Saturday, 1 September 2018

Pantulan A/01/02/2018: Sajak Rudi Mahmood, “Menatap Sunyi”,

Pantulan A/01/02/2018: Musikal tragedi
Latar kedukaan yang menyelubungi suasana telah menghadirkan tekanan yang meladungkan penderitaan tanpa selindung lagi. Yang demikian terpancar walaupun kata-kata tidak terucapkan. Ia sebaliknya melintaskan makna yang tiada lain kecuali bererti kehampaan yang pedih bersangatan. Sekali gus rasa ini menyelinap masuk ke sanubari apabila ‘menatap’ sajak Rudi Mahmood, “Menatap Sunyi”, Dewan Sastera, Ogos 1982, muka surat 14. Tetapi sajak initidak dibaca sekali dua. Ia menghela minda mengulanginya satu-satu, satu per satu – kata-kata, kalimat-kalimat, rangkap-rangkapnya. Mulanya ia dibaca secara kronologi seperti yang asli. Kemudian ia dibaca lagi berkali-kali secara turutan susunan sendiri demi mencungkil inti tersembunyi.
Tetapi yang lebih penting ialah bagaimana kata-kata boleh disambung berangkaian sehingga melantunkan kemerduan mengandungi misteri lantas memeras minda menjana satu tafsiran konkrit yang diniati Rudi. Pun, hal ini adalah persoalan kedua. Kerana, yang lebih utama ialah menikmati nada seni yang tercetus oleh ulian semua kata yang menghantui penelitian.
“Menatap Sunyi” sebagai judul diulangi berekonomi, iaitu dua kali lagi, dalam dua daripada lima rangkap keseluruhannya. Dan setiap kali frasa itu tampil ia telah meneguhkan ciptaan ini tiba pada suatu penyudahan yang amat muktamad. Bahawa tragedi yang terjadi kekal sebati. Ia nanti mengiringi “aku” sewajarnya berterusan bahkan sehingga ke alam baqa.
Demikianlah sajak. Penyusunan kata-kata sampai selesai merumuskan niat pencipta dengan kelembutan yang mengimpakkan peneliti adalah suatu aspek yang paling utama. Makna yang terselak melalui senaman minda, walau secebis tidak sama sekali menarah kejituannya. Ia malah lebih mengasyikkan.
Comments
Rudi Mahmood T. Kasih Dato Ahmad Said, karya 36 tahun yg lampau

No comments:

Post a Comment