Pantulan 14/14
Sajak Norhisham Mustafa, orang lama bergelar tokoh yang terus prolifik menulis, “Zuriat” Dewan Masyarakat, November 1979, muka surat 55 menjemput pantulanku. Jelas benar yang dilagukan ialah kepahitan hidup seorang penulis untuk menyara hidup berkeluarga. Pendapatannya kecil, “jejari tangan tak cukup untuk membilang/sen dan ringgit yang tercicir” oleh pelbagai perbelanjaan amalan rakyat biasa untuk keperluan asasi, bukan untuk bermewahan. Kalimat-kalimat akhirnya; “oh, anakku, mengertilah tentang ini/kemiskinan yang harus dikunyah/zaman berzaman/menyambut lahirmu, puteriku mutia.”
ASKAT: Satu profesion yang kurang diceburi ialah bidang penulisan. Kita tahu, 35 tahun yang lalu, Norhisham Mustafalah satu-satunya nekat memilih lorong ini untuk menyarai kehidupan. Tentulah sajak ini merakamkan keperitan dan sekali gus menggambarkan hakikat bahawa pengarang sepenuh masa tidak terjamin langsung ketenteraman minda kerana saban malam ia sentiasa mengira-ngira wang di tangan kerana kehidupan bukan hanya melibatkan pernafasan bahkan lain-lain – fisiologi, keselamatan, kepunyaan dan kasih sayang, penghargaan, pencapaian diri – seperti yang diteorikan Maslow.
Sekarang bidang pengarangan sudah berubah, terutama mereka yang terlibat (menulis) bertambah. Hanya adakah mereka ini boleh berdikari dengan hanya menghasilkan karya-karya kreatif, ataupun masukkanlah, nonkreatif? Aku terbaca tidak berapa lama lalu, ada penulis yang sudah boleh bernafas lega dengan jerih fikir berkarya kerana ditimpali mencukupi. Tetapi berapa keratkah penulis hebat begini? Dalam kalangan sahabat fb ternyata boleh dibilang dengan jari. Banyak faktor yang memberi sumbangan menjadikan seseorang penulis boleh menangga dari setakah ke setakah lain dalam piramid Maslow. Aku hendak jadikan kualiti hasil karya sebagai faktor terutama. Dan karya-karya inilah yang mensyarati pantulanku dalam proses pembelekan majalah-majalah lama dalam koleksi, yang seronoknya, belum habis-habis lagi. Dan suka digarisbawahkan, tanpa hasil wang setimpal pun, kepuasan dari membaca tiada terperikan bahkan ia suatu anugerah tiada tandingan. Ingatah, penulis wajib membaca.
No comments:
Post a Comment