Pantulan C/1/14/2016: Tragedi melangkaui imaginasi
Pelupa dan pendusta ialah “kita” sendiri bukan orang lain! Demikian, kalau kita terima pandangan Sahrunizam Abdul Talib dalam sajak beliau, “Angka-angka”, Dewan Sastera, Februari 2012, muka surat 59. Tetapi sebelum kita mempersetujukannya atau tidak, kita telitikan kata-kata beliau yang lebih awal. Angka bermakna sejarah. Setiap bertambah, berterusanlah sejarah itu mencatatkan pahit maung, suka duka, pengalaman manusia mengharungi eranya. Yang menggerunkan ialah bayangan ancaman penghukuman oleh kejadian/peristiwa yang bersejarah “kerana dosa-dosa silam”.
Sekadar mengimbas, pada tahun 2011, peristiwa-peristiwa bersejarah yang disentuh Sahrunizam ialah pencacatan dan pelumpuhan upaya menjulang kedaulatan bahasa kebangsaan, pengkotak-katikan bahasa Melayu oleh “petualang” dan kuncu-kuncunya, pemeruduman saham di bursa, pembenihan dan pembiakan berleluasa gejala fitnah dalam arena politik, dan perlakuan tidak bermaruah lagi berkeselesaan para pesalah jutawan ‘terhormat’ di khalayak. Walaupun banyak lagi yang lain, setakat itu memadai.
Semua yang dinyatakan beliau tertumpu kepada situasi berpetaka; kegetiran, kelumpuhan, kemelesetan, dan kekotoran/kejijikan setiap aspek yang diketengahkan itu. Dan jangan lupa, “Lambai tangan dan alun intonasi ucap tokoh” sangat mengentalkan permasalahan lalu memperkecil kemungkinan sebarang inisiatif menapak maju! (bahkan, aku menambah, melancarkan proses yang menyayatkan itu).

Sejarah sewajarnya juga meliputi kejayaan mencapai mercu tanda. Kalau kita gagal menyerlahkan satu sahaja pun buktinya maka bermakna kita sedang menjauhkan diri daripada keabsahan matlamat bernegara sendiri, yang bererti kita tidak boleh berbangga dengan angka-angka utama seperti 1957, 1963, 1967, 1970, 2003, apalagi yang bakal mendatangi. Sebabnya? Setiap atau semua pertambahan angka akan menjelma dalam rupa-rupa hodoh acuan mungkar jati diri. Ia sungguh keji. Sebenarnya inilah yang dikatakan tragedi melangkaui imaginasi.
No comments:
Post a Comment