Berjalan kaki di Kota Bharu (1): Bas berenti-berenti
Hampir pukul 9 pagi, 22 Jun 2019, aku turun dari rumah tempat menginap di Kampung Pendek menuju ke tempat menunggu bas, terletak 10 meter dari rumah. Hajatku ke Kota Bharu. Masa yang terluang lebih baik dihabiskan di situ daripada di rumah yang tiada apa boleh dilakukan sementara bertolak ke Kuala Lumpur esok.
Aku sebenarnya tidak tahu waktu yang tepat bas tiba di situ. Tetapi kufikirkan lebih baik sahaja menunggu sambil mengharapkan masa menunggu tidak terlalu lama.
Selepas 10 minit lebih menunggu dalam pancaran mentari yang kian memanas, bas bernombor 6 Salor-Kota Bharu itu pun tiba. Aku menahannya dengan suka hati. Ketika menaikinya aku terus bertanya drebar tambang untuk ke stesen bas di Pusat Bandar Kota Bharu. Dia memberitahu RM1.70. Kuberikan wang kertas RM2 tetapi dicucurnya 20 sen kerana tiada siling lagi. Bandingkan caj RM12 untuk ke tempat yang sama kalau menggunakan kereta Grab, yang kutinjaui lebih awal. Berdasarkan alamat rumah, jaraknya dengan pusat bandar Kota Bharu ialah 5 ½ batu.
Aku mengambil tempat duduk di pertengahan bas. Kukira ketika itu tersedia ada 7 orang penumpang, semuanya perempuan. Ketika bas tiba di Kota, seorang penumpang lelaki menaikinya. Semua penumpang turun di perhentian terakhir.
No comments:
Post a Comment