Pantulan E/3/21/2016: Wira beretika
Saya tidaklah mengungguli Hang Jebat kerana tindakan beliau bukanlah elok disanjung dalam semua segi. Barangkali sebab utama orang menyanjung tokoh itu kerana pendirian dan keberanian beliau menentang kesewenang-wenangan raja menitahkan Bendahara membunuh Hang Tuah tanpa usul periksa sedangkan diketahui kes itu berpunca fitnahan. Kalau Sultan Melaka, membentuk ‘mahkamah’ dan membicarakan ‘jenayah’ Laksamana itu tentulah Hang Jebat tiada sebab untuk menyanggah perintah raja, yang tentunya bersandarkan siasatan yang rapi. Mahkamah tentulah akan membuat atau mengsyorkan keputusan berdasarkan fakta-fakta dan falsafah berkesultanan era itu. Atau, kalau ia tetap menentang juga, maka ia telah tidak menjadi ‘penjawat’ yang setia, tidak profesional. Demikian itu menjelmakan dirinya di mata umum sebagai orang yang tidak boleh diberi tanggungjawab mendukung keutuhan pentadbiran atau pengurusan kesultanan. Beliau tidaklah wajar diangkat martabat sebagai wira zaman itu kerana terjelas tidak mencerminkan seorang penjawat misali abad bahari. Dalam kaedah mentadbir negara, penjawat yang ‘salah laku’ boleh diambil tindakan mengikut undang-undang atau peraturan-peraturan yang berkuatkuasa. Kedudukan peribadi dan status perjuangannya tergantung kepada proses penilaian yang harus dilalui.
Maka, ketika saya terserempak dengan Ahmad Sarju, mencorakkan pendiriannya (ketika berusia 25 tahun) melalui “Anak Zaman Penuh Azam”, Dewan Bahasa, Januari 1968, muka surat 31, saya sebenarnya sudah lama tidak memberati tindak-tanduk Hang Jebat yang ‘janggal’ dalam situasi yang di luar konteks. Pada saya Hang Jebat sewajarnya tidak berleluasa mencemarkan kesultanan. Apalagi setelah berada di puncak kuasa melalui rampasan kuasa, suatu kaedah yang sangat tidak beretika. Sementelahan pula, apabila disanggah beliau melenting ganas, bermaharajalela. Pun saya tidak lupa, Kassim Ahmad pernah mewirakan Jebat melalui “Dialog” pada tahun-tahun yang lebih awal.
Maka kalau kita berjuang, berjuanglah sampai mencapai matlamat. Pun, jangan pula perjuangan itu dicemari oleh falsafah yang menidakkan hak dan kebenaran pihak-pihak lain yang sama-sama mengimpikan keadilan sentiasa menjadi asas merancang dan melaksana tindakan-tindakan. Selepas 500 tahun penderhakaan itu berlaku, sewajarnya yang harus menjadi pedoman ialah yang berasaskan kebenaran dan keadilan. Ini bermakna kalau “membungkus kecurangan”, “bangun mengusir sipenderhaka” ia mewajarkan “mati dalam buih darah perjuangan”. Hanya, kewajaran moden seharusnya berasaskan keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
(NOTA: Sajak ini boleh juga dibaca dalam kumpulan puisi “Bunga Pahit”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986, muka surat 45).
No comments:
Post a Comment