Pantulan 52/14: Di alam sana
Sajak teman fbku, Rudi Mahmood, “Metempsikosis”, Dewan Sastera, Februari 1992, muka surat 32, bukan boleh dinikmati tanpa memahami istilah-istilah yang digunakan. Bermula dari judulnya lagi sehingga ke akhirnya, aspek ini mencabar kemantapan ruang lingkup dan tingkat kefahaman. Maka perlulah dirujuk kamus untuk mengasaskan diri. Ambillah, misalnya , “kasyaf”, barzakh”, “kosmis”, “kultus”, “logika”, “mikraj”, “mistik”, “mantik”, dan “labirin” .Sekadar dipilih mengikut runtunan darjah penguasaan terhadap istilah-istilah yang jarang digunakan seharian, kerana khusus untuk sesuatu bidang keilmuan.
Tetapi, sejujurnya, seacap mana pun dibaca aku belum sebati dengan maksud atau apa yang dimaknai Rudi, dalam kalimat-kalimat, frasa-frasa, dan perengganan yang dibina beliau, satu demi satu. Namun, ini adalah ‘sajak’. Sayanglah jika ia terbungkus terus. Tambahan lagi, ‘panjang’nya janganlah menafikan hak apresiasi.
Maka, kubocorkan pembalutnya agar kesemerbakan baunya menyelinapi, menyerapi, melelehi alam maya, memanfaatkan pembaca yang rela mencari-cari inti dari usaha-usaha yang bukan sekadar kegianan berpuisi. Jadi, sepertiga untaian atau sekelompok frasa, seberapa barisannya disentuh jua. Agar 23 tahun kemudian pun, boleh ditelaah seperti pada awal tercipta. Agar terbuka minda menimba madu yang terumus hasilan renung mata jiwa. Agar tidak sentiasa sewarna dengan susunan madah lara. Biar benar-benar berfaedah. Bukan kerana asal tersiar, lalu sepadanya.
Ada pengakuan beliau tentang kelemahan diri peribadi untuk mengerti kehidupan alam bukan dunia. Tetapi penerokaan beliau tidak pula sesia. Kesedaran mulai bercambah “…mengirimkan padaku huruf dan angka baru.” Demikian itu tercapai jua oleh kesungguhan waja.
Melangkahi dua bahagian awal, di bahagian 3, beliau ber'sahajalah': “inilah pamabuk-Mu, Allah. Pemabuk yang lenyap/dalam kesedapan-Mu.”
ASKAT: Aku tidak tahu, lagi pun bukan ahlinya, untuk bercerita tentang kehidupan bukan dunia nyata, alam barzakh, alam akhirat, alam syurga dan alam neraka. Mendengar ceramah-ceramah, membaca buku-buku dan seumpamanya membantu pemahaman pada peringkat paling asas sambil mengakui bahawa Allah subhanahu wataala sahajalah lebih mengetahui. Segala-galanya, termasuk alam-alam itu. Pun, tingkat usaha, ilmu pengetahuan, pengamatan, amalan harian di kalangan kita tetap akan membezakan kefahaman tentangnya. Dipersilakanlah menggali erti tersembunyi.
No comments:
Post a Comment