Tuesday, 29 December 2020

 Pasar Chow Kit (1) – Halia Bara

Bahan herba halia bara mudah dibeli di tanah seberang. Teringat suatu ketika dahulu kami membelinya sebanyak lima kilogram dengan harga RM5 sekilogram, di pasar borong Pekanbaru, Riau.
Tetapi kini kami menghadapi masalah. Bekalan halia bara sudah sedikit benar tinggal. Selama ini, ia tidak pernah terputus kerana kami menanamnya sendiri di pekarangan rumah. Ia sebahagian daripada pelbagai jenis tanaman herba digunakan tanpa perlu membeli. Ia menjadi amalan rutin demi menjaga kesihatan kami.
Bahan ini seharusnya tidak dibiarkan pupus. Maka teringatlah kami untuk mencari benih atau tambahannya supaya bahan ini sentiasa tersedia. Ia bukan mudah diperolehi di sekitar tempat kediaman, serta dengan mahalnya.
Pengalaman lama mengingatkan bahan-bahan herba demikian memang dijual di Pasar Chow Kit. Dengan matlamat ini kami menjelangi pasar itu setelah sekian lama tidak mengunjunginya. Selama ini, keperluan seharian kami terpenuhi oleh pembelian sama ada di Pasar Jalan Othman, Pasar Sungai Way, Pasar Borong Seri Kembangan, Pasar-pasar Tani ataupun beberapa pasaraya lain berhampiran rumah – TESCO, Giant, Aeon BIG, dan Hero serta sesekali NSK.
Hari bekerja, Khamis, pada masa yang tertentu tidaklah begitu sibuk untuk ke Pasar Chow Kit dari Petaling Jaya. Kalau bertolak jam 9.30 pagi kesesakan trafik sudah menjadi ‘biasa’. Parkir milik swasta di sekitar pasar Chow Kit dengan caj RM5 boleh dikira selesa. (Di lokasi berhampiran kuperhatikan caj RM4). Meletak Kelisa di sini memberi jaminan terelak berkeluh-kesah kerana masanya tidak terhad. Pendeknya, ia ideal untuk membeli-belah secara santai, tidak terburu-buru.
Isteriku memberitahu, halia bara pada pembelian terakhir di Pasar Chow Kit, barangkali dua tahun dahulu, berharga RM25 sekilogram. Hari ini, rupa-rupanya, herba ini masih diperolehi dengan mudah di sini. Beberapa orang penjual meletakkan harga-harga yang berbeza-beza. Pun harganya tidaklah sangat meningkat berbanding ketika pembelian terakhir dulu. Ada yang berharga RM30, RM25 bahkan ada tempatnya lebih rendah, serendah RM20 sekilogram. Kualiti dan rupa bahan ini menjelaskan kelainan harga tersebut.
Di rumah Isteriku akan membina batas-batas khas untuk menanam halia bara. Sekilogram setengah yang dibeli dikira memadai untuk projek pembiakan sendiri. Batas-batas baru dan beberapa batas sedia ada yang sedang tumbuh membesar bakal menjamin bahan ini berterusan. Untuk suatu masa terdekat di hadapan, kami akan memperoleh halia bara secara percuma. ‘Dituai’ dari halaman rumah sendiri. Insya-Allah.
P.S., Tetapi, sebagai amaran awal, kami terkejut mendapati harga cekur (kencur) yang dahulunya berharga RM10 telah meroket menjadi RM25. Aku tahu di Pasar Old PJ hanya seorang menjualnya. Harganya jauh lebih mahal, menakutkan pembeli. Mujurnya, kami ada sebatas di rumah. Rakan-rakan eloklah menanamnya mulai sekarang.
No photo description available.
Zulkifli Salleh, Rismayanti Idris and 7 others
Like
Comment
Share

No comments:

Post a Comment