Wednesday, 30 December 2020

 Kembara Thailand (13): Narathiwat - Pattani

Ketika berkereta di Bangkok dipandu oleh seorang pemandu yang berasal dari Narathiwat aku membayangkan minatku tentang sejarah selatan Thailand, terutama sejarah wilayah-wilayah berpenduduk majoriti orang-orang Islam. Aku memberitahunya akan ke Narathiwat selepas selesai melancung di Bangkok. Dia orang Melayu beragama Islam, tidak keberatan mengsyorkan tempat-tempat yang sesuai dilawati. Katanya, di Narathiwat, pergilah ke Teluk Manok. Sebuah masjid lama di situ telah berusia ratusan tahun menjadi tumpuan ramai pengunjung. Kalau sudah di bandar Narathiwat lawatilah juga Masjid Tengah, masjid terbesar di situ. Di samping itu kalau ada masa, dia mencadangkan dilawati Masjid Krisek, terletak di tepi lebuhraya menuju Pattani. Kalau sampai di Pattani singgahlah Masjid Besar Pattani. Lebih baik kalau dapat tidur semalam di Pattani untuk menikmati makanan laut di sekitar projek tambakan hakisan pantai di situ.
Beberapa tempat atau produk yang disebut itu memang tidak asing bagiku. Dari segi gambar, masjid-masjid Krisek dan Teluk Manuk, Pattani itu telah kulihat dalam majalah-majalah. Bahkan sejarah semuanya itu kuketahui, walaupun, oleh kerana telah lama dibaca, sedikit kabur fakta-faktanya. Namun, aku sendiri tidak pernah berkunjung atau melihat dengan mata sendiri.
Aku memberitahu Ezri hajatku itu. Dia menghubungi seorang kenalannya yang tinggal di Bangkok bertanyakan kemungkinan aku dibantu memenuhi niat berkenaan. Seperti kuceritakan sebelum ini, Ezri memberitahu tiada masalah melawatinya kerana kawannya bersedia mengaturkan. Ezri juga mewhatsappkanku gambar individu yang dipertanggungjawabkan oleh kenalan tersebut mengendalikan lawatan kami. Tentang biaya, Ezri sendiri menyelesaikannya.
Ketika mendekati lapangan terbang Narathiwat, dari jendela pesawat sudah kelihatan Teluk Siam, pantai dan daratan wilayah itu. Kesan daripada pemandangan itu teringatlah lapangan terbang di Malaysia yang setara dengannya. Barangkali adil kalau kusebut Langkawi, Alor Setar, atau Kuantan!
Pesawat Air Asia mendarat tepat pada waktunya. Penumpang-penumpang turun di tarmak dan berjalan kaki sejauh lebih kurang 100 meter sebelum memasuki bangunan terminal. Orang-orang yang baru berkunjung mengambil kesempatan bergambar di situ berlatar belakangkan bangunan terminal yang terpampang tulisan “Narathiwat Airport”. Aku pun berbuat begitu dibantu R.
Ketika memasuki terminal sekumpulan wanita berpakaian tradisional Thai termasuk yang beragama Islam berdiri sederet menyambut para pelancung. Mereka berdiri di situ sehingga semua penumpang berada di dalam terminal. Mereka kemudian berundur entah di mana. Aku mengambil gambar sepadanya di ruangan itu sambil menunggu bagasi tiba di situ juga.
Apabila bagasi diambil aku menselesakan diri di bilik air bersebelahan. R menunggu. Penumpang-penumpang lain telah keluar daripada terminal menaiki kenderaan menuju destinasi masing-masing. Imam Sulhan pun tak sempat aku sapa semula kerana dia pun sudah tiada. Aku menolak troli bagasi diikuti R.
Sebaik keluar telah menunggu seorang lelaki dewasa, tinggi dan sasa di situ. Wajahnya seperti gambar dalam Whatsapp henfonku. Dia menghulurkan tangan bersalam sambil minta pengesahan dengan menyebut, “Dato' Ahmad?” penuh hormat. Dalam hatiku terlintas, “Tentulah Ezri telah memberitahu kawannya sedikit sebanyak tentangku, sekurang-kurangnya tentang gelaranku itu. Lelaki yang menyambut kami ini adalah anak kawan Ezri.
“Din Golok”, nama timangan anak kawan Ezri, yang kugelarkan sendiri, meminta kami menunggu di luar terminal sambil dia mengambil kereta di parkir. Seminit dua kemudian dia tiba memandu Elza, berplat Malaysia. Bagasi kami diangkatnya sambil menahan kami memasukkannya sendiri ke ruangan bagasi di belakang kereta. Aku percaya, kedatukanku menjadikan dia tambah menghormati kami. Seseorang mungkin memberitahunya! Padahalnya aku sudah pun 12 tahun bersara! Aku dan R menaiki kereta, aku duduk di depan dan R di belakang.
Din kukira sudah masuk lima puluhan usianya. Dia berperawakan Arab, sedikit gelap kulitnya tetapi tidak sampai dianggap hitam. Sebelum jauh bergerak, dia minta pengesahan tentang program kami hari itu. Tentulah Ezri telah memberitahu kawannya (ayah Din) tentang hajatku menggunakan masa yang ada melihat-lihat tempat-tempat bersejarah sebelum bertolak ke Kota Bharu. Aku hanya mengiyakan apa yang akan dilakukan Din. Dalam hati bersyukur kerana dipermudahkan perjalanan mulai di lapangan terbang dan kini bakal mengenali wilayah selatan Thailand, pertama kalinya. R pula, pernah memasuki Thailand untuk membeli-belah beberapa kali, sebelum kami berkahwin dan beberapa tahun dahulu ketika datang meninjau dan membeli barangan keperluan restoran yang diusahakannya. Itupun hanyalah di Tatbai dan Sungai Golok.
Din mengambil lebuhraya Narathiwat-Pattani. Jalannya baik dan lurus. Trafik lengang menjadikan pergerakan kami lancar bersantai. Pemandangan di kiri kanan lebuhraya seakan di Malaysia. Ada sawah padi, ada kerbau lembu, perkampungan, pokok-pokok tal, masjid-masjid, pekan-pekan kecil, gerai-gerai makanan di tepi lebuhraya, belukar, perbukitan, dan lain-lain.
Dalam jarak yang tertentu kami melalui sekatan-sekatan jalanraya yang kadang-kadang seakan tidak dikawal, kerana tidak ternampak tentera atau polis di situ. Kata Din, suasana ini biasa sahaja. Kita tidak disekat untuk diperiksa, terutama pada siang hari. Keselamatan adalah terjamin. Kejadian keganasan yang diberitakan dari semasa ke semasa adalah peristiwa-peristiwa yang terpencil. Kebanyakan tidak melibatkan laluan kami. Ia berlaku di tempat-tempat yang terpencil atau jauh dari laluan utama.
Aku teringat membaca akhbar The Nation bertarikh 20 Jun 2019, Khamis. Dalam ruangan “COMMENT” penulisnya, Sunai Phasuk, menyatakan semenjak Januari 2004, lebih daripada 6,000 orang telah dibunuh di selatan Thailand. Ini bermakna purata setiap tahun 300 orang. Yang bererti 25 orang sebulan. Ini satu angka yang menggerunkan. Mengikut rencana itu lagi, kekacauan berlaku kerana kegiatan keganasan oleh Barisan Revolusi Nasional (BRN). Tempat-tempat sasaran bom ialah kawasan ramai orang awam seperti pasar-pasar. Orang-orang yang disasarkan termasuk guru-guru, sami-sami, personel perubatan, dan mereka yang dianggap mewakili kerajaan. Malangnya, ramai rakyat yang menjadi korban BRN adalah daripada kalangan rakyat majoriti wilayah itu.
Satu perkara yang ditekankan oleh Sunai, kerajaan tidak atau belum pernah membawa ke pengadilan “a single member of the security forces for unlawful killings, enforced disappearances, torture, or other serious abuses against ethnic Malay Muslims. In many cases, authorities have given financial compensation to the victims or their families in exchange for their agreement not to pursue criminal prosecution of officials. Activists and others who speak out face intimidation and prosecution for damaging the reputation of the military.”
Hari itu hari Jumaat. Sudah kelihatan di laluan itu penduduk lelaki berpakaian solat menuju ke masjid-masjid – bermotosikal atau berjalan kaki. Deretan kereta tersusun berdekatan masjid-masjid. Waktu solat Jumaat kian hampir. Kami memilih untuk bersolat jamak dan Din mencadangkan di masjid yang bakal kami lawati, masih jauh di hadapan. Sebenarnya jarak lapangan terbang ke destinasi pertama kami, Masjid Krisek, ialah lebih kurang 75 kilometer.
Lebih kurang pukul 2.10 petang (waktu Thailand), Din memberhentikan kereta di tepi lebuhraya. Di situ sebenarnya bernama Kampung Krisek. Rupa-rupanya di situ, Din hendak menunjukkan sebuah telaga, yang dikatakan “Telaga Hang Tuah”. Itulah kepercayaan orang di situ. Telaga itu tidak sangat dipelihara dengan baik (dengan pagar, misalnya), tetapi tidak pula tinggal terbiar. Telaga itu ‘terjaga’ kerana didirikan wakaf menjadikan ia terlindung dari hujan atau panahan langsung cahaya matahari. Tiada tanda ia menjadi bahan vandalisme.
Memanglah tertulis di kerek telaga itu “Telaga Hang Tuah” dalam tulisan Jawi. Ada tercatat tarikh 13 Zulhijjah 1387 (yang kusemak kemudian bersamaan 13 Mac 1968, Rabu), yang aku kira tarikh siap dipulihara. Din sendiri tidak dapat memberi penjelasan lanjut. Dia bukan sejarawan. Aku mengingat-ingat ceritera-ceritera Sejarah Melayu dan mengakui ada disebut Pattani dalam konteks perkembangan kesultanan Melaka. Hanya aku gagal mengingati peristiwa Hang Tuah datang ke Pattani untuk mensahihkan telaga yang menggunakan namanya itu. Semakanku kemudian, menemukan dengan tanggapan bahawa telaga itu dibina semasa pemerintahan Raja Biru (1616-1624). Din menggunakan timba yang ada di situ mengarai air di dalamnya. Memang jernih airnya dan boleh diminum. Kami bergambar di situ dengan Din menjadi jurukamera.
Dari tempat telaga itu, hampir setentangan kelihatan Masjid Krisek (Krue Se). Untuk ke situ, kami menaiki kereta. Din melakukan pusingan U yang berhampiran dan memberhentikan kenderaan berdekatan masjid. Hatiku berkata-kata, “Sampai juga akhirnya aku di sini”. Sebenarnya, ingatanku terhadap masjid ini terlayang ke tahun 1988 kerana pertama kali membaca secara terperinci sejarahnya. Aku mempunyai naskhah Pengasuh, Bilangan 494, September-Oktober 1988 berhiaskan masjid ini sebagai hiasan kulit depannya.
Salah satu kandungan majalah rencana ditulis oleh Ahmad Fathy al-Fathoni, “Masjid Pintu Gerbang Krisek, Pattani”, muka surat 31-35. Perkara ini pernah juga kutulis dalam fbku beberapa ketika yang berlalu. Dari sumber ini tidak terumus tarikh dan pembinanya yang muktamad. Ada pandangan menyatakan ia dibina semasa zaman pemerintahan Raja Biru (1616-1624) atau beberapa tahun selepas itu. Ada pula pandangan lain, ia dibina oleh Raja Along Yunus (1726-1727) dan pandangan lain lagi, dibina oleh Tuan Sulung (1832-1816). Walau bagaimanapun pada papan maklumat yang didirikan di pekarangan masjid itu dinyatakan masjid ini dibina oleh Sultan Muzaffar Shah, Pattani Nabob pada 1530-1564.
Masjid Krisek menjadi lebih terkenal ke serata dunia oleh peristiwa pembunuhan beramai-ramai pemuda-pemuda Islam yang berlindung di dalamnya oleh tentera Thai pada tahun 2004. Mereka dikatakan kumpulan bersenjata yang menyerang pasukan keselamatan Thailand kerana motif tertentu.
Aku ke bilik air masjid yang ada di luar berhampirannya. Kemudian, berwuduk di kolah beratap di tepi tangga ke bangunan utama masjid. Beberapa orang ahli kariah kami temui dan salami ketika mereka akan meninggalkan masjid. Kata Din, masjid ini masih mendirikan solat Jumaat di samping solat-solat fardhu yang lain. Mereka mungkin yang lewat beredar oleh urusan tertentu. Kebetulan, beberapa orang pelawat dari Kelantan pun ada singgah untuk bersolat di situ. Aku mengimami solat jamak Zuhur-Asar di dewan solat. Din dan seorang lain menjadi makmumnya. R bersolat di dewan solat wanita di sebalik tirai yang terpasang.
Kami bergambar di beberapa bahagian masjid. Di dalam dan di luarnya. Sebelum bertolak pergi kunampak dua bas pelawat singgah. Penumpang-penumpang wanita turun. Mereka menggunakan kemudahan bilik air masjid. Din memandu kereta menuju bandar Pattani. Jam di tanganku menunjukkan pukul 2.45 petang. Kami belum lagi makan tengah hari.
Zulkifli Salleh, M Jusoff Taib and 24 others
2 comments
1 share
Like
Comment
Share

Comments

  • Coretan yg mengembalikan nostalgia saya ketika akhir belasan tahun.
    • Like
    • Reply
    • 1 y
  • Laporan The Star, 25 July 2019.
    No photo description available.
    • Like
    • Reply
    • 1 y

No comments:

Post a Comment