Pantulan A/02/7/2016: Pengakuan
Bukan rahsia pun, bahawa kebiasaannya orang muda menyesal apabila telah mencapai usia tua. Tentulah penyesalan itu kerana semasa muda (sihat sejahtera, kaya raya, berharta, berdarjat, berkuasa) ia tidak cukup melakukan kebaikan sebaliknya lebih melakukan kemungkaran. Hidup selepas mati harus berbekal lengkap. Dengan berdosa tanpa taubat lantas melangkah ke akhirat adalah satu kejahilan yang mengakibatkan rugi serugi-ruginya. Akhirat menuntut persediaan yang rapi dan sedikit masa yang terluang tidak wajar terbuang dengan menebus apa sahaja keterlanjuran sama ada antara sesama insan apalagi Tuhan Seluruh Alam. Ertinya, peringkat usia yang amat gawat itu langsung tidak sama sekali dipersesiakan. Suasana sekitaran yang senyap sunyi, atau waktu Subuh yang bening lazimnya menjadi pilihan utama untuk meluahkan penyesalan dan melakukan amalan mendekati Allah S.W.T. Dan inilah yang dilukiskan oleh Aladin Mohamad melalui sajak serangkap pendek berbaris 7, “Angin Subuh”, Dewan Sastera, September 1984, muka surat 19.
Jadi apabila telah begitu terang pemerian apalah lagi harus kupantulkan? Tiada lain kecuali menyatakan, penyajak telah menggumpalkan permasalahan perasaan bersalah orang muda oleh dorongan nafsu dan kejahilan atau sengaja leka suatu masa lampau, ke dalam ciptaannya dengan cara yang padat, sependek-pendek kalimat yang berupaya memuatkan hasrat. Jangan lupa kita sedang menikmati puisi, dan Aladin telah menyajikan secara yang berhemah menghormati medium yang dipilihnya. Karya ini puitik, gayanya lembut mesra serasi Subuh yang belum lagi bercahaya menjelang pagi. Kalau pun cetusan ini cetusan biasa tentang pengalaman orang-orang muda, dalam puisi sebegini ia hadir sebagai satu rumusan seni yang berjaya!
No comments:
Post a Comment