Saturday 18 October 2014

Pantulan 62/14: Sajak Wan A. Rafar, “Cabaran”,

Pantulan 62/14: Serupa dulu?
Sajak (WanRafar Ishak) Wan A. Rafar, “Cabaran”, Dewan Masyarakat, Julai 1967, muka surat 50 tetap kekal dengan mesejnya, iaitu ‘mencabar’ walaupun telah tercipta 48 tahun lalu. Salahkah tanggapan ini? Yang kita tahu, kita masih dalam keadaan yang tidak jauh berbeza berbanding suatu ketika dahulu. Dalam kemelaratan; ketika bersekolah berjalan kaki, bermandi-manda di sungai dan berlarian di pantai, memikul kayu api di hutan untuk mengasapkan dapur, berpelita minyak tanah mentelaah pelajaran, menenggala sawah, berpukat tangkul, beratap tiris membasahi lantai musim banjir, berkurung di musim tengkujuh berlauk ikan budu, … ketika menghadapi pelbagai kekurangan kerana belum menguasai keperluan hidup dan lemah bersaingan di zaman moden. Semua itu, “gambar-gambar tidak lagi menarik”. Tetapi Wan tidak berputus harap. Dan ini tidak pelik kerana seruan setaranya masih diraungkan. Dan Wan semenjak dahulu menggesa kita, “Angkatkan/kepala berangmu” dan berusahalah mencapai cita-cita luhur yang tentunya akan membahagiakan, jika berjaya mengatasi rintangan yang nyata dan terselindung.
ASKAT: Hidup ini bukanlah suatu kenyataan tanpa dugaan. Terbukti semenjak azali, langkahan manusia tidak sepenuhnya lancar kerana di jalanan ada lopak-lopak memperlahankan pergerakan, ada gaung sukar dilintasi, ada tasik terlalu luas untuk direnangi, ada hutan tersangat tebal untuk diredahi. Tetapi kalau gunung tidak didaki, sang pertapa tak boleh kita gurui. Tanpa mengalami semuanya, peribadi tidak cukup perkasa, semangat tidak ‘kan waja, minda tidak akan bijaksana, dan “Hari depan nan agung” pastilah hanya mimpi. Maka sudah tetap benarlah bahawa cabaran dahulu dan kini serta yang mendatangi tetap berbentuk “cabaran”. Cumanya, sekitaran yang berubah melingkari pelaku-pelaku semasa, menuntut penyesuaian selayaknya. Kita tidak boleh berlepas tangan, hanya berharap yang dihajati melayang singgah di riba. Bulan tak pernah jatuh demikian. Pendaratan di mukanya adalah hasil usaha berterusan di samping keupayaan membiayainya.

Tusukan

Tusukan
“Tak ada. Tak ada pembelinya lagi sekarang”, jawab perempuan pegerai itu apabila ditanya juadah wajik yang sedang kuidam-idamkan. Kami singgah di situ khusus penuh harapan memperolehinya. “Lihatlah” katanya, menunjukkan tangan ke sekitaran, ke petak-petak jualan yang lain yang jelas tak dikunjungi. Ketika itu jam sudah pukul 12 tengah hari. Pasar Jerteh memang lengang. Di tingkat bawah itu.
Dia melanjutkan tanpa diminta. Barangkali melihat kekesalanku. “Orang tak ada duit. Harga getah turun. Buah-buah tak ada harga. Tak laku. Belanja sekolah mana nak cari?” Wajahnya menyerlahkan penanggungan berat. Tak terselindung lagi. Kami segera membeli kuih-muih di depan mata. Tetapi Belebab Ubi yang dijual dengan harga 3 seringgit, dibungkus empat seringgit, tanpa kami menawarnya. Kami beli tiga ringgit. Tepung Pelita pun juga. Isteriku menambah beberapa jenis lagi; Kepal dan Koleh Kacang. Pun begitu, jualannya belum banyak berluak.
Sungguh mengharukan. Betapa orang miskin murni jiwanya, pemurah hatinya. Tulus ikhlas yang terpancar menusuk sanubari kami. Sambil berlalu kami berbincang tentang kedaifan….

Pantulan 61/14: Sajak Rudi Mahmood, “Di Muka Kelir, 7”

Pantulan 61/14: Menyaksi pemupusan
Tiba-tiba saja kumendepani “Di Muka Kelir, 7”, tanpa menonton kelir-kelir yang mendahului, dalam Dewan Sastera, Oktober 1988, muka surat 13. Tetapi tak ‘ngapalah, kerana aku tidak sangat asing tentang perkara ini kerana benar-benar membesar di hadapan kelir-kelir, sampai mudah bernostalgia ketika saja terlihat atau terdengar, atau membaca apa-apa sahaja yang berkaitan wayang kulit. Rupa-rupanya ada faedah yang boleh diraih daripada pengalaman demikian. Temanku Rudi Mahmood menunjukkan caranya. Bagi beliau, “warita dan lidah bersatu di dasar yang hitam/dengan kata yang serupa/dengan wajah berbeza/mengkias makna kehidupan.” Tentulah pentafsiran kehidupan daripada perkisahan itu menjangkau pelbagai aspek – perwatakan manusia, teladan, realiti zaman, imaginasi, perutusan dan yang lain-lain.
ASKAT: Tok Dalang mewayangkan cerita-cerita yang sama, selama hayat kedalangannya dengan “empat puluh” – “cetera”, “ingatan lisan” dan “isyarat acara”. Kalau begini , nyatalah tak berupaya ia mengasyikkan khalayak selama-lamanya. Betapa malang dan tragis, kerana bagiku, serunai dan peralatan lain yang menggandinginya sampai sekarang masih memukauku, menimbulkan senario masa kecil di kampung dengan keserenokan persekitaran yang alami dan penghidupan yang amat mudah tetapi dihargai, tertanam sebati sampai kini. Perubahan suara, liuk-lintuk dan merdu paraunya menghidupkan setiap watak demi membezakan antara mereka adalah kemahiran yang jarang dikuasai. Tempo muzik iringan yang kena dengan adegan, mengentalkan lagi penyampaian. Jadilah ia persembahan yang mengkagumkan – untuk masyarakat ketika itu. Tetapi sekarang dunia telah berubah dan berubah… berterusan. Aku bersimpati dengan Tok Dalang kerana temanku mengisytiharkan, “aku berdiri mengulang-ulang/kebosanan hidup di depan kelir”, menjadikan kerjayanya dilupus zaman. Paling-paling, wayang kulit akan menjadi tontonan sambil-sambilan atau ketika waktu senggang, yang tidak menjaminkan kelangsungan meredah permasalahan kehidupan sekarang dan akan datang. Pun aku tetap akan menyimpan rakaman-rakamannya. Setidak-tidaknya, hari-hari tuaku tergembleng bersiratan dengan pengalaman silam, mewarnai peribadiku, sehingga waktu yang dijanjikan.
— at Dewan Sastera, Oktober 1988

Thursday 9 October 2014

Pantulan 60/14: Sajak Zaiton Ajamain, “Reaksi kepada Integrasi”,

Pantulan 60/14: Pengorbanan
Lama berselang baru sekarang muncul semula temanku [Hajah Zaiton Haji Ajamain] Zaiton Ajamain, lewat “Reaksi kepada Integrasi”, Dewan Sastera, Oktober 1993, muka surat 34. Kalau tidak kerana judulnya pemahaman terhadap ciptaan ini akan menagih perahan minda. Dari satu segi penjudulannya telah menjadikan aku teringat kembali peristiwa melibatkan diri dalam program ini ketika masih berkhidmat satu ketika dahulu.
Sayang sungguh temanku pada “Gunung Kinabalu”, “dingin Siasai”, “sejuk Kundasang” tetapi aku mengusap-usap dada lega, kerana demikian menyatanya, “demi kelangsungan hidup dan kehidupan” beliau berangkat juga “ke puncak Ledang” dengan kesebakan tanpa pilihan. Hidup adalah pertarungan. Kecuali melangkah gagah ke medan, menerima “qadak dan qadar”, selainnya adalah kebaculan yang memudaratkan . Dan aku bersyukur pada akhir dan sejajar dengan hakikatnya, beliau mengakui “Realitinya, hidup/bagai masa yang datang dan pergi terus/tiada kembali, /…” dan “Inilah realiti, sulitnya /diredai …” Inilah pendirian paling unggul, sekali gus menjelmakan keperibadian temanku. Pilihan yang bijaksana, dipandui pengalaman yang lama.
ASKAT: Menjadi penjawat yang diamanah memikul sesuatu tanggungjawab atau menjayakan azam negara bukan tidak perlu pengorbanan. Sudah tidak timbul isu tidak mematuhi perintah, kerana prinsip ‘Saya yang menurut perintah’ bermakna mengabdikan diri sepenuh jiwa raga. Ia mengatasi persoalan lebih memberati kesejahteraan diri. Bukan pula tidak ada faedah bakal dinikmati kelak, lebih-lebih lagi golongan terbesar rakyat, jika kita tidak berbelah bahagi ketika berbakti. Rakyat jelata akan mengecapi hasil jerih perih para penjawat tanpa nama ini. Bakti tercurah , di sana atau di sini, sama ertinya, bahkan di tempat baru, mungkin lebih dihargai kerana tepilihnya kita untuk memikul tanggungjawab berkenaan, adalah suatu pengiktirafan kebolehan, pembukaan kesempatan untuk lebih mengendali, dan meninggalkan warisan kewibawaan. Dengan peralihan, pendedahan , dan prestasi yang mengatasi daripada yang telah sedia ditunjukkan, barulah seseorang akan lebih gah lagi terserlah. Beliau tentulah akan sepenuh hati diakui memiliki semua ciri yang disanjungi. Kemudian tidaklah akan tercetus pertelagahan, desas-desus ekoran, lantaran dinobatkan penjawat sejati atau tokoh misali.
— at Dewan Sastera, Oktober 1993.
Mentafsir pertarikhan
Saya telah mengkaji sajak-sajak yang termuat dalam “Puisi Bulan ini”, Dewan Sastera mulai Bil. 1 2014 hingga Bil. 9 2014. Sebanyak 96 buah telah tersiar, dengan bilangan 9 buah paling sedikit dan 13 buah paling banyak jumlahnya, setiap keluaran. Sajak-sajak tanpa tarikh adalah yang terbanyak iaitu 47 buah, dan bakinya itu terdiri daripada yang dicipta pada tahun 2014 sebanyak 8 buah; 2013 sebanyak 31 buah; 2012 sebanyak 6 buah dan bagi tahun-tahun 1991, 1996, 2000, 2009, 2010, dan 2011, masing-masing sebuah. Saya tidak bercadang melanjutkan dari segi tarikh-tarikh puisi-puisi itu dicipta misalnya dari segi haribulan dan bulannya, sungguhpun ada rumusan boleh dibuat jika dilakukan.
Sajak-sajak ciptaan lama yang tersiar saya anggap muncul kerana penyajak-penyajak sendiri memilih untuk mengemukakan pada tarikh-tarikh yang jauh terkemudian daripada ia selesai dicipta. Namun saya kurang pasti sama ada pihak Dewan Sastera masih memiliki puisi-puisi ciptaan tahun-tahun 2013 dan sebelumnya untuk diteliti bagi penerbitan pada keluaran-keluaran akan datang. Oleh kerana sudah tersiar ciptaan-ciptaan tahun 2014, besar kemungkinan tiada lagi tabung sajak yang lebih awal!
Saya juga berpendirian, lebih baik sesuatu ciptaan itu dinyatakan tarikh-tarikhnya walaupun menjangkau tempoh yang lama menyelesaikannya. Ambilah contoh 47 sajak tanpa tarikh itu berbanding , misalnya, sajak-sajak ciptaan-ciptaan, Norazimah Abu Bakar (Air Mata Perempuan Air Mata Kasih) bertarikh 1991; Swanlerd Pro Poul (Benih Tumbuh) bertarikh Mac 1996; Siti Zainon Ismail (Kepada Perempuan Laut) bertarikh 28-29 Mei 2000; A. Ghaffar Ibrahim (Adam Hawa) bertarikh 12 Disember 2012 - 5 Julai 2014. Sebagai peneliti maklumat begini ada keperluan dan kepentingannya.

Pantulan 59/14: Sajak Azmi Yusoff, “Menuju ke Mercu”

Pantulan 59/14: Menggenggam wawasan
Hari ini dikentalkan tekadku untuk berterusan menjunjung panji-panji berkerajaan atau berpemerintahan. Tidak sedikit jasa bakti temanku , Azmi Yusoff melalui sajak setia negaranya, “Menuju ke Mercu”, Dewan Sastera, September 1993, muka surat 31. Tahu benar temanku ini tentang tuntutan atau syarat membina negara “berdaulat”, “watan dirgahayu”. Setiap kalimatnya terpahat syarat , menguntaikan hikmat penentu. Beliau tidak kesipikan, bahawa ada “petualang” dan “penjarah” yang mungkin menggendalakan pencapaian. Sewajarnyalah, mereka tidak boleh dibiarkan merajalela demi mewujudkan “bangsa berwibawa” dan “negara berwijaya”. Aku yakin sajak ini boleh menjadi nyanyian “generasi bermartabat” oleh terserapi madah-madah murni mengandungi matlamat tersurat dan tersirat.
ASKAT: Ketatanegaraan adalah aspek yang agak terpencil bagi dan daripada kebanyakan rakyat umum. Pada hal kalau semua orang tahu faedah dan kepentingannya tidak sukarlah hendak membina negara tercinta ini. Masing-masing akan cekatan berperanan. Hakikatnya, kefahaman tentang tanggungjawab masing-masing telah dipermudahkan, dengan adanya Perlembagaan dan Rukunegara, dan berbagai lagi bersumber daripada itu dan lain-lain yang wujud semenjak dahulu menjadi penyuluh qalbu. Apabila difahami, tentulah tindakan yang kita lakukan dan bakal lakukan sentiasa selaras dengan cita-cita hendak mewujudkan keamanan, kesejahteraan, dan kemajuan terencana. Semua warga negara dapat menikmati sambil saling bekerjasama. Tetapi untuk mencapai yang dinyatakan itu kita sering pula bertentangan pendapat dan tidak sehaluan mengenai dasar, program dan aktivitinya. Masing-masing bertegas mendukung pendirian . Maka, jalan yang dilalui, tangga yang didaki, tidaklah sentiasa lancar, rata tanpa gendala. Pun negara akan terus melangkah maju apabila majoriti tetap rasional dan menyokong yang paling sesuai dengan keperluan negara – mengambil kira kepelbagaian dimensinya.
— at Dewan Sastera, September 1993.

Pantulan 58/14: Sajak Siti Zainon Ismail, “Sebuah Surat”

Pantulan 58/14: Mandiri
Sajak tokoh tersohor, teman fbku yang baru, Siti Zainon Ismail, “Sebuah Surat”, Dewan Budaya, Jilid 1, Bil. 1, Januari 1979, muka surat 24 menggamit santun indera rasaku. (Tentulah kena dan bijaksana ia digandingkan dengan sajak Latiff Mohidin, “Ingatan Adalah Musuhmu Yang Setia”). Sebagai perintis, seharusnya sajak beliau ini disapa setara. Yakinlah, sajak ini, walaupun 35 tahun tercipta, tidak hilang seri oleh sebab lanjut usianya. Membacanya dalam hati, berkali-kali mengusap bestari.
Ingatan tentang persoalan hidup yang serba berkecamuk dan apakah yang bakal berlaku sebagai penyelesaian muktamadnya sentiasa timbul sambil kita melangkahi lebuh usia. Kalau ada pilihan menyelesaikannya sesegeranya tanpa bergantung kepada orang lain maka itu sudah satu kelebihan bahkan tuah yang nyata. Tiada pula ruginya kalau ada orang berwibawa sama membantu menghadapi pancaroba. Maka ringanlah beban dan tentulah akan sentiasa dialu-alukan permuafakatan. Sebesar mana pun persoalan, sangguplah kita diuji. Satu, dua, atau lebih kali. Pun wujud keadaan, persoalan menerpa silih bergantian, namun empunya diri yang harus bertahan, bergumul sendirian tanpa simpati atau belas ehsan. Sungguhlah malang kalau hasrat sering tidak kesampaian oleh kerana pengalaman tidak pernah mencetuskan rangsangan berkongsi atau mengemukakan persoalan di medan luaran lantaran ketiadaan harapan untuk berjaya mengatasi sejak dari awal-awal lagi. Suasana tak berupaya berdikari, beratnya persoalan hadir membebani berbanding kemampuan diri, tentulah akan menimpakan kesayuan tersembunyi, “dengan keinsafan daun-daun luruh/menghentikan impian subuh.”
ASKAT: (Alangkah beruntung kalau dapat bahagia hidup di dunia dan kemudiannya). Aku mengolah rumusan bahawa pendirian seyogia tegas tetapi seharusnya menjunjung menang-menang. Dalam situasi berlainan, teringat kata-kata pujangga, hidup adalah perjuangan. Lalu, bukan hanya satu jalan untuk mencapai cita-cita dan kejayaan bukan hak pihak tertentu sahaja. Dan, begini wajar berterusan menjadi pendirian hidup. Agar bererti.

Pantulan 57/14: Sajak WAHBA, “Di Bawah Bulan”

Pantulan 57/14: Biarlah tanpa jika
Sajak teman fbku WAHBA [Wan Hamzah Awang Wahba], “Di Bawah Bulan”, Dewan Budaya, Disember 1979, termuat bersendirian, tanpa digandingi, dalam satu halaman, iaitu muka surat 40.
Sajak seharusnya memberi kesan – mengikut perasaan pembacanya. Alangkah seronok kalau sekali gus membacanya kita pun faham maksudnya sama ada yang tersurat atau tersirat. Juga, sajak masih ada kesannya kalau bahasa yang tersulam itu sendiri menimbulkan keindahan walaupun maknanya kita tetap tergamam merungkaikannya. Tetapi sajak bukanlah sajak kalau tidak terkambus lapisan ertinya. Ia harus menggera akal mendengus, mengelus, demi semua persoalan yang dicetus akhirnya terhapus. Semoga begitu.
ASKAT: Aku tidak akan meneroka berlebihan …. kecuali memutuskan untuk mengakui bahawa apabila tiada sesiapa mampu menyelamatkan, maka kedukaan yang dialami menjadi tertanggunglah ke atas jemala-jemala para penderita. Memanglah wajar untuk terus berusaha tetapi upaya boleh jadi tidak mencukupi oleh hebatnya persekitaran yang menguasai. Dalam suasana tidak lagi boleh mengharapkan orang lain, akupun tidak tahu mengatasi kecuali berdoa. Semoga kita tidak sering memimpi-mimpikan, lemas dalam dilema atau terampas nikmat mempunyai pilihan lantaran tidak bijaksana.
(Nota: Aku pernah menulis dalam laman fbku, “Pendoa di Bawah Bulan” pada 23 Mac 2013 seperti berikut:
“Kian nyata mendekati/lalu kautadah tanganmu/kehadirat Ilahi/ tanpa kalimat/mengharap mandat/tepat padat.
Aku sanya memerhati/dan tidak menafi/berat berulang lagi.”
— at Dewan Budaya, Disember 1979

Menghening

Menghening
Sambil menunggu-nunggu acara utama semalam, saya berbual-bual santai dengan seseorang yang kebetulan duduk di sebelahku. Beliau ini teriktiraf sebagai tokoh masyarakat. Beliau sering menulis dalam akhbar-akhbar tetapi kebelakangan ini atau sekarang, memberitahuku, mengambil masa rehat lantaran sibuk pula mengendalikan tanggungjawab atau penglibatan yang lain, Tetapi, beliau membayangkan betapa tidak mudah mengusulkan pandangan atau idea penambahbaikan oleh kerana sentiasa ada pandangan lain yang menentang atau tidak sehaluan. Tentulah ada kesan pandangan lain itu terhadap beliau sehingga beliau perlu bertenang menghening untuk “bermuhasabah”.

Pantulan 56/14: Sajak Siti Zaleha M. Hashim, “Senja di Gunung Sepi”

Pantulan 56/14: Setia dibaluti
Melintasi, sajak teman fbku, Siti Zaleha M. Hashim, “Senja di Gunung Sepi”, Dewan Masyarakat, 15 Disember 1978, muka surat 59. Karya gubahan 36 tahun, tidak hilang aromanya sungguhpun terlipat rapi ditindih berjilid koleksi. Tentulah penciptanya sedang mudi berseri tetapi telah cekatan bermain rasa dengan lintuk kata melonta makna berlenggok bahasa bernada hiba mencerna akal pencungkil mutiara. Tidaklah aku bertumpu mentafsir erti tersembunyi. Mencukupi kuluahkan pengakuan murni. Telahku terpikat oleh “setia tiada hujungnya/cuma sepi yang tiada setia.” Ada dua “setia” dan “tiada” pun juga. Satu reka letak bijaksana. Sewajarnyalah kesetiaan berkekalan atau bercukupan lamanya selagi amanah tidak tercula. Biarkan sepi mencengkam duka dan lara sebati di sisi. Sekali lagi, “setia” berkesan sebati dan “sepi” telah dicalari. Betapa kena siratannya.
ASKAT: Hak penyajaklah membicarakan rona-rona kehidupan dalam pengamatan dan pengalaman sendirinya. Dia harus melayani naluri dan mindanya. Jika sekurang-kurangnya dengan demikian ia mengelus-ngelus tangkai rasa atau menjentik minda, wajarlah aku menyebelahi sambil memahami kesan kreativiti pada sekitaran tempat beliau berbakti.
— at Dewan Masyarakat, Disember 1978

Pantulan 55/14: Sajak Jusoff Taib, “Sekadar Kemewahan Musim Sejuk”

Pantulan 55/14: Kekal serupakah?
Inilah sebuah lagi ‘sajak’. Dan aku gembira ia dicipta oleh teman fbku, M Jusoff Taib, berjudul “Sekadar Kemewahan Musim Sejuk”, Dewan Sastera, Julai 1993, muka surat 19. Ternampak olehku beliau menujui kehingaran kegiatan bersastera-sasteraan tanpa impak, tanpa pedulian yang berwibawa. Sungguhpun difikirkan bersungguh-sungguh, direnung teliti dan tajam, semuanya hanyalah cetusan-cetusan yang tak kesampaian, oleh hadirnya kekurangan-kekurangan .
Dan aku tiada akan memilih lain kecuali, “hari-hari kita bersastera/bawa bunga ke bilik-bilik rasa/sepi terbuka pada matahari”. Dan aku bersyukur temanku berhasil menggubah seindah, “kita memikirkan bunga/yang terasing dari/harum budi”.
Aku menjemput penilaian semula dari temanku, yang kuperhati lebih bijaksana dua dekad lebih kemudian, tak kiralah, melalui sebuah lagi puisi atau refleksi bererti lagi bermaknawi.
ASKAT: Mentafsir majlis-majlis yang sering diwarwar, ruang-ruang tak penuh berisi, hadirin yang kelihatan santai jauh dari menghayati, maka kehambaranlah barangkali wajah sejati. Sedangkan medan ini betapa murni, boleh mewarisi dan diwarisi, generasi demi generasi. Sebab kusedari jiwa dan akal budi manusia tercanai mengikat sebati dan seabad bahkan melebihi, dengan patah-patah kata bestari. Dan sajak ada kemampuan menjunjung amanah ini asalkan berseni lagi memanfaati.
— at Dewan Sastera, Julai 1993

Pantulan 54/14: Sajak Shafie Abu Bakar, “Muhasabah di Madrasah Diri dalam Menuruni Usia Setengah Abad”

Pantulan 54/14: Melangkah kembali
Aku memang mencari-cari sebuah sajak teman-teman fbku untuk dipantul seperti lazimnya. Hari ini ketemulah, [Shafie Bin Abu Bakar], Shafie Abu Bakar, “Muhasabah di Madrasah Diri dalam Menuruni Usia Setengah Abad”, Dewan Sastera, Jun 1993, muka surat 29. Tokoh ini bermuhasabah menandakan usia bertambah, “setengah abad”. Sungguhlah, kalau kita sejenak mengingati, “lantas kenangan silam/hadir pada satu titik/mendambakan.” Tiada sesia usaha berfaedah dan syahdu itu kerana sering berakhir dengan cetusan “…keinsafan” dan kemudian, “… menyuluh kegelapan jalan dilalui.”. Betapa penyajak ini menjunjung jasa bakti para guru kerana “mereka adalah sungai-sungai /yang menemukan alur diri/dengan laut tak bertepi”.
Pada sajak ini, terpemanai butiran mutiara di setiap putaran huruf, garis kalimat dan untaian rangkapannya. Inilah yang kita kehendaki daripada menerjuni karya seni. Sebeginilah juga yang banyak kita temui dalam syair-syair para sufi.
ASKAT: Yang paling sukar terjadi ialah membangkit dan memperkukuhkan keinsafan diri terhadap kehonaran yang telah berlaku dan berlalu dalam umbang-ambing penghidupan sambil menghubungjalinkannya dengan letak iman diri semasa dan lorong kembara masa depan, yang tersisa. Kita pernah dinasihati orang bijaksana agar bertaubat nasuha atas keterlanjuran yang kadang-kadang bertahap merajalela. Kesedaran tentang salah langkah, seleweng etika orang beriman lazim berlaku ketika senja akan digelapi . Diakui tidaklah pula demikian itu datang bertandang ketika muda tampan. Bahkan, apabila mencapai dewasa, setengah abad atau sekarang ini, enam dekad lebih bukan jaminan tertuntun sepadan. Ia tidak menjelma tanpa merenung tajam. Pun, tetap bertuah dan bersyukur oleh sesekali mengingati asal diri. Hanya, dikesali tidak pula berterusan ketaqwaan dilanda gangguan hasutan yang kerananya kekadang membantut langkah-langkah murni, terenti tetiba hanya selepas datang sedikit ujian duniawi. Sungguh rapuh benteng imani. Ya, usia ada takah-takahnya. Dan aku sudah melewati yang lazimnya dialami manusiawi.
(Nota: Tidak kujumpa sajak ini dalam kumpulan sajak pertama Shafie Abu Bakar, “Wajah Diri”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995, cetakan pertama).
— at Dewan Sastera, Jun 1993

Pantulan 53/14: Sajak Ahmad Sarju, “Lelaki Tua Itu”

Pantulan 53/14: Mengisar piring rakaman
Sajak “Lelaki Tua Itu”, Dewan Sastera, April 1992, muka surat 33 dicipta oleh teman fbku, Ahmad Sarju ketika beliau baru mencapai usia 50 tahun. Umur yang belum tergolong ‘tua’ semasa ini. Calitan lukisan yang terpapar adalah lakaran kegigihan anak jati tanah ini menghadapi cabaran, mempertahankan “maruah” seorang diri. Tidak mahu hartanya tergadai. Walau dihulurkan “… segumpal umpan/…permata …”, ia tidak gelap mata menerimanya ataumelepaskan pegangan milik warisan.
Ada kata-kata, “dalang”, “petualang”, “maruah”, “cerobohi”, “birokrasi” yang sekali gus mempamerkan isu yang diketengahkan bukan kecil. Ada kelompok tertentu yang terlibat. Masing-masing menegakkan kepentingan sendiri-sendiri. Sanggup diperalatkan demi melayani nafsu jangka pendek kerana kemudian kehilangan hak, tapak dan wajah kejatian.
Membaca lebih dua dekad kemudian, ketahui kita bahawa ketika itu, betapa sudah tiada lagi benteng atau semangat perjuangan kumpulan majoriti, kerana tertonjol jelas “Laki-laki tua itu” bersendirian dalam kedaifannya menyuarakan penentangan. Ia tidak sehaluan atau bersedia tunduk walaupun berusia lagi kian berlanjutan dimamah masa.
Sajak ini dianggap ‘bersejarah’ kerana merakamkan proses perubahan dan tragedi yang melanda anak-anak bumi yang nampaknya tidak mendapat simpati mana-mana pihak pun melindungi sekangkang hak peribadi. Mereka yang lain tidak menyebelahi, bahkan “amanah” telah dikhianati.
Bayangkanlah, ketika itu pun sudah bersendirian menghadapi suasana penglupusan seperti kata Ahmad, “Laki-laki tua itu tetap setia/pada rumah dan tanah moyangnya/pada amanah yang digenggamnya/dengan lidah ia bertahan/hanya dengan lidah.”
ASKAT: Banyak sebab berlaku peristiwa penyahan demikian, sampai segelintir saja masih mempertahankan tanah milik. Sekarang ia sedang berlaku dengan lebih segera. Pemerhati, malah sesiapa pun, boleh melihat senario yang berubahan sepanjang era pembangunan. Di Utara, Selatan, Barat dan Timur berleluasa. Peratusan penduduk mewarnai pertempatan telah berubah dan ada yang baru, berbeza jati diri, menghuni dan yang lama lenyap dari pandangan mata. Berundur kemudian berkubur. Bolehkah fenomena ini ditepis atau disanggah, kalau bukti-bukti adalah keterbalikannya?
(Nota: Sajak ini, dengan pengubahsuaian di sana sini, termuat juga dalam kumpulan puisi, Ahmad Sarju, “Permata Budi”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2007, cetakan pertama, muka surat 63 dengan judul yang berlainan sedikit, “Laki-laki Tua Kita”.
— at Dewan Sastera, April 1992.

Pantulan 52/14: Sajak Rudi Mahmood, “Metempsikosis”,

Pantulan 52/14: Di alam sana
Sajak teman fbku, Rudi Mahmood, “Metempsikosis”, Dewan Sastera, Februari 1992, muka surat 32, bukan boleh dinikmati tanpa memahami istilah-istilah yang digunakan. Bermula dari judulnya lagi sehingga ke akhirnya, aspek ini mencabar kemantapan ruang lingkup dan tingkat kefahaman. Maka perlulah dirujuk kamus untuk mengasaskan diri. Ambillah, misalnya , “kasyaf”, barzakh”, “kosmis”, “kultus”, “logika”, “mikraj”, “mistik”, “mantik”, dan “labirin” .Sekadar dipilih mengikut runtunan darjah penguasaan terhadap istilah-istilah yang jarang digunakan seharian, kerana khusus untuk sesuatu bidang keilmuan.
Tetapi, sejujurnya, seacap mana pun dibaca aku belum sebati dengan maksud atau apa yang dimaknai Rudi, dalam kalimat-kalimat, frasa-frasa, dan perengganan yang dibina beliau, satu demi satu. Namun, ini adalah ‘sajak’. Sayanglah jika ia terbungkus terus. Tambahan lagi, ‘panjang’nya janganlah menafikan hak apresiasi.
Maka, kubocorkan pembalutnya agar kesemerbakan baunya menyelinapi, menyerapi, melelehi alam maya, memanfaatkan pembaca yang rela mencari-cari inti dari usaha-usaha yang bukan sekadar kegianan berpuisi. Jadi, sepertiga untaian atau sekelompok frasa, seberapa barisannya disentuh jua. Agar 23 tahun kemudian pun, boleh ditelaah seperti pada awal tercipta. Agar terbuka minda menimba madu yang terumus hasilan renung mata jiwa. Agar tidak sentiasa sewarna dengan susunan madah lara. Biar benar-benar berfaedah. Bukan kerana asal tersiar, lalu sepadanya.
Ada pengakuan beliau tentang kelemahan diri peribadi untuk mengerti kehidupan alam bukan dunia. Tetapi penerokaan beliau tidak pula sesia. Kesedaran mulai bercambah “…mengirimkan padaku huruf dan angka baru.” Demikian itu tercapai jua oleh kesungguhan waja.
Melangkahi dua bahagian awal, di bahagian 3, beliau ber'sahajalah': “inilah pamabuk-Mu, Allah. Pemabuk yang lenyap/dalam kesedapan-Mu.”
ASKAT: Aku tidak tahu, lagi pun bukan ahlinya, untuk bercerita tentang kehidupan bukan dunia nyata, alam barzakh, alam akhirat, alam syurga dan alam neraka. Mendengar ceramah-ceramah, membaca buku-buku dan seumpamanya membantu pemahaman pada peringkat paling asas sambil mengakui bahawa Allah subhanahu wataala sahajalah lebih mengetahui. Segala-galanya, termasuk alam-alam itu. Pun, tingkat usaha, ilmu pengetahuan, pengamatan, amalan harian di kalangan kita tetap akan membezakan kefahaman tentangnya. Dipersilakanlah menggali erti tersembunyi.
— at Dewan Sastera, Februari 1992.

Pantulan 51/14: Sumbangsih

Pantulan 51/14: Sumbangsih
Mendedikasikan hasil karya kepada seseorang adalah satu penghormatan, penghargaan, kenang-kenangan, pengabadian perasaan, pesanan azimat, dan pada umumnya, bermaksud yang baik-baik jua. Dalam kehidupan yang masih berterusan (Alhamdulillah kita bersyukur), kembaraan kita tidak sentiasa tanpa dugaan. Yang Maha Berkuasa adalah Maha Penyayang dan Maha Mengasihani …. Tidaklah pula orang yang tidak teruji lebih tahu cabaran itu berbanding dengan yang mengalami sendiri. Pun, pengalaman membekalkan mata perasaan yang membentuk inti sari reaksi atau apresiasi terhadap latar belakang seseorang peribadi dalam tindakan atau pendirian, akibat peristiwa yang mempengaruhi fasa-fasa penghidupannya.
Kita nampak impak peristiwa kematian ahli keluarga. Kita lihat tepuan azam sama-sama mendepani kancah, gelombang, badai di hadapan. Kita berasa muafakatan keluarga mendokong cita-cita. Eratnya satu keluarga yang tidak tenggelam lemas walau betapa derita sanubari, timbul menghadiri. Yang menyata adalah keprihatinan, kecintaan, pengharapan, untuk terus mensyukuri anugerah, sedang kesempatan terluang. Tentulah semua itu dipintal dengan rumbuan doa selaku insan bertakwa.
Kupamerkan penghargaan ‘pengabadian’, sebagai tersempurnai teman fbku Y. Bhg. Dato' Dr. Mohd Mansor Abdullah, senyatanya.
ASKAT: Setinggi-tinggi penghargaan atas pemberian berupa kumpulan sajak mengandungi 73 buah ciptaan antara tahun 1974 hingga 2010 , M. Ashikin, “Lembah Damai”, Institut Terjemahan & Buku Malaysia, 2014. Bolehlah aku menikmatinya sambil terus membelek-belek koleksi lamaku serentak melangkahi denai persaraan ini.

Memahami “tamadun” dan “peradaban”

Memahami “tamadun” dan “peradaban”
Di majlis wacana kelmarin, mendengar tafsiran Mohd Nor Abu Ilham tentang “civilization” yang dalam bahasa Melayu memiliki dua istilah iaitu “tamadun” dan “peradaban”. Bagi beliau, dua istilah itu ada perbezaannya sungguhpun umum lebih menyamakan kedua-duanya. Bersumber beliau, yang dapat saya garap, “tamadun” itu berisi atau berlandas keagamaan sedangkan “peradaban” pula tanpanya.
Dari satu dimensi yang lain, kebetulan, belekan hari ini melintasi “Daripada Editor, Perihal Tamadun Melayu”, Jurnal Bahasa, September 1989, muka surat 566-567, ditulis oleh Aminah Harun. Beliau merujuk Kamus Dewan (1984), Oxford English Dictionary dan Longman Dictionary of Contemporary English untuk memahami istilah “tamadun” dan “peradaban”. Berdasarkan rujukan itu beliau merumuskan editorial itu, “…Walau bagaimanapun bijaksana atau berilmu seseorang itu, tetapi selagi ia hanya memaparkan kebijaksanaan dan keilmuannya itu melalui bahasa pertuturan sahaja, orang itu belumlah dapat dianggap ‘bertamadun’./Hal inilah yang harus kita sematkan ke dalam dada kita pada bila-bila masa pun dan seterusnya berusaha mengisi tamadun bangsa kita melalui bahasa tulisan yang baik, maju lagi canggih.”
ASKAT: Sewajarnya, orang yang “bijaksana” dan “berilmu” cekatan berlisan setanding bertulisan.
(Nota: Persidangan Antarabangsa Tamadun Melayu ke II diadakan pada 15 hingga 20 Ogos 1989 di Kuala Lumpur)

“Tujuh Puluh Lima Tahun Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan"

Kompetensi?
Saya membaca, Abdul Razak Mahmud, “Tujuh Puluh Lima Tahun Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (5)”, “Sedikit Mengenai Pejabat Menterjemah Kitab”, Pengasuh, bilangan 513, Julai-Ogos 1991, muka surat 4-7, 11. Beliau membuat kesimpulan: “Sesungguhnya kita telah kehilangan banyak masa, tenaga dan wang bagi kerja-kerja yang kemudiannya ternyata tidak menjadi ini. Setakat ini, bolehlah disebut di sini, bahawa tujuan Majlis dalam bidang yang satu ini telah gagal; Pejabat Terjemahan yang ditubuhkan seawal 1916 terpaksa dibubarkan, tenaga penterjemah dipindah ke jawatan lain dan buku-buku yang telah siap diusahakan tinggal tidak bercetak dan kini hilang begitu saja.”
 — at Pengasuh, Bilangan 513, Julai-Ogos 1991

Pantulan 50/14: Sajak Azmi Yusoff, "Tasbih Lirih di Dire Dawa”

Pantulan 50/14: Sampai pupus
Aku membelek sampai meleret ke lembah derita mangsa peperangan yang ber“Tasbih Lirih di Dire Dawa”, Dewan Sastera, November 1991, muka surat 34, melalui pena teman fbku, Azmi Yusoff.
Kesejagatan penderitaan, semenjak dahulu, berterusan bahkan lagi terbukti kini. Kelaparan, kebuluran, pengabaian, keterbiaran menular, tiada upaya mengelakkan. Kematian di mana-mana. Tanpa hentinya diberitakan. Terpapar menjadi persoalan biasa tiada pun mengusik rasa kemanusiaan. Namun pengharapan sebenarnya tetap ada di kalangan penderita-penderita walaupun berakhir pada hakikatnya yang paling munasabah iaitu suatu pangakuan tentang “tapak asa semakin haus” . Jadi, tawakal bukan lagi tuntutan sebab persengkitaan akan terus bercorak berhabis-habisan dan gambaran tragedi yang tersaksi tanpa terselindung itu sudah bukan berharapan kembali beransur pulih. Kemusnahan adalah kenyataan yang tidak lagi dinafikan atau diketepikan sebagai penyudah muktamad daripada ledakan benci, dendam kesumat berabad atau oleh pertimbangan singkat. Yang telah terbukti benar dan yang akan berlaku ialah peranapan dan pelupusan, saat demi saat yang sedang berdetikan. Dalam suasana begini, haruskah ada doa?
ASKAT: Simpati tidak menyelesaikan dan ingatan tidak kekal. Putaran peristiwa serupa berlaku pasti. Maka terjadilah semua yang terjadi , senggang bersenggang untuk semua generasi mengakui suatu proses penghancuran oleh sebab manusia tidak boleh berdamai dan berkongsi di bumi, dan kesamarataan bukan boleh wujud abadi.
(Nota: Rujuk juga, kumpulan puisi “Mengemam Jadam”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1994, muka surat 72, yang memuatkan sajak yang sama)
— at Dewan Sastera, November 1991.