Thursday 31 December 2020

 Prestasi Hantaran fb 2020.

Dalam bingkai “On This Day” laman fbku, dapat dikesan dengan mudah hantaranku pada setiap 31 Disember, secara antikronologi, 2019, 2018, 2017, 2016, 2015, 2014, 2013 dan 2012. Bermakna, pertama , sudah 9 tahun aku ‘berefbi’ dan kedua, kekal menghantar ‘nilaian prestasi tahunan’ pada tarikh yang sama, akhir tahun Masihi (ingat, bukan Hijri), rumusan kegiatan setahun ‘efbiku’.
Seperti, ketika menjawat jawatan, bolehlah dianggap kegiatan ini suatu kesinambungan, walaupun sudah bersara wajib pada 2007!
Tahun 2020 bermula dengan hantaranku tentang sebuah puisi yang dipaparkan dalam majalah baharu Ibu Melayu. Kupetik semula serangkap:
“Ibu Melayu bekerjalah tuan/Aturlah masyarakat yang kucar kacir/Taburkan semangat serta pelajaran/Supaya kemajuan sempurna zahir.”
Betapa penting puisi ini kerana sekali gus menggambarkan kedudukan kaum wanita Melayu pada tahun 1946. Ia di”like” seramai 12 ‘friends’!!.
Sepanjang tahun 2020, pelibatanku dalam fb dianggap aktif. Pelbagai tulisan dihantar yang sekali gus menampakkan corak belekan harian terhadap kepustakaan peribadi. Secara lebih khusus penulisan itu boleh dikategorikan ke dalam beberapa bahagian, iaitu “Pantulan”, “Rapuh”, “Umum”, “Kembara”, “Remeh” dan “Kemas kini”.
Kategori Pantulan dimaksudkan khusus tentang penulisanku mengapresiasi sajak-sajak “friends” yang kulintasi sama ada dalam majalah-majalah atau buku-buku yang dibelek setiap hari. Ya, memang hampir-hampir setiap hari. Kebanyakan bahan-bahan tersebut adalah dalam bidang kesusasteraan atau kebahasaan. Ia sebahagian besarnya terbitan DBP, terutama Dewan Sastera, Dewan Masyarakat, Dewan Budaya, Dewan Bahasa, Pelita Bahasa dan lain-lain.
Kategori Rapuh mengandungi tulisan-tulisan bersumberkan bahan-bahan bacaan bukan kesusasteraan atau kebahasaan. Ia juga termasuk ehwal keghairahan mengumpulkan buku-buku atau majalah-majalah, akhbar-akhbar dan seumpamanya. Aspek-aspek kesejarahan, keagamaan, kependidikan, kemasyarakatan dan lain-lain adalah contoh-contohnya.
Kategori Umum pula merujuk penulisan menumpu apa-apa sahaja aspek yang dibaca, tetapi tidak secara langsung tertuju kepada pemerolehan buku dan majalah serta aktiviti ‘penyelidikan’ yang menyusulinya. Sungguhpun yang mencetuskan penulisan itu masih bersumberkan buku-buku atau majalah-majalah, tetapi fokusnya lebih kepada aspek tertentu misalnya, pencemaran bahasa, sikap masyarakat terhadap sesuatu, peranan badan-badan kerajaan (contohnya DBP), dan lain-lain.
Kategori Kembara, yang meliputi perjalananku di dalam atau di luar negara, sekali-sekala. Kategori terakhir ialah Remeh. Ia dikira penting tetapi tidak ‘meleret’ sebaliknya lebih berupa paparan gambar-gambar sebagai memaklumkan pengalaman yang dilalui atau yang menjadi perhatian atau disukai.
Pengisian bahan-bahan dalam kategori-kategori yang dinyatakan itu memberi “suatu kerja” yang menuntut dedikasi sepanjang masa. Pembabitan selama ini telah memberikan kepuasan peribadi oleh beberapa sebab.
Pertama, pembelekan terhadap lambakan sumber bacaan yang terkumpul sekian lama dapat dilakukan. Jadi terelaklah pemilikan yang membazir.
Kedua, bahan-bahan yang sebahagian besarnya pilihan peribadi sendiri tidak memberatkan minda kerana sememangnya disenangi - sejarah, sastera, bahasa, kebudayaan, keagamaan, ehwal semasa, pentadbiran negara, dan lain-lain.
Ketiga, masa sememangnya terluang mewah tanpa wujud tekanan. Ia dikawal sendiri dan boleh pula diharmonikan dengan aktiviti-aktiviti memenuhi keperluan lain.
Pernah saya katakan, bahkan oleh orang lain pun, berada dalam longgokan buku seakan dikelilingi oleh pengarang-pengarangnya sendiri. Dan mereka bukan sedikit. Ribuan. Minda kita sentiasa bersedia untuk memantul setiap hari pembacaan terhadap hasil-hasil pencernaan mereka. Tentulah ia menjanakan mindaku pula. Ini terbukti mustahak kian usia bergerak.
Penulisan tradisiku lebih menjurusi kategori Pantulan. Untuk rujukan mudahku sendiri, disenaraikan pantulan puisi yang sempat dikerjakan,
1. Pantulan U/01/01/2020: Kumpulan puisi misali [Hashim Yaacob] – 17 Januari 2020.
2. Pantulan E /01/02/2020: Sejarah Melayu, suratan baru. Tentang sajak Siti Zaleha M. Hashim, “Tun Seri Lanang, Mengapa Tiada Cetera Ketiga Puluh Tiga” (Puisi Bulan Ini), Dewan Sastera, Januari 2008.
3. Pantulan E/01/03/2020: Tragedi cinta pemutus waadat Melayu. Tentang sebuah puisi, tinggalan (Allahyarham) Rahimidin Zahari, “Cintaku Padamu, Anum” (Puisi Bulan Ini), Dewan Sastera, Mac 2012.
4. Pantulan E/01/04/2020: Aduhai Bahasa. Tentang sajak Nassury Ibrahim, “Seloka Nasib Melayu.
5. Pantulan 05/2020: Dewan Sastera Hadiah Ikhlas, Jilid 50, Bil. 1 2020 dan yang merompong.
6. Pantulan F/01/06/2020: Merinci amalan suci. Tentang sajak Solihin Osman, “Diari Hayat”, (Puisi Jawi), Dewan Tamadun Islam, Jilid 4, Disember 2016.
7. Pantulan F/01/07/2020: ‘Pada-Mu Jua’. Pantulan terhadap sajak Hilmi Rindu, “Percakapan Singkat dengan Seorang Teman” (Puisi Bulan Ini), Dewan Sastera, Jilid 49, Bil. 8/2019.
8. Pantulan F/01/08/2020: Melapis takwa. Tentang sebuah haiku Wan A. Rafar.
9. Pantulan C/01/09/2020: Putaran malar. Puisi Nawawee Mohammad, “Ketika Membaca Siasah” (Puisi Bulan Ini), Dewan Sastera, Jilid 44, Bil 2 [Februari] 2014.
10. Pantulan C/01/10/2020: Mampan menghiasi. Tentang sajak [Dato' Dr.] Zurinah Hassan, “Sejarah dan Sajak”, (Puisi Pilihan), Dewan Sastera, Jilid 44, Bil. 4 [April] 2014.
11. Pantulan C/02/11/2020: Tragedi ewa bule kulat male. Tentang sajak [Dato' Dr.] Zurinah Hassan, “Runtuhnya Pentas Dikir Barat” (dedikasi untuk Cikgu Naim dan para pendikir) (Puisi Bulan Ini), Dewan Sastera, Bil. 06 [Jun] 2015.
12. Pantulan F/01/12/2020: Jelira ke akhir. Pantulan sajak Rudi Mahmood, “Ketika Sunyi Itu Merata”, Dewan Sastera, Mei 2015.
13. Pantulan E/01/13/2020: Biar jangan terlepas. Pantulan sajak Kelompen, “Tulisan Dinding”, Dewan Sastera, Bil. 8/2020.
14. Pantulan A/01/14/2020: Diari belia. Pantulan sajak Leo A.W.S., ““Pulang kampung dengan keretapi”, Dewan Sastera, Jilid VIII, Bil. 12, Disember 1978.
15. Pantulan E/02/15/2020: Menjunjung kemurnian bahasa” iaitu pantulan sajak Hilmi Rindu, “Bukan Sekadar Kata” (Simfoni Bahasa – Jawi/Rumi), Pelita Bahasa, Jilid 32, Bil. 4/2020.
16. Pantulan F/01/16/2020: “Literasi pemikiran, sosiologi kebahasaan, wacana kemanusiaan” pantulan karya Dr. Azhar Ibrahim, ““Syair Endah Bahasa”, Dewan Bahasa, Jilid 20, Bil. 9/2020.
Bagaimanapun dalam tahun ini, berkasan besar penulisanku tergolong di dalam siri Rapuh. Ia bermula pada 23 Januari 2020 dengan judul “Ibu Melayu dulu”. Siri Rapuh ini berterusan sampai bilangan 50 iaitu “Rapuh 50/2020: Karya pewaris” bertarikh 16 Ogos 2020, iaitu mengenai seorang tokoh penulis Indonesia, Mahbub Junaedi.
Eloklah kudedahkan jumlah “like” teramai daripada ratusan hantaranku sepanjang tahun. Yang terbanyak: 67 likes terhadap paparan gambarku meriba cucu terbaharuku. Nampaknya kebanyakan ‘friend’ sukakan gambar. Ini terbukti apabila tulisanku yang sebaris, “Akhir Syawal di Putrajaya” membingkas dengan 57 like, sebab dihiasi gambarku lengkap berpakaian Barat.
Hantaranku tentang “Tun Ali beranak lagi” membabitkan Tun Kudu merangkul 32 likes, sebab aku percaya ‘friend’ suka melihat ilustrasi klasik paras Tun Kudu oleh Rosdin yang menghiasi kulit buku terbitan Pustaka Antara yang dirujuk. Di samping itu 5 ‘shares” telah juga tercetus.
Hantaran “Bandar Hilir” yang diiringi gambar aku berdiri sambil tersenyum bergaya, juga dalam pakaian korporat Barat mencetuskan 51 likes.
Hantaran aku bergambar menyampaikan Laporan JKA SPRM meraih 39 likes.
Semuanya itu terkategorikan “Remeh”, iaitu senterik gambar, tandus tulisan. Demikian, ‘friends’ lebih me’like’nya. Ia ringan lantaran remeh.
Hantaran ‘bukan gambar’ (seerti bukan remeh) yang paling disambut melibatkan tulisan tentang bukuku sendiri, “Cakna”. Mereka meluahkan rasa simpati kerana buku itu tidak diketahui umum wujudnya. Perhatian “friend” dikira terhormat mengumpul 55 likes, 10 comments, 3 shares.
Beberapa lagi “likes” di bawah kategori Umum menyentuh “Bahasa cula” (15 likes, 5 comments); “Siapa sedar ia diakui lambang?” (14 likes, 3 comments, 2 shares); tentang dua orang guruku (20l+0c dan 36l+6c+2s); “100 juta pemakai BM di maya” (26 likes, 2 shares); “Membisukah paling bijaksana?” (12 likes); Ulang tahun kelahiran berjudul “I.XII.MCMLI – I.XII.MMXX” (46 likes, 27 comments); “Luluh bersama 2020” (32 likes, 5 comments, 4 shares). Jumlah “like” terhadap yang dinyatakan terakhir ini, iaitu mengenai pandangan seorang Korea Selatan tentang hakikat semasa Bahasa Melayu tidaklah kuanggap koman terutama kerana 4 ‘friends’ sudi mengongsikannya.
Perlukah aku menganalisis jumlah ‘like’ untuk tulisan lain yang berjela-jela, yang membanjiri atau sinonim dengan laman fbku? Sudah tentu tidak. Nanti jadi serba-salah (atau kata orang putih "embarassing") kerana sebahagian besarnya terpinggir. Pun, sekadar contoh, hantaran tentang R.O. Winstedt menerima 10 likes, 2 shares; tentang J.M. Gullick, ada 8 likes, 2 shares; tentang Tawarikh Perak mendapat 6 likes, 1 share; manakala maklumat bersejarah mengenai Biasiswa Raffles 1823 berjaya mendapat 4 likes!
Maka sudah teranglah, pe’like’nya segelintir berbanding sebondong ‘friends’ku yang hampir 1000. Ya, ternyata, apa yang aku sukai tidak digemari hampir 99% “friend”ku. Namun, aku suka menyalin beberapa “comments” “friends” bestari yang ‘membaca’ hantaran-hantaranku. Mereka peneliti misali. Sekadar contoh, dipetik beberapa,
Dz Hanne “Saya tertarik dengan perkataan 'ompong' tiada gigi, dalam erti kata yang lain mulai hilang sengatnya, taringnya. Perkataan ini jelas menunjukkan medium kesusasteraan yang dulu mempunyai misai melenting sekarang sudah luncus seluncusnya. Adakah ini fenomena bersifat sementara atau mulai memasuki zon lenyap?.” (mereaksi Pantulan 05/2020: Dewan Sastera Hadiah Ikhlas, Jilid 50, Bil. 1 2020, bertarikh 2 Ogos 2020).
Siti Zainon Ismail: “Masya Allah Datuk : terbit Air Mata saya membaca ya* kalau tidak silap , puteri Datukn Masih Di INTAN* Mohon Boleh dicari Di mana buku2 tersebut* semoga pembaca DS sudi membelinya* Alhahu Akbar” (mengulas penulisanku terhadap bukuku sendiri, “Cakna” bertarikh 21 September 2020).
As Abbas: “Semoga Datin cepat sembuh dan dipermudahkan segala rawatan mengenai beliau..Juga diberikan kesabaran dan ketabahan Datò menghadapinya..InsyaAllah” (mereaksi terhadap hantaran berjudul “Guruku (1)” dan gambar lebih setengah abad bertarikh 2 Oktober 2020. Beliau membacanya secara ‘menyeluruhi’ sebab pokok hantaran lebih kepada guruku sedangkan keadaan kesihatan isteriku yang hanya disebut ‘sambil lalu’ masih mampu dikutipnya).
Awang Sariyan Kembara Bahasa: “Elok langsung dikisahkan dalam bentuk novel berdasarkan kisah benar, sebagaimana kaedah penulisan SN Abdullah Hussein.” (mereaksi I.XII.MCMLI – I.XII.MMXX bertarikh 1 Disember 2020)
Seyogia dinyatakan juga seorang sahabat yang kerap mereaksi ialah Leo Aws. Beliau teman setia ‘penyelidikan’ku. Sepanjang tahun 2020 aku hanya sempat memantul sebuah sajaknya, Pantulan A/01/14/2020: Diari belia bertarikh 25 Oktober menyangkut sajak berjudul,“Pulang kampung dengan keretapi”, Dewan Sastera, Jilid VIII, Bil. 12, Disember 1978. Sayangnya, kuperhatikan tiada reaksi beliau, yang lazimnya bersemarak lagi parak. Mungkin beliau tidak membacanya kerana terlepas pandang. Hebatnya, hantaran ini menjuarai dari segi “18 shares” yang terjana. mengambil kira statistik lamanku boleh diuaruar 'tular'.
Tulisanku di bawah Siri Utusan Melayu Arkib bermula (1/2020) dihantar pada 3 Januari 2020 (21 likes); 2/2020 – 17 likes). Ini sebenarnya sambungan kepada siri “Utusan Melayu: Kunjung Penamat ditulis dalam tahun 2019, mengandungi 18 siri. Dari segi kategori sebenar ia boleh termasuk dalam “Rapuh” tetapi menghormati keinstitusian Utusan Melayu jadilah ia siri tersendiri! Dalam tahun 2019, siri ini mencapai 18 hantaran.
Siri Kembara hanya menyentuh secebis kisah perjalanan ke Terengganu (Kembara 1/2020). Kesihatan orang sebelahku dan pandemik Covid-19 telah merencatkan penulisan di bawah kategori ini.
Sementara itu, salah satu perkara yang ‘tidak boleh tidak’ dilakukan ialah mengemas kini hantaran-hantaran awal di laman fb dari semasa ke semasa. Aktiviti ini ialah pemasukan maklumat tambahan menampung sesuatu hantaran terdahulu dalam bidang yang sama atau melibatkan pengarang atau personaliti yang sama.
Sebagai contoh, hantaran pertama tentang Profesor Diraja Ungku A. Aziz ialah pada 26 Ogos 2014. Laman ini ditambah dengan maklumat membabitkan beliau dan setakat ini telah mencecah “43 comments” yang kebanyakannya berbentuk tambahan maklumat yang diperolehi melalui belekan harianku dalam tempoh 6 tahun lebih, sampai beliau meninggal dunia baru-baru ini.
Demikianlah juga dengan hantaran-hantaran yang lain. Semuanya dikemaskinikan apabila dalam belekan harian aku melintasi sesuatu maklumat yang berharga berkaitan dengannya. Kaedah ini bertujuan melengkapkan “subjek” itu supaya memudahkan rujukan tentangnya sekiranya diperlukan kemudian.
Seperti di awal bermula dengan puisi, aku sudahi hantaran ini dengan salah sebuah pantun terhantar di laman pada 2 Disember 2020.
“Juragan berdiri memandang ke timur,
Mentari memancar muncul di laut,
Bersambung setahun lagi umur,
Termetrai persahabatan kekal bertaut.”
Selamat menyambut tahun 2021 sambil mengingati juga 1 Muharam 1442 telah berlalu iaitu pada 20 Ogos 2020.
Wassalam.
Image may contain: Ahmad Said, sitting and indoor
Zulkifli Salleh, M Jusoff Taib and 40 others
2 comments
1 share
Like
Comment
Share

Comments

  • Boss...
    Nampak macam perlu seorang Liberian dan seorang pembantu research officer....
    sorry boss,
    Kalau itu, yg menggembirakan Boss ....teruskan.
    1
    • Like
    • Reply
    • 1 h
  • Terima kasih dan tahniah Dato 
    Ahmad Said
     yang telah telah memilih dan membuat pantulan terhadap beberapa puisi termasuk haiku saya.
    1
    • Like
    • Reply
    • 1 h