Friday, 4 March 2016

Pantulan F/02/19/2016: Sajak Solihin Osman, “Membaca Takdir”

Pantulan F/02/19/2016: Menggali erti
Apa yang hendak dibicarakan Solihin Osman melalui, “Membaca Takdir”, Dewan Sastera, Mac 2012, muka surat 65 ialah “Membaca takdir dan mentafsir nasib” bukan setakat menonton dan membiarkannya berlalu tanpa sebarang manfaat atau impak. Ada tujuh kali “perkataan “membaca” digunakan, mengawali setiap rangkap, dengan setiap rangkap menumpukan pada isu-isu atau situasi-situasi yang berlainan. Rangkap-rangkap itu secara berturutan ditunjangi, “…angin songsang…”, “…jambak awan…”, “…curahan takdir…”, “…luahan api…”, “…retak digegar tamadun”, dan “…abstrak laut…”. Setiap satunya pula berangkaian dengan kalimat-kalimat yang menyusuli bagi mengantarkan makna yang penuh. Aku memilih untuk tidak mencungkil ke inti erti oleh deraan berseni.
Namun, aku kira membaca berminda bermaksud menghayati, menganalisis, dan merumuskan. Lalu dipersetujui, “takdir” adalah ketentuan Ilahi ke atas hamba-hamba-Nya. Berdasarkan pengajaran para ustaz, tuan-tuan guru, difahamkan bahawa manusia boleh merancang tetapi Allah S.W.T. menentukan. Kalau pernyataan itu diterima, maka rasa kecewa sewajarnya tidak berbangkit lagi, apabila seseorang bergesel dengan musibah atau kegagalan, sebab di sebalik pengakuan terhadap Yang Maha Kuasa itu, tertunjang falsafah tunduk kepada-Nya. Makhluk wajib redha sentiasa.
Manusia yang merancang harus berilmu. Perancangan tanpa diwawasi ilmu adalah kesia-siaan kerana hasil yang wujud itu tanpa input-input pencetus yang seharusnya memainkan peranan. Hal ini demikian kerana tanpa persiapan, atau melalui prosesnya seakan sesuatu peristiwa berlaku, tanpa dikawal oleh ilmu atau kaedah yang sesuai menyokong kerealisasiannya. Dalam kata-kata lain, sesuatu tidak berlaku tanpa sebab. Ada unsur-unsur yang bergemblengan mencetuskannya.
Maka kalau Solihin Osman, mengatakan kehilangan nilai keindahan daripada “taman kehidupan”, bukankah ia suatu kecacatan yang tak tersembuhkan? Begitu pula, “siang semakin pudar dirinya” menjongolkan kemerosotan keupayaan untuk bertahan pada unsur-unsur yang selama ini menjadi asas bertapak atau berdikari. Bergerak lagi, aku lebih ingin tidak bertolak ansur dalam hal-hal yang menyentuh “kesilapan/yang disengajakan” demi mempastikan penjawatan dan penikmatan keistimewaan yang terpaut padanya, tidak dipertikaikan langsung. Pun, pengecualian tidak sama sekali meruntuhkan prinsip-prinsip murni sekiranya beriringan dengan keikhlasan dan ketakwaan.
Demi menyingkatkan, kupilih sekalimat lagi, “bukan cuma dari pandangan mata” (di rangkap akhir), untuk mengamati pengalaman yang dilalui, sebab kita sentiasa diingatkan Ilahi, bahawa selain menggunakan penglihatan, jangan pula terlupa menggunakan pendengaran, dan hati untuk lebih menyeluruh membuat pertimbangan dan keputusan. Dan itulah yang kukira menjadi ‘fitrah’ manusia, supaya yang berlaku bernatijah baik, terhindar daripada runtunan nafsu yang mencemarkan sahsiah diri.
(Nota: Sajak ini termuat juga dalam kumpulan puisi, “Gelombang Diri”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2015, muka surat 87-88. Ada beberapa buah puisi lain oleh Solihin Osman, berjudul, “Buku Takdir”, muka surat 27; “Mengukir Takdir”, muka surat 93. Dalam kumpulan puisi “Sangkar Alam”, ITBM, 2015, ada sebuah puisi Solihin Osman berjudul, “Buku Takdir”, muka surat 4 (tidak sama dengan yang disebut terawal); dan “Benarlah Itu Takdir”, muka surat 46).

No comments:

Post a Comment