Pantulan C/01/8/2016: Penyabungan
Sajak Zulkifli Salleh berjudul “Kota Perjudian”, Dewan Sastera, Mei 2009, muka surat 62, menjongolkan beliau sebagai seorang penyajak yang berpotensi. Dalam lapan rangkap, (enam berbaris empat, satu berbaris enam dan satu lagi berbaris 9) dari segi bentuknya pun nampak tersusun. Dari segi rima, ada sebahagian mengekalkan unsur-unsur tradisional walaupun tidak dikekang keperluan pemodenan bila timbul kewajaran! Ada dua perkara yang digambarkan, perjudian di meja nasib sampai “dituai hampa” dan ‘perjudian’ di medan kehidupan “untuk mara ke mercu jaya”. Kerana kita bukan penjudi lalu bijaksanalah mengambil pandangan Zul tentang “hidup ini menuntut perjudian//…kemestian/dengannya jua sejarah terukir.” Terang, tanpa perlu bersuluh lagikan?
Aku kira, empat rangkap terakhir adalah satu rumusan hasil penelitian yang mendalam, digauli pengalaman dan pengetahuan. Tidak lupa Zul menyelami inti pati lakaran orang tua-tua dengan cetera Pak Kaduk (dan walaupun tidak disebut Aminuddin Baki, serta yang lain-lain), dan sejarah bangsa yang bertetesan air mata kerana “berpindah milik beralih sempadan/tidak tertebus hingga akhir zaman.” Terselit iktibar dan teladan.
Ada keaslian pada gaya bahasa seperti terserlah, (tanpa mengutip keseluruhan kalimat), “kembang setangkai”, “dituai hampa”, “kecundang terpa bertalu”, “di pantai takdir”, “kota persaudaraan”, “kaya pengajaran”, “mengusik kesalan”. Kalaulah Zul dapat mentrampilkan citra kemodenan dalam menguli tema ini, aku percaya sajak ini akan menjadi mercu tanda kepenyajakan beliau!
Menepis itu ke tepi, berpadalah kalau benar-benar kita mengunyah hanya serangkap yang ini: “Demi pangkat dan darjat/demi kelas dan status/bukan sekadar wang dan harta/amanah, maruah, dan kuasa, perjudian belaka.” Maka kalaulah, kota Macau yang mencetuskan ilham, menjadikannya sebagai perbandingan kepada penghidupan sebenarnya, ambillah pula sekitaran kita sendiri dan tanggapilah sejauh mana gambarannya berbeza daripada yang Zul coretkan itu.
[Kebetulan, dalam Shahnon Ahmad, “Weltschmerz” (Pabila Hujan Turun), Dewan Sastera, Mei 2009, beliau menulis, “…Duniawi memang senda gurau dan serba mainan; akhirat juga adalah kehidupan yang sebenar, tetapi keperluan duniawi yang serba palsu inilah tempat kita berjuang, mencari bekalan untuk meneruskan perjalanan menuju keabadian.”(muka surat 65) dan Shahnon Ahmad menulis pada kesempatan lain, “… Bukankah dunia ini hanya permainan dan senda gurau sahaja. Bukankah kehidupan dunia ini adalah penipuan sahaja. Bukankah hidup di dunia ini asyik lawan puji memuji sahaja serta dunia ini hanya senda gurau dan mainan, akhirat itulah kehidupan yang sebenar?”, lihat, “Weltanschaung”, (Pabila Hujan Turun), Dewan Sastera, April 2009, muka surat 60].
Sesebuah sajak harus boleh mencuit pembaca lantas berhenti untuk meneliti, dan memercikkan tafsiran yang bererti lagi memanfaati. Zul telah melakukan memenuhi ciri ini ketika berada di luar negeri.
(Nota: Teringat membaca “Nota Seorang Pengembara” oleh Kamarul Ariffin, “Lawatan Lain” oleh Wan Ahmad Wan Abdullah, “Melalui Jendela Waktu” oleh Othman Yatim, dan lain-lain)
No comments:
Post a Comment