Berjalan kaki di Kota Bharu (6): Zeck
Kami pun tiba di tempat tinggal Zeck. Rumah ini telah sekian lama didiami beliau dan isterinya, Yam. Dia menyewa rumah sekali gus menjadikannya homestay, berdaftar dengan nama Zeck’s Travellers’ Inn. Rumah itu adalah salah satu unit satu blok rumah teres dua tingkat terletak di Jalan Sri Cemerlang, Kota Bharu. Puluhan tahun Zeck dan isteri mengendalikan perniagaan itu. Dia juga mengendalikan bot pelancung ke Pulau Perhentian berpangkalan di Kuala Besut, Terengganu. Premis yang sangat sederhana ini suatu masa menjadi salah satu pilihan utama ‘back packers’ serata dunia yang berkunjung ke Kota Bharu. Ada di kalangan pelanggannya itu pernah tinggal berbulan-bulan dan ada pula mengulang datang; barangkali kerana, kerendahan caj, berdekatan dengan pusat bandar, kemesraan layanan, dan kemudahan mendapat pakej yang lengkap – iaitu termasuk urusan ke Pulau Perhentian dan destinasi pelancongan yang lain.
Sepanjang Zeck berada di situ inilah kali kedua aku berpeluang ke premisnya. Barangkali, kunjungan yang pertama, pada lebih kurang sedekad yang lalu. Zeck mempunyai rumah sendiri di bandar itu tetapi anak beliau mendiaminya.
Kami berbual pelbagai hal. Selayaknya terjadi di antara rakan akrab bahkan sebenarnya mempunyai pertalian darah. Zeck mengenal semua saudara-maraku dan aku pun mengenali semua saudara-maranya. Malah, saudara-mara kami sebenarnya bermoyang sama. Apa tidaknya? Ayah Zeck, Pak Ngah Yasin ialah sepupu ayahku, Said. Datukku, Tokki Abdullah ialah abang kepada datuk Zeck, Toksu Ahmad. Pak Ngah Yasin dan ibu Zeck, Mak Ngah Kalthum adalah guru-guru al-Quranku ketika kecil. Pak Ngah Yasin adalah Imam dan Khatib masjid kampungku. Kadang-kadang, ketika ketiadaannya, ayahku, Said bin Abdullah, menggantikan. Dari segi umur, Zeck sebaya dengan adikku, Ud, bermakna 2-3 tahun lebih muda daripadaku.
Tiada orang lain di rumah itu kecuali isterinya. Back packers yang menginap di situ sudah keluar meninjau bandar. Sebaik memasuki poc Zeck ke dapur, ruang yang terletak di bahagian paling hadapan. Ia asalnya tanah lapang bersebelahan poc tetapi ditukar kegunaannya. Tentulah tindakan ini bertujuan memaksimumkan penggunaan ruangan. Semua bilik adalah pada bangunan asal. Sebahagian poc telah dilengkapi meja makan merangkap ‘ruang tamu’. Di sinilah Zek meletakkan makanan yang baru dibeli.
Zeck membawa gelas kosong dan mengambil air minuman sejuk dari tabung air yang tersedia berdekatan. Dia juga menyediakan teh uncang dalam satu kole. Kami makan di ruang tamu itu – Zeck kerana mengalas perut dan aku kerana meraikan hidangan ikhlas seorang saudara. Bubur kacang tadi amat-amatlah manisnya. Dengan menambah air kosong pun kemanisannya melekat di tekak. Jaya juga aku habiskan. Selaku orang ‘Kota Bharu’, pengalaman ini sudah terlalu biasa. Pun, beberapa dekad kebelakangan aku lebih memilih juadah yang lebih tawar atau yang ditawarkan. Kerap juga, minum teh atau kopi tanpa gula. Kalau sesekali tercabar oleh juadah semanis itu, aku biasanya masih tabah menghabisi habuan. Dan, pisang goreng nangka itu, sekeping demi sekeping kusuapi, sehingga sekeping sahaja berbaki!
Isteri Zeck, datang ke meja dan kami bertiga berbual-bual santai – tentang kehadiranku di Kota Bharu dan tiba-tiba muncul di situ. Kuberitahu, R isteriku tidak ikut serta kerana beliau ada perbincangan di kalangan adik-beradik tentang pembahagian harta pusaka ekoran kematian ibu mereka sebulan lebih yang lepas. Perbincangan di sebelah malam nanti itu tentulah penting. Aku tidak mempunyai peranan sedikit pun. Perjumpaan dengan Zeck dan keberadaanku di situ sekarang memberi masa untuk aku datang berehat di situ sambil mengimbau nostalgia kehidupan di kampung halaman.
Aku tidak bimbang lagi ketinggalan bas Kota Bharu/Salor balik ke Pendek, kerana Zeck boleh menghantarkan ke sana malam nanti.
Banyak cerita kami, terutama dengan Zeck tentang kenalan-kenalan lama – yang telah berpulang ke rahmatullah, yang telah mendapat menantu, cucu, yang berjaya dalam kehidupan. Pendek kata, sesi dengan Zeck adalah sesi mengemaskini maklumat mutakhir saudara mara dan rakan-rakan sebaya yang sudah lama tidak dihubungi lagi.
Petang itu hujan lebat di Kota Bharu. Di Inn berpoc atap zink itu, bunyi curahannya menggamatkan.
Aku diberi bilik untuk berehat, diberi pelikat dan tuala untuk mandi dan solat. Laungan Azan dari Masjid An Naim Sri Cemerlang boleh didengari dari rumah Zeck. Masjid itu sering dimesrainya – sekadar sebagai ahli kariah yang aktif mengimarahinya. Selepas solat jamak takdim Maghrib/Isyak aku dan Zeck keluar untuk membeli makanan malam. Hujan sudah berubah rintik-rintik. Zeck memandu Myvi menuju restoran berdekatan. Kulihat HILUX beliau tersimpan selamat di bawah poc di seberang jalan berdepanan pintu pagar rumah. Dalam tempoh kurang lima minit kami telah tiba. Zeck meletak kereta di tempat yang dikosongkan pelanggan lain sebaik kami tiba.
Beberapa langkah di sebelahnya, empat lima orang para pekerja sedang sibuk membungkus Nasi Kukus. Jumlah pelanggan semasanya memberangsangkan. Betul-betul di belakang gerai itu terletak premis sebenar restoran. Ramai pelanggan sedang menjamu selera. Aku membaca tanda namanya: Restoran Nasi Kukus Jalan Kebun Sultan.
Zeck kukira penaung rapat restoran ini. Beliau dikenali pemilik dan semua pekerja, lelaki dan perempuan. Kami segera memperoleh tempahan, kerana ketika tiba di gerai dan membuat pesanan, gelombang pelanggan awal telah menyurut. Hanya seminit dua selepas Zeck membuat pesanan, gelombang pelanggan yang menyusul tiba. Zeck memberitahuku, dia biasa beroleh layanan istimewa ketika masa puncak – disegerakan mendapat tempahan – dengan menggunakan isyarat tanpa pun perlu beratur. Aku percaya mereka pun mendapat kemudahan daripada perniagaan Zeck – melancung ke Pulau Perhentian dengan kos yang munasabah!
Kami balik ke Inn Zeck dengan hanya membawa dua bungkus Nasi Kukus. Yam masih kenyang kerana makan tengah hari pada waktu sedikit lewat dengan nasi yang dibeli Zeck di Pasar Siti Khadijah tadi. Sambil makan kami berbual-bual ringan dengan pelancung Itali suami isteri yang baru kembali ke Inn dan duduk-duduk di meja makan. Akhirnya, Nasi Kukus, ayam belah empat itu kami habiskan dengan bersemangat. Ia masakan yang lebih uumph daripada yang dimakan tengah hari tadi.
Betapa tidak menyeluruh aku di Kota Bharu. Yang aku biasa kunjungi berulang-ulang hanyalah kedai Jaffar Rawas, Pasar Siti Khadijah, Nasi Kukus di Jalan Hospital atau di Kampung Sireh berdekatan Masjid, RTC di Tunjong, Pasar Malam Wakaf Che Yeh – lebih kurang sebegitu. Tempat-tempat lain masih tetap asing bagiku, sedangkan puluhan tahun aku menjejaki bandar ini, beberapa kali setiap tahun terutama pada musim-musim perayaan atau bila timbul keperluan mendesak. Dan, Nasi Kukus Jalan Kebun Sultan ini adalah rahsia yang baru terbongkar. Aku tidak hairan, Zeck menggrednya lebih tinggi berbanding Nasi Kukus Suriani atau Kampung Sireh yang sudah seakan sebati denganku selama ini. Dia sewajarnya lebih tahu – kerana telah masak hidup di Kota Bharu.
Lebih kurang pukul 10 malam kami bertolak meninggalkan Inn itu menaiki Myvi. Zeck memandu. Yam ikut mengiringi. Dia ingin bertemu mata dengan R, isteriku. “Sudah lama tidak berjumpa, bolehlah berbual-bual”, katanya. Ketika mulai melalui Jalan Kuala Krai-Gua Musang, Zeck menunjukkan lorong masuk ke rumah sewanya ketika baru-baru tinggal di Kota Bharu kira-kira 40 tahun lampau. Aku pernah berkunjung ke situ dulu. Lebih di hadapan, dia juga menunjukkan arah tempat rumah aku singgah memakai pakaian mempelai ketika datang bersanding dengan R dalam majlis perkahwinan kami 40 tahun lalu. Benar-benar Zeck membangkitkan nostalgiaku. Sedangkan tanpa imbauan itu peristiwa itu sedikit terawang-awang lokasinya.
Kami berhenti di hadapan pintu pagar rumah tempat aku menginap di Kampung Pendek. Dari situ kelihatan R adik-beradik sedang hangat berbincang urusan mereka. Aku menyatakan lebih baik suasana itu berterusan tanpa diganggu. Zeck dan Yam bersetuju. Yam mengirim salam kepada R. Aku berjabat tangan dengan Zeck lalu turun dari Myvi. Yam keluar dari kereta berpindah ke tempat duduk di hadapan. Myvi meluncur kembali ke Zeck’s Travellers’ Inn.
No comments:
Post a Comment