Pantulan A/1/22/2016: Menebus kejahilan
Ketika berundur membelek semula majalah-majalah yang lebih lama, terserempak dan tertarik pula dengan karya Sutung Umar RS, “Aku Pengembara”, Dewan Bahasa, April 1971, muka surat 171. Sajak ini sudah 45 tahun usianya. Tetapi aku percaya karyawan ini masih mengembara, seperti juga kita dan orang lain. Yang aku ingin nyatakan, sesebuah sajak tidak perlu panjang, tidak perlu disukarkan untuk muncul sebagai sebuah ciptaan menarik dan bertenaga menjunjung makna. Idea yang mendasari karya boleh biasa-biasa sahaja, disampaikan secara bersahaja, dan dimana perlu diulang, diulangkan sepada-padanya. Inilah sajak. Kalau sajak ini dipersembahkan di hadapan khalayak, (dan memang harus dideklamasikan) aku mahu yang tertinggal dalam kalbu, suatu kesan yang mengharukan – bahawa dunia ini adalah sementara; manusia hidup untuk berbakti dan berjasa; walaupun tidak maksum, manusia jangan melakukan dosa besar yang tak henti-henti mengganggu ketenteramannya dalam berikhtiar menuju pelabuhan dan pangkalan hayat.
Aku sungguh faham perwatakan pengembara, dan ini sebijaknya dilakukan Sutung, secara mengisytiharkannya awal-awal lagi. Bertambah lagi terkesan apabila imej pengembara dan perkelanaannya berlumuran “sesalan lama” yang mengelubunginya “setiap malam/setiap siang”. Aku akan bersyukur kalau pengembara ini berjaya “melupakan sesalan lama yang luka/sesalan lama yang luka”. Biasa kita dengar ada cerita demikian. Manusia bertaubat nasuha dan tenang menghadapi Ilahi. Tetapi kalaulah kita sendiri senasib dengan pengembara ini, (memang kita pengembara), mampukah kita melakukannya? Ya, mampukah kita menyamai? Mampukah?
Tidak mudah bermadah mudah!
No comments:
Post a Comment