Tuesday 23 December 2014

Pantulan 88/14: Sajak Daengramliakil, “Rumah yang Sakit”

Pantulan 88/14: Terkecewa
Hari ini terkedu dan tersendu di “Rumah yang Sakit”, karya Daeng Daengramliakil, salah satu daripada lima buah sajak beliau yang mengisi ruangan “Persada Puisi”, Dewan Sastera, Oktober 1994, muka surat 52-53. Betapa terharu qalbu dan terganggu ketenanganku mendepani pendedahan kisah gundah “anak-anak yatim” yang tidak seberapa terbela. Padahal , di situlah tempat khusus dibina untuk memupuk keceriaan dan menghentikan penderitaan. Mereka sengsara sebenarnya oleh layanan yang tersedia, yang tidak secantik gambaran. Orang diamanahkan pandai berwajah peka, sedangkan sambil lewa realiti biasa ketika mengendalikannya. Ke“pura-pura”an, pada bukan tempatnya, alangkah memarakkan amarah sekali gus simpati lagi mengganda. Rakaman peristiwa begini seharusnya membenihkan tindakan susulan agar tidak lagi berterusan.
ASKAT: Kalau difikir-fikirkan, bukan senang memperoleh jawatan. Persaingannya sengit . Dari dahulu sampai sekarang. Bersyukur sejatilah reaksi serasi, sekiranya terpilih memikul pertanggungjawaban. Ada harapan yang sepenuhnya terpindah kepada para petugas lantaran pemilihan (sewajarnya bertepatan). Sambil meraih nafkah untuk hidup berdikari, khidmat bakti yang dituntut tidaklah terlalu tinggi untuk diungguli. Dan harapan sebegini tidak berbeza, dimana-mana pun, apalagi “di situ”, tempat berbuat kebajikan tanpa perhentian. Semoga, semua yang terbabit tidak berkurangan asyik dan masing-masing semestinya saling mendukungi demi mencapai wawasan murni.
— at Dewan Sastera, Oktober 1994.

Pantulan 87/14: Sajak M Jusoff Taib, “Bila Tiba ke Penghujungnya”

Pantulan 87/14: Meniti pasti
Aku teruja hendak memetik, tetapi kusekat kuat-kuat, maka tak terbuat, walau sedikit. Biarlah, diraih mereka yang peka, kerana sebenarnya ratna ada merata – di permulaan sampai ke penyudahan. Karya M Jusoff Taib, “Bila Tiba ke Penghujungnya”, Dewan Sastera, April 1994, muka surat 46, sudah kujumpa, menghening kehidupan di dunia, khusus tentang insan dalam pengembaraan. Kufahami, lagi mendalami, tentang hakikat kehidupan. Ia terhenti pada detik yang ditentukan. Bertuahlah kalau kebenaran ini tidak terlupa atau dialpakan, walau sekalipun dalam melayari ke pelabuhan sasaran. Kebijaksanaan sentiasa menasihati, bahawa tiada pun berfaedah mengabaikan suratan. Dan paling kurang, jika terhindar, kembali ke titik asal yang belum tercalar honaran. Tumpui lagi mengikut yang termesti. Bekalkan diri setinggi bestari.
ASKAT: Sesiapa boleh bersajak. Tentang apa sahaja yang disukai. Tetapi kalau ia bersajak dengan maksud memanfaatkan orang lain, tentulah, berbanding seorang lain yang tidak sedemikian, sajaknya lebih wajar dihargai. Setidak-tidaknya, sajak itu mencungkil rasa ingin berfikir lebih mendalam tentang kehidupan dia sendiri pula. Tidak dilangkaui orang seakan tiada terkesan langsung. Pemintalan kata-kata, boleh mengikat minat. Kita terasa rugi meninggalkanya, tanpa berkali-kali menghayati. Biarlah, kesan yang ditinggalkan tidak diwarwarkan. Sekadar menggetar diri seharusnya memadai. Tetapi, lumatan hasil fikiran temanku ini, ternyata menuntut apresiasi lebih bermakna lagi.
— at Dewan Sastera, April 1994.

Pantulan 86/14: Sajak Siti Zaleha M. Hashim, “Hari Esok”

Pantulan 86/14: Ketentuan
Sajak pendek yang bererti tidak banyak ditulis. Orang lebih suka mencipta yang lebih panjang sedikit, kerana barangkali hendak merangkumkan mesej yang lebih menyeluruh. Tetapi kalau, kependekannya terpadat dengan persoalan yang bukan remeh, ciptaan itu sudah memadai. Sekali-sekala. Maka, kukira sajak Siti Zaleha M. Hashim, “Hari Esok”, Dewan Sastera, Oktober 1978, muka surat 26, wajar disinggahi sebentar. Sekadar menghirup rumusan segar. Kadang-kadang sajak yang pendek memikat kerana tidak sangat perlu berlama-lamaan berperah minda, demi mencungkil pemikiran yang diserlahkan. Dan begitulah yang mengalir. Hari yang mendatang tidak pernah pasti. Tetapi hakikat ini sewajarnya mendorong manusia untuk tidak bertindak sambil-lewa. Ia perlu merancang supaya ketidaktentuan menjadi lebih terurus. Berkeadaan siap-siaga. Sebab itulah kelaziman, mengasuh kita berpendirian bahawa yang telah berlaku akan berlaku lagi, menjadikan keresahan terketepi, sebab unsur kepastian yang menebal.
ASKAT: Semoga kita menjadi bijaksana. Tidak taksub, enggan berganjak dari tempat berpijak sedangkan perobahan atau peralihan dituntut demi kebaikan yang diharapkan. Masa depan seharusnya menjanjikan kemanisan lantaran asas pendirian adalah yang sentiasa baik-baik belaka.
— at Dewan Sastera, Oktober 1978.

Pantulan 85/14: Sajak Azmi Yusoff, “Kepada Malam”

Pantulan 85/14: Menggilap gelita
Dalam menikmati sajak, bukan makna sahaja yang hendak dicari atau diingati. Sajak Azmi Yusoff, “Kepada Malam”, Dewan Sastera, Jun 1976, muka surat 24, tetap ada tarikan, walau kerana usianya, lebih menyerlah sebagai pencuit perasaan, mengembalikan senario zaman 1960-an dan 1970-an. Ini sajak sendu yang merdu dan kuakui belum usang mengharung perobahan. Hakikatnya, masih ada insan yang belum mendapat pembelaan. Catatan Azmi, tentang pengalaman hidup insan 38 tahun yang silam mengharukan. Sebagai rakaman tentang penderitaan, jalinan kata-kata berseninya tetap memadai melonglai para peneliti, menggamit simpati.
Kehidupan, alangkah berbagai-bagai kisah-kisah yang menyelimuti. Setiap orang ada pengalaman sendiri. Ada yang berpengalaman manis. Ada yang berpengalaman pahit. Pengalaman yang berbauran, pahit manis, masih boleh disyukuri, kerana sekurang-kurangnya, tidak sentiasa mendera sepanjang masa, sekurang-kurangnya ketika lena. “Aku” sangat mengharapkan “mimpi-mimpi”nya tiada lagi tanpa erti. Malam dirayunya agar membawa kebahagiaan bukan lagi penderitaan berterusan. Kalau ketika jaga berlainan sekali, biarlah dalam tidur imaginasi melimpahkan kehidupan berseri. Nanti terjaga semula, kuatlah semangat untuk berdepan lagi dengan kenyataan yang tiada surut menekan tanpa kesian. Kerana asal bernafas, masih ada malam untuk menagih khayalan.
ASKAT: Sekali-sekali, palitan sebegini memercupkan harapan, melupakan lara, menyimpulkan senyuman, menghiburkan kewalangan, Tak terputus hasrat semoga memuncakkan pembebasan. Walaupun sekejap, sekalipun sementara atau di luar realiti.
(Nota: Sajak ini termuat juga dalam “Dua Alam”, muka surat 14).
— at Dewan Sastera, Jun 1976.

Pantulan 84/14: Sajak Sabri Ibrahim, “Alam Metafisis”

Pantulan 84/14: Kenit
Aku masih jauh dari melintasi Abad 20 meneliti koleksi. Namun, digera oleh keperluan mengemaskini pengetahuan tentang perkara-perkara khusus yang lain, terserempaklah puisi sahabatku, Mohd Sabri Ibrahim. Dengan nama ringkas, Sabri Ibrahim, beliau menukilkan “Alam Metafisis”, Dewan Sastera, Disember 2000, muka surat 41. Ternyata, sajak ini tidak serupa dengan banyak sajak lain. Temanya bukan kerap diusapi para penyajak, kerana alam baqa, lebih biasa dibawa dalam majalah-majalah bercorak keagamaan. Pun begitu, sajak ini tidak sebiasa yang tersiar di situ. Tetapi tidak janggal pula termuat menyerlahkan perbezaan berbanding karya-karya lain senaskhah dengannya. Aku nampak ungkapannya lembut tetapi meletus-letus, memercik-mercik dan menyuara-bicarakan kesungguhan. Tentang kebesaran Pencipta dan kehinaan ciptaan-Nya.
Kukira, dengan sengaja lagi menepati, diulang-ulangnya perkataan “sungguh” sebanyak tujuh kali. Dan ini bukan perbezaan antara satu “sungguh” dengan “sungguh”-“sungguh” yang lain. Setiap kali diluahkan, semakin nyata hasratnya, iaitu memaparkan kolam rasa kejujurannya, mengakui kekerdilan diri dalam alam buana yang begitu istimewa diciptakan Ilahi. Segala-gala itu adalah “anugerah” yang sepenuh jiwa diinsafi beliau. Benar-benar tak dipersesiakan, sebaliknya “bertafakur” menikmati limpahan rahmat dengan dengan didorong kesedaran tanggungjawab seorang hamba. Tak putus-putus dialirkannya denyutan kesyukuran. Dalam ketaatan ketawadhukan itu, “Kan kuteruskan perjalanan ini” selama tempoh yang ditentukan. Insya-Allah!
ASKAT: Ada usul mendakwahi diriku, walaupun penyajak hanya membatasi pengakuan ke-Maha Besar-an Tuhan tertuju kepadanya sahaja. Sebagai pembaca, aku menumpang tuah daripada sanjungan itu untuk mencari pahala dengan meneladani beliau. Merenong fakta tentang kewujudan alam semesta dan tuntutan agar bertaqwa. Kerap hal ini dilupakan oleh terkaburnya pandangan lantaran tarikan gemerlapan semua yang sementara dalam kehidupan dunia. Hidup ini sebenarnya mengharapkan keredhaan-Nya jua.
— at Dewan Sastera, Disember 2000.

Pantulan 83/14: Sajak Siti Zainon Ismail, “Kisah”,

Pantulan 83/14: Digulung gelombang
Sajak 33 tahun lampau, palitan keperitan suatu sudut kehidupan insan, renjisan kata-kata Siti Zainon Ismail, “Kisah”, Dewan Sastera, Julai 1981, muka surat 12 menyentuh dunia kecilku, era anak-anak nelayan bersekolah demi belajar agar pandai membaca cuma. Kalau bernasib baik, sempat meningkat tamat di darjah enam. Selepas itu mengambil pilihan tunggal, menjadi awak pukat tangkul meneruskan penghidupan seperti nenek moyang. Zaman-berzaman. Hakikatnya, tiada nelayan yang senang-lenang, apalagi untuk mewariskan harta kepada keturunan. Memikirkan wawasan menjadi bestari. Dan benarlah kata-kata tentang keberadaan mereka, hidup mereka setakat berpada dengan yang ada – ke laut hari ini untuk menyuap keluarga esok pagi. Dan mencari lagi, dan lagi. Dari tengkujuh ke tengkujuh, silih berganti. Para remaja berkahwin juga, dan menambah zuriat seperti ghalibnya manusia. Dan hidup demikian berterusan dengan rezeki ala kadar. Demikianlah pada tahun-tahun 1950-an, 1960-an dan 1970-an. Dan nelayan tidak bertambah bahkan berkurangan. Rupa-rupanya ada yang kecundang, membuang kail dan unjam, naik ke ‘darat’ membanting tulang, meneroka hutan di tanah-tanah rancangan, atau melakukan apa sahaja, untuk sesuap nasi mengisi perut sendiri dan tanggungan.
ASKAT: Akulah peneroka, yang terlepas dari jaringan kemiskinan. Perintis perubahan nasib yang membelit, berjaya dengan keluar dari jeratan. Sesekali aku kembali meninjau tempat asal kejadian dan semakin menghargai keindahan alam. Laut yang kebiruan. Ombak yang berdesiran. Gelombang yang mengumbang-ambingkan, tiupan bayu membelai nyaman, pasir putih tiada tercemar, pantai yang berteluk menjernihkn pandangan, dengan pepohon kelapa dan ru berjajaran. Aku pun tidak lupa kesaujanaan pandangan. Pulau-pulau melingkungi kaki langit sedang mentari pagi melepaskan sinar benderang. Semuanya masih serupa, walaupun aku bukan lagi mewargainya. Selaku pelancung, di situlah pilihan terunggul bersantaian. Tetapi dari segi yang lebih bererti, membaca “kisah”, sedang aku telah tiba di hujung jalan, mengembalikan adunan kehidupan silam, membuka lipatan ingatan. Benar, semua kisah tertanam subur menjadi pengajaran dan mewarnai keperibadian.
— at Dewan Sastera, Julai 1981.

Pantulan 82/14: Sajak Azmi Yusoff, “Seorang Pahlawan Yang Tewas – dari sebuah episod wayang kulit”

Pantulan 82/14: Bota kulit
Melewati, dan terpaku dengan sajak Azmi Yusoff, “Seorang Pahlawan Yang Tewas – dari sebuah episod wayang kulit”, Dewan Sastera, Mac 1977, muka surat 40. Dan, aku sukar menahan diri, kalau wayang kulit yang diperi, apalagi dengan mahir sekali seakan berada semula, sendiri, bersila mendongak di depan kelir, mendengar Pak Dalang menghidupkan keperwiraan panglima-panglima dalam cerita-ceritanya. Ya, gendang, serunai, gong dan lain-lain ada peranan besar, saling memperkukuh sehingga adegan yang ditampilkan menjadi tersangat hidup dan memukauku. Dan, dalam membaca sajak ini dalang itu berupa Azmi, kerana beliau telah mengambil alih peranan Tok Dalang dengan cekatan. Nampak terang Seri Rama, Laksamana, Rawana, Hanuman, bota-bota, dan lain-lain beraksi setepat iringan musik sekehendak hati dalang. Sungguh menghiburkan.
ASKAT: Aku lebih menghargai untaian akhir puisi ini. Pahlawan itu tidak mati walaupun sungguh tercula oleh ketewasan berkali-kali. Ia akan muncul lagi, mengganas lagi, tersisih lagi dan tetap kembali melaksanakan ikrar janji. Ya, selagi Tok Dalang mengisytiharkan peperangan di layar putihnya. Tetapi, kalaulah pahlawan bertindak sempurna, bertempat, bahagialah para pemujanya bahkan rakyat jelata. Dan kalau pun ia benar-benar mati, dia masih hidup di sanubari. Lama sekali. Tiada kecundang kalau ia sejati pahlawan.
(NOTA: Sajak ini termuat juga dalam antologi terbaru Azmi Yusoff, “Sakar Mawar”, ITBM, 2014, muka surat 28. Tarikh ciptaan dinyatakan 1976).
— at Dewan Sastera, Mac 1977