Saturday, 1 September 2018

Rapuh 14

Rapuh 14
Pada hari Jumaat (13 April 2018) sebelah malamnya aku perlu berangkat ke Jakarta. Hampir pukul 12 tengah hari aku dan R meninggalkan rumah untuk ke Bandar Baru Bangi. R perlu dihantar ke rumah Era, anak kami yang tinggal sekeluarga di situ. Dengan begini, tidaklah berseorangan R di Kampung Tunku sedangkan aku berseronok di ibu kota Indonesia nanti.
Sebaik menurunkan R aku bergegas untuk bersolat Jumaat. Aku ke Surau Al Mujahidin di Taman Desa Surada, Seksyen 8, Bandar Baru Bangi. Itulah tempat yang paling mudah mengambil kira trafik, masa terluang dan juga maksud hati selepas solat fardu itu selesai kelak. Kuperhatikan banyak bendera PAS berkibar-kibar di sekitar kawasan itu.
Surau berJumaat ini besar juga. Apabila tiba waktunya Khatib bertugas naik ke mimbar. Beliau masih muda. Badannya agak gemuk sedangkan suaranya sedikit halus. Di mimbar dia berkhutbah tanpa teks. Tiada pula beliau memegang sebarang nota. Nada suaranya berapi-api lagi menggerunkan. Penyampaiannya lancar seakan dihafalnya. Yang nyata beliau menekankan dua perkara; jangan sekali-kali membongkar aib orang lain dan jangan menjadi batu api memecah-belahkan sesama Islam.
Aku menilai beliau adil membentangkan isi khutbah. Tiada ditujukan khusus kepada mana-mana pihak. Namun, jemaah boleh menganalisis sendiri. Mesejnya boleh jadi terkena betul sama ada kepada pihak yang sedang berkuasa, atau pihak sedang berjuang mendapatkan kuasa. Aku bersila mendengar di saf ketiga. Penyampaian bersemangat berjaya mengobarkan semangat seorang jemaah. Aku mendengar ‘laungan’ Allah yang mendidih walaupun terkawal volum suaranya sebagai mereaksi khutbah itu. Mungkin jemaah itu berada lima atau enam saf di belakangku.
Khatib itulah menjadi imam solat. Sebaik salam beliau terus berdoa. Doanya pun pendek dan ringkas. Majoriti kami pun bubar.
Dengan berkereta bukan mudah untuk memasuki jalan utama selepas meninggalkan padang parkir. Semua kenderaan berterak-terak untuk meninggalkan pekarangan surau serentak.
Ada dua jalan keluar menuju ke jalan utama. Jarak kedua-duanya kira-kira 40 meter. Masalahnya di atas jalanraya sudah ada kenderaan di kedua-dua hala. Kereta dari parkir surau pada kedua-dua laluan perlu menunggu luang yang terbuka untuk menyelit masuk ke jalan utama itu. Ada sistem giliran paksa terlaksana. Akhirnya, masa menyelesaikan kekalutan itu sewajarnya.
Sebaik Kelisa lancar di jalanraya aku menuju ke Gerai Cendol (opsyen Pulut) berhampiran Surau Al Abrar di Seksyen 7. Untuk tengah hari itulah makananku. Ia memadai. Sebenarnya, sebelum berlepas dari rumah tadi, aku telah mengambil makan tengah hari awal.
Selesai menghirup sudu terakhir cendol dan membayar harganya aku beredar. Tempat yang mencapai maksud hati hanya 20 meter dari situ. Ia beralamat di seberang jalan, bersetentangan dengan pintu pagar masuk ke surau. Dalam masa seminit aku sudah sampai di destinasi.
Ketika aku masuk ke dalam Kedai Buku Terpakai itu tuannya ada di kerusi menaip sesuatu di komputer. Kami memang saling mengenali. Kami berbual-bual ringan tentang perbukuan. Aku hanya mempunyai sejam setengah untuk menggeledah kabinet-kabinet yang sarat dengan buku-buku bahkan berlambakan di semua ruang premisnya. Memang seorang penggiler buku sahaja bersedia melakukan penyelongkaran.
Setiap rak pada setiap kabinet sekurang-kurangnya berisi dua lapis susunan buku. Tidaklah sukar untuk mengetahui judul-judul buku pada lapis luar. Sebaliknya, adalah sesuatu yang di luar kemampuan untuk mengetahui judul-judul lapisan bahagian dalaman tanpa memeras tenaga. Ia bertingkat-tingkat, sekurang-kurangnya empat tingkat, yang sama sahaja kepadatan susunan buku atau cara letaknya.
Kalau kita mahu benar-benar mengetahui judul-judul yang ada dalam barisan dalam setiap rak, buku-buku pada lapisan luarnya perlu dialihkan ke tempat lain. Ini bermakna kerja tambahan adalah dituntut. Itulah, kukira kebanyakan judul-judul buku itu akan menjadi misteri selamanya selagi tidak dikunjungi oleh orang-orang sepertiku. Pada analisis terakhirnya, kelak aku akan menjadi pakar yang begitu tahu judul-judul buku yang tersedia dan di rak-rak mana judul-judul itu tersorok. Pengunjung-pengunjung biasa mustahil merungkai misteri judul-judul yang terlindung di kedai ini.
Penggiler buku sepertiku rela bergelumang dalam limitasi premis; memanjat tangga untuk mengetahui judul-judul barisan dalam yang terletak di rak-rak tingkat tinggi. Juga, kalau perlu bersila di atas lantai, tidak keberatan. Selepas dialih buku-buku itu perlu dikembalikan ke tempat asal supaya rak-rak yang dilembang tadi kembali seakan kedudukan asalnya. Kesantunan begini dituntut walaupun tidak dinyatakan oleh pemiliknya.
Dalam melakukan semuanya ini, jangan menjangkakan bantuan tuannya. Pembeli bebas menyelongkar sendiri. Di mana-mana kabinet atau rak pun. Terpulang kepadanya memilih judul-judul yang dikehendaki. Penjual akan menetapkan harga semua buku yang kita berkenan. Itu babak terakhir.
Aku tidak jangka pemaparan semua judul yang ada boleh diselesaikan selagi ruang yang tersedia tetap sebesar sekarang. Aku sendiri tidak sangat bersungut atau tertekan oleh keadaan demikian. Hanya, keadaan sekarang benar-benar memberi cabaran kepadaku. Sebagai penggiler buku, ia tidak sama sekali mematahkan semangat. Tidak sekali-kali menumpulkan minat. Malah, ia menjadi tarikan kerana ‘thrill’ yang tercetus daripadanya.
Sudah lima kali aku mengunjungi kedai ini. Termasuk hari ini. Aku akan memberi masa yang mencukupi untuk menyelongkar semua judul yang tersedia. Aku menjangkakan enam atau tujuh kali kunjungan, setiap kalinya sekurang-kurangnya dua jam, boleh menyelesaikan misi yang menyeronokkan ini.
Lapan buah buku akhirnya terpilih. Aku membayar harga patut. Aku sudah perlu bergegas. Tidak boleh berlengah-lengah lagi. Era berjanji menghantarku ke KLIA pada pukul 4.30 petang. Kelewatan akan memerangkapkan kami dalam kesesakan lebuhraya selepas waktu pejabat.
Jakarta menuntut kehadiranku dalam misi yang lebih merangsangkan lagi. Itulah harapanku pada destinasi baru ini.
Comments
Ahmad David Kholilurrahman Pulau Resik Ungu terselip dalam tumpukan buku baru beli...
Manage
LikeShow More Reactions
Reply19w
Siti Zainon Ismail Syabas Dato. Buku dari perpustakaan pun jadi mangsa dilempar keluar. Mujur ada pengutip buku menyelamat Pulau Renik Ungu.
Syabas Pemilik Kedai Buku dan penggeledah 'penggiler' buku.
Manage
LikeShow More Reactions
Reply19w
Ahmad Said Saya menyemak kembali koleksi peribadi dan teryata buku tulisan J.S. Jessy, “From Empire to Commonwealth 1740-1963”, Darulaman Publications, 1971, first published, telah sedia ada. Naskhah awal telah saya beli di Pulau Pinang pada 13 Ogos 1992.
Manage
LikeShow More Reactions
Reply19w
Sahruddin Esa Syabas Dato' Ahmad Said...

No comments:

Post a Comment