Saturday 17 January 2015

Pantulan 8/15: Sajak Zurinah Hassan, “Pada Ketetapan Ini”

Pantulan 8/15: Pengakuran
Sajak Zurinah Hassan, “Pada Ketetapan Ini”, Dewan Budaya, Ogos 1983, muka surat 55, walaupun sudah 32 tahun muncul, masih unggul. Sampai bila pun akan sentiasa semasa. Kerana, hakikat paling diakuri semua ialah yang bernafas akan mati. Tetapi setiap orang diberi kesempatan memakmurkan penghidupan sendiri di dunia ini sedaya upayanya. Alangkah mudahnya jika dalam menuju perhentian, ia tidak teruji dan mencapai semua yang dikehendaki. Demikian tidak pernah berlaku kerana di dunia ada dua seginya; adil berlawan dengan zalim, berkuasa tak sama dengan marhaen, bijaksana berlainan kejahilan, …. Tetapi kematian tetap kematian. Bukan terhak pada segelintir bahkan untuk semua. Bukankah itu sungguh adil? Maka, sekurang-kurangnya, kita wajar bersyukur telah diluangkan kesedaran menerima peraturan bahawa untuk bahagia di alam baqa, persediaan serapinya, perlu ada. Di sana, pengurusannya tak sama. Keadilan itu sebenar-benarnya ada dan kematian itu tiada lagi. Yang berbakti bererti dan pasti, yang sesat menerima akibat teramat berat.
ASKAT: Persoalan ini relevan. Sebab, kehidupan adalah berterusan sampailah Kiamat terjadi. Masa yang ribuan tahun panjangnya (insya-Allah) hanyalah sementara. Maka, dalam kesementaraan itulah segala-galanya berlaku, termasuk keadilan yang tidak terkendali. Sangat banyak kekurangan manusia. Walaupun telah lama bertamadun, kesengsaraan, ketidakpuasan, pertelingkahan berterusan sesama manusia, menderakan pihak-pihak yang terbabit. Tanpa nampak penyelesaian. Mereka belum menemui formula membahagiakan hidup, pada peringkat individu, kelompok, masyarakat, negara dan dunia. Sejarah telah ditulis. Sedang dan akan tertulis berjilidan lagi. Kalau dihayati setakat yang ada pun, sudah lebih daripada mencukupi untuk memberikan pedoman bagi mewujudkan keadilan berkekalan. Tetapi keadilan barangkali bersegi-segi dari perspektif pelbagai pihak. Maka persaingan dan kemenangan menjadi kelaziman. Yang kalah tentulah tertekan dan memendam dendam untuk bangkit mengungguli di lain zaman. Jadi, hidup ini benar-benarlah suatu perjuangan.
— at Dewan Budaya, Ogos 1983.


Pantulan 7/15: Sajak Rudi Mahmood, “Kemarau”

Pantulan 7/15: Kepedihan
Sajak Rudi Mahmood, “Kemarau”, Dewan Budaya, Februari 1982, muka surat 35, muncul ketika kita berduka dilanda banjir seberang jangkaan kotak fikir. Pejuang kita menggigih diri, sungguhpun ternyata bahawa pengekalan sesuatu dalam milik sudah tidak pasti lagi. Sebahagian telah hancur lebur, sedang yang ada menyerlahkan keporakperandaan tanpa terlindung lagi. Maka ternyatalah, serupa banjir, dalam “kemarau” pun, penghidupan tidak jauh berbeza berantakan serta memunahkan. Buktinya, “alam kehilangan nafas/dan suara.” Tak perlu lagi peri, kerana semuanya seterang pancaran cahaya mentari. Hala yang dituju, gelap dan buntu. Tak bersempadanan dan tanpa perhentian. Aku merasakan, segala-galanya sudah tidak berdaya menghadapi malapetaka dan yang pasti waktulah memuktamadkan jalur sejarahnya.
ASKAT: Alangkah berbaktinya sajak, walaupun berupa susunan ungkapan diseliputi makna bergerhana. Gegaran kata-kata benar-benar mencalar rasa, dan menyelinap terus ke lubuk peka. Dan, urutlah setiap biji tuturnya. Demi meng‘erti’kan impak wujudnya.
— at Dewan Budaya, Februari 1982


Pantulan 6/15: Sajak Salmiah Ismail, “Jawapan yang tidak Pasti”

Pantulan 6/15: Erti kesetiaan
Sajak Salmiah Ismail, “Jawapan yang tidak Pasti”, Dewan Masyarakat, Mac 1985, muka surat 56, menusuk kalbu, oleh debaran keresahan yang berdenyutan kerana perpisahan yang entahkan bakal membahagiakan atau menderitakan. Kuharapkan perindu rela berkorban seketika. Sayugianya “perantau” tidak hilang punca sampai terlupa untuk menjenguk orang yang mengasihi, lagi sabar menanti. Alangkah bererti suatu penantian, jika yang ditunggu-tunggu setia pulang bertemu, menjalinkan semula ikatan yang sedia terjalin lama. Maka, yang seharusnya didoakan ialah kedua-dua pihak saling menghormati, mematuhi janji. Baharulah kepastian tidak tergolek ke sana ke sini, menghauskan uratan, melunturkan kesepakatan insani saling mengenali.
ASKAT: Kesepian ditemani kesendirian, lebih lazim menderakan sungguhpun adakalanya kita berharap kesunyian menjelma dan dalam suasana demikian kita boleh bertafakur, merenung sejauh mana kita bererti, berbakti pada usia ini, di bumi Ilahi. Kegigihan menggelumangi derita, oleh pelbagai tekanan, baik lantaran berurusan tak kena, terhalang cinta oleh hati tidak serasi lagi, enggan berpisahan sementara demi kebaikan masa depan yang belum menimbulkan keyakinan jitu, dan lain-lain lagi kepincangan, tetap perlu kerana masa depan belum “pasti”, tidak sentiasa diwarnai keceriaan. Asuhan yang tepat tidak akan menjerumuskan diri ke kancah kepunahan. Peribadi yang terbina dengan keluhuran sifat-sifat mulia, kekuatan ilmu berteraskan ketaqwaan akan mampu medepani serba-serbi ujian, walau sebesar mana pun cabaran, selama mana dan sekencang mana pun pembadaian. Aku suka pada yang positif. Walaupun tidak nampak ganjaran faedah menerjah kini, penerusan langkahan tetap sewajarnya ke hadapan. Mudah-mudahan berlimpahan kerahmatan sampai di perhentian.
(Nota: Sajak ini termuat juga dalam kumpulan puisi “Kepada Sahabat”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1993, cetakan pertama, muka surat 12)
— at Dewan Masyarakat, Mac 1985


Pantulan 5/15: Sajak Ahmad Sarju, “Seharusnya”

Pantulan 5/15: Nekad
Sajak Ahmad Sarju, “Seharusnya”, Dewan Masyarakat, Julai 1984, muka surat 60, mengajak kita tidak lagi menunggu-nunggu. Sekaranglah waktunya untuk menentukan pendirian. Demi kebaikan kita, sekarang dan pada masa hadapan, pertimbangan janganlah dibiarkan menguasai dengan berkesudahan yang tidak menguntungkan pihak-pihak yang berhak. Sekiranya kelemahan diri bakal memudaratkan kelangsungan, tidaklah lagi bijaksana dipertahankan pendekatan yang sedia diamali. Tidak bermanfaat bersikap apologetik. Pihak yang lain akan tetap meraih faedah, menikmati habuan, sedang tanggungan natijah deritanya dikemam sendiri lalu berubah menjadi warisan.
ASKAT: Apa yang berlaku bukanlah semuanya kita sendiri yang menentukan. Tidak semua urusan di bawah bidang kuasa. Budi bicara pun ada pada orang lain. Maka kita hanya boleh menyeru, mengsyor, berdoa, bertawakal. Semoga ada orang bersedia meneliti pandangan atau perakuan yang kita kemukakan dan sanggup pula mendukungnya. Jika begitu berlaku, tercapailah hasrat semula dan kita diakui pencetus idea, pejuang handalan, memiliki saham dalam usaha-usaha pendaulatan. Dalam penghidupan yang berpancaroba, kalau kita tidak terhalang mengeluarkan idea, menyuarakan luahan, berprinsip sendiri maka sudahlah boleh kita bersyukur, tidak terpinggir menggigit getir. Yang sangat diharapkan ialah kesekataan atau permuafakatan. Kalau demikian boleh terzahir, maka terlonjaklah kita sebagai bangsa berbudaya bakal menempa tamadun tersanjung berkurun.
— at Dewan Masyarakat, Julai 1984.


Pantulan 4/2015:Sajak Siti Zainon Ismail, “Di Halaman Masjid Lama”

Pantulan 4/2015: Pengertian
Sajak Siti Zainon Ismail, “Di Halaman Masjid Lama”, Dewan Masyarakat, Julai 1982, mengajak jemaah atau musafir yang singgah di masjid merenung hakikat kewujudan di depan mata pada sebuah tempat ibadat yang “terlalu lama untuk usia kita”. Tak kiralah masjid yang mana! Aku kira kalau hendak menghayati sepenuhnya, kita harus tahu latar belakang atau sejarahnya. Juga, tentang Melaka sebagai kerajaan besar dahulu kala atau perkembangan seni reka masjid khususnya. Aku tahu ada juga seorang Bendahara bergelar Paduka Tuan, iaitu selepas Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir yang kaya raya itu. Pun, suatu ketika ada juga diceritakan Sultan Mansur Syah berkahwin dengan Puteri Hang Li Po hingga berputerakan Paduka Mimat. Selain itu, pembacaan karya ini seterusnya bergantung kepada tafsiran sendiri-sendiri.
Maka, “masjid lama” tetap bersejarah kerana “… tersirat/lewat garis dan ukir”. Di serata tempat dan pada bahan-bahan yang membinanya, ada makna dan perutusan menuntut kefahaman. Tanpa kesediaan dan kesungguhan menggali erti semua yang terpamer atau tertabir, maka tiadalah faedah boleh diraih, tiada hikmah dapat dijamah. Kehadiran atau penyinggahan akan menjadi suatu yang biasa-biasa sahaja. Kita menjadikan warisan nenek moyang itu sekadar tempat menunaikan fardu ain, atau melepaskan lelah sebelum berpergian lagi.
ASKAT: Kita ada tanggungjawab harus dikendali kerana semuanya yang menjadi warisan nenek moyang itu memercikkan tahap pencapaian pada zamannya. Ia harus dihargai. Ada pengajaran perlu digarap walaupun telah bersenggang panjang. Gemblengan budaya diantara anutan penduduk asal yang diperkaya oleh unsur-unsur luar, melalui kebijaksanaan yang berwibawa, telah menjelmakan suatu wajah yang “menjadi milik bersama” . Paling kurang kita harus bertekad menjaganya.
— with Imannurdin Wira at Dewan Masyarakat, Julai 1982 .


Tuesday 6 January 2015

Pantulan 3/2015: Sajak Rogayah A. Hamid, “Kolam Renang Mimaland”

Pantulan 3/2015: Batasan
Sajak Rogayah Hamid (Rogayah A. Hamid), “Kolam Renang Mimaland”, Dewan Masyarakat, Jun 1982, muka surat 55, mengingatkanku pernah sekali dua berkunjung ke situ pada hujung minggu, dalam dua masa yang jauh senggangnya. Teringat juga, pada kunjungan terakhir, tiadalah ramai mereka yang berlibur, mungkin oleh sebab kemudahan yang semakin tidak terjaga atau sebab-sebab lain. Tetapi menyelak, baris-baris sajak ini, sambil mengintai “tubuh kuning” dalam “keindahan semula jadi” yang “sepi” akupun menajam diri pada falsafah yang tercungkil dari “apabila semuanya telah terbuka/tidak ada lagi yang luar biasa”.
ASKAT: Dari perspektif diri, kerahasiaan sesuatu, pada kala-kalanya harus sentiasa terpelihara. Edaran masa memang menggantikan. Lalu seharusnya ada atau dituntut penyesuaian, agar tidak dianggap kolot, ketinggalan zaman. Namun, maruah tidak seharusnya sekali-kali dibiarkan tercemar, diperkotak-katikkan demi kesementaraan dan keduniaan. Walau secebis sekalipun. Sesungguhnya, tiada rugi kita mempertahankan diri dari kerakusan yang tidak langsung memberkati, bahkan meleburkan budi pekerti, pegangan yang dianuti, dan apatah lagi berupa pemungkiran janji. Kehidupan ada tata susila yang menjalin ikatan atau mengawal pergaulan agar manusiawi sentiasa mengakuri batas-batas ketamadunan terpuji. Sayuagianya, kekallah dalam kemurnian. Dalam serba-serbi.
— at Dewan Masyarakat, Jun 1982.

Pantulan 2/2015: Sajak Nawawee Mohammad, “Masa Dalam Sajak”

Pantulan 2/2015: Demi masa
Ketika meninjau-ninjau untuk sesuatu maksud yang lain, terserempak dengan sajak Nawawee Mohammad, “Masa Dalam Sajak”, “Perspektif”, Berita Minggu, 9 Disember 2001, muka 10. Kukira bertepatan, pada tahun baru 2015 ini merakamkan pertambahan usia dengan menggali makna “masa” sementelahan pula, pagi tadi sudah diumumkan seorang ahli kariah kampungku yang sakit beberapa bulan berpulang sudah ke rahmatullah, pada usia 74 tahun.
Karyawan sedaerahku ini berlaku bijaksana, selain merenung hakikat masa, telah pula, dengan kenanya, membandingkannya dengan “pedang” yang diakui “tajam” matanya tetapi kalau tersimpan tak digunakan untuk maksud asalnya, tidak berfaedah apa-apa. Paling-paling, menjadi hiasan di dinding atau kabinet berkaca. Musuh tidak akan gerun dan tiada rugi pula kalau tidak memiliki. Perutusan yang disampaikan berguna untuk semua. Kadang-kadang kita terlupa menghayati dan memanfaati waktu yang tersedia, dan hanyutlah dibawa arus deras zaman berpancaroba. Walau lazimnya, orang muda berpeluang hidup lebih lama lagi, berbanding mereka yang lahir mendahului, yang harus dimengerti, peluang hanya datang tanpa berhenti. Maka, rebutlah ia sebelum tiada kesempatan lagi. Lima x lima perkara.
ASKAT: Kita manusia, setiap detik kian tua. Ternyata, yang bayi menjadi remaja, yang dewasa berubah pesara, lalu pergi apabila sampai seruan Ilahi. Maka benarlah, sebagai firman, “Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian - Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” (Al-Quran, Al-‘Asr: 103: 2-3)
— at Berita Minggu, 9 Disember 2001

Friday 2 January 2015

Pantulan 1/2015: Sajak Sharif Putera, “Di Batas Ngeri”

Pantulan 1/2015: Kian menjauh
Ada terselit beberapa lembaran akhbar lama dalam sebuah majalah yang sedang dibeleki. Dalam ruangan “Puisi” di bawah “Sudut Sastera”nya kutertarik memantuli sebuah sajak teman fbku, sebagai membuka tahun baharu.
Sajak (Tuan Sharif Tuan Putera) Sharif Putera, “Di Batas Ngeri”, Mingguan Malaysia, 13 Disember 1992, muka 11 mengingatkanku kepada perselisihan besar rakyat oleh perbalahan merebut kuasa di kalangan para pemimpinnya yang berkemuncak dengan penentuan hak dan wibawa melalui Pilihanraya Umum 1990. Ada UMNO (Baru), kemudian ada Semangat 46, PAS, Berjasa, dan lain-lain. Ketika itulah APU dan Gagasan Rakyat terbentuk dan mencabar bahkan mengancam kedudukan elita politik sedang berkuasa. Seluruh negara gempita oleh perhimpunan-perhimpunan yang sesak dengan pemidato/pidato yang berapi-api menjulang kebenaran perjuangan masing-masing. ‘Survival’ ahli-ahli politik bergantung kepada kepintaran dalam berstrategi di samping keupayaan mempengaruhi para pengundi.
Dan, kukira penyajak kita ini begitu prihatin bahkan teramat dukacita dengan perpecahan di kalangan rakyat oleh pemimpin yang memperjuangkan kepentingan sendiri demi kelangsungan di mercu kekuasaan. Sedangkan, yang seharusnya menjadi matlamat ialah memakmurkan negeri/negara sekali gus rakyat yang masih jauh ketinggalan, yang bergantung harap kepada mereka. Maka peristiwa atau senario yang sedemikian genting, menjurus ke satu lagi tragedi bangsa, sangat wajar dicatat. Kalau pun kita tidak sendiri memainkan peranan utama, catatan yang tepat merakam pergolakan atau saat-saat penjerumusan martabat bangsa ke pinggir bertubir itu harus ditulis. Betapa pun pahit hendak dikunyah, demi pensejarahan tentang pengalaman luka yang dalam dan pedih, tidak boleh sama sekali berlalu begitu sahaja. Ada iktibar boleh diraih oleh generasi menyusuli.
ASKAT: Saya bertugas di Terengganu antara 1988-1992, dan menyaksikan secara dekat proses PU ‘9O. Ketika itu politik menjadi sangat ‘gamat’, kalut, genting dan berbahaya. Munculnya Semangat 46 dan penglibatannya bergelut meraih mandat rakyat menukar senario politik negara dan mengganggu kestabilan bahkan melonggarkan lagi ikatan di kalangan rakyat yang tidak pernah bersatu, terbaur rapuh semenjak berzaman. Dan bibit-bibit pemecahan yang tersemai dahulu itu masih semarak, belum terkambus. Sampai kini.
— at Mingguan Malaysia, 13 Disember 1992
Like 

Pantulan 96/14: Sajak Siti Zainon Ismail, “Sesekali “

Pantulan 96/14: Tawakal
Sajak hampir empat dekad karya Siti Zainon Ismail, “Sesekali “, Dewan Masyarakat, Julai 1976, muka surat 55, mengikat dan merantai minatku meneliti sehingga badaniah keris harus dikenali. Maka pentafsiran atau pemahaman terbantu dengan mengetahui istilah-istilah seperti “pamur”, “mata keris”, “belalai gajah”, “dagu” dan lain-lain yang berkaitan. Lalu terkesanlah, “ku” bersedia bertolak ansur demi memenuhi hasrat “keluarga”, sungguhpun penjodohan ini sudah tidak sebegitu bererti lagi kerana perasaan tidak semurni berbanding yang asal atau yang diharap-harapkan semula. Tetapi, pengalaman dahulu (cinta pertama) tetap mengajar “ku” sehingga melorongkannya ke titik pertemuan pada kali kedua walaupun disedari hasil atau hakikatnya bukan yang terbaik. Pun demikian, penerusan hidup perlu sentiasa dalam berhati-hati dan bersiap-siaga, kerana latar belakang dan jalur peristiwa yang dilalui dan dialami bukan pilihan peribadi. Ia sekadar mengatasi tuntutan atau demi keselesaan sanak-saudara. Senjata, atau keris yang bermantera seharusnya dapat menjaga keselamatan tuannya. Sepanjang masa.
ASKAT: Semoga tanpa pilihan sendiri pun perjalanan hidup bersama seterusnya tidak sentiasa bergelora. Dengan perobahan masa, akal akan menjadi lebih bijaksana. Dengan kesudian menjalin pengertian, dari sehari ke sehari, jadi berkekalan, melimpah-ruah barakah, dikerumuni anak cucu sekeliling pinggang. Bukan tiada kisah-kisah demikian. Hidup berbahagia di luar jangkaan sendiri. Insya-Allah, benar-benar terjadi.
— at Dewan Masyarakat, Julai 1976


Pantulan 95/14: Sajak Azmi Yusoff, “Di Suatu Lapangan”

Pantulan 95/14: Sempadan
Sajak Azmi Yusoff, “Di Suatu Lapangan”, (ciptaan 1975), Sarina, Oktober 1977, muka surat 135, bernada sama dengan “Soneta Kembara”. Tetapi penegasan kali ini khusus tentang kesendirian. Manusia menjalani hidup dengan kepastian ia sahaja yang bertanggungjawab menanggung risikonya. Kalau pertahanan diri tidak mencukupi lemaslah dihimpit ke tengah ke tepi. Ada pengajaran, ada teladan bahawa pengalaman yang dilalui, pancaroba yang diharungi, walau selama mana pun, sewajarnya tidak dipersiakan. Banyak cerita kejayaan bermula dari episod duka, dari jatuh, jatuh, jatuh dan kemudian bangkit, bertatih, dan, kerana gigih meyakini kebolehan sendiri serta tawakal terhadap Ilahi, berakhir di mercu tertentu lagi tinggi. Ini adalah hakikat dan tetap sah hingga kini.
ASKAT: Itulah sebab sejarah itu bukan ilmu yang mati tanpa erti. Bertahun-tahun, berkurun-kurun, bangsa terjajah dapat muncul semula, menjadi merdeka dan mampu setara bahkan misali. Kalau aspek gergasi yang kita peduli, aspek peribadi bukan pula harus diabaikan. Ia tetap perlu diutamakan. Banyak contoh tentang pihak-pihak yang kekal mengungguli, tidak lain kerana prinsip-prinsip, strategi-strategi, yang tahan uji. Pendek kata, yang ‘berinti’ sahaja bersemayam tenteram selepas merenangi dan menongkah arus zaman.
(Nota: Sajak ini takku temui dalam mana-mana kumpulan puisi Azmi iaitu “Dua Alam”, Mengemam Jadam”, “Abrar” dan “Sakar Mawar”).
— at Sarina, Oktober, 1977

Pantulan 94/14: Sajak Sutung Umar RS, “Puisi Buat Ann”

Pantulan 94/14: Banteraskan
Sajak Sutung Umar RS, “Puisi Buat Ann”, Dewan Masyarakat, Mei 1976, muka surat 56 muncul sambil menceritakan kisah masghul. Kisah-kisah sebegini lazim benar didengar kerana ia berlegar di merata-rata. Kurang pasti pula aku tentang sebab-sebab pelacuran tidak terbasmikan. Boleh jadi ada tarikan untuk bersenang-lenang tanpa perlu memiliki kelayakan kesarjanaan. Sebab lain, munasabah juga berpunca dari penguatkuasaan yang tidak berterusan, ikut suka atau berkepentingan. Mungkin juga rasional keduniaan menjadi keutamaan lalu pengintegrasian semua yang boleh mencetus atau menyumbangkan permasalahan tidak menjadi agenda penyelarasan yang terkedepan, semua agensi atau jabatan. Yang mudah, ditohmahkan gejala demikian disebabkan kemiskinan. Ahli-ahli yang menyelidiki masalah-masalah kemasyarakatan tentu boleh menambah lebih lengkap lagi tentang sebab-sebab paling menepati.
ASKAT: Maksiat dalam apa bentuk sekalipun harus dibanteras. Tiada pun memberi faedah kalau mana-mana pihak, individu atau organisasi, membiarkan ia merebak tanpa berusaha mencari penyelesaian, jangka pendek dan jangka panjang. Sungguh kecewa melihat sebegitu ramai yang terlibat mencemarkan kemanusiaan. Dan pastilah berdosa, mana-mana pihak yang diamanahkan mencuaikan pertanggungjawaban sehingga negara kita bakal terkenal sebagai sarang yang memperbiak serba-serbi aktiviti yang meruntuhkan wawasan yang diimpikan.
— at Dewan Masyarakat, Mei 1976


Pantulan 93/14: Sajak Ahmad Sarju, “Sang Kuriang”

Pantulan 93/14: Dongeng cinta
Sajak temanku, Ahmad Sarju, berjudul “Sang Kuriang”, Dewan Masyarakat, September 1975, muka surat 55, menjelma mesra. Cerita putera yang terdera rasa oleh penolakan nafsu (cinta?) oleh ibunda kerana menyalahi adat susila. Maka, yang terkesan seharusnya, tiada wajar kehonaran berleluasa. Fakta-fakta seharusnya muncul agar memandu perlakuan manusia, melorongkan kepada amalan-amalan bermaknawi, bukan yang menyalahi adat negeri dan adab manusiawi. Suatu lagenda, ratusan tahun berlalu (ribuan?) masih tetap mencengkam bacaan ulangan asalkan diperikan semula dengan kemerduan dan lenggokan kata-kata mencempera rasa, membaur rangsangan. Kalau dikaji pemerian tentang Sangkuriang, ada tafsiran tertentu dalam setiap peristiwa yang dilalui watak-wataknya. Dan, terpulanglah, setiap pembaca boleh pula membuat tafsiran sendiri-sendiri, selapis atau berlapis-lapis. Aku setuju penyair kita telah memilih sempurna rumusan, “jawaban menyula jasad dan roh kita”, sebagai tafsiran bermutu penelitian baharu. Sungguh, tiada sesia mentelaah apabila tambahan berguna menyusup ke minda, memperteguh kewarasan. Memang kena.
ASKAT: Pernah kulawati Gunung Tangkuban Perahu dan setelah mengetahui latar dan bentuk rupa bumi, tidaklah terkejut cerita Sangkuriang dipercayai orang zaman dahulukala. Pun terlampau banyak khurafat legenda itu, sehingga akal siapa pun mempersoalkan (kebenaran) khayalan purbanya. Tetapi dari perspektif kini, kecanggihan zaman mutakhir boleh menjadikan dongeng itu berlaku, seperti banyak cerita seperti itu diperbuat untuk tayangan santai di kaca TV, mengikat minat kanak-kanak. Demikian menjadi realiti dibantu teknologi terkini. Tetapi, dari segi hiburan, atau memasyhurkan tempat-tempat agar jadi tumpuan wisatawan, cerita-cerita demikian sangat berperanan. Maka siapa pun perekanya, adalah diakui sangat bijaksana. Masyarakat yang mewarisi hasil ciptaan beliau mendapat faedah sampai bila-bila, kerana dijadikan sumber memakmurkan penghidupan di sekitaran.
— at Dewan Masyarakat, September 1975


Pantulan 92/14: Sajak Azmi Yusoff, “Soneta Kembara”

Pantulan 92/14: Redha mencekali
Keprolifikan yang terbukti. Lagi tersua dengan Azmi Yusoff, melagukan “Soneta Kembara”, Mastika, Disember 1979, muka surat 50. Ya, yang kesekian kali. Mengatasi teman-teman yang lain. Aku tidak mencerakinkan ciri-ciri “soneta” tetapi lebih berminat melayan keharuan oleh calitan Azmi yang terang di lembaran. Untaian pertama, kemas sekali memaparkan hakikat kehidupan yang kita jalani. Memanglah ada perbezaan nasib sesama kita. Sebahagian manusia dari semenjak lahir sampai akhir terzahir menerima pelayanan yang sempurna. Yang lebih ramai terdiri daripada yang tidak sebahagianya. Dan di sinilah sajak ini bererti. Pada untaian kedua, diasuhi Azmi peneliti karya beliau agar gigih menghadapi semua yang datang bertubi-tubi, walaupun tidak melimpahkan rezeki. Ya, belum lagi ….
ASKAT: Kebetulan hari ini melintasi kata-kata Awang Had Salleh, “keindahan sajak terletak tidak sahaja pada keharmonian kombinasi bunyi, sanjak dan kata-kata tetapi juga pada keikhlasan erti.” (lihat, “Di Penjuru Matamu”, Utusan Publications, 1981, cetakan kesebelas; Pendahuluan, tanpa muka surat). Maka, aku hanya mencungkil setiap baris ternukil, setiap butir madah terpamer, biar semuanya tidak lagi ditimbusi pasir, menyerlah hadir agar mendesir dan amanatnya banjir di kalangan pentafsir dan juga pencari yang berfikir.
(Nota: Kuselidiki dan mendapati sajak ini tiada termuat dalam mana-mana kumpulan puisi Azmi iaitu “Dua Alam”, Mengemam Jadam”, “Abrar” dan “Sakar Mawar”).
— at Mastika, Disember 1979.


Pantulan 91/14: Sajak Siti Zainon Ismail, “Profil Cinta”

Pantulan 91/14: Murni dan sejati
Siti Zainon Ismail, melalui “Profil Cinta”, Dewan Masyarakat, Jun 1974, muka surat 52, menyorot Sita, Rama, juga Rawana untuk mengumpamakan sebuah lagi episod cinta kini. Ada pula jentayu dan panah menambah seru. Tetapi yang kuketahui, Rama dan Sita saling bercintaan. Hanya angkara Rawana menimbulkan kecelaruan sehingga cinta murni itu dipaliti waswas dan ombang-ambing gelombang perasaan sehingga meruncingkan ikatan. Bahkan, hampir memusnahkan perkahwinan. Dan pada pertanyaan akhir Siti, “di mana,/di mana, di mana?”, ada persamaan tentang prasangka seperti dalam riwayat zaman-berzaman itu. Mengingati jelujur cerita hikayat, aku berharap keresahan tidak meruap kerana Sita dan Rama, ada tanggungjawab membuktikan pendirian atau sikap masing-masing, demi kemantapan berterusan. Mereka orang yang beradab sopan, berdarjat diraja, tersanjung rakyat jelata. Kejujuranlah yang harus tegak berdiri memagari fitnah atau syak yang bertujuan memisahkan gemblengan dua hati. Dan mereka seharusnya berjatidiri agar dapat diteladani serata negeri.
— at Dewan Masyarakat, Jun 1974


Pantulan 90/14: Sajak Azmi Yusoff, “Seorang Anak Telah Kembali ke Gunungnya”

Pantulan 90/14: Demi perjuangan
Pada usia 20 tahun, Azmi Yusoff, menceritakan “Seorang Anak Telah Kembali ke Gunungnya”, Dewan Masyarakat, April 1974, muka surat 53. Kagum juga aku dalam meratahinya. Karya ini tetap mengusik - oleh kemerduan dan kelunakan kata-kata, keindahan alam yang dilukis sekali gus kesedihan atau kekecewaan yang dihempaskannya di antara baris, yang hampir semuanya menimbulkan asyik. Tetapi, yang terserlah, pokoknya hidup adalah perjuangan. Bukan mudah mencapai cita-cita. Di jalanan, lazimnya sentiasa mercup juring-juring tajam menikam langkahan, menyukarkan dan menguji kegigihan ke tahap hadnya. Semangat boleh patah terkulai kalau tiada tahan menghadapi. Dan malanglah diri mengalami kecundangan. Bertambah lagi kerugian kalau ada yang bergantung harapan kepada kejayaan perjuangannya. Para pendukung atau pengikut, sama ada disedarinya atau tidak , tentu kecewa oleh kerapuhan azam atau pendirian, walau apa sekalipun yang mempengaruhi.
ASKAT: Yang disanjung ialah wira. Tentulah terbalik dan janggal kalau yang bukan bertaraf demikian yang diberi tempat terpuji. Pejuang yang mati berjuang, walaupun gagal tiba di destinasi, tetap ternama dan sepanjang masa dikenang sebagai pejuang sejati. Memang perlu ada strategi dan tidak perlu tergesa-gesa sampai merugikan kalau halangan tidak mudah diatasi. Ia boleh berundur, menanti dan muncul lagi, dengan segala kelengkapan. Yang dikehendaki, ialah kejayaan abadi. Dalam semadi sentiasa menjadi simbol misali.
(Nota: Sajak ini termuat juga dalam antologi, “Dua Alam”, Grup Pemuisi UKM, 1978, cetakan pertama, muka surat 12)
— at Dewan Masyarakat, April 1974