Rapuh (2)
Semenjak dua minggu penghujung tahun 2017 hingga ke saat ini (25 Februari 2018) koleksi bukuku malah bertambah dengan banyaknya. Mengatasi mana-mana koleksi kala lain, yang memang juga tidak boleh dikira kurang.
Ada sebab-sebab khusus di sebalik fenomena tersebut. Satu, kerana sebuah kedai ikon buku tiba-tiba ‘menggulung tikar’. Tawaran istimewa kudapati kerana komitmen membeliku yang ‘ungggul’ tertonjol. Kedua, di dua lokasi lain, ada ‘SALE’ berkala yang benar-benar menghantukan. Aku mendapat kepuasan yang berbaloi dalam situasi-situasi diperikan itu.
Maka di sanalah masa primaku dihabiskan kebelakangan ini. Kadang-kadang, satu kedai buku ikon itu kukunjungi dua kali sehari; sebelah pagi dan kemudian sebelah petang. Ini berlaku oleh beberapa sebab. Pertama, ada kes aku perlu membawa pulang ke rumah barang-barang bukan buku juga, sehingga lebih dari satu trip dilakukan melibatkan tempat-tempat yang sama. Ia membabitkan waktu sebelah pagi dan sebelah petang. Masa yang terluang antar ulangan mengangkut itu tidak kulepaskan. Kuselongkari rak-rak dan membeli lagi buku-buku tambahan sebelum menyelesaikan angkutan yang diperlukan.
Kedua, apabila isteri juga ingin membeli buku-buku pilihan beliau tetapi tidak dapat menyertaiku pada sebelah pagi lantaran halangan tertentu, sedangkan aku sendiri tidak dapat menahan gian diri untuk pergi pada sebelah pagi. Penangguhan akan mengganggu ketenteraman emosi. Maka dalam keadaan demikian, pada sesi sebelah petang, sedang isteri memilih buku-buku beliau, aku tumpang sekaki menggali buku-buku dalam bidang pilihanku pula.
Terkadang, terjadi juga pembelian ‘besar-besaran’ pada dua tempat/kedai yang berasingan. Misalnya, apabila kedai ikon kukunjungi sebelah pagi, kedai B di lokasi lain, kujelangi pada sebelah petangnya. Ada juga aku lakukan cara yang sedikit berlainan, iaitu apabila aku jelangi kedai ikon setiap hari, dari Isnin sampai Jumaat, dan kedai B dikunjungi pada hari Sabtu.
Satu perkara yang mustahak juga ialah kegemblengan minat terhadap buku. Isteriku tidaklah kuanggap ‘giler buku’ setarafku. Beliau lebih membeli buku-buku yang benar-benar hendak dibacanya sedangkan aku mengambil judul-judul bidang-bidang kegemaran; tidak terikat sangat oleh keinginan membacanya sebaliknya lebih hendak memiliki naskhah-naskhahnya. Tetapi dalam kelainan itu, apabila kami bersama-sama di kedai buku, masing-masing dapat bertolak-ansur meluangkan masa menjadikannya penelitian kami masing-masing mencapai ‘kepuasan’.
Pun, ada juga keperluan untuk masing-masing mengekang ‘keghairahan’, terutamaku, demi menjadikan kami tidak menetaskan keresahan pasangan. Dalam hal begini, biasalah aku mengulangi semula bersendirian kedai buku tersebut. Tentulah kali ini penelitian bersendirian itu jadi komprehensif.
Selama tempoh atau fasa terakhir ini kurakamkan perbelanjaan yang terbabit: Ia banyak. Ribuan RM. Ada senarai buku dan perincian harga yang mungkin sesuai untuk satu paparan siri lain.
Dan, bersama-sama buku-buku itu, rak-rak baru pun mengambil ruang yang terhak masing-masing di rumahku.
No comments:
Post a Comment