Sunday 3 July 2016

Fragmen Memoir – Balik kampung (12)

Fragmen Memoir – Balik kampung (12)
Pegawai Kemajuan Negeri Terengganu ketika itu bernama Nawawi bin Kamaruddin. Beliau telah beberapa tahun menyandang jawatan tersebut. Beliau kukenali nama dan perawakannya sahaja. Dia bekerja di Bahagian Perjawatan, JPA sebelum bertugas di situ. Pernah juga kulihat kelibatnya di Kampung Tunku, suatu waktu dia berkunjung dan berbual-bual di depan pagar rumah Samsudin bin Osman kawan beliau yang juga pernah sama-sama bekerja di Bahagian Perjawatan, yang tinggal tak jauh dari rumahku. Nawawi, kemudian kuketahui, rupa-rupanya memiliki sebuah rumah banglo di situ juga.
Perawakan Nawawi seimbas pandang nampak serius. Apabila kali pertama bertemunya, melaporkan diri, ternyata seorang yang periang, bersahaja dan suka berjenaka. Ada keunikan pula caranya berseloroh. Sangat selamba lagi menyenangkan. Dia mengalu-ngalu kedatanganku dan berharap aku boleh menyesuaikan diri dengan sekitaran kerja baru dalam masa yang singkat. Tidak terasa ada apa-apa tekanan dan penekanan terhadapku untuk melaksanakan senarai tugas yang ditetapkan. Keadaan ini menimbulkan sedikit persoalan sama ada aku mempunyai keutamaan atau ‘misi’ dalam menjalankan tugas-tugas berkenaan. Sekurang-kurangnya dari perspektif seorang bos.

Fragmen Memoir – Balik kampung (11)

Fragmen Memoir – Balik kampung (11)
Dalam dua minggu yang diberikan itu kuaturkan semua yang perlu. Kuala Terengganu tempat baru. Aku tidak pernah singgah lama di situ. Dahulu, bandar ini jadi laluan balik ke Besut dari Kuala Lumpur. Kenalan atau sedara mara tiada kupastikan dimana setepatnya, walaupun memang ada seorang dua. Aku kena mencari kenalan yang boleh meringankan masalah. Sekarang baharulah aku teringat untuk berkunjung ke rumah Pak Cik Daik. Dia boleh dikira bapa angkatku. Ketika aku di darjah enam di Besut aku pernah tinggal bersama-sama beliau sekeluarga di rumah sewanya di Kampung Raja. Ketika itu dia bekerja sebagai S.O. di Pejabat Tanah Besut. Semasa sudah di universiti pernah juga aku singgah di rumahnya di Bukit Besar. Kemudian, sekali sekala ada juga aku kunjungi sekadar mempastikan tidak pupus perhubungan.
Aku bersendirian ke Kuala Terengganu untuk melaporkan diri ke Pejabat Kemajuan Negeri. Keluarga harus tinggal di Petaling Jaya seketika. Beberapa urusan perlu dilakukan sebelum kami berpindah tikar bantal. Maka apabila aku sudah tiba di Kuala Terengganu, sebelum melaporkan diri di pejabat baru, aku mengunjungi Pak Cik Daik. Rumahnya di Bukit Besar kelihatan selesa. Halamannya pun luas. Aku pernah berkunjung di tapak yang sama, di rumah ibu bapa isterinya yang berdekatan, pada tahun 1963.
Aku memberitahu masalah. Kuarters kerajaan tidak banyak. Kerajaan Negeri hanya menyediakan kuarters kepada Pegawai Kemajuan Negeri. Aku tidak diberi keutamaan. Kunyatakan hasratku untuk menumpang di rumah beliau sambil mencari rumah sewa yang sesuai. Beliau dan isterinya, Kak Yah tidak keberatan. Anak-anak mereka berada di Kuala Lumpur, bekerja atau belajar di universiti. Mereka balik ketika bercuti. Pak Cik Daik sudah berhenti awal daripada perkhidmatan negeri. Kini dia menceburi bidang pembinaan sebagai kontraktor.
Sebuah bilik di bahagian belakang rumah diberikan untukku, lengkap dengan kemudahan bilik mandi. Dari sinilah aku ke Wisma Darul Iman melaporkan diri. Jaraknya yang dekat menjadikan tempat itu sangat selesa. Tambahan pula di luar pagar rumah itulah Pasar Maghrib setiap hari membuka perniagaan.

Saturday 2 July 2016

Fragmen Memoir – Balik kampung (10)

Fragmen Memoir – Balik kampung (10)
Aku sudah berkhidmat di situ selama empat tahun tiga bulan. Kini aku telah menerima arahan pertukaran. Tetapi bukan keperitan itu yang mendesakku berubah haluan. Keperitan lain yang lebih lama menyelubungi kami jauh menguasai. Kami telah dibuntukan oleh keperitan itu. Semenjak sebelum mengalami kepedasan di BLKK.
Dalam masa dua minggu tempoh persediaan yang terluang aku telah mulai berkenalan semula dengan ICU. ICU yang kutinggalkan pada tahun 1975 dulu diketuai oleh Dato' Mohd. Saffian bin Hj. Abdul Majid. Sekarang (1988) Ketua Pengarahnya ialah Dato' Zainol bin Mahmood. Salah seorang Timbalan Ketua Pengarahnya ialah Puan Fauziah binti Dato' Ismail. Beliau orang Terengganu dan pernah juga menjawat Timbalan Pengarah BLKK suatu ketika dahulu. Ketika aku di Bahagian Perkhidmatan, JPA beliau juga salah seorang Timbalan Pengarah di bahagian itu. Sungguhpun aku tidak pernah bertugas di bawah seliaan langsung beliau, kami saling mengenali sebagai seorang yang lebih senior dengan yang masih junior. Puan Fauziah bertanggungjawab dalam hal ehwal pembangunan sosial dan kemasyarakatan. Kepada beliaulah aku melaporkan diri di Ibu Pejabat ICU pada 1 April 1988.
Tiada apa yang perlu kubuat di ibu pejabat kerana aku ditempatkan mengisi jawatan di Pejabat Kemajuan Negeri Terengganu. Di sanalah aku harus berada dan bersedia mengambil alih tugas-tugas yang sedang menunggu. Ke sanalah aku segera menuju pergi.