Tuesday, 29 December 2020

 Kembara Thailand (8): Survei kos hidup di Bangkok

Pada hari kedua di Bangkok, R berhajat hendak ke Makro Hypermarket. Kami sarapan pagi di kondo dengan nasi goreng. Lebihan nasi malam tadi tidak dibazirkan. Sekurang-kurangnya beralaskannya kami tidak menghadapi masalah mencari sarapan bahkan makanan tengah hari di luar. Kami ke Makro menaiki kereta. Dari Sathorn Gardens mengambil lebih kurang 25 minit untuk tiba.
R ada hajat khusus di Makro. Selaku pencinta buku-buku resepi masakan beliau telah banyak mengetahui pelbagai jenis masakan bukan Melayu/Malaysia terutama Thailand dan Indonesia. Sementelahan berada di Bangkok tidaklah kena kalau tidak dicari bahan-bahan masakan Thai di sumbernya sendiri. Dia berpendapat bahan-bahan yang dicari itu ada di Makro. Kompleks yang kami datangi ini adalah besar. Para peniaga dan warga Bangkok sendiri datang memborong atau membeli di sini. Menjadikan kami seperti mereka adalah kaedah yang betul.
Aku menolak troli sambil R mencari barangan yang diperlukan. Perangai atau tabiat membeli R di Malaysia terpakai di Bangkok. Barangan, sukatan, cap niaga, harga dan yang berkaitan ditelitinya. Apabila dipersetujui barangan dimasukkan ke dalam troli. Akulah yang menolak dan menunggu. Kami membeli barangan dapur sebagai tambahan kepada yang telah sedia ada di kondo. Tidak mudah juga mencari bahan-bahan mentah yang halal – misalnya daging atau ayam. Kami membeli ikan kembong sejuk beku, sayuran – timun kecil yang rapuh, bawang besar, sos oyster, ramuan tomyam dan asam pedas dan lain-lain.
Bukanlah banyak mana pun barangan yang dibeli. Namun, kami mengambil masa yang agak lama juga – kerana mencari-cari barangan (halal), kekurangan pelabelan dalam bahasa Inggeris, di samping meninjau situasi harga-harganya secara umum. Dapatlah kami impresi. Bahawa secara umum harga barangan di Bangkok, lebih mahal berbanding di Malaysia. Tidaklah menghairankan timbul rumusan di hati bahawa kos kehidupannya juga lebih tinggi. Boleh jadi salah satu sebab berlaku demikian lantaran kos petrolnya yang lebih tinggi.
Di Makro itu kami berbelanja sejumlah 798.50 Baht. Dalam resit tercatat VAT 40.63. Sebahagian terdiri daripada barangan dapur untuk kegunaan segera selama berada di Bangkok dan sebahagian lagi untuk dibawa pulang ke Petaling Jaya. Hajat R mengunjungi Makro terpenuhi pada saat akhir – penemuan sos-sos dan ramuan tomyam, asam pedas. Kata R, bahan-bahan itu lebih murah berbanding di Malaysia, lagi pula authentik.
Waktu sudah 11.15 pagi. Aku menyorong troli ke arah eskalator untuk keluar gedung, diikuti R. Petugas menyemak resit pembelian dan mengecopnya. Ketika akan keluar dari kawasan parkir petugas di pondok keselamatan pula meminta resit pembelian sebelum membenarkan kami beredar. Maknanya ada dua lapis semakan. Jadi, berhati-hatilah. Jangan hilangkan resit pembelian demi mengelakkan masalah.
Kami kemudian ke Platinum Fashion Mall di Jalan Phetchaburi. Ezri yang mengsyorkan tempat ini ketika dia hendak ke pejabatnya awal pagi tadi. Gedung perniagaan ini jelas mengkhususi pakaian. Tujuan utama kami bukanlah hendak membeli sangat. Ia lebih hendak mengenali dan mendapat kesan tertentu dari segi kualiti barangan dan tahap harganya.
Aku fikir tempat ini tidak akan mengecewakan para pengunjung. Orang Malaysia – kelas menengah lagi pula muda-mudi tentu akan menyukainya. Peragaan pakaian untuk lelaki, perempuan dan kanak-kanak memenuhi keperluan biasa kebanyakan orang – lokal atau luar. Ada tawaran harga untuk mengikat pembeli – lebih banyak dibeli lebih banyak diskaun. Selepas berlegar-legar di beberapa tingkat, mengetahui dagangan secara umumnya, R akhirnya membeli tiga helai baju dengan harga ‘istimewa’. Ertinya berdiskaun.
Kami kemudian kembali ke Sathorn Gardens dengan kereta. Kami tiba di situ lebih kurang pukul 2.15 petang. R tidak lagi berhajat untuk keluar pada hari itu. Yang pasti barangan dapur yang dibeli di Makro tadi, di tangan R, bakal menjadikan makan malam kami nanti seperti berada di rumah sendiri.
Rismayanti Idris, Ahmad David Kholilurrahman and 14 others
Like
Comment
Share

No comments:

Post a Comment