Wednesday, 30 December 2020

 Kembara Thailand (12): Sawàtdị khráp Bangkok

Hari kelima di Bangkok ialah hari Jumaat, 21 Jun 2019. Inilah hari kami akan meninggalkan Bangkok. Jadual asalnya ialah untuk balik pada hari Khamis, dengan menaiki keretapi dari Bangkok ke Padang Besar. Kemudian, bergantung kepada keadaan, menaiki keretapi atau bas ke Kuala Lumpur. Bagaimanapun, disedari R perlu berada di Kota Bharu atas urusan keluarga yang penting pada hari Sabtu, 22 Jun 2019, maka kami menukar jadual. Kami membeli tiket penerbangan Air Asia Thailand dari Bangkok ke Narathiwat. Dari situ kami akan balik kampung, di Pendek, Kota Bharu melalui kereta.
Perubahan ini bukan dilakukan di Bangkok tetapi sebelum kami betolak meninggalkan rumah di Petaling Jaya lagi. Perubahan ini menjadikan hajat mengalami berkeretapi dari Bangkok-Padang Besar tidak kesampaian. Program untuk berkeretapi lebih didesak memenuhi hasratku melihat pemandangan alam semula jadi dan pembangunan sepanjang laluan. Perubahan laluan, bagaimanapun tidak sangat mengecewakan kerana aku telahpun berkereta dari Petaling Jaya ke Bangkok – dua hari perjalanan ketika datang tempoh hari. Kujangka tidak banyak perbezaan pemandangan sepanjang laluan – sama ada keretapi atau kereta. Peta yang kulihat, menunjukkan laluan-laluan kedua-duanya adalah selari, yang bermakna dari segi muka bumi dan tahap pembangunan tidaklah sangat berbeza.
Malam tadi kami telah pun melakukan persediaan untuk berangkat. Bagasi kami dipersiap dengan isiannya – pakaian kotor, pakaian baru, dan barangan mentah masakan Thai. Lebih kurang begitu sahajalah. Untuk menaiki Air Asia caj bagasi setiap satu beg tidak melebihi 10 kilogram, yang telah kami bayar. Had ini sebenarnya memandu kami dalam berbelanja di Bangkok.
Barang-barang yang dibeli untuk dibawa pulang mestl yang ringan-ringan – pakaian khususnya. Itulah sebabnya aku sedikit berkira hendak membeli buku, kecuali tidak dapat dielakkan. Yang sedikit berat ialah sos-sos dan bahan-bahan masakan panas Thai yang dibeli di Makro Hypermarket. Setiap paket yang telah dibeli R, seberat 1 kilogram. Semua sekali beratnya ialah lapan kilogram lebih, termasuk ramuan pelbagai kari dalam paket-paket yang kecil dan ringan. Aku membahagikan isian ke dalam kedua-dua bagasi, mempastikannya hampir-hampir sama berat. Dan, tidak timbul masalah, kerana muatan bagasi itu memenuhi syaratnya.
Kami bangun pagi seperti lazimnya. Selepas mandi kami mendirikan solat Subuh. Kemudian R ke dapur menyediakan sarapan. Dia tidak perlu pun bergegas kerana penerbangan kami terjadual 10.30 pagi. Pada pukul 7.15 pagi kami bersarapan mi goreng dan Nescafe.
Pada pukul 7.45 kami dan Ezri turun ke bawah membawa bersama-sama bagasi. Ezri meminta petugas di kaunter kondo memanggil teksi membawa kami ke Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueng (DMK). Dia dukacita tidak dapat mengiringi kami kerana perlu mengendalikan urusan rasmi yang tidak dapat dielakkan. Teksi yang dipesan segera tiba di lounge kondo. Bagasi kami dimasukkan ke bonetnya. Caj tol ke lapangan terbang diberikan awal-awal kepada pemandu teksi. Nilainya 100 Baht. Kami bersalam-salaman dengan Ezri. Setelah kami berada di tempat duduk belakangnya teksi pun dipandu meninggalkan Sathorn Gardens Condominium.
Jarak antara Sathorn Gardens ke Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueng (DMK) ialah lebih kurang 30 kilometer. Lebuhraya menghala ke situ tidaklah dikira sesak. Namun, trafik kedua-dua hala banyak – bertali arus. Seharusnya tidak mengejutkan kerana Bangkok adalah bandar mega nadi Thailand. Waktu pagi tentulah masa untuk penduduk keluar bekerja melakukan aktiviti masing-masing. Aku difahamkan bandaraya ini dihuni belasan juta orang (?). tentulah tidak munasabah untuk mengharapkan jalanraya, apalagi lebuhraya, yang lengang. Sepanjang jalan, di kiri kanan, menyergam bangunan-bangunan, sama ada komersial, pejabat, kediaman malah kilang-kilang. Tentulah sewajarnya begini kerana menyokong kelangsungan bandaraya menampung keperluan penduduk dan penglibatan Thailand pada peringkat antarabangsa dalam pelbagai bidang.
Ketika mendekati lapangan terbang pemandu membayar tol lebuhraya di plazanya. Dia memberikan 100 Baht dan menerima bakinya 50 Baht. Tentulah kadar yang sama perlu dibayar ketika dia kembali ke Bangkok. Kami tiba di balai berlepas dalam tempoh 35 minit. Pada meter bayaran dalam teksi itu tercatat 220 Baht. Aku memberi wang kertas 1,000 Baht tetapi pemandu itu tidak mempunyai wang mencukupi mengembalikan bakinya.
Aku terpaksa bergegas masuk ke balai berlepas untuk mendapat wang kertas yang lebih kecil nilainya. Tiada cara lain kecuali membeli sesuatu untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Lalu aku beratur di Kaunter Gerai Minuman dan memesan dua Coffeechino berais “take away”, setiap satu 65 Baht. Lalu dengan baki di tangan aku berlari-lari anak ke tempat teksi sedang menunggu. Aku membayar kadar sewa teksi. Pemandu itu terus meninggalkan kami selepas menurunkan bagasi berdekatan dengan pintu masuk.
Aku dan R masuk ke balai berlepas menarik beg masing-masing. Orang tidaklah terlalu ramai. Ruang berlepas adalah luas dan kaunter cek-in pun banyak. Walau bagaimanapun hanya di sana-sini kelihatan kaunter-kaunter mengendalikan para penumpang. Kami tidak perlu terburu-buru. Ada dua jam lagi penerbangan kami dijadualkan berlepas. Aku membaca papan maklumat penerbangan dan mengenal pasti penerbangan Air Asia FD 3130 yang akan ke Narathiwat (NAW). Memang ada tersenarai di situ. Jadual penerbangan tidak berubah. Serupa dengan yang tercatat dalam tiket. Sementara itu aku dan R duduk-duduk di kerusi yang ada berdekatan. Coffeechino ais yang dibeli tadi kami nikmati segera di situ.
Kami menarik bagasi ke kaunter cek-in tidak jauh daripada pintu kami masuk tadi. Selepas beratur sekejap, kami telah berada di kaunter. Dua beg kami diserahkan di kaunter itu untuk pihak Air Asia kendalikan sewajarnya. Kami diberi pas boarding masing-masing. Tercatat di atasnya, waktu menaiki kapal terbang iaitu 0950, nombor tempat duduk 9A untukku dan 9B untuk R. Nombor-nombor ini telah dirizabkan ketika membuat tempahan dahulu. Setiap satu dicajkan RM10/R20 (?) Kami meninggalkan kaunter itu untuk masuk ke kaunter pemeriksaan keselamatan sebelum dibenarkan berada di Balai berlepas. Aku hanya membawa beg sandang sedangkan R hanya beg tangannya. Jalan berlenggang lebih baik dari jalan berbeban!
Tidak lama beratur untuk sampai di mesin skan keselamatan. Di situ aku membuang botol air minuman yang berbaki ke dalam tong sampah berdekatan. Memang ada peringatan tertulis kami baca di situ tentang barangan terlarang dibawa dalam penerbangan. Pemeriksaan keselamatan adalah biasa seperti di lapangan-lapangan terbang yang lain juga. Yang tidak seronok sedikit terpaksa juga membuka tali pinggang. Seluarku yang sedikit besar ukuran lilit pinggang itu mudah terlondeh tanpa diikat. Apa pun semuanya berjalan lancar.
Pintu 51, Zon A, tempat penerbangan Air Asia ke Narathiwat itu, rupa-rupanya, barangkali yang terjauh sekali dari tempat kawalan keselamatan tadi. Aku tidaklah mengingati secara pasti, tetapi kuagak jaraknya mungkin sampai ratusan meter. Paling hujung di sayap berkenaan. Kami tiba di lounge berlepas Pintu 51, sebelum pukul 10 pagi. Bolehlah kami berihat-rihat menunggu seketika di situ sambil melihat-lihat beberapa ruangan niaga di situ – makanan/minuman, pakaian dan lain-lain. Sambil itu, lounge itu semakin dipenuhi para penumpang.
Laungan panggilan memasuki pesawat kemudian terdengar. Kami mengikuti para penumpang lain beratur mengikut barisan nombor tempat duduk seperti yang ditentukan. Di hadapanku seorang pemuda bersongkok hitam, kuagak berusia tiga puluhan, sama-sama beratur. Dia menegurku, sambil mengagak dengan bertanya, “Malaysia?”. Apabila aku mengiyakan, dia bertanya lagi “Tinggal di mana?”. “Petaling Jaya”, kataku. Dia lalu memberitahuku biasa di situ kerana pernah menuntut di Universiti Malaya, bidang Pendidikan. Beliau memberitahu tinggal di Narathiwat dan kini menjadi Imam di kampung kelahirannya tidak jauh dari bandar tersebut. Beliau memperkenalkan diri sebagai Sulhan.
Aku hanya memberitahu tujuan kedatangan kami ; untuk meninjau-ninjau Narathiwat sebelum balik ke Kota Bharu. Sempat juga beliau mengsyorkan supaya kami melawat Masjid Teluk Manuk, yang sudah ratusan tahun usianya. Masjid itu tidak jauh dari kampungnya. Kami akhirnya memasuki kabin pesawat. Sayangnya, dia duduk di kerusi yang berjauhan dengan kami. Terlepas peluang untuk bertukar pandangan atau mendapat maklumat tentang selatan Thailand dari warganya sendiri.
R mengambil tempat duduk 9A di tepi. Aku di sisinya dan di sebelahku seorang wanita Thai yang masih muda. Penerbangan itu kelihatan penuh dengan para penumpang. Hampir kesemuanya aku agak warga Thailand. Pesawat Air Asia FD 3130 berlepas tepat mengikut seperti dijadualkan – 10.30 pagi. Cuaca cerah. “Ideal untuk terbang”, aku merumus sendiri. Sedang pesawat meninggi meninggalkan lapangan terbang, bandaraya Bangkok di bawah kami pandang melalui jendela kabin. Tempat duduk 9, Airbus A 320-200 adalah baik untuk melihat-lihat ke bawah kerana tidak terlindung oleh sayap.
Tempat kami duduk adalah di kiri pesawat. Pesawat menuju ke selatan. Ini bermakna sepanjang puluhan batu peringkat awalnya, sebelum kapal terbang stabil di aras yang lebih tinggi, kami dapat melihat pemandangan daratan dan Teluk Siam dengan jelas. Ada pulau-pulau, kapal-kapal, pantai dan lain-lain.
Kapal terbang dijangka mendarat di Lapangan Terbang Narathiwat pada 12.05 tengah hari. Ezri memberitahuku sebelum meninggalkan Sathorn Gardens, dia telah menghubungi seorang kenalan yang sedia mengaturkan seseorang menunggu di tempat mendarat itu dan membawa kami untuk program seterusnya. Dengan maklumat itu, kami terbang dengan tenang lagi selesa. Perempuan muda Thai di sebelahku menawarkan khidmat mengambil gambar kami berdua ketika berada di udara. Dia terpanggil melakukan apabila didapati aku kelihatan kekok mewelfi dalam kesempitan ruang kami duduk itu. Ya, sungguhpun dia tidak tahu berbahasa Inggeris, dia ternyata ‘berbahasa’ ketika berinteraksi ringkas dengan kami.
La Hami Bin Ahmad, Zulkifli Salleh and 9 others
Like
Comment
Share

No comments:

Post a Comment