Utusan Zaman, 1941: “Tinggalkanlah Pekerjaan Drebar”
Pengarang Utusan Zaman menulis tentang profesion drebar dalam tahun 1941:
“Kita suka berkata bahawa pekerjaan menjadi drebar itu pada suatu masa kira-kira 35 tahun dahulu [1906] iaitu pada masa motokar-motokar mula-mula datang ke Tanah Melayu ialah pekerjaan yang disukai oleh anak-anak bangsa kita oleh sebab ketika itu gaji drebar sekurang-kurangnya $30 bahkan ada yang sampai lima enam puluh ringgit sebulan sebab-sebabnya ialah bilangan drebar amat sedikit dan orang-orang menjadi drebar itu dipandang senang. Gaji besar, rumah tiada menyewa, kebanyakan air dan lampu tiada membayar dan barang-barang makanan murah pula tetapi bandingkanlah dengan hal zaman sekarang. Pada zaman dahulu juga kebanyakan drebar-drebar itu berkerja dengan orang putih pegawai kerajaan dan saudagar-saudagar yang besar-besar. Tuan-tuan putih ini ghalibnya mengasihi drebarnya. Empat lima puluh sen duit kopi terkadang-kadang beringgit jika berjalan jauh tidak dikira dan isteri-isteri drebar itu disayangi pula oleh mem-mem budiman terkadang-kadang makanan-makanan segala rupa tiada payah membeli lain hadiah-hadiah seperti kain dan duit tunai tetapi bandingkanlah dengan keadaan sekarang. ...
Kesenangan-kesenangan menjadi drebar itu telah menyebabkan anak-anak bangsa kita berlumba-lumba hendak menjadi drebar. Bahawasanya nama kesenangan yang dahulu yang telah tidak ada lagi pada masa sekarang itulah jua yang telah memperdaya anak-anak bangsa kita menjadi drebar.
Pada zaman dahulu seorang anak lelaki Melayu daripada desa-desa yang di ulu-ulu itu akan mendapat nama yang harum jika ia jaya mendapat pekerjaan drebar. Namanya baik dan pekerjaannya pun senang tetapi zaman sekarang orang-orang yang menjadi drebar itu tiadalah salah jika kita katakan dalam sengsara.”
(Lihat, rencana pengarang, “Tinggalkanlah Pekerjaan Drebar”, Utusan Zaman, Tahun 2, Bilangan 5, Bilangan Besar 66, Sabtu, 1 Februari 1941=4 Muharam 1360, muka 14)
No comments:
Post a Comment