Tuesday 9 October 2018

Pantulan C/03/19/2018: Sajak Ahmad Sarju,“Yang Kita Lihat Kini”

Pantulan C/03/19/2018: Tang tu...tu… lagi!
Puisi Ahmad Sarju, Kelang, “Yang Kita Lihat Kini”, (Ungkapan Suci), Utusan Kiblat, Jun 1973, muka surat 27, ini tidak terselindung apa pun. Seperti kebanyakan ‘ungkapan-ungkapan suci’ menghiasi halaman-halaman majalah berunsur keagamaan, perutusannya lantas berdiri sendiri, berupaya mendakwah. Sekalipun begitu, tetap aku tertarik untuk memantul, sekadar melihat kelainan suasana dan darjah penghayatan amalan beragama dahulu dan sekarang, iaitu dalam tempoh masa 45 tahun; apakah dan adakah perbezaan merobah bangsa ini ditinjau dari perspektif antara generasinya?
Ya, bukan barangkali lagi, bahawa doa penyair ini belum terkabul. Ternyata, masjid-masjid belum lagi penuh berisi, walaupun kumandang azannya berterusan; sesama muslimin tetap bertelagah mengakuri dasar-dasar dan kaedah-kaedah mengamalkan ‘ibadah’. Sedang ummah kian ketinggalan. Di persada global, lagilah tertindas bahkan mengemisi petualang untuk kekal bernafas dalam kehinaan.
Perubahan memang telah berlaku. Namun, hasrat “semoga bersinar bercahayalah Nur Islam” muncul berupa positif sangat diragukan terinstitusi. Yang lebih menonjol di depan mata setiap hari di alam nyata atau yang berlegar di ‘maya’ adalah fakta-fakta yang menghantui bukan yang bernadi dan berjati diri layak direstui.
Cabaran apakah yang demikian kebal sampai gagal diatasi? Kita sudah ada infrastruktur keislaman dan tentunya menghasilkan cendekiawan dalam bidang-bidang mendukung harapan murni. Jabatan dan agensi pun tersedia untuk menggali dan menggalas inti-inti peranan. Namun, pihak-pihak yang menentang atau tidak sehaluan pun lebih tajam taring dan saling bergandingan, kian memperkuatkan tunjangan. Kita sedang dilumpuhkan!
Aku tidak dapat menyangkal kenyataan yang terzahir sekarang. Kalau aku pula ‘mengungkap suci’, menyulam kalimat-kalimat ganti tentang apa “Yang Kita Lihat Kini”, aku mungkin menafi realiti. Apatah tidaknya? Sebab gubahanku itu tiada boleh berlainan isinya daripada yang sudah lama dahulu ditelaahi Ahmad Sarju dan sehingga sekarang menjadi bukti bahawa kita belum pun melangkah bererti.

Pantulan A/03/18/2018: Sajak Leo A.W.S., “Hatimu Ikut Bersama”

Pantulan A/03/18/2018: Kesebatian
Aku belum merumuskan sekemas-kemasnya kriteria-kriteria bagi sajak-sajak teman-temanku yang layak dipantul di laman ini. Barangkali, kali ini sesuailah dinyatakan secara ringkas, sebahagiannya.
Pertama, ketika terserempak, ia seharusnya disenangi, bahkan dari segi judul, apatah lagi panjang pendeknya. Juga, kekadang, bentuknya. Kemudian, sebaik selesai membacanya, kali pertama, tetapi lazimnya memaksa bacaan-bacaan ulangan, agar terhilang tanda tanya. Karya itu biarlah muncul menyimpul kecendekiaan karyawan sama ada dari segi pokok bicaranya sekali gus menciri rumit bergelumang mudah dalam kebersahajaan susunan kata-kata dan kalimat-kalimat yang dijelmakanya, satu persatu, mendukung perutusan yang syahdu.
Setakat kriteria-kriteria itu, walaupun belum melitupi semuanya, (Leo Aws) Leo A.W.S., melalui gubahan sajak “Hatimu Ikut Bersama”, Mastika, tahun 48, Mac 1988, muka surat 38, timbul gagah.
Yang terpampang di depan mataku, penyair mengghairahi sajak-sajak ciptaannya yang berlambak-lambak. Namun, ia tidak boleh terlalu taasub menafikan tuntutan jasmaniah. Sedikit masa perlu diluangkan untuk memenuhi syarat-syarat asasi meneruskan hidup. Seseorang tidak akan bernafas lagi tulat atau hari-hari selepas itu tanpa berhenti seketika menunaikan fardu-fardu, ‘ain dan mungkin kifayah serta lahiriah! Dan syukurlah, kebahagiaan ternyata melimpah dalam proses penciptaan itu oleh gemblengan sefahaman selayaknya orang berpasangan.
Biarlah penyair itu hanyut dengan ghairah minda dan jiwanya. Sekali gus itu, sebagai penikmat ciptaan beliau, aku pula beroleh rasa senang dari penghayatan sebilangan patah kata yang terangkum kental membina sebuah puisi yang benar-benar menjadi. Dari segi bentuk ia mengimbau. Susunan diksi pula menyembunyi inti lantas menampi-nampi erti yang menerawang kefahaman serasi peribadi.
Sajak ini bukan sekadar sajak yang tergulung hilang di lembaran-lembaran yang terakam di zaman silam. (Ribuan judul lain sebenarnya terbenam). Ia perlu dikarai naik supaya tetap menarik agar dinikmati semula walaupun tiga puluh tahun dahulu selesai diolahnya!.
Tanpa “sempat lagi dihuraikan maknanya” pada kesempatan ini pun, seharusnya pengghairahan puisi ini tidak berkurangan, dengan aku sendiri “… ikut bersama” Leo menggarapi sekali lagi, lama berselang, tiga dasawarsa kemudian, hari ini.
Seyogialah puisi, puisi, puisi, … dan puisi, apabila telah sudah digubah.

Pantulan C/02/17/2018:Sajak Siti Zaleha M. Hashim, “Sebuah Rumah Kaca”

Pantulan C/02/17/2018: Memperkukuh pematuhan
Ketertiban bernegara wujud apabila persetujuan yang dimetrai mengumbii penubuhannya diakuri semua warga. Demikian itu wajar kerana sebelum ada persetiaan tentulah telah melalui proses perseteruan, persefahaman, dan perbincangan. Serba-serbi persoalan survival bangsa telah diteliti implikasinya sebelum diketemui formula keramat menyelesaikannya. Ia meliputi dan menuntut pelaksanaan jangka pendek dan jangka panjang.
Pembinaan negara dan ‘bangsa’ bukan tiba-tiba menjelma tanpa proses saksama. Ia suatu proses turun-temurun. Tetapi asas-asas yang membolehkan proses itu menapak ke hadapan seharusnya sentiasa terpelihara. Jangan ada gugatan terhadapnya walaupun oleh generasi yang menyusuli – cucu-cicit para pengasas yang tidak terlibat dalam pemeteraian berhikmah dahulu itu.
Memang perubahan berlaku sepanjang hayat para pendukung dan pewarisnya. Hal ini menjadikan rasional sejarah dikaburi. Sedangkan ini bukan justifikasi mutlak yang memberi hak, sekali gus membatalkan fakta-fakta dan faktor-faktor sejarah. Pengendalian yang bijaksana ialah secara kembali merujuk kepada sumber yang termaktub. Kalau hanya mekanisme yang memungkinnya sahaja tidak memadai, adakanlah! Boleh sahaja dibentuk kaedah-kaedah mengatasi secara administratif. Maka, terjamin ‘perlembagaan’ atau terilham permuafakatan baru untuk merobahnya secara sah.
Kecenderungan melupakan latar belakang sejarah, sama ada oleh penguasa semasa apalagi kelompok-kelompok ‘rakyat’ era kebelakangan pastilah menimbulkan ketegangan bakal marak meretakkan ke’raka’an yang sekian lama terpampang.
Ada kaedah-kaedah untuk menjamin situasi tidak diingini berkembang mekar dan berterusan menghantui pemantapan potensi kemakmuran yang selama ini dialami. Alangkah malang jika petua-petua yang terbukti menyelamatkan diri dari kemunduran atau keterbelakangan gagal dikawal rapi.
Mengungkit-ungkit atau mengetepikan dokumen rasmi yang sakral tidak seharusnya dinaungi lagi. Penyemburan berleluasa pendapat atau perisytiharan pendirian yang sama sekali jahil sumber ‘suci’nya bukan wajar dibiarkan kebal atau ‘tak lut’ dari cengkaman prinsip-prinsip yang menentukan kejayaan selama ini.
Sebenarnya ada alternatif lebih indah menganalisis persoalan raksasa ini. Untuk alternatif atau versi ini, hayatilah ulian diksi dan kalimat Siti Zaleha M. Hashim, dalam “Sebuah Rumah Kaca”, (Sajak), Mastika, Tahun 36, Julai 1976, muka surat 13.

Pantulan A/04/16/2018: Sajak Hilmi Rindu, "Betapa Kau Tersungkur di Tengah Perubahan”

Pantulan A/04/16/2018: Meraikan kelainan
Kita boleh mengimaginasikan diri setakat yang dapat walaupun sekadar meneliti teks ringkas yang tersedia. Teks itu mungkin tidak penuh tersiar oleh sesuatu sebab tertentu. Begitulah dengan sedutan sajak (Santai Minda) Hilmi Rindu, Kemaman, Terengganu, “Betapa Kau Tersungkur di Tengah Perubahan”, (Bunga Rampai Karya), Dian, bilangan 142, Tahun XX, Julai 1981, muka surat 152. Aku sendiri tidak tahu panjang asalnya dan kenapa pula redaksi Dian memilih petikan ini dan tidak bahagian yang lain mengisi halaman tersebut.
Lantas, berdasarkan itu, aku menyedari bahawa ada orang telah hanyut gagal berkayuh dalam arus perubahan. Sedangkan, untuk meneruskan penghidupan di dunia ini, dia seharusnya tangkas menyesuaikan diri supaya sentiasa serasi dengan sekitaran yang menyelimuti kehidupannya setiap hari.
Ambillah sahaja seorang pesara. Masa yang banyak terluang tidak semestinya berlalu tanpa mengkhidmatinya. Dari segi kecergasan dia seharusnya berusaha menjaga kesihatan agar boleh terus melakukan kegiatan berfaedah. Dari segi kewangan, dia sewajarnya tidak membiarkan kekurangan pendapatan bulanan memberi padah. Dari segi pemikiran, dia sepatutnya tidak terhenti mentelaah. Dari segi ‘ibadah’ dia seyogianya beramal seakan semena-mena akan mengadap Allah Penguasa Alam! Pendek kata, perubahan biarlah menghasilkan tuah. Tidak merugikan.
Demikianlah. Jika “embun” sebagai tanda keselesaan yang yang bakal segera pergi, dia jangan alpa membasahi jari-jemari disusuli mengusapi dahi supaya segarlah wajah yang lali. Samalah, jika “kicauan burung” boleh mengilhami sanubari agar mensyukuri rezki selama ini, hindarkanlah mengelamun tanpa bertepi.
Benarlah, dalam semuanya yang kita alami ada inti yang bakal memberi erti. Kehidupan yang kita lalui, alangkah barakahnya sekiranya dirai bertepatan piawainya.

Pantulan A/02/15/2018: Sajak Leo A.W.S., “Konvo”

Pantulan A/02/15/2018: Kunci Merobah Maruah
Melintasi, Leo A.W.S., “Konvo”, (Dunia Persajakan), Dian, bilangan 88, Mei 1976, muka surat 75-76. [Leo Aws]
Terkenanglah aku. Pada awal-awal tahun 1970-an kejayaan memasuki universiti adalah suatu ‘cerita besar’ di daerahku. Sementelahan kalau kita menjadi pemulanya. Ketika itu, bukan lazim orang memasuki universiti. Apalagi kalau seseorang berasal dari kampung, jauh dari bandar apa lagi ibu kota. Terkagum semua orang kampung mendengarnya!
Memang Kuala Lumpur dikira maju. Berganda-ganda berbanding desa. Ia jadi tumpuan warga dari seluruh pelusuk negara. Kota ini sudah sibuk: ramai penghuni dan pengongsi serta dengan kesesakan lalu-lintas – Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Bangsar, Jalan Pahang… Berlainan di sebelah Petaling Jaya. Suasana lebih aman tenteram dan kalau kampus Universiti Malaya dijadikan fokus, ia ternyata daya tarikan yang tiada pesaingnya.
Di kampus, tasik yang sentiasa kelihatan tenang dikelilingi pokok-pokok rimbun di tebingnya, DTC yang menyergam, Dataran Sastera bersimpang-siuran mahasiswa, Perpustakaan, Speaker’s Corner, forum-forum di dewan-dewan kuliah, dan pelbagai kegiatan yang lain membuka mata dan mengilhamkan. Betapa bertuah badan.
Di luar kampus, ketika itu, Medan Selera di Seksyen 14, berulang alik dengan bas dan kemudian bermotosikal mengerati kampus, berlibur di petang Ahad di Lake Garden, berkunjung ke kampung teman-teman di sekitar, bercif matini di Panggung State, semuanya mewarnakan kehidupan seorang mahasiswa. Ia benar-benar mengiringi kebebasan seorang remaja kerana berjaya dalam persekolahan.
Sebagai anak muda kampung, keberadaan di kampus di Lembah Pantai untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah dikira suatu hadiah tiada taranya. Pakej itu tiada diunjuk kepada semua remaja sebaya bebas kriteria. Pelajar-pelajar tertentu sahaja mendapat tawaran.
Namun, yang paling utama ialah mendisiplinkan diri. Jangan ia tertutup minda, hanyut oleh arus keistimewaan itu. Matlamat utama menuntut ilmu ialah untuk merobah penghidupan peribadi masa depan. Keperitan hidup dilalui di desa sesungguhnya harus menjadi tangkal merungkai ketinggalan. Ia harus bertekad tegap menggenggam amanat berkat. Jangan sekali-kali terkilat mahu mengecewakan ibu dan bapa, keluarga. Sebab, orang-orang kampung semua tahu dia menuntut di situ. Ramai teman sebaya mengalami malang, tidak bersama-samanya. Dia hanyalah segelintir daripada anak-anak desa yang terlepas dari jeratan nasib buruk, yang telah lama membelenggu generasi ayah dan ibu oleh suasana tak maju. Dia harus berperinsip tidak memberi malu.
Maka, seharusnya ia rajin menghadiri kuliah, tutorial, merujuk bahan untuk kertas-kertas projek, bersedia menduduki peperiksaan dengan mentelaah siang malam. Kejayaan senior seharusnya merangsang semangat untuk tidak tersesat, lupa memanfaatkan kesempatan dengan menumpui pengajian sampai tamat.
Sesungguhnya Majlis Konvokesyen itu tanda pengajian telah rasmi selesai. Alangkah seronoknya menghadiri upacara diiringi ayah bonda sedang ia sedia berjawatan. Itu bermakna peuniversitian telah memberinya upaya; melepaskannya dari beban derita sekian lama, sekali gus meruangkannya jadi manusia yang bakal berguna kepada semua – diri, keluarga, masyarakat dan negara.