Pantulan 35/15: Pengiktirafan
Sebuah sajak yang mudah, cantik dan bermaknaan mendepaniku karya kenalan baikku, Solihin Osman, berjudul “Peringatan”, Dewan Sastera, Mei 2003, muka surat 29. Tanpa pun memeras minda, kita sudah mengakui kejujuran luahan penghargaan dan sanjungan beliau terhadap tokoh pembentuk peribadi dan pendorong kejayaan dalam kehidupannya. Siapakah sebenarnya ‘watak’ penggerak berperibadi mulia itu, terpulang kepada kita mentafsirkan sendiri. Yang terbukti beliau telah merakamkan dengan setulus hati.
Tetapi, pada usia bayi dan kanak-kanak, barangkali yang paling mempengaruhi perkembangan kita ialah ibubapa. Apabila kita sudah bersekolah, personaliti, pengajaran dan teladan guru-guru menjadi faktor kritikal. Sesudah itu, ilmu yang dituntut, pengalaman yang dilalui, sekitaran masyarakat tidak kurang peranannya menyuburi. Jangka masa yang berfasa-fasa, telah memkomplekskan personaliti dan sekali gus menjadikan semuanya itu pencetus peribadi yang berjasa. MAKA, jadilah kita seorang manusia yang bermaruah dan berupaya memikul tanggungjawab – apa sahaja yang teramanah atau dipilih sesuai dengan kecenderungan dan rezeki masing-masing. Kepositifan pendedahan semenjak dari kecil sampai memegang teraju menjurus ke arah persepsi bahawa manusia sewajarnya tidak melakukan sesuatu kecuali yang baik-baik dan berimpak mensejahterakan penghidupan sendiri dan orang-orang lain. Baharulah dunia ini makmur oleh sebab dihuni pendukung-pendukung tamadun bestari. Bahawa demikian itu telah lama tercungkil apabila pendidikan berfungsi menepati iaitu menyempurnakan sahsiah insan. Itulah sebabnya “sejarah” perlu ditelaah demi tidak mengulangi pemusnahan-pemusnahan. Dari sejarah itu, tidak tersangkal lagi, “wawasan” yang melorongkan semua usaha penggemblengan mencapai kecemerlangan.
No comments:
Post a Comment