Pantulan 57/14: Biarlah tanpa jika
Sajak teman fbku WAHBA [Wan Hamzah Awang Wahba], “Di Bawah Bulan”, Dewan Budaya, Disember 1979, termuat bersendirian, tanpa digandingi, dalam satu halaman, iaitu muka surat 40.
Sajak seharusnya memberi kesan – mengikut perasaan pembacanya. Alangkah seronok kalau sekali gus membacanya kita pun faham maksudnya sama ada yang tersurat atau tersirat. Juga, sajak masih ada kesannya kalau bahasa yang tersulam itu sendiri menimbulkan keindahan walaupun maknanya kita tetap tergamam merungkaikannya. Tetapi sajak bukanlah sajak kalau tidak terkambus lapisan ertinya. Ia harus menggera akal mendengus, mengelus, demi semua persoalan yang dicetus akhirnya terhapus. Semoga begitu.
ASKAT: Aku tidak akan meneroka berlebihan …. kecuali memutuskan untuk mengakui bahawa apabila tiada sesiapa mampu menyelamatkan, maka kedukaan yang dialami menjadi tertanggunglah ke atas jemala-jemala para penderita. Memanglah wajar untuk terus berusaha tetapi upaya boleh jadi tidak mencukupi oleh hebatnya persekitaran yang menguasai. Dalam suasana tidak lagi boleh mengharapkan orang lain, akupun tidak tahu mengatasi kecuali berdoa. Semoga kita tidak sering memimpi-mimpikan, lemas dalam dilema atau terampas nikmat mempunyai pilihan lantaran tidak bijaksana.
(Nota: Aku pernah menulis dalam laman fbku, “Pendoa di Bawah Bulan” pada 23 Mac 2013 seperti berikut:
“Kian nyata mendekati/lalu kautadah tanganmu/kehadirat Ilahi/ tanpa kalimat/mengharap mandat/tepat padat.
Aku sanya memerhati/dan tidak menafi/berat berulang lagi.”
No comments:
Post a Comment