau, “Sketsa Hayat Kendiri”, Buletin Jendela Utara, Bil. 22, Ogos 2008, muka surat 30. Semua yang berputaran dalam kehidupan seseorang adalah surut pasang pengalaman memaknakan usia yang kian bertambah (atau berkurang). Dengan begitu seseorang dituntut berfikir. Jangan surut mentafsir. Dirilah yang harus mentadbir agar terzahir kemanusiaan yang bermartabat tinggi.
Yang wajar dan seharusnya dimanfaatkan ialah bersedia menghadapi episod penghidupan yang berperingkat-peringkat, mengikut tahap umur – kanak-kanak, remaja, dewasa dan ‘pesara’. Walaupun pada hakikatnya, manusia adalah sama namun sekali gus tidak serupa. Ada orang yang semenjak jadi beroleh kesenangan sehingga mati. Ada pula yang terabai ketika tiba dan gagal berdikari sampai tua. Yang lebih lazim, seseorang menjalani kehidupan , bersusah-susah dahulu disusuli bersenang-senang. Dan, dalam situasi demikian, dia harus melepasi cabaran. Dia boleh jadi menemui beberapa kali kegagalan dan akhirnya menempa kejayaan. Manislah kehidupan ini, jika kejayaan itu yang paling memuasi hati sanubari sendiri. Bertambah pula gembira kalau sekali gus menabur jasa kepada orang tua, keluarga, jiran tetangga. Manusia berjasa menjunjung kemanusiaan. Bersyukurlah dalam perlangkahan peribadi menuju pangkalan tidak kita mungkiri matlamat memakmurkan bumi dan alam. Demi pembalasan!
(NOTA: Beberapa sajak “sketsa” Solihin Osman boleh dibaca dalam kumpulan puisi, “Gelombang Diri”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2015, iaitu “Sketsa Hujan” dan “Sketsa Kelekatu”. Pun, elok juga dibaca, “Cerminan Hayat”, “Buku Peribadi”, “Melukis Cahaya Diri”, “Naskhah Diri”, “Naskhah Kehidupan”, “Ilustrasi Hayat”, dan lain-lain bagi menggarap ruang lingkup tema seirasnya).
No comments:
Post a Comment