Saturday 1 September 2018

Pantulan E/02/14/2018: Sajak Ahmad Sarju, :Menebus Nama”

Pantulan E/02/14/2018: Jati diri tak sejati
Kalau dimulai dengan Abdullah Munsyi, Pendeta Za'ba, Aminuddin Baki, dan siapa lagi, berubahkah penghakisan bersiri yang belum lagi terkendali? Menguruti sejarah, segelintir terpelihara selainnya bercempera lantaran pembelaan berpasang surut diruntun pertimbangan mini jauh daripada melestarikan kemertabatan peribumi.
Yang lazimnya, sesuatu yang berharga apabila hilang pastilah meledaki ketenteraman. Tetapi, masalahnya, jika yang sedang menipis hilang itu milik bersama (dipusakai?) amat sukar untuk mendapat kesepakatan bertindak seragam, serentak dan dandan iaitu sebaik sahaja berlaku ‘kemungkaran’. Sebab, sentiasa ada dua atau tiga pihak yang berpendirian tidak sehala menangani masalah itu, digembalai kepentingan yang bersaingan. Masing-masing merasa lebih bijaksana mencari penyelesaian.
Ambillah nama Tanah Melayu. Kini yang tinggal ialah Keretapi Tanah Melayu. Dalam pemakaian harian sekarang nama bermanfaat itu sudah tidak lagi kedengaran. Tiada lagi bersenandung Semenanjung Tanah Melayu, Persekutuan Tanah Melayu, negeri-negeri Melayu. Toleransi telah melorongkan wujudnya situasi yang menyusuli.
Pun, Baju Melayu dipakai oleh individu-individu tatkala perlu.
Di kalangan permasalahan yang masih menendas minda masa kini ‘bahasa Melayu’ sedang bertarung dengan ‘bahasa Malaysia’. Ini hanya sekadar mengaitkan nama. Amalinya, seakan boleh saling bertukar! Dari sudut kepihakan, ada yang mendukung sebutan awal sedangkan bukan tiada pula selesa dengan sebutan kedua. Memahami dan menyebelahi setiap kumpulan yang mendalangi wadah perjuangan pun memang satu cabaran, kalaupun sekadar hendak mengerti rasional pendirian. Apabila bertembung pula dengan kelompok-kelompok berlainan budaya ia berterusan seperti selama ini dialami!
Dokumentasi tentang kebahasaan kebangsaan telah ensiklopedik terlipat di dada kertas-kertas kerja, majalah-majalah Dewan Bahasa dan Pustaka dan lain-lainnya. Puluhan tahun penyaksian peribadi membentuk pendirian. Sebenarnya wacana-wacana sekarang adalah semuanya pengulangan!
Harga diri peribadi banyak bergantung kepada faktor-faktor mutlak melatari niat untuk kekal terpelihara seperti semula. Berkebangsaan. Tetapi sebagai satu ‘bangsa’ bernegara serba warga faktor-faktor yang mempengaruhi wawasan beraneka, lagi dengan kompleksitinya. Setiap tangkisan membingkas tepisan. Puluhan tahun, bentrukan puak telah meletus dan isu-isu bukan tiada diakuri kaedah-kaedah penyelesaiannya. Namun, disebalik pemeteraian garis-garis bergerak menuju matlamat ia tinggal sebagai sumber yang tetap dipertikaikan. Padahalnya, bukan tidak berwibawa dokumen-dokumen yang dipegang. Bukan calang-calang malah diungguli Perlembagaan.
Kehidupan masing-masing berterusan dalam kegetiran rasa sendiri-sendiri. Kian menapak ke depan kian hilang jati diri. Hasrat untuk menyelesaikan sentiasa membara tetapi bara itu kian mengecil, sehingga cukup diibaratkan liuk-lintuk cahaya dian sahaja. Kalau ia lautan, ombakannya tanpa gelora.
Perpecahan telah kian meretakkan. Ia dbaluti situasi melampaui asali. Para pelakon sudah keluar dari sekitaran dahulu dan menyesuaikan diri dengan tuntutan masa kini. Kematangan tidak pernah tiba di takahnya. Mereka sentiasa bertatih menuju destinasi masing-masing.
Aku sudah tidak yakin lagi ada di kalangan mereka sedia sejiwa setelah merobah jati diri dalam hampir serba-serbi.
Yang pergi terpisah sudah. Tiada siapa sedia menggalang ganti kerana yang bersimpati bukan pun ada geliga sakti.
Untuk versi lain, bacalah, Ahmad Sarju, Jalan Kebun, Kelang, “Menebus Nama”, (Dunia Persajakan), DIAN, bilangan 40, Tahun X, 1971, muka surat 88-89.

Pantulan C/02/13/2018: Sajak Norhisham Mustafa, “Pahlawan”

Pantulan C/02/13/2018: Mencari Wira
Terhibur sekali oleh gubahan Norhisham Mustafa, berupa “Pahlawan”, (Puisi), WIDYA, November 1979, muka surat 31. Tetapi sekali gus direntap perit oleh bauran perihalan peristiwa dialami seorang setiawan yang dikhianati penguasa tempat dia berbakti.
Aku hanya menumpukan kepada inti ‘satu’, iaitu definisi, kepahlawanan. Maka, seia benar aku dengan setiap yang diperikan tentang wira yang berjasa itu. Dalam pada itu aku sungguh kagum dengan segala pengorbanan yang dilakukan. Lantaran, tidak mahu sangat kupersoalkan bila ternyata dedikasi dan komitmen itu sehingga memerosotkan kebahagiaan insan lain yang sangat rapat dengannya, iaitu isterinya sendiri. Namun, sebagai sebaris kalimat puisi, siapa tak tersentuh sanubari apabila diperikan sang wira bertindak menganiayai, “dibiarkan isterinya sengsara dalam sepi”. Hanya kerana keghairahan menjunjung duli sepenuh hati.
Aku bersedia mengakuri semua yang lain mahu dilanjutkan oleh Hisham kerana percaya apa pun lagi bakal menyusuli, munasabahnya tetap selari dengan baris-baris yang mendahului. Ertinya, sampai ke akhir pun kalimat-kalimat akan tetap berterusan memuji “pahlawan” itu dengan segala kemithaliannya.
Tiba-tiba, benar-benar aku tersentak dengan fakta ‘dua’, terserlah dalam sembilan kalimat terakhir, menceritakan tragedi. Pahlawan itu “… mati menghirup racun/beberapa detik setelah isterinya/dimukahi raja.” [Adakah kerana hendak menghilang “sepi”?]
Tidak mahu aku menggandingkan pemerian ‘satu’ dengan fakta ‘dua’, bahkan jauh sekali untuk menggembleng kedua-duanya. Sebab, bagaimana seorang wira negara bersedia mati katak kerana merelai kehormatan diri (dan isteri?) dibaculi tanpa terbela? Tergamak dibiarkan arang terpangkah di muka? Sekurang-kurangnya, harga diri dilestari, bertindak lebih bermaruah setara kebaktian dicurah. Sedangkan, apabila sedia pula ia mengakuri salah nafsu yang berlaku di luar batasan, terhadap hak milik peribadi, yang bukan untuk dikongsi sama sekali, maka sebutan “seorang pahlawan” sudah terbuka kepada perdebatan!
Ini satu episod berkomplikasi luar biasa. Dan, kalau zaman adalah semasa, pastilah ia tidak boleh diterima. Kezaliman dan pengkhianatan ini seharusnya dihakimi serupa, setara tanpa mengira siapa, bukan diamalkan piawai berganda. Yang melakukan honar diseret ke muka dan disabitkan stigma setimpal dosanya.
Malangnya, pahlawan sebegitu aku akui pernah tersohor suatu ketika dahulu kala. Zaman itu benar-benarlah penguasa berleluasa, bermaharajalela?
Sejarah (?) merakam peristiwa. Tafsiran dan pendirian manusia berubah-ubah apabila era dan watak-watak berbeza rona.

Pantulan B/01/12/2018 :Sajak Siti Zaleha M. Hashim, “Kita Cuma Bersapa Penghuni Maya”

Pantulan B/01/12/2018 : Dasar Memadu Cinta
Alam maya sesungguhnya sedia ada. Lama dahulu. Tiba-tiba, alam itu kini merealiti!
Benarkah “orang yang sangsi/pada diri/ terlalu mengukur tinggi”? Bukankah demikian hanya bertujuan untuk mempastikan seseorang lain itu benar-benar dikenali luar-dalamnya sebelum ia nekad menjalin satu perhubungan yang setara atau sekufu, bakal menjurus ke puncak dan bersatu?
Dalam konteks senario yang digambarkan, aku cenderung mensepakati pendekatan mencungkil sebanyak mungkin keterangan tentang seseorang atau sesuatu pihak demi kemudiannya melandaskan perhubungan yang berterusan, diharapkan saling memanfaatkan. Itu sewajarnya tidak mencurigakan, demi kebaikan semua yang berkaitan. Malangnya pendirian dan juga kriteria-kriteria yang memandu keputusan tidak sentiasa disepakati atau boleh ditolak-ansorkan. Maka terhentilah bibit-bibit yang menjanjikan, tanpa susulan.
Pun, ada kejujuran dari jawapan “ku” terhadap “kau”. Namun, hubungan antara kedua-duanya terhadang lantaran kecurigaan menguasai. Maknanya, niat awal, walaupun murni, untuk merobah kepada jadi lebih intim lagi tidak mungkin bersemi kerana titik bertindak salah satu atau kedua-dua pihak tidak membenarkan ianya marak.
Pengakuan “aku” ternyata menjelaskan hakikat bahawa ia tetap seorang yang berprinsip atau bermaruah. Demikian itu jadi pegangan menjalani kehidupannya peribadi. Aku suka mengertikan situasi itu sebagai ketiadaan sikap memperkecil atau meremehkan demi mengekal dan mengharmonikan perhubungan, lebih-lebih lagi kalau berhasrat menggembleng jalinan ikatan melampaui persahabatan biasa antara insan berlainan jantina.
Sajak “Kita Cuma Bersapa Penghuni Maya” oleh Siti Zaleha M. Hashim, K.L. ’78, termuat dalam WIDYA, Ogos 1978, muka surat 20, sudah hampir 40 tahun tercipta, ketika karyawan ini hampir mencecah usia dewasa. Lenggok susunan kata-katanya menepati hasrat hati langsung mendukung kegemulaian rasa jiwa, baik siapa pun menghayatinya.
Comments
Siti Zaleha M. Hashim Ribuan terima kasih Dato', benar 40 tahun yang puisi ini ditulis dan Dato masih menyimpan majalah ini, koleksi Dato sangat bermakna, tidak ramai mempunyai koleksi seperti Dato'. Saya share ya.

Pantulan C/01/11/2018: Sajak M. Ashikin [Mohd Mansor Abdullah], “Kulihat Dunia”

Pantulan C/01/11/2018: Versi lain
Dunia ini, sama ada suatu ketika dahulu, atau seperti di depan mata sekarang ini, adakah berlainan? Boleh jadi, kalau dari segi infrastruktur, kecanggihan komunikasi dan aneka penemuan mutakhir lebih tertonjol kelainan (baca ‘kemajuan’) diantara dua masa tersebut. Tetapi M. Ashikin [Mohd Mansor Abdullah], lewat “Kulihat Dunia”, (Sajak), Mastika, Disember 1987, muka surat 38, tidak mengambil kira segi ini. Segi yang ditumpuinya ialah segi hakiki, membabitkan perlakuan manusia dan tentunya yang lebih menjolok ialah tingkah-tingkah berunsur menjaga kepentingan diri. Fenomena yang terpemenai bercendawanan adalah persenyahan hak orang lain.
Maka, sangat malanglah, sedang kita maju memodenkan kehidupan, dengan serba-serbi kemudahan yang tidak pernah dinikmati nenek moyang, sekali gus kita meruntuhkan ciri-ciri pengikat persefahaman yang menjadi asas kemasyarakatan bestari. Yang diutamakan kini ialah bertakhta di menara, berkuasa sesasa nawaitu nafsu berhantu, berbicara diruntun helah sebelah, dipandu cecita puaka; asalkan diri sendiri, atau saudara mara yang melaba. Sanya, hasrat mengiakan cara.
Benarkah begitu sekali ehwal keduniaan ini? Semuanya hitam legam tiada tercalar sedikit putih pun lagi? Pada satu senario berbeza, alangkah lemah kita tidak berupaya menggembleng alternatif keperluan sejati! Lalu, membiarkan diri jadi sebahagian khalayak disasar digilis seumpamanya tanpa bercendekiawanan. Tanpa menepis walau seiris.
Seolah-olah kita tiada diberi pilihan, bertimpa-timpa dibumbui bisa sengatan. Sedangkan berdiam diri tidak memberi saham meneroka penyelesaian.
Seperti situasi kini, mengekalkan tradisi bukan jawapan bahkan serupa memihak kepada pengganti yang majal, pasti pula merugikan. Dilema sebeginilah yang dihadapi dalam menjalani penghidupan pincang. Masing-masing nampak cekatan merumus pendirian. Bahawa, kita betul, mereka petualang!’ Tetapi hakikat yang mengukuh, dan makin berterusan ialah pengakhiran yang terang. Kita akan kehilangan semua yang bermakna. Ironinya, kita pun tahu ia sewajarnya terjamin oleh permuafakatan – asalkan kita mencengkam kepentingan remehan peribadian atau puakan.
Kebenaran pada skala mega seharusnya dihindar dari terdampar. Demikian dikehendaki demi kelangsungan bererti. Namun, rentetan peristiwa ternyata menggera kegeliinciran arah daripada kembali bermaruah.
(NOTA: Aku menyemak “Salam Anak-anak Inderapura”, (2007) dan “Lembah Damai” (2014), namun “Kulihat Dunia” tidak termasuk di dalam kedua-duanya. Kumpulan sajak pertama itu adalah kompilasi 111 sajak ciptaan tahun-tahun 1961-2005 manakala kumpulan sajak kedua mengandungi 73 sajak ciptaan tahun-tahun 1974-2010).

Pantulan C/01/10/2018: Sajak Leo A.W.S., [Leo Aws], “Sawah Padi, Dusun Duku”

Pantulan C/01/10/2018: Tinggal di Minda
Jangka masa 32 tahun dalam ukuran umur insan biasa kukira lama. Ia berdaya merobahkan serba-serbinya. Seorang bayi baru dilahirkan apabila mencapai umur 32 tahun besar kemungkinan telah berijazah, berkerjaya, berumahtangga, berzuriat dua tiga, dan berharta setimpal usahanya. Kalau seseorang itu dulu telah sedia menceburi alam pekerjaan, hampir benarlah ia kini akan bersara kerana dianggap tua oleh akta yang berkuat kuasa.
Begitu juga, desa yang terlukis cantik oleh Leo A.W.S., [Leo Aws] lewat “Sawah Padi, Dusun Duku” pun tentu menempa wajah bukan tradisi lagi. Anak-anak muda entah di mana mengongsi? Sawah padi yang terbentang saujana mungkin dikelompoki rumah banglo di sana-sini. Ada pula jalanraya menerokai ceruk rantau yang dahulu tersembunyi.
Sedang haruan dan keli penghuni bendang yang dahulu ditaut ketika musim mengetam, benih-benihnya sudah tertimbus mati, Padang yang menghijau redup pada sinaran pagi dan menguning matang sewaktu senja berkisar ke malam, tidak berseri lagi. Tumbuh berceracakan gantinya berupa kompleks pentadbiran kerajaan, pusat bandar berwajah canggih dan agam, taman-taman perumahan dimiliki pemakan gaji atau peniaga RTC!
Lalu, ke mana lupusnya kerbau lembu yang ketika digantikan Kobota dahulu pun sudah tidak menentu hala tujunya itu?
Namun, sesekali, mujurlah aku masih dapat melihat dokong berbuah lebat di dusun isteri, suburnya menghasilkan rezeki sekali gus kebaziran kerana terbiar menunggu hari. Demikianlah, setelah sekian lama bermastautin di tempat menimba rezeki sampai tua.
Hanya, setiap Hari Raya masih terusik jiwa menggera kembali ke akar asal mula.
Mencelah pula dilema, anak cucu lagi tidak sedestinasi. Mereka mahu kami berada di kota ini. Di sini pilihan lebih menjanji dan memesrai mereka berbanding di desa itu. Di sinilah tersemai harapan masa depan.
Maka, tak terhindari lagi, kenangan lamaku bakal mengekori ke pusara.
Comments
Leo Aws Berbanyak terima kasih Dato Ahmad Said yang mengembalikan "Pantulan" puisi berusia 32 tahun (ditulis pada 1986?) secara mendalam; huraiannya akan perubahan di sawah2 padi kita yang banyak tidak lagi dikerjakan secara tradisional .. lembu kerbau membajak bahkan kabota yang kecil itu; memang sawah2 berganti perumahan dan tapak2 pembangunan persis di RTC Tunjong & Pejabat2 Pendidikan dan premis perniagaan; sementelah kita sentiasa sensitif akan permasalahan petani umumnya dek tali air/ pengairan (konflik kerajaan Persekutuan & tanah negeri/ tiada langsung projek mega Pertanian semasa UmnoBN- Perikatan lagi; adakah kini Kerajaan Malaysia Baharu/ PH pedulikan masalah petani kerana menterinya pernah jadi YB Parlimen Nilam Puri @ Kubang Kerian? 
* bahagian 2. Dusun Duku Dewan Beta; zon buah2an teristimewa musim duku masak (biasanya musim tengkujuh Nov. - Dis setiap tahun); Duku Dewan sesungguhnya Dato adalah luar biasa; mereka memiliki kebun atau peraih/ usahawan duku yang memajak banyak di kebun2 duku bukan memiliki sepohon dua Dato ..
Ada sekurang2nya jenis duku; langsat dan dokong yang Dato miliki sepohon dua di kg. Pendek Salor tu!
* sebenarnya puisi ini telah jadi kontroversi kita dan Pensyair deklamator Pahang Marsli N. O .. yang barangkali beliau tidak memahami banyak persoalan dalam sajak yang menggambarkan aktiviti petani seperti membakar jerami waktu petang; dahulu mereka tanam padi dua kali setahun terpaksa merebut waktu hujan ..
Di kebun duku pula ia diuruskan pemajak duku; yang upah orang naik petik duku; dan ada itu "reriang/ riang" berbunyi sebagai muzik belukar yang di Sarawak saiznya besar kita namakan 'indu utai' sebagai penghuni rimba nan unik (kenangan dalam intuisi memoir sahaja) ..
Manage