Thursday 23 January 2014

Pantulan 15/14, Sajak Ahmad Sarju, “Untukmu”

Pantulan 15/14

Sajak “Untukmu”, Dewan Sastera, Disember 1976, muka surat 6 pendek tapi bermesej besar. Teman rapat fbku, Ahmad Sarju menyeru “pencari” agar tidak mengabaikan kepentingan menyelidiki sejarah tanahair. Kejahilan tentang faedah usaha-usaha itu sangat merugikan rakyat. Ada kata-kata beliau, membayangkan kelekaan terhadap perkara penting ini adalah suatu ‘malang’ yang boleh menyebabkan terlepas pengenalpastian masalah-masalah sebenar kemunduran orang-orang Melayu; “hari ini adalah/satu abad yang dibiarkan/mengalir tanpa pembelaan.” Pengabaian yang dahulu barangkali wajar, senang difahami, kerana negeri-negeri Melayu terjajah dengan ‘dasar pecah-pecah dan perintah’. Apabila merdeka, tampuk kuasa di tangan anak watan sendiri, penerusan suasana keterbiaran itu benar-benar satu kebebalan berpemerintahan moden.

ASKAT: Tahun 1976 termasuk tahun awal usaha-usaha pemulihan bangsa yang demikian lama ketinggalan. Dalam “kelesuan bangsa” yang begitu, nampaknya belum ada sesiapa menunjukkan minat untuk mengkaji sebab-sebab keciciran dalam semua bidang itu. Pada hal sebenarnya isu ketinggalan bangsa ini sudahpun disentuh dengan beraninya oleh Munsyi Abdullah (tanpa memberi impak segera). Kemudian, kita pun boleh baca pandangan Senex dalam Bintang Timor, Kaum Muda di dalam Al-Imam, Pendeta Za'ba, Ungku A. Aziz dalam tulisan-tulisan mereka dan lain-lain seperti sudah berteraburan ditemui terselit dalam media era masing-masing. Dan, ketika dekad 70-an juga, kajian-kajian bertahap merintis (?) tanpa menyeluruh baharu sahaja kelihatan. Ertinya gambaran yang lengkap tentang kemajuan orang-orang Melayu tidak menjadi satu tumpuan bahan penyelidikan orang kecuali oleh kelompok-kelompok tertentu. Sedangkan pendokumentasian masalah-masalah, idea-idea mengatasi kelemahan, pencapaian-pencapaian, dan sangat penting, kegagalan usaha-usaha yang telah diambil seharusnya tidak terhenti bahkan dipertingkat atau disegerakan. Ini penting kerana dengan adanya pelan induk pelaksanaan program pemertabatan yang berterusan, pihak-pihak yang berkenaan tiada hilang punca, tidak menjadi terbengkalai, patah di tengah jalan, terlepas pandang atau akibat keselekehan lain. Beberapa dekad telah berlalu dan sekarang sebab-sebab kelemahan telah diketahui. Usaha-usaha untuk menyelamatkan nasib atau maruah yang terbenam telah membuahkan hasil, walaupun tidak sepenuhnya. Kini, ramai orang sudah terpelajar, dan orang-orang kaya pun bertambah. Mereka sudah pun ada yang tinggal dalam persekitaran yang mewah, sudah menjadi usahawan besar, pengendali industri-industri, dan tidak kalah lagi dengan sesiapa. Di sebalik kejayaan itu, masih banyak keterbelakangan. Dan kenyataan ini tidak pula menjadi faktor penggalak penyatuan ummah bahkan perpecahan tetap parah seperti ‘dulu, dulu, dulu’.
 — at Dewan Sastera, Disember 1976.

Pantulan 14/14, Sajak Norhisham Mustafa, “Zuriat”

Pantulan 14/14

Sajak Norhisham Mustafa, orang lama bergelar tokoh yang terus prolifik menulis, “Zuriat” Dewan Masyarakat, November 1979, muka surat 55 menjemput pantulanku. Jelas benar yang dilagukan ialah kepahitan hidup seorang penulis untuk menyara hidup berkeluarga. Pendapatannya kecil, “jejari tangan tak cukup untuk membilang/sen dan ringgit yang tercicir” oleh pelbagai perbelanjaan amalan rakyat biasa untuk keperluan asasi, bukan untuk bermewahan. Kalimat-kalimat akhirnya; “oh, anakku, mengertilah tentang ini/kemiskinan yang harus dikunyah/zaman berzaman/menyambut lahirmu, puteriku mutia.”

ASKAT: Satu profesion yang kurang diceburi ialah bidang penulisan. Kita tahu, 35 tahun yang lalu, Norhisham Mustafalah satu-satunya nekat memilih lorong ini untuk menyarai kehidupan. Tentulah sajak ini merakamkan keperitan dan sekali gus menggambarkan hakikat bahawa pengarang sepenuh masa tidak terjamin langsung ketenteraman minda kerana saban malam ia sentiasa mengira-ngira wang di tangan kerana kehidupan bukan hanya melibatkan pernafasan bahkan lain-lain – fisiologi, keselamatan, kepunyaan dan kasih sayang, penghargaan, pencapaian diri – seperti yang diteorikan Maslow.

Sekarang bidang pengarangan sudah berubah, terutama mereka yang terlibat (menulis) bertambah. Hanya adakah mereka ini boleh berdikari dengan hanya menghasilkan karya-karya kreatif, ataupun masukkanlah, nonkreatif? Aku terbaca tidak berapa lama lalu, ada penulis yang sudah boleh bernafas lega dengan jerih fikir berkarya kerana ditimpali mencukupi. Tetapi berapa keratkah penulis hebat begini? Dalam kalangan sahabat fb ternyata boleh dibilang dengan jari. Banyak faktor yang memberi sumbangan menjadikan seseorang penulis boleh menangga dari setakah ke setakah lain dalam piramid Maslow. Aku hendak jadikan kualiti hasil karya sebagai faktor terutama. Dan karya-karya inilah yang mensyarati pantulanku dalam proses pembelekan majalah-majalah lama dalam koleksi, yang seronoknya, belum habis-habis lagi. Dan suka digarisbawahkan, tanpa hasil wang setimpal pun, kepuasan dari membaca tiada terperikan bahkan ia suatu anugerah tiada tandingan. Ingatah, penulis wajib membaca.

Pantulan 13/14, Sajak Sutung Umar RS, “Jalan ke Kotaraya”

Pantulan 13/14


Sajak teman fbku Sutung Umar RS, “Jalan ke Kotaraya”, Dewan Masyarakat, Februari 1974, muka surat 52, merakamkan sedikit peristiwa silam yang penting ketika, kita katalah, bandaraya Kuala Lumpur sedang menapak untuk berubah menjadi bandaraya moden. Dasar Ekonomi Baru dilancarkan pada tahun 1970 dan tercetuslah pelbagai perubahan termasuk penghijrahan remaja desa ke kota demi meraih kehidupan yang lebih baik. Desa yang daif menolak dan kota yang mencabar menarik. Sajak ini memberi kesan kehibaan lantaran ketidaktentuan nasib “aku” setelah meninggalkan kampungnya, “aku cuba melupakan namamu”, menuju ke bandaraya yang tidak pun menjaminkan apa-apa; penuh risiko walaupun tentunya berputik harapan yang rapuh. Tidak perlu panjang kupetik lagi, memadai; “di sana nanti/aku akan muncul atau timbul/tenggelam atau hilang.” Dalam keringkasannya, sajak Sutung adalah satu coretan sketsa yang tidak banyak dicalitkan secara sedar untuk ‘dihayati dan dirasai’ dengan mudah oleh generasi yang menyusuli.

ASKAT: Benar! Sajak ini tiba-tiba mengingatkanku ke tahun aku mulai berkerja, di “kotaraya”. Kalau dikira tempoh itu sehingga sekarang sudah berlalu 40 tahun. Jangka masa ini cukup bersejarah. Kalau kotaraya itu kita anggap Kuala Lumpur, pada tahun 1974, bandar ini sedang mulai berkembang. Bangunan tinggi belum banyak terdiri; yang ada ialah Bangunan UMBC, di Jalan Sulaiman. Bangunan-bangunan lain semuanya rendah-rendah belaka, mungkin Ibu Pejabat MARA (telah dirobohkan), Rumah Pangsa Pekeliling di Jalan Pahang, sebuah dua hotel (seperti Hotel Federal di Jalan Bukit Bintang dan boleh jadi Hotel Hilton di Jalan Sultan Ismail) antara yang tertinggi. Jalan raya yang ada jauh benar bezanya dengan sekarang. Ia sempit dan sesak. Stesen bas jadi tumpuan dan kenderaan awam berperanan utama. Perkampungan setinggan berterabur (dianggarkan menampung 60,000 orang pada tahun 1973) . Stadium Merdeka dan Stadium Negara menjadi mercu tanda … …

Tahun-tahun 1970-an menyaksikan penghijrahan penduduk luar bandar ke bandaraya dan secara ini bilangan orang Melayu kian bertambah. Pada tahun 1973, dikatakan orang Melayu di Kuala Lumpur berjumlah 25%. Mengikut banci 1970, penduduk Malaysia terdiri daripada 14.9% Melayu, 47.4% Cina, 34.1% India dan 40.8% lain-lain di bandar (petempatan berpenduduk 50,000 ke atas) dan 85.1% Melayu, 52.6% Cina, 65.3% India dan 59.2% lain-lain di luar bandar. Dari segi keseluruhan, 28.7% dan 71.3% penduduk Malaysia tinggal masing-masingnya di bandar dan luar bandar. Jumlah penduduk Malaysia ketika ialah 8.81 juta (lihat Dewan Masyarakat, Ogos 1973, muka surat 13)

Kehidupan di bandaraya tentulah mencabar terutama bagi mereka yang tidak berpendidikan tinggi. Dan, ketika itu, mereka yang berkenaan seharusnya menyimpan pelbagai cerita suka duka.
 — at Dewan Masyarakat, Februari 1974

Pantulan 12/14, Sajak Zaen Kasturi, “Dondang Sayang ‘ii’”

Pantulan 12/14

Kalau diminta mendeklamasikan, inilah jenis sajak yang akan kupilih, sebab ia adalah sebenar-sebenar sajak! Tetapi pantulanku tidak langsung mencuba menganalisis semuanya, sesuai dengan pantulan. Ternyata, sajak ini agak berat digarap dan panjang pula perlu ditulis untuk meliputi habis. Aku kira, sebahagian kecil yang terkesan dari kalimat-kalimat sajak berlatarkan epik agung, memadai. Ternyata cerita Puteri Gunung Ledang yang ini menyelak rahsia. Dari segelintir yang mengetahui, Zaen menjadikan umum berfikir lebih dalam tentang tanggapan sebahagian orang tentang Laksamana Melayu itu, dan mereka pun mengertilah. Sebagai pembaca, bukan sukar berpendirian sebegini apabila selesai menghayati nyanyian Zaen Kasturi, “Dondang Sayang ‘ii’”, Dewan Sastera, Mei 1989, muka surat 13. Apa tidaknya. Renungkanlah, “aku tahu, tuah tidak sepenuhnya/ setia pada rajanya yang kepalang buru kerana dia/tidak juga sampai ke puncakmu – membiarkan Tun Mamat/dan Hang Setia meneruskan peminangan itu”. Satu-satu yang baru dan menarik, sekurang-kurangnya dari perspektifku, ialah penyudahan sajak ini, dalam kurungan, seperti ini: “(jika Jebat masih ada ketika itu, barangkali dialah /manusia paling gembira kerana tuah didewasakan oleh ketuaannya – bukan ketuanannya!” Ya! Sudah tentulah demikian pendirian Jebat, kerana Tuah akhirnya mengikuti jejak-jejaknya, menderhakai ketidakadilan.

ASKAT: Dalam ingatanku, episod Puteri Gunung Ledang adalah tiada lain kecuali bermatlamat menggambarkan tindakan tak masuk akal seorang yang berkuasa, sedia melakukan hampir apa sahaja, demi memenuhi nafsunya, yang langsung tidak memberi manfaat kepada orang-orang lain, mereka yang dipimpinnya. Adalah malang, kedudukan yang terhormat, berkuasa pula, membuka ruang untuk menindas dan masih pula ada orang yang sedia bersekongkol membiarkan kezaliman berleluasa. Mujurlah Tuah akhirnya menjadi bijaksana dan menggagalkan peminangan lalu penganiayaan yang bakal berlaku terhindar. (Jangan perkecilkan Tuah. Panglima itu mampu menundukkan sang puteri agar menerima lamaran raja kerana ia punya ‘kesaktian’, boleh membuka pustakanya, untuk melembutkan hati rupawan seperti dilakukan ke atas Tun Teja Menggala, Inderapura! Betul juga, seperti pandangan Zaen (seperti tanggapanku), Tuah telah menyesal kerana membunuh Jebat, dan dia tidak sanggup mengulangi kesilapan dengan membantu puteri menjadi permaisuri raja Melaka sehingga mencetuskan penentangan ‘Jebat’ kerana peristiwa yang terakhir ini pula.

Nota: Sajak ini termuat juga dalam “Katarsis”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1993, cetakan pertama, muka surat 31-32.
 — at Dewan Sastera, Mei 1989.

Pantulan 11/14, Sajak Ahmad Sarju, “Cangkul dan Geluk”,

Pantulan 11/14

Kalau hendak mencari perihalan kegigihan, perjuangan yang tidak terkulai di tengah jalan kerana harapan sentiasa membara, bacalah sajak suku abad teman fbku Ahmad Sarju, “Cangkul dan Geluk”, Dewan Sastera, Mei 1989, muka surat 8. Kita harap petani, khususnya para pesawah masih ada dan mengerjakan bendang masing-masing seperti yang diperikan. Bencana alam menjadi musuh utama dan dalam kes ini, kemarau panjang. Dalam keadaan yang seakan tidak menjamin keberlangsungan hidup, “…keyakinan masih kekal/tabah memulihkan harapan/terubat oleh doa dan iman”. Kalau pun sawah bukan lagi tempat menimba sumber pencarian - banyak ditumbuhi lalang, atau sudah jadi tapak kilang, taman perumahan, kampus pengajian, - tetap perutusan yang terpancut sewajarnya menjadi tangkal untuk sebarang perjuangan. Pantang undur, mara jadi pilihan.

ASKAT: Pembandaran telah begitu merata dan kawasan bandar menjadi lebih luas meredah desa. Dari Majlis Daerah, menjadi Majlis Perbandaran, menjadi Dewan Bandaraya dan penduduk luar bandar jauh berkurangan berbanding dengan penduduk bandar. Di kampung, yang ada adalah mereka yang bertuah kerana dapat terus mencari nafkah di tempat kelahiran, atau yang masih belum boleh berdikari, atau yang telah tua, tidak lagi tertarik dengan kesesakan, kepadatan, perlumbaan dan kesendirian. Tetapi demikian juga, sudah dan sedang pula menjalar ke kampung unsur-unsur yang sama, menjadikan kehidupan di kedua-dua tempat itu tidak banyak berbeza kecuali dari segi fizikalnya sahaja. Dimana pun, cita-cita mesti disematkan di dada, harapan jangan patah di tengah jalan, tekad sentiasa tidak tergugat dan usaha tidak boleh terhenti. Dengan adanya ilmu, pengetahuan, pengalaman dan persekitaran yang menggalakkan kejayaan sesuatu inisiatif maka faktor tempat tinggal tidaklah sangat menentukan. Zaman ini semuanya dekat, serta merta, dan dengan azam yang tidak pudar kejayaan hanya menunggu masa yang tepat, dengan izin Allah.

Nota: Kulihat, sajak ini termuat juga dalam kumpulan puisi “Permata Budi”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2007, muka surat 38
 — at Dewan Sastera, Mei 1989.

Pantulan 10/14, Sajak Ami Masra, “Seindah Namamu Kampungku”

Pantulan 10/14

Aku tidak pernah bertandang ke kampung temanku ini tetapi kerana diperikan damai, nyaman dan indah maka aku yakinlah, terutama kerana kampungku, yang menjelma dalam kenanganku, memang demikian. Jadi, apabila Ami Masra bersajak “Seindah Namamu Kampungku”, Mastika Disember 1983, muka surat 57, tertariklah aku secara naturalnya. Beliau mengutamakan “petani”, terlihat pula “gadis/berlenggang pulang”, “si ibu tua”, yang “menunggu rindu”. “kampungku/yang melambai rindu” itu sentiasa “mengukir mimpi”, ada “permatang”, dan “… padimu//menguning emas”. Di sini mengalir “sungaiku” yang “membasuh diri” telah terbukti sekian hari tetap berbakti dengan “sesejuk airmu”. Satu gambaran terang tentang wajah tempat kelahiran nenek moyang, dan juga generasi yang telah kini sudah matang; mengambil kira gubahan ini sudah berusia 30 tahun silam. Betapa menawan, sejarah terakam memancutkan kesegaran suatu dunia yang kian menghilang, dalam realiti mutakhir!

Aku percaya ini sebuah sajak yang wajib disimpan oleh ‘uda dan dara’ yang di perantauan, agar mudah ditelek “disetiap sepiku”. Semuanya ada selengkap ramuan, untuk tidak dilupakan, membelai perasaan, walaupun mereka telah berjaya dalam kehidupan di tempat orang (dan kini terus menjalani penghidupan tanpa teringin pulang menetap) apalagi bagi mereka yang terumbang-ambing bertatih mencari rezeki nasi sepinggan, meninggalkan kampung halaman, yang tidak terlalu membuka ruang-ruang sumber mata pencarian. Yang seangkatan denganku tiada perlu merujuk kepustakaan kerana kata-kata, kalimat-kalimat, ungkapan/ungkapan, keseluruhan puisi mencakupi, berpadanan dengan kerangka litupan penciptanya.

ASKAT: Adakah satu tragedi, kita tiada mewarisi lagi? Aku lihat bendang sudah jadi tapak bangunan (Ahh, hilang sudah ikan haruan, puyu, sepat, tembila, kerbau berkubang); anak-anak yang mampu sudah tiada lagi berumah atap bemban (berpagar tidak mengenali jiran-jiran) beralih bertaman memenuhi padang tempat lembu mengembuh; sungai yang dahulu mengeratkan hubungan muda-mudi sebaya, kini sarat dengan buangan (bulan dan bintang tidak menyinari, terlindung dari pangkalan di tebingnya yang berhutan). Aku pun simpati mendalam melihat “si ibu tua” yang barangkali menyimpan cerita lama tiadakan lagi serupa dengan tergambar dalam ingatan cucu-cucunya yang membesar dan dewasa di kota.
 — at Mastika, Disember 1983.

Pantulan 9/14, Sajak M. Ashikin, “Bulan Di Ranting Kehilangan Diri”

Pantulan 9/14

Pengarang serba boleh, M. Ashikin, bersajak dalam samar-samar cahaya “Bulan Di Ranting Kehilangan Diri”, Mastika, Oktober 1985, muka surat 70. Ungkapan-ungkapan yang berserakan diselindungi awan kelabu menuntut penelitian lebih dari sejenak. Saya mohon maaf kepada teman fbku, Mohd Mansor Abdullah untuk tidak memantul dalam konteks keseluruhan karya ini. Lantaran itu terpulanglah kepada teman-teman lain mencungkilnya sendiri supaya lebih terbuka makna yang penciptanya benar-benar menumpu. Untuk pantulan kecil, aku hanya mahu memetik, “sambil membelek-belek kesetiaan yang robek/akibat kemegahan takbur yang merajalela/menegakkan tugu kepura-puraan berkrikil tajam itu.” Ya! tidak lebih dari itu.

ASKAT: Sungguh porak-peranda suasana dan peristiwa-peristiwa kehidupan di dunia. Hubungan antara pihak-pihak yang wujud mewarnai wajah buana sangat rapuh kerana jelas tanpa “kesetiaan” matlamat yang ditujui mereka pasti tergugat. Tidak mungkin akan berterusan dihormati, apalagi setelah berada di tempat tinggi, jika manusia tidak mampu mengawal sifat-sifat gelojoh atau serakah yang dibenci, yang selamanya terbukti menimbulkan kerenggangan di kalangan mereka yang saling memerlukan (dengan alasan-alasan khusus masing-masing). Tiga kalimat inipun cukup untuk kita memperingatkan diri bahawa kehidupan dunia bukanlah sesuatu perjalanan yang ditempuh tanpa cucukan ranjaunya. Diakui, apa pun yang dihajati menuntut usaha yang bersungguh-sungguh ke arah mendakapinya. Kalau kita ingin mencapai taraf terhormat, kenalah ada kedudukan dalam masyarakat, berkhidmat kepada semua peringkat, bersandarkan sifat-sifat terpuji yang diakui rakyat. Masyarakat tentu tidak rela menyanjung seseorang pemimpin yang tidak bermoral, yang bongkak, yang palsu, yang mencemarkan martabat manusia. Itulah sebabnya sangat penting seseorang memiliki integriti. Tiada ganti. Kejayaan seharusnya berlandaskan sifat-sifat peribadi yang luhur. Dengan cara begini dukungan para pengikut tidaklah kerana mereka diperdaya oleh muslihat, kekaburaan, ketidakjujuran, ‘telunjuk lurus kelingking berkait’ dan seumpamanya.

Kalau hampir 30 tahun dahulu senario itu wujud, barangkali kemajuan yang kita capai tidaklah betul-betul terpuji kerana suasana yang hodoh tetap menyeringai, mengancam tamadun manusiawi masa kini.
 — at Mastika, Oktober 1985.

Sajak Nawawee Mohammad, “Suara Dari Lembah”

Pantulan 8/14

Giliran sahabatku, Nawawee Mohammad menyajakkan, “Suara Dari Lembah”, Mastika, Ogos 1973, muka surat 113, merintihi nasib malang warga merdeka, tentulah yang asali mendiami tanah tercinta ini. Penyair sedaerahku ini bertanya, “apa erti sendiri punya demokrasi/kira putera-puteri keciciran tak kesudahan”? Banyak lagi boleh dipetik memperkuat hujahan. Sajak ini kalau hendak diuraikan, sebenarnya mampu diwakili oleh judulnya yang sangat berisi; dalam cermat kata-katanya sungguh bererti - rendah, terhina, kecewa, berharap, kesal, tertipu, tertindas, sempit, dan …. Begitu terbiar sekali.

ASKAT: Tahun 1973, bererti lebih 40 tahun berlalu. Ketika itu tragedi melutu, rakyat termangu-mangu dan negara haru-biru, berusaha keras menghindarkan celaru. Dari segi sejarah itulah dekad paling menentu, kerana pada tahun 1970 dilancarkan Dasar Ekonomi Baru. Ada juga Dasar Pendidikan Kebangsaan dan kemudian DEB digantikan Dasar Pembangunan Nasional. Aku adalah salah seorang yang bertuah menikmati limpahan faedah dari pencapaian pendekatan pembangunan di bawah pemerintah; inisiatif kerajaan yang memegang teraju, benar-benar membantu merobah masa depanku. Kemudian, akupun termasuk ahli pasukan yang menyinsing lengan agar perancangan kerajaan memberi faedah-faedah yang perlu, serata seperti asalnya nawaitu. Dasar-dasar itulah yang menjadikan aku ahli kelas menengah masyarakat Melayu, bersama-sama ratusan ribu seangkatanku. Ramai, termasuk aku, menjadi warga kota, kemudian menetap dan beranak bercucu. Jadilah desa asal tempat bernostalgia. Sedang generasi baru, semakin kebandaran, dan mempunyai perspektif lain, tak sepenuhnya sehaluan.

Dari perspektif lain, malangnya kelemahan tidaklah terketepi dalam melaksanakan dasar-dasar yang murni. Kegelinciran, ketirisan, pembaziran pun hadir, menghitamkan pencapaian. Rakyat marhaen ada yang terpinggir, terlepaslah ganjaran pembangunan.

40 tahun yang sangat padat dengan serba-serbi. Kota menjadi lebih ramai penghuninya berbanding desa. Namun desa belum lagi berubah ke tahap membanggakan atau sepenuhnya menjadi lebih baik. Ketinggalan masih jelas dan perpaduan tidak banyak berlainan daripada dahulu. Maka tanggungjawab kuasa yang dimandatkan mengatasi sebarang kelemahan dan salah langkah dan salah laku supaya tidak berulang. Pun haruslah disedari masing-masing ada peranan, saling menjayakan.
 — at Mastika, Ogos 1973

Monday 6 January 2014

Pantulan 7/14, Sajak Wan A. Rafar, “Panas Pun Turun – Sebuah Requim”



Pantulan 7/14

Saya ada menyimpan sebuah naskhah majalah Bahasa, Jilid 1, No. 1 Disember 1973, Edisi Baru keluaran Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM).

Rupa-rupanya ada tiga buah sajak teman fbku Sajak Wan A. Rafar (WanRafar Ishak) termuat di dalamnya tetapi aku sukakan “Panas Pun Turun – Sebuah Requim”. Sajak ini sudah berusia 40 tahun. Jelas sekali penyair muda ini berbicara tentang dunia lain, dunia selepas mati. Kata Wan, “kau di sana menanti terangkatnya hari/di tengah angkasa, di tengah padang tak bertepi”.

ASKAT: Saya merujuk buku Rachmat Taufiq Hidayat, “Khazanah Istilah Al-Quran”, Penerbit Mizan, 1989, cetakan pertama di bawah entri “Ākhirah” dan banyaklah ayat-ayat Al-Quran menyentuh dunia abadi itu. Kerana ceteknya ilmu, baiklah saya menyalin sahaja, “Untuk menunjukkan ākhirah, kadang-kadang dipakai juga ungkapan
dār al-ākhirah (tempat tinggal yang terakhir): … dār al-qarar (tempat tinggal yang kekal): …atau yaum al-ākhir, yakni hari akhir atau hari sesudah dunia berakhir yang didahului dengan musnahnya alam semesta ini berikut dengan segenap penghuninya. Dan iman kepada hari akhir merupakan sendi kelima dari arkan al-īmān ….”.

Al-Quran memberikan perhatian yang khusus terhadap hari akhir dengan senantiasa menempatkannya di belakang ungkapan beriman kepada Allāh … Juga banyak sekali ayat Al-Quran yang menerangkan tentang hari akhir (
yaum al-ākhir) dengan nama-nama yang berlainan, yang masing-masing nama itu menunjukkan pengertian apa yang akan terjadi pada hari itu, …” (lihat muka surat 16)
 — at Majalah Bahasa, Disember 1973.