Pantulan F/01/18/2016: Taubat
Pagi-pagi hari ini aku benar-benar teringat kepada hakikat diri dalam mengharungi kesementaraan duniawi. Hasilnya kuciptaka sebuah sajak mencetuskan perasaan tentang kuat sekali tarikan dan usapan kehidupan di musim tua yang mengalpakan sedangkan yang sebenarnya ada satu lagi hidup, yang abadi, selepas kita menghabisi sisa-sisa usia yang sedikit sahaja lagi ketika kembara di bumi (Lihat, “Pesona”, 22 Januari 2016, yang kupamerkan sebelum pantulan ini). Maka melintasilah aku sajak teman fb baruku, Fahd Razy, “Daerah Kalbu II”, Dewan Sastera, Mac 2012, muka surat 66, menguli-uli hatiku ketika bersendirian. Kuhayati kalimat-kalimatnya dan ternyata apa yang beliau tuangkan itu berjalin makna, seperti yang kurasakan pagi tadi!
Hakikat yang dimaksudkan kuyakini banyak dialami oleh kebanyakan manusia. Apalagi yang telah meningkat tangga pendakian, yang telah merasai asam garam, pahit maung dan manis lazatnya kehidupan. Mereka adalah orang baik-baik pada mata dunia. Mereka menjalani hidup dalam kesedaran berpindah pergi ke alam lain, tetapi dengan persediaan yang biasa-biasa sahaja; mendirikan Rukun Iman dan Rukun Islam seadanya, bak pernah jua dilakukan oleh nenek moyang semenjak berabad-abad lalu tanpa banyak berubah ke tahap yang lebih maju. Kerana itu aku sependapat dengan Fahd, “betapa perahuku digelut/sarap duniawi yang berkemelut.” Inilah yang sukar diatasi, sedang sanubari menyedari dan tidak sangsi, ketipisan taqwa telah melekakan, memaut agar tidak berhenti mengasihi duniawi, dan menangguh-nangguhkan niat murni kembali mengadap Ilahi dengan sikap berani seorang hamba yang benar-benar mematuhi perintah. Sedang dosa tetap kian bertambah, membendung kecenderungan beribadat dan memasungkan kudrat mengangkat segala amalan kebaikan yang diniat-niatkan.
Ya, bukan mudah melaksana atau mengamalkan berbanding dengan meluahkan hasrat dengan ketaqwaan terbebat oleh ujian yang di luar darjah ibadat seharian. Semoga mampuku terus berbuat tepat selagi ada hayat, insya-Allah.
No comments:
Post a Comment