Saturday, 1 September 2018

Rapuh 10

Rapuh 10
Pada hari Khamis, dalam perjalanan dari Petaling Jaya ke Kota Bharu itu, kami singgah makan tengah hari di Labok, Machang. Pernah sekali aku singgah di sini dalam perjalanan balik kampung yang awal. Ketika itu gulai seratinya tinggal sisa sahaja. Terlepaslah peluang untuk merasanya. Namun, lauk-pauk yang lain dikira ‘boleh tahan’. Ia wajar diulangi. Kali ini kami tiba di situ lebih awal. Gulai serati itu tetap ada. Belum habis. Hajat dalam hati untuk menikmati hidangan itu tercapailah. Dicampur dengan semangkuk sayur, dan dua gelas minuman berais, harga yang dibayar ialah RM22.00.
Kami meneruskan perjalanan ke Kota Bharu. Aku perlu membaiki handfonku yang meragam. Di pusat bandar, petugas kaunter UMobile menyelesaikan segera. Tidak sampai lima minit. Masih banyak masa terluang untuk meninjau buku-buku di Kedai Jaafar Rawas. Sementara itu, isteriku ke Pasar Siti Khadijah, memanfaatkan masa.
Sampai di premisnya, aku lantas menyelongkar tiga rak buku tawaran murah yang diletakkan di kaki lima kedai itu. Kebanyakannya buku-buku agama dan persekolahan. Sebahagian sedikit cacat oleh sebab-sebab tertentu. Dapat juga beberapa buah buku yang aku berkenan, pada diskaun 50%. Di samping itu tidak lupa aku membeli majalah Pengasuh terbaharu, Bilangan 656, Januari/Februari 2018. Memang, di sinilah aku membeli Pengasuh, setiap kali balik kampung.
Setengah jam ke pukul enam isteri datang. Dia meninjau kedai kain di situ. Sementara itu pekerja-pekerjanya mulai mengemaskan barangan sebagai mengakhiri perniagaan hari itu. Isteriku membeli sedikit kain. Kami meninggalkan tempat itu
Untuk makan malam kami membeli Nasi Kukus di Stadium. Harganya kukira amat murah. RM5.50 sebungkus. Nasinya banyak dan keratan ayamnya pun besar. Restoran ini menjadi salah satu tempat pilihan aku makan atau membeli makan tengah hari atau malam apabila berada di Kota Bharu.
Pada pagi Ahad, isteriku menemani adiknya ke Pejabat Tabung Haji Pasir Mas. Ada perkara mustahak perlu diselesaikan. Aku sendirian bersarapan di Medan Selera RTC. Sepiring Pulut Pagi dengan secawan Teh O mencukupi untuk mencapai waktu makan tengah hari. Aku ke Kedai Buku Jaafar Rawas, cawangan Tunjong, pula. Masa perlu digunakan secara berfaedah kerana pada jam 11 pagi aku dan isteri akan ke Kota Bharu mengunjungi Pesta Makanan, Pesta Kraf dan Pelancongan yang diadakan di Pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV.
Lebih kurang sejam setengah aku meninjau dan membelek buku-buku di situ. Akhirnya, tiga buah buku pelajaran Bahasa Arab kubeli. Sungguhpun sudah banyak buku-buku sepertinya dalam koleksi, masih kubelikan demi melayan hasrat mempelajari bahasa al-Quran lebih serius lagi!
Tiba masanya kami, aku dan isteri, sudah berada di pekarangan Stadium. Waktu ketika itu lebih kurang jam 12.00 tengah hari. Selepas meletak kereta, kami ke lokasi pesta. Sebahagian peniaga sudah mulai berniaga di gerai-gerai yang disediakan. Sebahagian lain kelihatan belum lagi bersedia. Cuaca sedikit panas. Kami tidak membeli apa-apa pun, sekadar meninjau kepelbagaian makanan yang ada. Kudapati ramai juga di kalangan peniaga yang menyertai pesta adalah daripada Thailand. Memerhati pakaian mereka jelas mereka beragama Islam.
Kami makan tengah hari di Restoran Nasi Kukus yang sama seperti kelmarin. Aku tidak lupa memesan cendol pulut tapai di gerai berhampiran. Kami balik ke rumah selepas itu. Tetapi, sebaik menurunkan isteri, aku berpusing semula ke Kota Bharu. Hajatku tiada lain, hanya hendak meninjau keseluruhan koleksi terpamer di kedai buku terpakai yang berinduk di Bangi yang baru membuka cawangan di Tingkat 3, Bazar Tok Guru.
Lebih sejam aku berseronok diri di premis yang sempit, dalam timbunan buku-buku yang belum lagi tersusun itu. Akhirnya aku membeli tiga buah buku terpakai. Campur dengan belian kelmarin, aku telah berbelanja di sini untuk tujuh buah buku. Termasuk buku-buku yang diperoleh melalui niaga barter di PBKB dan pembelian lain, koleksi bukuku bertambah dan bertambah…
Comments
Ahmad David Kholilurrahman Kembara ilmu dan santapan otak dan perut yang bergizi. Sangat teringin mencicipi sebuah Bandar dari bilik ilmu, buku, hidangan dan sejarahnya.

No comments:

Post a Comment