Saturday 21 May 2016

Pantulan D/03/26/2016: Sajak Solihin Osman, “Apa Khabar Bumiku”

Pantulan D/03/26/2016: Perimbangan
Aku pilih satu kalimat, “Bumi semakin sakit” olahan Solihin Osman, melalui sajak beliau, “Apa Khabar Bumiku”, (Sejambak Puisi), Seni dan Budaya, Utusan Melayu Mingguan, 17-23 April 2005, muka 30 untuk merembaskan isu yang dicerakinkan penyair lantaran melihat “kerakusan budi/dan kejelekan budaya” sehingga manusia bertindak honar sampai berderu-derulah bala bencana menimpa alam tempat bersuaka. Secara khusus aku yakin, karya ini terhasil ekoran tuangan minda beliau mencernakan kesan tragedi tsunami yang amat dahsyat itu, yang berlaku sekitar tarikh pengkaryaan. Kata Solihin, “Ia datang lagi/kekuatan dari bawah kaki/lalu mengajak angin dan air/membasuh luka hidup/…”
Solihin mengakui sesuatu kejadian yang berlaku ada maknanya. Hanya tiada seorang pun mengetahui erti yang sebenar-benarnya di sebalik setiap kejadian. “Ia membawa berjuta persoalan untuk ditafsirkan.” Dengan ilmu dan ketajaman jentera fikir masing-masinglah baru iktibar atau teladan menyerlahkan faedah-faedah sebenar.
Tetapi di kalangan penganut teguh, takdir adalah dalam kewibawaan Tuhan. Pun, manusia tidak boleh sewenang-wenang bertindak jahil, mengetepikan sebab-akibat terjadi peristiwa. Akal yang dimiliki seharusnya memandu mereka agar tidak berleluasa memenuhi selera yang tidak lain akan berakhir dengan kecelakaan, jauh dari memakmurkan. Ada mesej oleh karyawan, bahawa bumi ini boleh menjadi tempat yang membuka peluang dan kesempatan untuk manusia sentiasa membangunkan ketamadunan, yang menafikan sebarang unsur kehaiwanan. “Jiwa yang tenat dengan duniawi” ternyata tertutup perasaannya terhadap ukhrawi. Maka, mustahillah akan terbit satu pendekatan yang seimbang dalam menangani persoalan yang muncul sepanjang kembara berona sementara.

Pantulan F/3/25/2016: Sajak Sahrunizam Abdul Talib, “Detik Yang Tak Tertangguhkan".

Pantulan F/3/25/2016: Pasti
Sahrunizam Abdul Talib, melalui “Detik Yang Tak Tertangguhkan”, Dewan Agama dan Falsafah, Jilid 1, Bil. 3, Ogos 2001, muka surat 60, memadahkan tentang kepastian hidup insan di bumi. Semua yang bernyawa tetap menemui pengakhirannya yang disebut kematian. Hanya yang berbeza tempoh melalui alam kehidupan dunia. Seperatusan yang kecil pergi sebaik sahaja dilahirkan, ramai juga yang mati muda, dan terbesar peratusannya meninggal dunia ketika umur dewasa. Ada beberapa tanda mengenal kategori usia kematian di kalangan orang-orang dewasa. Barangkali bagi orang yang berkerjaya, umur persaraan adalah yang paling ketara menjadi kriteria utama. Ketika itu sebahagian masih segar, ceria dan selesa dan terus melangkah mara mendukung hasrat agar sepanjang masa dilimpahi berkat. Tetapi ada juga yang tidak sempat bertahan lama, dilawati karenah dan dibebani penderitaan yang memendekkan kenikmatan, menggendalakan pencapaian kebahagiaan sekeluarga dan sesama manusia.
Hakikat kematian banyak maknanya; nyata dan tersembunyi. Kita yang berakal boleh berfikir bahawa kelangsungan hidup terhenti oleh sebab kehidupan kekal sebenarnya bukan di sini. Ada tempat lain yang harus kita pergi, untuk mengenali kehidupan abadi. Tetapi kehidupan abadi berwajah dua, sama ada jernih berseri atau gelap mengeri. Semua kita telah diberitahu semenjak azali, bahawa orang yang taat mengikut Kitab Suci akan terbela dan sebaliknya yang durhaka, menafi janji Ilahi akan terdera melampaui imaginasi. Semuanya terjadi selepas diadili dengan selengkap-lengkap bukti. Tetapi, sedang kita masih di sini, pilihan tetap terbuka, yang seyogianya mudah dilakukan, iaitu menjadi penganut yang tidak berbelah bahagi mentaati seruan Tuhan Sarwa Alam.
Kematian apabila mendatangi tidak lagi memberi ruang membuat pilihan. Semua amal kebajikan berciri ketakwaan menjadi sakti sedangkan yang sebaliknya sama sekali tidak bererti, tidak boleh mengabui perbicaraan pada Hari Pembalasan.
(Catatan: Kebetulan, ruangan “Bahasa Arab”, pada muka surat 61, sumber yang sama, mengutip Hadis riwayat al-Tarmizi, “Diriwayatkan daripada Abi Barzah al-Aslamiy katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: Tidak akan berganjak kedua belah kaki seseorang itu di hari kiamat kelak, sehinggalah dia ditanya tentang umurnya, ke manakah ia dihabiskan. Tentang ilmunya, bagaimanakah dia menggunakannya? Tentang hartanya, dari manakah ia diperolehi dan untuk apakah ia dibelanjakan? Dan tentang tubuhnya untuk apakah ia digunakan?”)