Pantulan C/02/17/2016: Tangkal hidup
Sajak Siti Zaleha M. Hashim, “Kuingat Masih”, Widya, September 1980, kukira-kira tercipta ketika beliau berusia belum lagi 30 tahun. Tetapi begitu jelas dinyatakan bahawa dia sangat ingin “agar lekas menjadi dewasa”. Hanya beliau tidak mahu disalahfahami hasrat murni itu menimbulkan prasangka bahawa pencapaian itu diperoleh dengan mudah, tanpa “sering jatuh”, dan “jua terluka”. Yang positif terserlah ialah beliau sama sekali menghindari“penyesalan”. Setiap menapak ke muka tidak dipersiakan minda dengan meneroka makna semua yang dilalui demi mendepani yang lebih berduri, banyak menanti.
Kalau diambil urutan kehidupan individu, tahap pengajian dan pengijazahan di peringkat universiti boleh dikira keperluan minimum untuk berdikari yang asasi. Pada umur itu seseorang telah berkawan dengan ramai orang, telah ke sana sini meluaskan ‘pandangan’, telah membaca serangkaian buku yang mencorakkan sahsiah, telah bergiat mentrampilkan peribadi, telah bermasyarakat dengan pelbagai pihak, menjadilah ia seorang yang bersedia untuk lebih berwibawa dan terkenal lagi di dunia sebenar. Pada tahap itu ia dikira dewasa – berdikari, berkeluarga dan menjadi warga yang berguna; ‘tepuk dada tanya selera’.
Tidak semua orang rela bercerita pengalaman sendiri sampai berada pada status semasa. Sebahagian lebih suka menyembunyikannya, jadi tangkal peribadi untuk menguja kejayaan mengatasi yang tersedia ada. Begitulah pengalaman, pada seseorang yang berfikir tak pernah membazir. Sama ada, pengalaman itu “berairmata” atau ceria, kedua-duanya tetap membina keperibadian ke arah yang lebih berkebaikan. Maka, bagi orang muda, ada teladan yang boleh dipadan, ada iktibar yang tergambar daripada meneliti pengalaman seseorang lain yang telah muncul unggul.
No comments:
Post a Comment