Friday 18 March 2016

Pantulan D/2/24/2016: Sajak Siti Zainon Ismail, “Taman-taman yang Hilang”

Pantulan D/2/24/2016: Keharuman bumi
Yang dikesali Siti Zainon Ismail, lewat “Taman-taman yang Hilang”, Dewan Bahasa, Mac 1978, muka surat 202, tidak perlu tafsiran. Cerahnya tak payah bersuluh lagi. Tetapi mesejnya tetap sama, sebaru 38 tahun yang lalu.
Aku pernah tinggal seketika diharumi bau kenanga, cempaka dan sundal malam. Seminggu dua ini, kenanga yang ditanami jiran mulai meletuskan keharumannya. Menyerbu ke laman rumahku. Bunga sundal malam yang ada di lamanku pun menyembulkan semula bunga yang baru. Harumannya yang terbukti itu akan datang lagi, bahkan akan menjadi hiasan di meja sendiri. Keseniaan susunan dan kewangian yang menyenangkan. Semuanya membuktikan alam seharusnya dilestarikan.
Kalau Siti memilih burung, embun dan unsur-unsur alam kita tidak ada sikap lain menyatakan pendirian kecuali serupa beliau, mempersetujukannya.
Hidup ini diakui sementara. Kita harus menyedari untuk akhirnya pergi jua. Tetapi ketika sedang berada di sini kita mahukan keselesaan dan kesejahteraan. Ia boleh hadir dengan penggemblengan sempurna kesemuanya.
Menutup pantulan aku rela meminjam “desah bertumpuk di tiang hitam”. Semoga, sambil sanubari menikmati jambangan puisi, pemusnahan yang berleluasa terhenti dan kehidupan tidak tergendala, sebaliknya selangkah dengan kemajuan hakiki.

Pantulan D/1/23/2016: Sajak Zurinah Hassan, “Kau Mengajakku Berbicara”

Pantulan D/1/23/2016: Membaca alam
Sedang mencari-cari sajak mana-mana teman-teman fbku, setelah agak lama membelek-belek tanpa menjumpainya kebelakangan ini, melintasilah aku Dewan Bahasa, November 1975 yang memfokus kepada puisi lalu termasuklah dalam muatan genre itu dua buah sajak Zurinah Hassan, salah satunya, “Kau Mengajakku Berbicara”, muka surat 785-786. Kebetulan pula masa telah sangat senja. Hujan yang turun telah sangat halus benangnya. Sungguhpun tetap membasahi usia siramannya jelas terhad. Lalu, tidak boleh kunafikan lagi bahawa, senja tetap meninggalkan kesan kepadaku. Berbagai-bagai. Ia satu fenomena kerana kepelbagaian kepada suasana alam. Alam yang cerah menjadi gelap bernama malam, langit mungkin berbintang gemerlapan kemudian, bulan yang asalnya tiada muncul menghiasi dan menerangi, patuh jadual edarannya, pantai pun didesiri ombak dan pabila awan beredar pecahan ombak yang bergulung-gulung memercikkan cahaya menyerikan suasana. Pun, ada segi lain sama menyerlah. Alam sentiasa memberikan bahan mencabar minda insan. Orang bestari, tidak menyaksikan semuanya tanpa mencari hikmah. Sudah semenjak azali, alam telah mempengaruhi kehidupan – pengaruh yang menambahbaikkan dan pengaruh yang menambahburukkan. Dengan akal manusia harus meneroka lorong-lorong yang menerbitkan faedah kepada diri, masyarakat dan sekitaran. Manusia tidak boleh berdiam dan terpegun hairan atau hilang pertimbangan.
Dato' Dr. Zurinah Hassan, tidak pun mempersembahkan formula untuk kita menjalani hidup di dunia secara paling mudah. Kita sedari beliau tidak mampu dan bukan maksud beliau pun berbuat demikian. Tetapi kita tahu Zurinah sentiasa memperhatikan kejadian alam. Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Dan masa depan tidak terpampang jelas bahkan membuntu. Ada persoalan, ada isu berkancahan dan walau tiada jawapan tersedia langkahan harus terus dilakukan, ke hadapan, ke arah yang lebih baik daripada yang telah sedia dicapai. Demikian aku mahu, pembicaraan “masakini” tidak dipermudah lantaran tidak diketahui status terakhir di perhentian muktamad. Sudah berkurun begitu. Kemajuan tetap dicapai tetapi kemanusiaan, jika ia suatu keutamaan, adakah kalah oleh feomena yang setiap individu masih belum menguasai sepenuhnya untuk muncul juara dan melaba?
Sebuah sajak sewajarnya teradun dan menimbulkan kesan, mencetuskan gambaran keindahan berjalinan walaupun berlumuran kekaburan memandu penyelesaian. Asalkan kita terdorong untuk mencungkil persoalan yang mendesak penciptaannya maka sudahlah tidak tersia-sia kita sejenak menghirup madu olahannya.

Friday 4 March 2016

Pantulan A/1/22/2016: Sajak Sutung Umar RS, “Aku Pengembara”



Pantulan A/1/22/2016: Menebus kejahilan
Ketika berundur membelek semula majalah-majalah yang lebih lama, terserempak dan tertarik pula dengan karya Sutung Umar RS, “Aku Pengembara”, Dewan Bahasa, April 1971, muka surat 171. Sajak ini sudah 45 tahun usianya. Tetapi aku percaya karyawan ini masih mengembara, seperti juga kita dan orang lain. Yang aku ingin nyatakan, sesebuah sajak tidak perlu panjang, tidak perlu disukarkan untuk muncul sebagai sebuah ciptaan menarik dan bertenaga menjunjung makna. Idea yang mendasari karya boleh biasa-biasa sahaja, disampaikan secara bersahaja, dan dimana perlu diulang, diulangkan sepada-padanya. Inilah sajak. Kalau sajak ini dipersembahkan di hadapan khalayak, (dan memang harus dideklamasikan) aku mahu yang tertinggal dalam kalbu, suatu kesan yang mengharukan – bahawa dunia ini adalah sementara; manusia hidup untuk berbakti dan berjasa; walaupun tidak maksum, manusia jangan melakukan dosa besar yang tak henti-henti mengganggu ketenteramannya dalam berikhtiar menuju pelabuhan dan pangkalan hayat.
Aku sungguh faham perwatakan pengembara, dan ini sebijaknya dilakukan Sutung, secara mengisytiharkannya awal-awal lagi. Bertambah lagi terkesan apabila imej pengembara dan perkelanaannya berlumuran “sesalan lama” yang mengelubunginya “setiap malam/setiap siang”. Aku akan bersyukur kalau pengembara ini berjaya “melupakan sesalan lama yang luka/sesalan lama yang luka”. Biasa kita dengar ada cerita demikian. Manusia bertaubat nasuha dan tenang menghadapi Ilahi. Tetapi kalaulah kita sendiri senasib dengan pengembara ini, (memang kita pengembara), mampukah kita melakukannya? Ya, mampukah kita menyamai? Mampukah?
Tidak mudah bermadah mudah!

Pantulan E/3/21/2016: Sajak Ahmad Sarju, Anak Zaman Penuh Azam”



Pantulan E/3/21/2016: Wira beretika
Saya tidaklah mengungguli Hang Jebat kerana tindakan beliau bukanlah elok disanjung dalam semua segi. Barangkali sebab utama orang menyanjung tokoh itu kerana pendirian dan keberanian beliau menentang kesewenang-wenangan raja menitahkan Bendahara membunuh Hang Tuah tanpa usul periksa sedangkan diketahui kes itu berpunca fitnahan. Kalau Sultan Melaka, membentuk ‘mahkamah’ dan membicarakan ‘jenayah’ Laksamana itu tentulah Hang Jebat tiada sebab untuk menyanggah perintah raja, yang tentunya bersandarkan siasatan yang rapi. Mahkamah tentulah akan membuat atau mengsyorkan keputusan berdasarkan fakta-fakta dan falsafah berkesultanan era itu. Atau, kalau ia tetap menentang juga, maka ia telah tidak menjadi ‘penjawat’ yang setia, tidak profesional. Demikian itu menjelmakan dirinya di mata umum sebagai orang yang tidak boleh diberi tanggungjawab mendukung keutuhan pentadbiran atau pengurusan kesultanan. Beliau tidaklah wajar diangkat martabat sebagai wira zaman itu kerana terjelas tidak mencerminkan seorang penjawat misali abad bahari. Dalam kaedah mentadbir negara, penjawat yang ‘salah laku’ boleh diambil tindakan mengikut undang-undang atau peraturan-peraturan yang berkuatkuasa. Kedudukan peribadi dan status perjuangannya tergantung kepada proses penilaian yang harus dilalui.
Maka, ketika saya terserempak dengan Ahmad Sarju, mencorakkan pendiriannya (ketika berusia 25 tahun) melalui “Anak Zaman Penuh Azam”, Dewan Bahasa, Januari 1968, muka surat 31, saya sebenarnya sudah lama tidak memberati tindak-tanduk Hang Jebat yang ‘janggal’ dalam situasi yang di luar konteks. Pada saya Hang Jebat sewajarnya tidak berleluasa mencemarkan kesultanan. Apalagi setelah berada di puncak kuasa melalui rampasan kuasa, suatu kaedah yang sangat tidak beretika. Sementelahan pula, apabila disanggah beliau melenting ganas, bermaharajalela. Pun saya tidak lupa, Kassim Ahmad pernah mewirakan Jebat melalui “Dialog” pada tahun-tahun yang lebih awal.
Maka kalau kita berjuang, berjuanglah sampai mencapai matlamat. Pun, jangan pula perjuangan itu dicemari oleh falsafah yang menidakkan hak dan kebenaran pihak-pihak lain yang sama-sama mengimpikan keadilan sentiasa menjadi asas merancang dan melaksana tindakan-tindakan. Selepas 500 tahun penderhakaan itu berlaku, sewajarnya yang harus menjadi pedoman ialah yang berasaskan kebenaran dan keadilan. Ini bermakna kalau “membungkus kecurangan”, “bangun mengusir sipenderhaka” ia mewajarkan “mati dalam buih darah perjuangan”. Hanya, kewajaran moden seharusnya berasaskan keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
(NOTA: Sajak ini boleh juga dibaca dalam kumpulan puisi “Bunga Pahit”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986, muka surat 45).

Pantulan C/02/20/2016: Sajak Sahrunizam Abdul Talib, “Sejarah Bercerita”

Pantulan C/02/20/2016: Sejarah lagi!
Sebagai menghormati Sahrunizam Abdul Talib, selaku, Karyawan Bulan Ini Dewan Sastera, Februari 2016, kujelangi mutakhir dan kupilih sajak pendek beliau, “Sejarah Bercerita”, muka surat 27.
Terutama kerana pantulan terdahulu tentang karya beliau juga mengenai sejarah (lihat Pantulan C/1/14/2016: Tragedi melangkaui imaginasi iaitu tentang sajak “Angka-angka”, Dewan Sastera, Februari 2012), lalu hendak kutelitikan, sejauh mana idea yang diungkapkan kebelakangan berkaitan atau berbeza dengan yang terdahulu itu. Mengenai sajak yang baharu ini, aku tidak sangat hendak menyelak-nyelak segi gaya bahasa kerana ia telah teranyam sewajarnya sebagai sebuah sajak. Ertinya serangkap yang tercipta itu bukan prosa! Makna yang berlapis, atau pemerian yang memerlukan kalimat-kalimat yang lebih panjang daripada sajak itu sendiri (untuk membicarakannya) sudah membuktikan ialah sebuah sajak. (Tulisan 'bersajak' yang panjang tanpa mampu menerbitkan pemerian yang lebih panjang daripadanya, kukira bukan sajak!!! Ciri ini tidak kuingin berpanjang-panjang lagi.)
Sebelum itu perhatikan terdapat kata-kata seperti “sejarah”, “bercerita”, “hidup” yang boleh dijumpai di dalam kedua-dua sajak.
Maka, sejarah kalau hendak didefinisikan semula, berdasarkan kalimat-kalimat Sahrunizam Abdul Talib, ialah perlakuan merujuk kepada peristiwa-peristiwa yang sudah berlaku kerana impaknya menyerlahkan teladan atau iktibar. Unik atau istimewanya sejarah ialah kerana ia tidak luput daripada ingatan sungguhpun pelaku-pelakunya sudah berpindah ke alam barzakh. Dan aku hampir sependapat dengan beliau, tentang kecenderungan generasi pewaris lebih merujuk sejarah peristiwa-peristiwa “mencipta helah” dan inilah yang diuar-uar, diungkit-ungkit, dipersoal atau dipersalahkan, berkekalan sampai ke cucu-cicit. Sungguhpun sejarah tidak sempit ruang lingkupnya dan pada hakikatnya positif, perujukan terhadap perkara-perkara gelap, derita, penyelewengan, pengkhianatan, seharusnya mengajar pelaku-pelaku sejarah untuk lebih berhati-hati, agar tidak tersalah langkah mengulanginya. Pada pentas sejarah seseorang harus mengambil peranan agar menjadi pencetus kebaikan, kemakmuran, pendukung agama, bangsa dan negara pada peringkat tertinggi (ataupun terunggul pada peringkat keupayaan diri dan kesempatan yang terlorong untuknya.
Sejarah sebenarnya tanpa pelabuhan. Ia berusia selagi ada insan.

Pantulan F/02/19/2016: Sajak Solihin Osman, “Membaca Takdir”

Pantulan F/02/19/2016: Menggali erti
Apa yang hendak dibicarakan Solihin Osman melalui, “Membaca Takdir”, Dewan Sastera, Mac 2012, muka surat 65 ialah “Membaca takdir dan mentafsir nasib” bukan setakat menonton dan membiarkannya berlalu tanpa sebarang manfaat atau impak. Ada tujuh kali “perkataan “membaca” digunakan, mengawali setiap rangkap, dengan setiap rangkap menumpukan pada isu-isu atau situasi-situasi yang berlainan. Rangkap-rangkap itu secara berturutan ditunjangi, “…angin songsang…”, “…jambak awan…”, “…curahan takdir…”, “…luahan api…”, “…retak digegar tamadun”, dan “…abstrak laut…”. Setiap satunya pula berangkaian dengan kalimat-kalimat yang menyusuli bagi mengantarkan makna yang penuh. Aku memilih untuk tidak mencungkil ke inti erti oleh deraan berseni.
Namun, aku kira membaca berminda bermaksud menghayati, menganalisis, dan merumuskan. Lalu dipersetujui, “takdir” adalah ketentuan Ilahi ke atas hamba-hamba-Nya. Berdasarkan pengajaran para ustaz, tuan-tuan guru, difahamkan bahawa manusia boleh merancang tetapi Allah S.W.T. menentukan. Kalau pernyataan itu diterima, maka rasa kecewa sewajarnya tidak berbangkit lagi, apabila seseorang bergesel dengan musibah atau kegagalan, sebab di sebalik pengakuan terhadap Yang Maha Kuasa itu, tertunjang falsafah tunduk kepada-Nya. Makhluk wajib redha sentiasa.
Manusia yang merancang harus berilmu. Perancangan tanpa diwawasi ilmu adalah kesia-siaan kerana hasil yang wujud itu tanpa input-input pencetus yang seharusnya memainkan peranan. Hal ini demikian kerana tanpa persiapan, atau melalui prosesnya seakan sesuatu peristiwa berlaku, tanpa dikawal oleh ilmu atau kaedah yang sesuai menyokong kerealisasiannya. Dalam kata-kata lain, sesuatu tidak berlaku tanpa sebab. Ada unsur-unsur yang bergemblengan mencetuskannya.
Maka kalau Solihin Osman, mengatakan kehilangan nilai keindahan daripada “taman kehidupan”, bukankah ia suatu kecacatan yang tak tersembuhkan? Begitu pula, “siang semakin pudar dirinya” menjongolkan kemerosotan keupayaan untuk bertahan pada unsur-unsur yang selama ini menjadi asas bertapak atau berdikari. Bergerak lagi, aku lebih ingin tidak bertolak ansur dalam hal-hal yang menyentuh “kesilapan/yang disengajakan” demi mempastikan penjawatan dan penikmatan keistimewaan yang terpaut padanya, tidak dipertikaikan langsung. Pun, pengecualian tidak sama sekali meruntuhkan prinsip-prinsip murni sekiranya beriringan dengan keikhlasan dan ketakwaan.
Demi menyingkatkan, kupilih sekalimat lagi, “bukan cuma dari pandangan mata” (di rangkap akhir), untuk mengamati pengalaman yang dilalui, sebab kita sentiasa diingatkan Ilahi, bahawa selain menggunakan penglihatan, jangan pula terlupa menggunakan pendengaran, dan hati untuk lebih menyeluruh membuat pertimbangan dan keputusan. Dan itulah yang kukira menjadi ‘fitrah’ manusia, supaya yang berlaku bernatijah baik, terhindar daripada runtunan nafsu yang mencemarkan sahsiah diri.
(Nota: Sajak ini termuat juga dalam kumpulan puisi, “Gelombang Diri”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2015, muka surat 87-88. Ada beberapa buah puisi lain oleh Solihin Osman, berjudul, “Buku Takdir”, muka surat 27; “Mengukir Takdir”, muka surat 93. Dalam kumpulan puisi “Sangkar Alam”, ITBM, 2015, ada sebuah puisi Solihin Osman berjudul, “Buku Takdir”, muka surat 4 (tidak sama dengan yang disebut terawal); dan “Benarlah Itu Takdir”, muka surat 46).

Pantulan F/01/18/2016: Sajak Fahd Razy, “Daerah Kalbu II”



Pantulan F/01/18/2016: Taubat
Pagi-pagi hari ini aku benar-benar teringat kepada hakikat diri dalam mengharungi kesementaraan duniawi. Hasilnya kuciptaka sebuah sajak mencetuskan perasaan tentang kuat sekali tarikan dan usapan kehidupan di musim tua yang mengalpakan sedangkan yang sebenarnya ada satu lagi hidup, yang abadi, selepas kita menghabisi sisa-sisa usia yang sedikit sahaja lagi ketika kembara di bumi (Lihat, “Pesona”, 22 Januari 2016, yang kupamerkan sebelum pantulan ini). Maka melintasilah aku sajak teman fb baruku, Fahd Razy, “Daerah Kalbu II”, Dewan Sastera, Mac 2012, muka surat 66, menguli-uli hatiku ketika bersendirian. Kuhayati kalimat-kalimatnya dan ternyata apa yang beliau tuangkan itu berjalin makna, seperti yang kurasakan pagi tadi!
Hakikat yang dimaksudkan kuyakini banyak dialami oleh kebanyakan manusia. Apalagi yang telah meningkat tangga pendakian, yang telah merasai asam garam, pahit maung dan manis lazatnya kehidupan. Mereka adalah orang baik-baik pada mata dunia. Mereka menjalani hidup dalam kesedaran berpindah pergi ke alam lain, tetapi dengan persediaan yang biasa-biasa sahaja; mendirikan Rukun Iman dan Rukun Islam seadanya, bak pernah jua dilakukan oleh nenek moyang semenjak berabad-abad lalu tanpa banyak berubah ke tahap yang lebih maju. Kerana itu aku sependapat dengan Fahd, “betapa perahuku digelut/sarap duniawi yang berkemelut.” Inilah yang sukar diatasi, sedang sanubari menyedari dan tidak sangsi, ketipisan taqwa telah melekakan, memaut agar tidak berhenti mengasihi duniawi, dan menangguh-nangguhkan niat murni kembali mengadap Ilahi dengan sikap berani seorang hamba yang benar-benar mematuhi perintah. Sedang dosa tetap kian bertambah, membendung kecenderungan beribadat dan memasungkan kudrat mengangkat segala amalan kebaikan yang diniat-niatkan.
Ya, bukan mudah melaksana atau mengamalkan berbanding dengan meluahkan hasrat dengan ketaqwaan terbebat oleh ujian yang di luar darjah ibadat seharian. Semoga mampuku terus berbuat tepat selagi ada hayat, insya-Allah.

Sajak ASKAT, "Pesona"

Pesona
Menyusuri
silam yang
membayang 
usia pun bertatih
mengiringi ugah
sedang kesementaraan
berterusan
mencengkam.
Bilakah berakhir?
ASKAT
Air Terjun Serendah
22 Januari 2016.

Pantulan C/02/17/2016: Sajak Siti Zaleha M. Hashim, “Kuingat Masih”



Pantulan C/02/17/2016: Tangkal hidup
Sajak Siti Zaleha M. Hashim, “Kuingat Masih”, Widya, September 1980, kukira-kira tercipta ketika beliau berusia belum lagi 30 tahun. Tetapi begitu jelas dinyatakan bahawa dia sangat ingin “agar lekas menjadi dewasa”. Hanya beliau tidak mahu disalahfahami hasrat murni itu menimbulkan prasangka bahawa pencapaian itu diperoleh dengan mudah, tanpa “sering jatuh”, dan “jua terluka”. Yang positif terserlah ialah beliau sama sekali menghindari“penyesalan”. Setiap menapak ke muka tidak dipersiakan minda dengan meneroka makna semua yang dilalui demi mendepani yang lebih berduri, banyak menanti.
Kalau diambil urutan kehidupan individu, tahap pengajian dan pengijazahan di peringkat universiti boleh dikira keperluan minimum untuk berdikari yang asasi. Pada umur itu seseorang telah berkawan dengan ramai orang, telah ke sana sini meluaskan ‘pandangan’, telah membaca serangkaian buku yang mencorakkan sahsiah, telah bergiat mentrampilkan peribadi, telah bermasyarakat dengan pelbagai pihak, menjadilah ia seorang yang bersedia untuk lebih berwibawa dan terkenal lagi di dunia sebenar. Pada tahap itu ia dikira dewasa – berdikari, berkeluarga dan menjadi warga yang berguna; ‘tepuk dada tanya selera’.
Tidak semua orang rela bercerita pengalaman sendiri sampai berada pada status semasa. Sebahagian lebih suka menyembunyikannya, jadi tangkal peribadi untuk menguja kejayaan mengatasi yang tersedia ada. Begitulah pengalaman, pada seseorang yang berfikir tak pernah membazir. Sama ada, pengalaman itu “berairmata” atau ceria, kedua-duanya tetap membina keperibadian ke arah yang lebih berkebaikan. Maka, bagi orang muda, ada teladan yang boleh dipadan, ada iktibar yang tergambar daripada meneliti pengalaman seseorang lain yang telah muncul unggul.

Pantulan C/2/16/2016: Sajak Hilmi Rindu, “Catatan Lain Tentang Waktu”



Pantulan C/2/16/2016: Mengurus nafsu
Waktu tetap berdetik 24 jam sehari semalam. Tetapi dengan peluang yang sama, kenapa seseorang mengatasi seseorang yang lain dalam perjalanan mencipta ketrampilan?
Hilmi Rindu, (Mohd Abdullah) lewat sajak “Catatan Lain Tentang Waktu”, Karya, Oktober 1997, muka surat 38, memberi sumbangan pemikiran untuk kita tidak bersambil lewa lagi. Kata Hilmi, “waktu jadi hening tika kita kesulitan/waktu jadi dingin tika kita kebingitan”. Dalam kalimat-kalimat yang begitu berseni bersirat makna adalah suatu ciptaan yang tidak kalah bandingan. Tetapi yang lebih utama ialah mengenali perwatakan waktu. Bagaimana hendak menjadikan ia seiringan dengan kita sebagai teman setia, tidak menjadi kita terleka mencipta sia-sia sedang kesempatan terbuka bersaujana. Waktu, walaupun hadir sepanjang masa, seakan tiada kalau tidak bijaksana mengguna, menjadualkannya.
Aku memberikan tumpuan khusus terhadap “ditusuk nafsu” kerana kalau kita seawal-awal lagi menyedari, tiada waktu berlalu tanpa memanfaatkan mana-mana individu. Nafsu yang liar tak terkawal sentiasa menjunamkan hasrat mencapai cita-cita. Kealpaan tentang waktu melonglaikan inisiatif, memperlekeh pemantauan matlamat, yang sewajarnya dilakukan berterusan. Tentulah banyak sebab nafsu menikam tuan. Ada nafsu terhadap kuasa menggomoli diri sampai bersengketa dan menganiaya. Ada nafsu terhadap cinta mengulit mata, boros berbelanja sehingga terlupa pada pilihan lain yang mungkin lebih membahagiakan. Dan, ada nafsu terhadap harta menggelapkan minda lalu terleka tatacara, akta dan etika bahkan agama, menjerumuskan diri ke penjara.
Maka rahsia memahami waktu seperti terbentang janganlah dipandang ringan. Kekanglah nafsu. Mengetepikan anjurannya, pastilah merosakkan kemurnian sahsiah diri, sekali gus menghalang langkahan ke kemuncak potensi sejati.

Pantulan D/2/15/2016: Sajak Ahmad Sarju, “Ketika Hujan Tidak Menitis”

Pantulan D/2/15/2016: Menjunjung amanah
Kegagalan manusia memanfaatkan anugerah Ilahi sudah sangat lumrah kita lihat, dengar dan baca. Natijah yang jelas daripada kejahilan itu ialah pembaziran, pemusnahan, penderitaan … semuanya merugikan kemanusiaan dan persekitaran. Seruan agar tindakan-tindakan sedemikian dihentikan seakan menjadi klise, sedangkan kebanyakan yang terbabit tidak menghiraukan atau hanya tersentak seketika sebelum mengulangi dengan tidak mengambil iktibar daripada keburukan yang menjelma dan terpampang di depan mata. Perutusan agar “tangan yang tidak amanah” bersikap dan bertindak “bijak dan berhemah tinggi” menjadi amanat Ahmad Sarju, lewat sajak beliau “Ketika Hujan Tidak Menitis”, (Puisi), Dewan Budaya, Ogos 2002, muka surat 62. Kukira musim El Nino mengamuk merata-riti sesuai meneliti puisi bertema alami temanku ini.
Kalau ramai orang membaca, kalau ramai orang memperhati, kalau ramai orang prihatin sungguhlah berbahagia kehidupan manusia kerana sekitaran begitu indah, selesa untuk didiami. Aku sukakan sungai yang bersih, airnya jernih, mengalir ke muara bersahaja atau bertenaga. Di sungai itu aku mahu mandi-manda bercanda seisi keluarga, berenang riang seperti pernah dilakukan ketika bertaraf budak-budak empat lima dekad silam. Masa-masa terluang di sungai-sungai, aku ingin terjun menjunam, kepala mendahului, berakit, berperahu jalur bergalah atau berdayung sampan meredah arus yang gagah! Kalau pula terbuka kesempatan ke bendang, aku mahu menaut haruan, sedang malamnya makan bekal yang di bawa, turun semula menyemak umpan, entahkan ada di makan haruan atau belut panjang, dan bila tiba larut malam, terdampar tidur di dangau. Keesokan, bangun pagi melihat lagi taut-taut yang dipasang agar tertumpah rezeki.
Aku sukakan banyak lagi. Kalau semuanya yang dialami dahulu itu masih kekal alangkah seronok pulang ke desa dalam usia yang panjang berganda-ganda sekarang. Tetapi “dari kekeringan air di halaman sendiri” ternyata hanya tinggal beberapa sahaja lagi sungai-sungai yang tetap asli, di ulu-ulu atau di ujung-ujung negeri!
Siapakah yang hendak kita senaraikan sebagai pemusnah alam semula jadi ini? PBT, Akta/Enakmen, penguatkuasaan, pemegang tampuk kuasa lain, pemantauan cerlang-cerluk, atau pemilihan dan penempatan penjawat yang silap, atau …. ???
Aku percaya sesuatu tugasan harus diserahkan kepada para ahlinya. Masing-masing harus memikul dengan penuh bertanggungjawab dan berani. Kegagalan melaksanakan amanah jawatan mewajarkan akibat setimpalnya. Sumbangan bakti/jasa harus dihargai dan pada masa yang sama pengkhianatan segera dihukumi, sepada-padanya.

Pantulan C/1/14/2016: Sajak Sahrunizam Abdul Talib, “Angka-angka”



Pantulan C/1/14/2016: Tragedi melangkaui imaginasi
Pelupa dan pendusta ialah “kita” sendiri bukan orang lain! Demikian, kalau kita terima pandangan Sahrunizam Abdul Talib dalam sajak beliau, “Angka-angka”, Dewan Sastera, Februari 2012, muka surat 59. Tetapi sebelum kita mempersetujukannya atau tidak, kita telitikan kata-kata beliau yang lebih awal. Angka bermakna sejarah. Setiap bertambah, berterusanlah sejarah itu mencatatkan pahit maung, suka duka, pengalaman manusia mengharungi eranya. Yang menggerunkan ialah bayangan ancaman penghukuman oleh kejadian/peristiwa yang bersejarah “kerana dosa-dosa silam”.
Sekadar mengimbas, pada tahun 2011, peristiwa-peristiwa bersejarah yang disentuh Sahrunizam ialah pencacatan dan pelumpuhan upaya menjulang kedaulatan bahasa kebangsaan, pengkotak-katikan bahasa Melayu oleh “petualang” dan kuncu-kuncunya, pemeruduman saham di bursa, pembenihan dan pembiakan berleluasa gejala fitnah dalam arena politik, dan perlakuan tidak bermaruah lagi berkeselesaan para pesalah jutawan ‘terhormat’ di khalayak. Walaupun banyak lagi yang lain, setakat itu memadai.
Semua yang dinyatakan beliau tertumpu kepada situasi berpetaka; kegetiran, kelumpuhan, kemelesetan, dan kekotoran/kejijikan setiap aspek yang diketengahkan itu. Dan jangan lupa, “Lambai tangan dan alun intonasi ucap tokoh” sangat mengentalkan permasalahan lalu memperkecil kemungkinan sebarang inisiatif menapak maju! (bahkan, aku menambah, melancarkan proses yang menyayatkan itu).
Sejarah sewajarnya juga meliputi kejayaan mencapai mercu tanda. Kalau kita gagal menyerlahkan satu sahaja pun buktinya maka bermakna kita sedang menjauhkan diri daripada keabsahan matlamat bernegara sendiri, yang bererti kita tidak boleh berbangga dengan angka-angka utama seperti 1957, 1963, 1967, 1970, 2003, apalagi yang bakal mendatangi. Sebabnya? Setiap atau semua pertambahan angka akan menjelma dalam rupa-rupa hodoh acuan mungkar jati diri. Ia sungguh keji. Sebenarnya inilah yang dikatakan tragedi melangkaui imaginasi.

Pantulan C/02/13/2016: Sajak, Zulkifli Salleh, “Pelayaran”



Pantulan C/02/13/2016: Mencerna sejarah
Mengakui beliau bukan Captain Cook, Zulkifli Salleh, lewat sajak “Pelayaran”, Dewan Sastera, Januari 2009, muka surat 63, belayar di Teluk Sydney dan larut dalam realiti kewibawaan penjajah yang berlestari di samping penderitaan penduduk asli yang terketepi. Bacalah, untuk dapat menikmati sebuah janaan minda seorang pemerhati yang menyelam ke lubuk sejarah mentafsir secara berfaedah.
Satu kebanggaan sekelompok orang ialah menjajap dunia. Dengan berbuat begitu, ‘terangkatlah’ ia di mata orang lain. Ia seronok sendiri mengingati atau bercerita tentang kembara singkat yang ‘berprestij’ itu. Zulkifli Salleh tidak begitu. Jelas melalui “Pelayaran”, kunjungan ke Sydney dan melakukan “pelayaran” di pelabuhan itu mencetuskan satu rumusan bahawa sejarah memaparkan realiti di depan mata, yang tidak menyenangkan. Sisa-sisa penjajahan (malah pengekalannya) dalam citra konflik dan perjuangan yang belum selesai anak-anak jajahan/anak-anak negeri/bumiputera melepaskan diri/memerdekakan tanah air dan berjati diri membangkitkan kesedaran yang melenyapkan sebarang perasaan ‘seronok’ melancong, berganti tuaian inti kemanusiaan yang menghadapi cabaran besar “menuntut kebebasan”, mekar terhidang untuk teladan atau iktibar.
Sebenarnya tidak ramai orang yang berkunjungan ke merata tempat suka menulis atau merakamkan pengalaman dalam bentuk dan perspektif yang mengilhamkan pembaca agar menjadi lebih sensitif dan bestari terhadap sekitaran yang didiami atau dikunjungi, sama ada sekitaran fizikal mahupun non-fizikalnya. Kalau sejarah menjadi bahan renungan, Kota A Famosa, Pulau Pangkor, Carcosa, Pedra Branca, Fraser’s Hill, Port Weld, dan banyak lagi seharusnya membangkitkan pemikiran mendalam tentang perjalanan bangsa yang terbelenggu untuk suatu tempoh yang lama. Kalau pula kita terjumpa naskhah-naskhah langka di museum, katalah tentang Perjanjian Inggeris-Belanda 1824, penyewaan Pulau Pinang 1786, penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, dan banyak lagi dokumen lain, seseorang yang terdidik tidak akan terlepas fikir tentang latar belakang semua peristiwa berkenaan demi mencapai rumusan sendiri tentang kehadiran dan kewujudannya sebagai sebahagian daripada satu bangsa yang ada tamadunnya tetapi tidak cukup besar atau bersedia menangkis pencerobohan dan pembudakan.
Kunjungan ke mana-mana tempat di negara sendiri atau ke luar negara seharusnya sentiasa ditemani satu kesedaran untuk mempelajari atau mencari makna tentang semua yang dilihat dan dialami agar memberi faedah kepada diri peribadi, masyarakat dan negara, tersalur melalui saluran yang kita mahir atau menguasainya. Begitulah sajak bagi penyajak yang peka mencerna pengalamannya akan lebih bererti berbanding sekadar curahan rasa melankolik mengulit sanubari.

Pantulan C/1/12/2016: Sajak Ahmad Sarju, “Jendela yang Terbuka”

Pantulan C/1/12/2016: Demi kebaikan
Sudah banyak juga kulewati sajak-sajak yang mengutarakan pendirian seseorang penyajak tentang penglibatannya dalam arena perpuisian tanah air. Banyak juga orang bercakap tentang tujuan berkarya kreatif. Mengkhusus tentang puisi, secara rumusan, penyairan mereka menegaskan apa yang diperjuangkan masing-masing. Tetapi setiap penyair berbeza kekuatan mencipta dan secara langsung membezakan pula mutu hasil-hasil masing-masing. Dalam konteks Ahmad Sarju, perjuangannya banyak terpapar dalam sajak-sajak beliau sepanjang zaman. Hanya dalam sajak “Jendela yang Terbuka”, Dewan Sastera, April 2009, muka surat 11, boleh kita baca sebahagiannya, dari perspektif orang kedua. Puisi ini mengajak kepada “kesetiaan” terhadap negara dengan seruan yang “merdu dan memukau”, “merdu syahdu menusuk jantung”, “…ukirkan kebenaran/…keadilan//… perpaduan.”
Begitulah kususun sekadar menunjukkan bahawa genre kesusasteraan yang berpaksikan keindahan (seperti puisi) sewajarnya bermatlamat mendidik, menyeru, mengongsikan sesuatu yang akhirnya memberi kebaikan kepada khalayak pembaca (maksud luasnya, masyarakat dan negara). Dalam pada itu, ciri-ciri keindahan terutama dalam gaya bahasa tidak boleh sama sekali diketepikan. Ia harus sepada-padanya menyerlah secara yang tidak dipaksa-paksakan! Sungguhpun aspek ini subjektif, ada pula ukuran yang tertentu dan ketentuan ini seharusnya memandu karyawan. Adalah menjadi cabaran dan juga ujian mengetengahkan puisi-puisi yang boleh menarik pembaca yang memang mencari-cari karya-karya yang bermutu. (Lupakan pembaca yang bukan peminat puisi). Pembaca puisi tidak akan membaca semua puisi sebab apa yang dicari-cari, yang diminati, yang menguja, yang menarik mungkin tidak sama ciri-cirinya antara mereka. Untuk menggamit dan menangkap perhatian pembaca dengan mudah dan segera, sesebuah puisi harus menghidangkan tema yang memang bermakna untuk ramai orang. Puisi-puisi harus boleh difahami (tidak semestinya dengan sekali dua baca), dengan diberikan masa yang wajar mengecap, memamah, mengunyah dan menelannya dan memberi tenaga dan memercikkan cetusan berharga lain lantas memancarkan pula asas berkreatif berterusan atau memberi kepuasan menelaah kepada pembaca sendiri.
Alangkah baik kalau kita boleh mencipta puisi yang berkekalan diingati orang. Pada generasiku, puisi-puisi Amir Hamzah kukira unggul. Walaupun tidak semua puisi harus bertaraf ‘sempurna’, karya yang terhasil haruslah sentiasa menimbulkan kepuasan di kalangan kelompok pembaca atau peneliti yang setia. Puisi yang mencatu tidak akan tersemat di kalbu.

Pantulan C/02/11/2016: Sajak M. Ashikin, “Pertama Kali Kuinjakkan Kaki ke Dadamu Pangkor”

Pantulan C/02/11/2016: Keperitan
Singgah meredah luah rasa dan perah minda M. Ashikin (Mohd Mansor Abdullah) melalui sajak beliau, “Pertama Kali Kuinjakkan Kaki ke Dadamu Pangkor”, Dewan Sastera, Februari 2009, muka surat 62. Tidak syak lagi judulnya puitik, dan bernada romantik.
Aku sukakan pulau dan Pangkor lebih daripada pulau-pulau biasa yang lain. Ia pulau yang mencengkam alur riwayat bangsa. Tanpa unsur-unsur semega itu pun, bagiku, pulau sentiasa menggambarkan keindahan – pantai, pasir, air, desir ombak, belaian angin, labuhan nelayan, kesantaian dan lain-lain. Dan ini jelas dilukiskan oleh M. Ashikin. Ada kata-kata beliau mengenainya, “…pantaimu/putih bersih…/pasirnya lembut…//elus bayu…”. Tetapi setakat itu sahaja, keindahan yang kubayangkan itu dilarik berseni, selainnya tidak begitu, bahkan adalah cemuhan yang sekali gus memualkan kerana Pangkor, pulau yang diidam-idamkan, “..kuimpi”, menusuk jiwanya dan segera dibencinya. Tanpa mencungkil idea-idea yang lain, kata-kata “melihat peradaban bangsaku retak/kesopanan dan kesusilaan diinjak-injak” memadai untuk merumuskan bahawa Pangkor telah menjelmakan citra melawan arus warisan ketamadunan bangsa yang kita berhasrat menjaga dan membangunkannya. Beliau memilih tidak “menginjak-injakkan/adat resam budaya…” sendiri. Tentulah penyair ini membungkam ketika singkat berada di situ dalam kepiluan dan keterasingan sambil menyaksi dan mengalami keruntuhan berterusan menggegarkan keperibadian.
Sesebuah hasil seni harus seimbang dari segi isi, gaya penyampaian dan kepadatannya. Dalam karya ini, ada gemblengan ketiga-tiganya, secara yang sedar disulam oleh penyairnya berasaskan pengalaman menggubah yang beraneka ragam lagi panjang. Perhatikan, gambaran pada rangkap awal yang mencetuskan harapan, tiba-tiba menyeleweng wajah secara mendadak dan mengejutkan berupa pemerian kehodohan perlakuan para remaja dan pengunjung yang menjijikkan. Dan M. Ashikin, mengambil keputusan nekat, berlepas tangan, tidak mahu bersekongkol, tidak mahu menjadi petualang. Tetapi, siapakah yang harus bertindak dengan lebih saksama?

Pantulan C/02/10/2016: Sajak Ami Masra, “Di Meja Alpa”

Pantulan C/02/10/2016: Diskusi diri
Sajak Ami Masra, “Di Meja Alpa”, Dewan Sastera, Februari 2012, muka surat 61 mengimbau ingatanku ke zaman kecil dan awal remajaku di kampung. Di kampung berpantai itu ada tiga buah kedai kopi yang biasa dikerumuni oleh para peraih ikan dan orang-orang kampung juga. Aku pernah juga melihat mereka itu berbual-bual sambil minum-minum sementara menunggu para nelayan kembali ke pantai dengan tangkapan harian mereka. Di kedai-kedai itu kita dapat kenal siapa yang petah bertelagah, siapa yang berpandangan ‘bernas’ mengatasi, siapa yang lebih mendengar atau menyokong, siapa yang lebih ‘berpengetahuan’ tak keruan!
Dalam perjalanan berulang-alik ke sekolah pun kulewati juga sebuah dua kedai kopi dan biasalah juga melihat meja-mejanya menjadi tempat perdebatan atau perbualan santai dan kosong. Sama ada mereka melakukan sambil menunggu sesuatu, atau kerana tiada kerja yang khusus hendak dibuat tidaklah pula dapat kupastikan. Tetapi yang nyata pada hujung 1950-an dan 1960-an, kedai kopi memang menjadi tempat ‘pertemuan’yang diterima oleh sekelompok orang kampong, walaupun sudah ada pandangan-pandangan yang menyelar amalan demikian.
Ketika telah remaja dan bersekolah menengah pemerhatian menjadi lebih bermakna kerana diiringi oleh pembacaan peribadi yang ketika itu sarat dengan hal-hal yang bersangkutan kemiskinan, kemunduran, ketinggalan orang-orang Melayu. Pemikiran tentang “Revolusi Mental” telah dan sedang menjalar dalam masyarakat. Maka, pembaziran orang-orang Melayu di kedai-kedai kopi dan yang seumpamanya telah menjadi satu aspek yang disentuh oleh para pembaharu pemikiran. Betapa benar pandangan seperti yang kubaca itu! Dan melalui sajak ini, Ami Masra telah merakamkan satu fenomena dalam masyarakat, yang berlaku pada masa silam yang ‘menostalgiakan’.
Pada umur tua, aku sudah lama tidak mengunjungi kedai-kedai kopi (atau dalam zaman ini restoran) dan tempat-tempat makan awam yang lain. Aku berharap di tempat-tempat itu tidak “mereka berbual di gerai sia-sia/memperkata segala yang tak ada”. Aku amat terganggu rupa-rupanya masih berlaku , “Pagi minggu itu”. Dan juga, lebih kena salurannya laman-laman maya pun hanya menjadi tempat orang-orang mencambah kebijaksanaan berdasarkan keilmuan dan kebenaran. Ya, moga-moga… kebestarian menjadi panduan melangkah ke hadapan.

Pantulan F02/9/2016: Sajak, Wan A. Rafar, “Tak”

Pantulan F02/9/2016: Penyedaran
Sekali lagi terserempak karya temanku! Sajak (WanRafar Ishak), Wan A. Rafar, “Tak”, Dewan Sastera, Ogos 2008, muka surat 107 menyatakan penafian akan terjadi sesuatu kecuali, “dalam ilmu-Mu”, “dengan izin-Mu”, “dengan kuasa-Mu”, “dengan perintah-Mu”, dan “dengan kehendak-Mu”. Kalau setiap frasa diteliti ternyata Allah subhanahu wa taala itu Maha Mengetahui, Maha Berkuasa, Maha Pemurah, Maha Berwibawa, dan Maha Penentu. Sayangnya kata-kata dan pustaka peribadi tidak mencukupi untuk menjelaskan kemahakuasaan-Nya.
Dan dari sudut lain pula, selazimnya diperikan, “… daun/.. gugur ”, “… air/ .. tumpah”, “… waktu/berlalu”, “… hujan/… turun”, semuanya terjadi dalam pengetahuan-Nya jua. Betapa Maha segalanya Ia. Sebagai makhluk (ertinya hamba) ternyata manusia tiada berupaya dan sewajarnyalah ia mengakui keterbatasan itu. Pengakuan inilah yang melorongkan pengabdian manusia terhadap Tuhan.
Wan menamatkan, “Aku larut/dalam laut cahaya-Mu.” Pada tahap ini, aku sendiri perlu menambah ‘cahaya’ ilmu untuk menyentuh “cahaya-Mu”. Tetapi, sambil itu kalau terpercik keinginan me‘larut’kan diri seperti yang dialami penyajak, aku (dan kita) sudah wajar memanjatkan kesyukuran ke hadrat-Nya.
Sama ada kita berilmu atau sebaliknya teringat aku maksud firman bahawa apa yang kita miliki adalah sedikit jua. Kalau seluruh lautan menjadi tinta, tetap kering juga tanpa selesai mencatat ilmu-Nya.
Sebuah karya harus boleh mengingatkan pembaca jangan terlupa hakikat kesementaraan hidup di dunia dan di akhirat ada balasan setimpal dengan amal dan ketakwaan menanti dalam kehidupan selepas mati!
Kependekan kalimat dan rangkap, perulangan pada rangkap-rangkap dan baris-baris puisi ini menjadikannya satu ciptaan yang sarat erti, sekali gus suatu ibadat maknawi.

Pantulan C/01/8/2016: Sajak Zulkifli Salleh “Kota Perjudian”



Pantulan C/01/8/2016: Penyabungan
Sajak Zulkifli Salleh berjudul “Kota Perjudian”, Dewan Sastera, Mei 2009, muka surat 62, menjongolkan beliau sebagai seorang penyajak yang berpotensi. Dalam lapan rangkap, (enam berbaris empat, satu berbaris enam dan satu lagi berbaris 9) dari segi bentuknya pun nampak tersusun. Dari segi rima, ada sebahagian mengekalkan unsur-unsur tradisional walaupun tidak dikekang keperluan pemodenan bila timbul kewajaran! Ada dua perkara yang digambarkan, perjudian di meja nasib sampai “dituai hampa” dan ‘perjudian’ di medan kehidupan “untuk mara ke mercu jaya”. Kerana kita bukan penjudi lalu bijaksanalah mengambil pandangan Zul tentang “hidup ini menuntut perjudian//…kemestian/dengannya jua sejarah terukir.” Terang, tanpa perlu bersuluh lagikan?
Aku kira, empat rangkap terakhir adalah satu rumusan hasil penelitian yang mendalam, digauli pengalaman dan pengetahuan. Tidak lupa Zul menyelami inti pati lakaran orang tua-tua dengan cetera Pak Kaduk (dan walaupun tidak disebut Aminuddin Baki, serta yang lain-lain), dan sejarah bangsa yang bertetesan air mata kerana “berpindah milik beralih sempadan/tidak tertebus hingga akhir zaman.” Terselit iktibar dan teladan.
Ada keaslian pada gaya bahasa seperti terserlah, (tanpa mengutip keseluruhan kalimat), “kembang setangkai”, “dituai hampa”, “kecundang terpa bertalu”, “di pantai takdir”, “kota persaudaraan”, “kaya pengajaran”, “mengusik kesalan”. Kalaulah Zul dapat mentrampilkan citra kemodenan dalam menguli tema ini, aku percaya sajak ini akan menjadi mercu tanda kepenyajakan beliau!
Menepis itu ke tepi, berpadalah kalau benar-benar kita mengunyah hanya serangkap yang ini: “Demi pangkat dan darjat/demi kelas dan status/bukan sekadar wang dan harta/amanah, maruah, dan kuasa, perjudian belaka.” Maka kalaulah, kota Macau yang mencetuskan ilham, menjadikannya sebagai perbandingan kepada penghidupan sebenarnya, ambillah pula sekitaran kita sendiri dan tanggapilah sejauh mana gambarannya berbeza daripada yang Zul coretkan itu.
[Kebetulan, dalam Shahnon Ahmad, “Weltschmerz” (Pabila Hujan Turun), Dewan Sastera, Mei 2009, beliau menulis, “…Duniawi memang senda gurau dan serba mainan; akhirat juga adalah kehidupan yang sebenar, tetapi keperluan duniawi yang serba palsu inilah tempat kita berjuang, mencari bekalan untuk meneruskan perjalanan menuju keabadian.”(muka surat 65) dan Shahnon Ahmad menulis pada kesempatan lain, “… Bukankah dunia ini hanya permainan dan senda gurau sahaja. Bukankah kehidupan dunia ini adalah penipuan sahaja. Bukankah hidup di dunia ini asyik lawan puji memuji sahaja serta dunia ini hanya senda gurau dan mainan, akhirat itulah kehidupan yang sebenar?”, lihat, “Weltanschaung”, (Pabila Hujan Turun), Dewan Sastera, April 2009, muka surat 60].
Sesebuah sajak harus boleh mencuit pembaca lantas berhenti untuk meneliti, dan memercikkan tafsiran yang bererti lagi memanfaati. Zul telah melakukan memenuhi ciri ini ketika berada di luar negeri.
(Nota: Teringat membaca “Nota Seorang Pengembara” oleh Kamarul Ariffin, “Lawatan Lain” oleh Wan Ahmad Wan Abdullah, “Melalui Jendela Waktu” oleh Othman Yatim, dan lain-lain)

Pantulan A/02/7/2016: Sajak Aladin Mohamad, “Angin Subuh”

Pantulan A/02/7/2016: Pengakuan
Bukan rahsia pun, bahawa kebiasaannya orang muda menyesal apabila telah mencapai usia tua. Tentulah penyesalan itu kerana semasa muda (sihat sejahtera, kaya raya, berharta, berdarjat, berkuasa) ia tidak cukup melakukan kebaikan sebaliknya lebih melakukan kemungkaran. Hidup selepas mati harus berbekal lengkap. Dengan berdosa tanpa taubat lantas melangkah ke akhirat adalah satu kejahilan yang mengakibatkan rugi serugi-ruginya. Akhirat menuntut persediaan yang rapi dan sedikit masa yang terluang tidak wajar terbuang dengan menebus apa sahaja keterlanjuran sama ada antara sesama insan apalagi Tuhan Seluruh Alam. Ertinya, peringkat usia yang amat gawat itu langsung tidak sama sekali dipersesiakan. Suasana sekitaran yang senyap sunyi, atau waktu Subuh yang bening lazimnya menjadi pilihan utama untuk meluahkan penyesalan dan melakukan amalan mendekati Allah S.W.T. Dan inilah yang dilukiskan oleh Aladin Mohamad melalui sajak serangkap pendek berbaris 7, “Angin Subuh”, Dewan Sastera, September 1984, muka surat 19.
Jadi apabila telah begitu terang pemerian apalah lagi harus kupantulkan? Tiada lain kecuali menyatakan, penyajak telah menggumpalkan permasalahan perasaan bersalah orang muda oleh dorongan nafsu dan kejahilan atau sengaja leka suatu masa lampau, ke dalam ciptaannya dengan cara yang padat, sependek-pendek kalimat yang berupaya memuatkan hasrat. Jangan lupa kita sedang menikmati puisi, dan Aladin telah menyajikan secara yang berhemah menghormati medium yang dipilihnya. Karya ini puitik, gayanya lembut mesra serasi Subuh yang belum lagi bercahaya menjelang pagi. Kalau pun cetusan ini cetusan biasa tentang pengalaman orang-orang muda, dalam puisi sebegini ia hadir sebagai satu rumusan seni yang berjaya!

Pantulan C/01/6/2016: Sajak Siti Zaleha M. Hashim, “Saudagar Mimpi”



Pantulan C/01/6/2016: Mengarun impian
Sajak Siti Zaleha M. Hashim, “Saudagar Mimpi”, Dewan Sastera, Ogos 2006, muka surat 59, tanpa syak lagi adalah suatu puisi yang indah – gubahan menggembleng sempurna tema. Kita perlu membacanya untuk merasai dan menikmatinya. Tidak pun perlu kita menyental minda agar tergambar suasana yang melatari persoalannya. Kita ada keistimewaan memilih pendekatan serasi peribadi.
Tidak perlu aku meluaskan ujaran antara pembangunan mungkar berbanding ketradisionalan/kelestarian kebudayaan. Pada tahap sendiri aku terbelai rasa melihat kanvas alam dilukisi Siti dengan “mendengar bunyi cicip-cicip unggas pagi/melihat percik titis-titis hujan petang/merenung jingga jalur-jalur langit senja.” Dalam kewujudannya setiap pagi, petang dan senja, aku tidaklah mahu berharap tambahan lagi. Cukuplah, kerana menyedari sendiri malam pun ada tarikan sakti seperti, pantulanku sendiri, \merenung sinar gemerlapan bulan diusapi nipis awan\asyik oleh deringan cengkerik di sebalik gelap buana\terpaku syahdu pada gugusan bintang\...
Tetapi ketidakserasian antara dua pihak sampai boleh mengendurkan perhubungan, sehingga memisahkan ikatan, membawa persengkitaan, bernatijah kerenggangan muafakatan tentulah tidak wajar diabaikan berlalu tanpa tumpuan minda mencari mutiara. Sanya, tidaklah salah berwawasan asalkan wawasan boleh dikongsi serta mendapat dokongan menjadikannya kenyataan. Yang tidak jarang terjadi ialah berbenturan idea, pandangan, perspektif, kefahaman lalu bercakar-cakaran. Walaupun setiap dicuba mengatasi perselisihan, tetap berakhir dengan kegagalan mencari titik pertemuan atau sekurang-kurangnya saling bertolak ansur. Demikianlah, masing-masing membawa diri, memusing arah, memilih jalan sendiri-sendiri. Bagi perkara-perkara kecil pemencilan atau penghindaran daripada melibatkan diri tidaklah terlalu memberi padah. Tetapi, kalau setiap pihak bukan calang-calang orang, berwewenang, kegagalan menguruskan perkara yang kecil-kecil pun membawa kerugian. Apalagi kalau persoalan di hadapan adalah perkara hidup mati agama dan bangsa, (jangan terlupa maruah diri, keluarga, jati diri) maka pertarungan tiada pun akan memberi sumbangan bahkan mengundurk langkah-langkah kejayaan, membuntukan usaha-usaha menambah nilai terhadap mercu-mercu tanda yang sedia tercapai!
Ya, ada perkara menuntut pengorbanan demi manfaat masa akan datang. Pada tempoh peralihan, segala usaha harus diikhtiarkan agar terhindar kegegaran pada para individu, kelompok dan sekitaran. Jadi yang dituntut ialah kebijaksanaan berfikir, merumus, bertindak supaya semua pihak searah menuju matlamat. Tidakkah demikian menolak realiti?
(Nota: Untuk satu versi ulasan yang berlainan terhadap sajak ini lihat, Arbak Othman, “Hasrat, Teks dan Dunia dalam Puisi” (Analisis Puisi Dewan Sastera, Ogos 2006), Dewan Sastera, September 2006, muka surat 73-74 (71-78).