Sunday 7 May 2017

Sajak Teratai Abadi "Perjuangan" - Pantulan F/01/6/2017: Gelandangan

Pantulan F/01/6/2017: Gelandangan
Tentulah bukan dengan “begitu, begitu saja!” tergubah sajak “Perjuangan”, oleh Teratai Abadi (Dewan Sastera, Oktober 2013, muka surat 74). Bersimpatikah kita terhadap bentakan beliau ke atas kedurjanaan para pelaku yang teruja menghonari hanya kerana mahu merakamkan sejarah kehadiran singkat mereka di medan perjuangan manusia ini, dengan meruntuhkan ketamadunan bukan meninggikan lagi peradaban. Tetapi, adakah perlu kita mengesali apa yang telah berlaku – keserakahan, perbalahan, keruntuhan dan kehancuran yang berskala raksasa lagi tanpa pelabuhan itu? Sedangkan dalam khazanah sejarah kita sudah arif tentang pelbagai kemusnahan yang sungguh-sungguh menyayatkan. Sampai sekarang belum lagi bernoktah. Peristiwa-peristiwa itu kita lebih suka melupakan sahaja, dengan menanggapinya seakan tidak pernah berlaku sebab ia adalah tragedi-tragedi yang berulang-ulangan pada zaman yang berbeza-beza. Semuanya menusukkan kehalusan minda orang bijaksana.
Anehnya, pelaku-pelaku semasa dan mutakhir lebih-lebih mengetahui apa yang telah terjadi mendahului mereka. Bukankah sejarah itu terakam dan terpampang di benak pancaindera semua warga? Peristiwa-peristiwa yang tetap juga terjadi lebih kemudian seharusnya tidak berlaku lagi, sebab peristiwa-peristiwa yang lebih dahulu adalah suatu iktibar yang sewajarnya memanfaatkan generasi-generasi yang lebih terkemudian, lalu mengelakkannya. Tetapi, seperti lazimnya, manusia adalah penuh dengan helah dan tipu daya.
Kalau sejarah umat Islam yang kita kaji, mereka tidak sepakat semenjak dari dahulu. Ambil sahajalah segi aliran pemikiran, aku teringat suatu hadis, bahawa sesama umatnya bertelagah sampai muncul 73 golongan. Maka kalau, kita hendak mempersatukan anak watan kita, ratusan tahun lagi pun kita belum berhasil. Pertelagahan sesama sendiri terus mengkecamukkan ketenteraman berinteraksi, bermasyarakat, bernegara, atau beribadat. Keharmonian dilanda rebah. Ia menjadi hampir mustahil menyerlah. Wawasan demi wawasan silih berganti, berubah-ubah menjadi alat mencetuskan cabaran tak berkesudahan kepada generasi demi generasi yang menyusuli. Dan perjuangan jadi suatu perkataan yang hilang unsur luhurnya.
Desakan apakah yang menghantui pelaku atau pemuka bangsa sampai dengan apapun wawasan menjana citra keunggulan, kita tetap tidak akan sefahaman. Satu-satu – maruah, milikan – tanggal berciciran. Dan, kita pun bergelandangan.
Hidup ini betullah satu “perjuangan”. Pada akhirnya ada sesuatu yang harus diraeh sebagai habuannya. Maka, kalau kita memilih menceburinya seharusnya kita mendukungnya sampai matlamat itu tercapai. Kalau kita yakin bahawa hidup ini sememangnya sementara, dan akhirnya kita akan kembali kepada-Nya, maka berjuanglah demi memakmurkan. Semoga keyakinan itu akan melorongkan kita memimpin atau memihaki golongan yang diredhai.

Sajak ASKAT "Genting"

Genting
Selayaknyakah sajak?
demi keghairahan
sekilat melukut 
sirna mengikut
seusia pencipta.
ASKAT
Kota Bharu
Kelantan.
 21 Januari 2017.

Sajak Siti Zainon Ismail "Rezeki Bumi" - Pantulan F/01/5/2017: Alpa

Pantulan F/01/5/2017: Alpa
Aku akui tidaklah mendalami pengajian sampai mampu mentafsir tentang kejadian di sebalik pengusiran Adam dan Hawa ke dunia lantaran tipu daya Iblis. Bagaimana mereka terlajak mengambil keputusan mengingkari ketetapan Allah SWT sedangkan arahan itu jelas dan nyata adalah masih suatu tanda tanya! Dan mereka, lantaran itu terhukum, terhantar ke dunia menjalani kehidupan yang berlikuan untuk suatu tempoh yang amat panjang. Dan kita, keturunan mereka, walaupun diajari latar belakang maha tragedi itu, berterusan berbelah bahagi mentaati ajaran Pesuruh (SAW)-Nya sungguhpun peluang dan kesempatan sentiasa terbuka untuk menjadi insan yang bertakwa sebagai syarat diredhai-Nya.
Apabila aku membaca Siti Zainon Ismail, “Rezeki Bumi”, Dewan Sastera, Disember 2016, muka surat 27 (Lembaran Mastera), itulah yang pertama-tama terlintas di minda; kenapa, sedang elok-elok ceria bahagia menikmati kedudukan dan darjat yang teristimewa, tetap tergamak melelapkan mata lantaran bujukan dan kegagalan bersiap-siaga dalam apa juga suasana dan pesona pancaindera.
Maka kerana had-had pengetahuan yang termaklum, biarlah aku lebih memberati, sebahagian kata-kata Siti, “pabila kekayaan tiba/melupakan petaka…” yang telah diketahui (melalui penurunan para ilmuwan dan pembelajaran sendiri). Ya, keter”lupa”an inilah salah satu daripada punca-punca yang sering menjerumuskan, bahkan lebih-lebih lagi kejinya apabila melibatkan kelompok yang ternama – kerana berkuasa, ‘terpelajar’, berharta, - yang disanjung, dihormati . Ingatlah, akhirnya tokoh-tokoh itu ‘bersara’ dalam gelumang kehinaan, sebelum pun ajal datang meregut. Sedangkan, perbicaraan Ilahi pasti menyusuli.
Tentulah kita tidak juga lupa bahawa ketamakan dan kehalobaan terhadap sesuatu yang bukan hak milik sendiri mudah melunturkan tekad dan janji murni, langsung terkuburlah semua kebaikan yang pernah dilakukan. Semua jadi sia-sia tidak tertebus oleh ratapan.
Sesal yang berlaku kemudian, iaitu selepas kita mengkhianati sumpah menghindari kemungkaran, benar-benar tidak menjamin kesejahteraan pada hari-hari terakhir di dunia, kerana tertakluk oleh pengadilan dan seterusnya menjalani hukuman setimpalnya. Sewajarnya demikian, dari perspektif golongan orang-orang yang mengamanahi kita kepercayaan.
Aku tidak berani bahkan jahil daripada merumusi ketentuan Ilahi. Tetapi Adam dan Hawa telah menyesal sebaik tersedar keterlanjuran mereka di syurga dan ketika menghuni dunia telah melakukan yang diikrarkan demi menebus keterlanjuran. Mereka benar-benar tidak mengulanginya. Semoga kita boleh mencontohi amalan menebus kesalahan yang mereka lakukan. Semoga kitapun kembali mengadap-Nya dalam keredhaan jua.

Sajak Azmi Yusoff "Rawan Seorang Kawan" - Pantulan C01/4/2017: Memberi sezarah

Pantulan C01/4/2017: Memberi sezarah
Menyeru sesama insan supaya melakukan kebaikan sudah satu kewajipan, Begitulah, menegah melakukan kemungkaran adalah maksud lain daripada aktiviti atau perbuatan yang sama mulianya. Demikianlah yang terkesan apabila melayani Azmi Yusoff lewat “Rawan Seorang Kawan”, Dewan Sastera, Disember 2012, muka surat 63. Dalam melakukan amal makruf sepanjang memanjat takah-takah usia kita tentulah tidak bersendirian – ada sedara-mara, teman sahabat beriringan sama. Pastilah semua yang dialami menjadi kenangan apabila kita telah berada di usia baki. Ada yang masih sasa dan juga sebaliknya. Mereka, teman-teman sepengalaman masih kita temui sekala-sekali dan ramai yang kita sudah tidak ketahui di mana mereka berundur diri. Ataukah mereka tidak sepanjang usianya seperti kita?
Ternyata benar masa telah banyak merobahkan. Dari seorang bayi kita bertuah menjadi siswazah dan kemudian bertaraf pesara ceria dilimpahi barakah. Kita sudah digandingi besan-besan. Kini dianugerahi gelar berpadanan – datuk dan nenek, ada menantu ada cucu. Pun, kita masih diluangi masa untuk ke sini-sana meluaskan pemandangan sebab kesihatan mengizinkan, kewangan membenarkan dan keselesaan masih tetap berterusan di kampung dan taman halaman. Kita, pada usia mutakhir masih terbuka pilihan – menyambung kegemaran, menziarahi para kenalan, beramal mengingati-Nya. Kita tetap mahu hidup lagi sungguhpun anak-anak telah bersuami-isteri, sementara rakan-rakan sebaya satu-satu pamitan, dan kita pada hakikatnya bakal menyusuli, sebentar sahaja lagi!
Aku pun sukakan anjuran Azmi, kalau kehadiranku ini “bererti”. Dengan rendah hati, pada ukuran peribadi, sudahpun “menjadi”. Syukurlah, aku lebih dikurniai rezeki, mengatasi rakan-rakan sekampung yang hampir seratus persen mewarisi kerjaya nelayan. Tetapi untuk mengabsahkan status itu apakah tanda yang harus aku wariskan? Kalau harimau dikatakan meninggalkan belang maka sebagai aku, sewajarnya, barangkali menepati, jika kutinggalkan buku merakamkan baktiku. Mengharapkan orang lain merakam pengalaman, ia bakal menjadi cita-cita tak berkesampaian.
Para pemuisi telah meninggalkan serantaian puisi masing-masing. Tentu elok kuteladani. Dan, alangkah bahagia sekurang-kurangnya adunan idea itu bakal diteliti dan kemudian tercungkil daripada karya-karya kerdil itu bukti-bukti mutiara minda yang tercanai bestari. Nanti, seseorang boleh mengisytiharkan, bahawa selama ini jerih-perih fikrah digembleng madah, tidak tersesia kerana menjana faedah kepada khalayak walaupun hanya sezarah.

Sajak Siti Zaleha M. Hashim "Jika Benar Perahu Ini" - Pantulan C/01/3/2017: Kalis emosi

Pantulan C/01/3/2017: Kalis emosi
Tidaklah sukar untuk menyaring amanat Siti Zaleha M. Hashim, seperti tersirat dalam, “Jika Benar Perahu Ini”, Dewan Sastera, Disember 2012, muka surat 60. Terkesan kejujuran, bahawa kita seharusnya membalas budi orang yang mencurahinya sampai kita berjaya kini. Adalah sesuatu yang tidak wajar jika budi baik dibalas sebaliknya. Ertinya, tentulah janggal mendukung prinsip bahawa kebaktian yang ditabur sepanjang usia kita segera mahu dilupakan apabila penaungnya sudah tidak lagi memihaki kita. Umumnya demikianlah.
Persoalan di hadapan kita ini adalah sesuatu yang nyata sedang kita semua alami masa kini. Hakikatnya, perkara yang dipersoalkan, aku kira perkara yang besar. Bukan yang remeh-temeh, yang boleh diperingankan. Ia melibatkan kesejahteraan hidup kita semua, dan generasi-generasi yang akan datang juga. Perkara-perkara kehormatan, jati diri, kelangsungan, dan lain-lain lagi sedemikian adalah perkara-perkara raksasa yang tidak harus diambil mudah. Penyelesaiannya bukan dengan sekadar mengakuri sesuka hati. Ia janganlah dianggap isu terpinggir dan dan kita menanti sampai ke akhir untuk menyuarakan pandangan peribadi; di peti undi sekali-sekali.
Perkara-perkara berkaitan hal ehwal negara, bangsa, kepemimpinan, dan segergasinya terkadang bukan boleh selamanya dirundingi tanpa berhenti. Kita tahu, malah semuanya arif, bahawa masing-masing pihak ada pendirian. Masing-masing tetap mengakui anutan sendiri lebih menepati. Ya, dia, yang pemurah dan berjasa itu pun tetap dengan pegangan tanpa mahu mengalah lagi. Dan kita, setelah menjadi terpelajar dan bijaksana, tanpa menafikan, atas belaian keprihatinannya, tidak pula boleh bertolak-ansur, untuk terus mengekori. Ya, pastinya tidak dalam semua hal. Sekaranglah untuk kita menyatakan, “Sudah sampai masa untuk aku belayar ke destinasi dengan kapal yang kalis serba-serbi.”
Maknanya, pendekatan bukan dalam semua perkara seharusnya sama. Dalam perkara-perkara tertentu, apalagi yang memberi impak yang merobah wajah, mencalar maruah, kita seharusnya memegang falsafah, mengukur faedah, bermatlamat menerbitkan penyelesaian paling sah. Sejarah telah banyak melimpahkan pengajaran. Namun, mentafsir sejarah tidak semudah mendengar ceramah-ceramah untuk kita mengutip, memilih dan merumuskan pendirian yang paling bersesuaian. Sama ada dengan pendekatan begitu bakal timbul ketenteraman atau pertarungan, sejarah jauh sekali membenihkan formula atau petua paling menepati. Tetapi cabaran dan implikasinya dengan terus tunduk menyipu tidak boleh diketepikan. Sebenar-benarnya, kita mesti hadapi dengan berani memilih arah haluan.

Sajak Ahmad Sarju "Jendela yang Terbuka" - Pantulan E/01/2/2017: Menabur bakti

Pantulan E/01/2/2017: Menabur bakti
Sebenarnya kalau kita sanggup menyunyikan diri lalu menghayati patah-patah perkataan dalam setiap kalimat sajak penggiat malar-segar, Ahmad Sarju seperti terlantun melalui “Jendela yang Terbuka”, Dewan Sastera, April 2009, muka surat 11, tahulah kita betapa kentalnya semangat perjuangan mencurah bakti kepada tanah air penyair ini.
Bukan beliau sahaja mahukan dicipta karya-karya menjunjung tujuan murni, bahkan karyawan-karyawan yang lain-lain pun demikian dihajati berpuisi. Tetapi dalam berbuat begitu, beliau tetap mendukung hakikat bahawa sesebuah sajak, sebagai hasil seni kreatif, tetap perlu dihiasi berseri dan, aku pula tumpang sama menekankan, “memukau”.
Sajak penyair ini begitu terang menjulang pengabdian dalam suatu pengkhususan, iaitu menghasilkan sajak-sajak yang tidak membentak-bentak bak pemberontak terhalang kehendak. Ini sajak yang berakar pada pengalaman. Ia adalah bertunjang kepada kesedaran hasil pengamatan fabrik kemasyarakatan pasca-kemerdekaan. Kawanku ini, sudah lama menerokai bumi dan mengetahui beraneka sisi, berbagai segi, apalagi dalam mencapai wawasan perlembagaan dari perspektif seorang seniman serentak pemikir mengiktirafi kenyataan.
Perasaan seseorang boleh dilentur dengan menimbulkan kesan positif atau negatif. Maka, sekiranya keharmonian adalah matlamat perutusan, tiada pilihan yang paling bertepatan selain mengasuh jiwa-jiwa warga agar teruntun sentiasa ke arah kemanfaatan. Kukira ini adalah pendekatan seorang yang bijaksana. Dan sajak adalah wahana mengutus kebestarian. Penyair ini telah mendekati kaedah mencapai matlamat seni dengan serasi sekali.
Memang perutusan atau idea boleh disuarakan melalui pelbagai cara dan genre tetapi tetaplah sajak terletak di puncak kerana ia “merdu”, “harum”, “syahdu”, berukir” sekali gus mengasyikkan dengan kelembutan yang merungkaikan sejagatan persoalan. Bersyukurlah kerana adanya genre ini, sehingga meluangi cetusan sanubari para pemuisi.

Pantulan C/01/1/2017: Penghakisan

Sajak Rogayah A. Hamid, "Bulan di Waktu Sbuh" -  Pantulan C/01/1/2017: Penghakisan
Lapan tahun berlalu dan jangka masa itu ternyata telah hampir membuktikan bahawa wawasan yang berakarkan konsep atau tanggapan tradisi kian menipis tercebis-cebis lalu lembut mereput oleh timbunan peristiwa mencabar tanpa berputusan muncul berbondong-bondongan melonglaikannya. Kekerdilan kuasa telah menafikan pengrealisasian matlamat. Ia juga sebenarnya telah menjadikan arus raksasa pensejagatan meredah buas merobah citra kebangsaan. Yang terbayang atau bakal mendatangi ialah penentuan suatu hari untuk upacara menukul paku terakhir lalu menamatkan segala-galanya.
Maka apabila Rogayah A. Hamid (Rogayah Hamid), melalui “Bulan di Waktu Subuh”, Dewan Sastera, April 2009, muka surat 10, melempiaskan kekesalan yang amat dengan kalimat, “dan tidak peduli tentang pudarnya sejarah dan ketuanan Melayu” terhadap generasi semasa, tentulah tidak kesasar untuk merumuskan, apatah lagi terhadap generasi yang sedang di bangku pengajian, bahawa penganalisisan tentang hak atau ketuanan di bumi ini sudah sangat berlainan sekali. Ia seharusnya diaduni perspektif yang seedaran zaman. Pesimisime atau kemutlakan?
Barangkali yang lebih malang sekarang ialah kelupusan jati diri. Bukan ketuanan lagi. Kerana hakikatnya kemerdekaan telah mengabsahkan, bahawa dalam banyak hal kita dan mereka tiada lagi bezanya. Semua hak dan keistimewaan serentak gandingannya terpiagam dalam perlembagaan. Ia boleh menjadi asas kukuh maju ke depan. Tetapi setelah berdekad-dekad melangkahi belenggu penjajahan, generasi demi generasi juga muncul berwajah lain daripada sebelumnya. Sebahagian sudah menjadi pemerhati, dan sebahagian yang semakin bertambah ramai menjadi pelaku dan melakukan apa sahaja mengikut pendirian masing-masing. Dan ada lagi yang sedang bersedia menjadi pelaku tidak juga membayangkan mereka mewarisi generasi-generasi yang sudah pun dikira ‘berlalu’.
Maka, adakah keluhan penyair kita adalah keluhan sempurna? Bersalahankah mereka daripada citra seperti acuan perlembagaan atau Rukunegara? Yang aku fahami ketuanan asal itu sudah dicalari realiti; berlandas dan berwajah idea-idea demokrasi. Ada hak diundi dan mengundi. Ia merangkumi semua warga, tanpa mengira asal-usul mereka. Dalam kita sedang majoriti pun jati diri tidak sejati, tentulah mustahil untuk mengharapkan wawasan tradisi kekal bertahan dengan pendukung-pendukung yang tidak sefahaman, lagi berencaman.
Dan jangan lupa, demokrasi mengizinkan muncul sesiapa pun bertakhta di tampuk kuasa!