Thursday 30 June 2016

Fragmen Memoir – Balik kampung (9)

Fragmen Memoir – Balik kampung (9)
Dalam majlis itu, aku merakam penghargaan yang tinggi lagi tulus terhadap pendekatan yang diperkenalkan oleh Azizan. Aku menjadi sebak, teresak-esak, sehingga menggigil-gigil tidak dapat mengawal emosi. Ucapan terhenti pada ketika-ketikanya. Sungguh di luar jangkaan. Penghargaan terima kasih terutama kepada beliau sekali gus sebenarnya suatu peluahan tidak langsung kekesalanku yang spontan mercup tanpa terbendung lagi. Betapa dalam sebahagian masa berkhidmat di situ tertekan oleh keprihatinan membereskan satu tanggungjawab yang beratnya hampir-hampir tidak pula diketahui oleh ramai yang lain. Mereka tidak mengetahui penangan tugas-tugas itu kerana mereka tidak berpengalaman melaksanakannya sendiri. Pengalamanku itu dirumuskan, walaupun tidak tepat, seakan maksudnya “orang yang makan cabai sahajalah menderita kepedasan”. Memang pengalaman di sini teramat ‘pedas’. Orang lain menjangkakan urusan berterusan terkendali selesa. Sewajarnya sentiasa lancar dan terkawal.

Fragmen Memoir – Balik kampung (8)

Fragmen Memoir – Balik kampung (8)
Perubahan drastik berlaku apabila Timbalan Pengarah bertukar. Sebahagian tugas-tugas yang selama ini di bawah MZbM terpindah ke bawah bidang tugas seorang Timbalan Pengarah yang lain, Azizan bin Ayob. Di bawah Azizan, sekelompok fail dipertimbangkan serentak. Secara bersidang. Penolong Pengarah membentang, aku, sebagai ketua cawangan, mengulas berdasarkan pengalaman, kajian sendiri dan perbandingan bersesuaian. Timbalan Pengarah memutuskan berdasarkan merit setiap argumen, bukti-bukti yang diberikan ditambah pula budibicaranya. Pendekatan ini lebih cekap lagi meringankan. Masa sangat banyak terjimat dan keputusan lebih sepakat kerana berdasarkan perbincangan langsung atau bersemuka. Tidak secara masing-masing menganalisis fail secara yang berasingan atau bersendirian. Pasukanku merasai kelegaan terlepas dari jerat yang tak kentara tapi membelenggu minda. .

Tuesday 28 June 2016

Fragmen Memoir – Balik kampung (7)

Fragmen Memoir – Balik kampung (7)
Kerja-kerja yang ‘membebankan’ itu seolah-olahnya tidak bermusim. Ia hampir sepanjang tahun. Dari setahun ke setahun. Pada tiga tahun pertama pengendaliannya berbeza berbanding selepasnya. Isu pelanjutan cuti belajar bergaji penuh dengan biasiswa di kalangan pegawai yang mengikuti pengajian di Amerika Syarikat adalah kerap lagi memenatkan. Untuk memperakukan sama ada permohonan lanjutan kemudahan itu diluluskan atau sebaliknya mengambil masa yang tidak sedikit. Aku perlu meneliti kajian dan perakuan penolongku. Hampir setiap fail yang sampai di meja perlu kajian yang berlainan. Masing-masing dengan pekuliaritinya. Proses ini disusuli dengan penulisan minit bebas atau analisis diangkat untuk pertimbangan Timbalan Pengarah. Satu demi satu fail diselesaikan secara berasingan. Bergilir-gilir. Itulah stail pengurusan tempoh awalan selama aku di situ.

Fragmen Memoir – Balik kampung (6)

Fragmen Memoir – Balik kampung (6)
Cawangan Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) mengadakan majlis jamuan perpisahan pada hari Selasa, sebelah petang, hari terakhirku di situ. Hadir sama ialah ketuaku, Azizan bin Ayob, Timbalan Pengarah BLKK. Seperti lazimnya, aku diminta berucap sepatah dua sempena pertukaran. Aku sudah kurang ingat semua perkara yang sebenarnya terluncur. Tetapi aku tidak boleh lupa beberapa perkara. Selayaknya aku berterima kasih kepada semua pegawai dan staf secawangan. Aku mengimbau kehadiran dan kebersamaan dengan mereka bertungkus lumus memikul amanah. Tidak boleh pula kusembunyikan daripada meluahkan keperitan mengendalikan tugas-tugas pengurusan Hadiah Latihan Persekutuan terutamanya. Inilah tanggungjawab yang menjadikan aku dan seorang dua pegawai dan pembantuku sering balik lewat bahkan sampai melampaui tengah malam. Aku sendiri hampir setiap hari membawa kerja sampai ke rumah. Dan bersambung lagi di pejabat selepas itu. Demikian sudah jadi rutin.

Fragmen Memoir – Balik kampung (5)

Fragmen Memoir – Balik kampung (5)
Aku menghubungi Hamzah bin Hj. Ghazali, Ketua Penolong Pengarah di Unit Gunasama, Bahagian Perkhidmatan, JPA. Kami agak mesra kerana pernah bertugas sepejabat di Cawangan Naik Pangkat dan Tatatertib, Bahagian Perkhidmatan pada awal tahun 1980-an. Kuberitahu tentang hasratku untuk bertukar keluar dari Kuala Lumpur. Sambil itu kurisikkan juga luang untuk pulang ke ‘kampung’. Hamzah memberitahu bahawa kebetulan ada kekosongan jawatan di Terengganu, di Pejabat Kemajuan Negeri. Dia memang tahu aku berasal dari Terengganu lalu disyorkan untukku . Jawatannya pun setaraf dengan jawatan hakikiku. Betapa kena masanya. Benar-benar ini suatu kesempatan yang sukar diperolehi untuk bertugas di negeri sendiri. Lebih penting lagi, sambil menyelesaikan satu masalah peribadi yang lain. Seharusnya tidak dilepaskan. Aku menyanggupi syor beliau.
Hamzah menandatangani "Pemberitahu Pertukaran P.T.D. T/K Bil. 111/88" bertarikh 15 Mac 1988. Dalam surat itu tercatat:
“Encik Ahmad bin Said, P.T.D. Tingkatan Tertinggi ‘G’, Ketua Penolong Pengarah, Latihan Dalam Negeri, Bahagian Latihan dan Kemajuan Kerjaya, Jabatan Perkhidmatan Awam, P.T.D. Tingkatan tertinggi ‘G’ ditukarkan sebagai Timbalan Pegawai Kemajuan Negeri Terengganu, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri, P.T.D. Tingkatan Tertinggi ‘G’.”
Pertukaran ini berkuatkuasa mulai dari 1 April 1988.

Fragmen Memoir – Balik kampung (4)

Fragmen Memoir – Balik kampung (4)
Terlintas juga di fikiranku kebimbangan. Bolehkah aku melaksana tugas-tugas baru itu sebaik yang telah kulakukan dalam jawatan sekarang? Bidang kemahiranku ini tergolong dalam bidang pengurusan sumber manusia dan pengurusan organisasi. Di pejabat aku sudah dikenali sebagai penjawat yang berprestasi tinggi. Aku telah dipilih sebagai Penerima Anugerah Khidmat Cemerlang, BLKK dua tahun, bagi tahun 1984 iaitu tahun mula-mula ditempatkan, dan tahun 1986. Aku pernah dicalonkan bertanding sebagai Tokoh JPA 1987. Aku percaya setelah memasuki tahun keempat di situ wajarlah tidak statik sumbanganku. Aku yakin penilaian prestasi tahun 1987 kelak lebih memberangsangkan! Aku membayangkan akan terpilih menerima AKC kali ketiga pada tahun 1988, jika aku memilih berterusan di situ.
Sedangkan kerja-kerja yang tergolong dalam pengkhususan pembangunan hanya kuceburi semasa mula-mula dilantik. Itu pun tidak sampai setahun. Bolehkah aku melakukan secemerlang itu juga dalam bidang pengkhususan yang berlainan, bidang pembangunan, dan dalam sekitaran yang jauh berbeza? Sekiranya gagal menyerlah, kerjayaku akan terjejas. Prestasi yang merudum sangat perlu dielakkan. Itu sudah jadi pegangan peribadi. Risikonya serius. Aku akan ketinggalan dalam pertimbangan untuk kenaikan pangkat. Kesannya sepanjang hayat kerjaya. Aku tahu benar sebab pernah mengendalikan sendiri tugas-tugas kenaikan pangkat dan rayuannya di Bahagian Perkhidmatan dahulu.
(Catatan: Gambar hiasan dipetik daripada “Chenderamata Pertabalan”, tanpa tarikh)

Fragmen Memoir – Balik kampung (3)

Fragmen Memoir – Balik kampung (3)
Aku juga bertanyakan Abdul Karim bin Abdullah Omar, ketika itu Pegawai Kemajuan Negeri Selangor. Sebelum itu beliau menjawat jawatan Pegawai Kemajuan Negeri Terengganu untuk beberapa tahun. Kami saling mengenali ketika sama-sama di Bahagian Perkhidmatan, JPA suatu ketika dahulu; beliau mengetuai Cawangan Tatatertib dan aku menjawat Ketua Penolong Pengarah, Cawangan Naik Pangkat. Dia menyokong. Negeri Terengganu tempat yang baik untuk mencari pengalaman baru. Kelainan bidang tugas diakui mencabar tetapi, mengenali perwatakanku, dalam jangka masa yang singkat dia yakin aku boleh menyesuaikan diri.
Kebetulan pula, salah seorang penolongku, Izhar, pernah bertugas di Pejabat Kemajuan Negeri Sembilan, sebelum ditempatkan di Bahagian Latihan. Beliau juga kuusuli untuk mendapat maklumat tambahan. Selaku Penolong Pegawai Kemajuan Negeri, Tingkatan Biasa, tugas-tugasnya tentulah tidak jauh bezanya dari segi ruang lingkupannya. Perbezaan hanya dari segi bidang kuasa, jaringan kawalan dalam pejabat, dan keinteraksian antara jabatan, berbanding seorang pegawai yang bertaraf jawatan Tingkatan Tertinggi ‘G’, iaitu taraf jawatan hakikiku.

Fragmen Memoir – Balik kampung (2)

Fragmen Memoir – Balik kampung (2)
Aku meninjau-ninjau pandangan beberapa orang lain tentang maksudku itu. Salah seorang yang kujumpa ialah Dr. Shamsuddin bin Kassim, Pengarah BLKK, tempat aku bertugas. Beliau kukenali baik. Kami pun tinggal sekampung, di Kampung Tunku. Secara terus-terang beliau tidak menyokong pertukaran kalau maksudku untuk berkhidmat di kementerian. Baginya tempat bertugas sekarang di JPA lebih baik lagi strategik. Kata beliau, “Jabatan ini sebuah Agensi Pusat. Kita adalah di tengah-tengah aksi peristiwa yang berlaku. Kita boleh mempengaruhi ‘outcome’nya.” Tetapi jika maksudnya mendapatkan pengalaman yang jauh lebih berlainan daripada yang sedang dilaksanakan, apalagi di peringkat negeri beliau tidak keberatan. Tambahan pula, beliau bersimpati dengan masalah peribadi yang dialamiku sekeluarga.

Thursday 23 June 2016

Fragmen Memoir – Balik kampung (1)

Fragmen Memoir – Balik kampung (1)
Aku mengetahui masalah utama yang dihadapi ialah kemajuan persekolahan LH, anak sulungku yang hiperaktif serentak autistik itu. Ketika belum mencapai umur persekolahan, kami suami isteri bertungkus-lumus lebih lima tahun mengendalikannya. Demikian sejak beliau sudah mulai berjalan dan berlari. Gejala yang dihadapi bukan boleh diubati sekelip mata. Tiada penawar jangka pendek. Ia kian meruncing sementelahan jika diabaikan. Jelas benar sangat sukar diatasi.
Jalan yang terbuka hanya dengan cara kami berpindah ke luar dari Kuala Lumpur. Sekurang-kurangnya masalah itu boleh diredakan. Kesebukan dan tekanan melayari kehidupan di kotaraya lebih menambah parah masalah. Anak itu perlu sekitaran yang lebih mesra lagi simpatatik.
Pandanganku disepakati isteriku. Beliau telah menanggung tanggungjawab yang lebih daripada wajar. Bertahun-tahun mengharungi pancaroba. Kami harus meninggalkan rumah sendiri di Petaling Jaya. Itulah yang terfikir satu-satunya cara terbuka. Di tempat baru kelak kami boleh meneroka kaedah lain menyelesaikannya. Itu memang tekad kami.

Tuesday 21 June 2016

Fragmen Memoir – Melangkah pergi (3)

Fragmen Memoir – Melangkah pergi (3)
Seronok juga menerima perutusan tahniah daripada beberapa individu. Seorang, Datuk Abu Talib bin Haji Harun, Ketua Tim Nukleus, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, bertarikh 23 Disember 2004, meniup semangatku dengan “ucapan setinggi-tinggi tahniah atas pelantikan tuan sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri berkuatkuasa pada 11 Disember 2004./ Pada kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada tuan dalam memberi sokongan dan nasihat dalam menubuhkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia khasnya dari aspek Sumber Manusia dan Perkhidmatan./ Sesungguhnya pelantikan serta kenaikan pangkat tersebut merupakan pengiktirafan tertinggi kepada tuan atas perkhidmatan yang telah dicurahkan kepada Perkhidmatan Awam Malaysia khasnya dan kepada Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik.”
Dalam perutusan bertarikh 30 Disember 2004, Dato' Abdul Wahab Mulajat menulis, “Sesungguhnya pelantikan tersebut amat bertepatan sekali dan semoga tuan akan terus dapat memberi sumbangan yang terbaik kepada Jabatan.”
Dan, yang cukup menyentuh perasaanku, daripada seorang pegawai bawahan yang kutahu berdedikasi lagi cemerlang prestasinya, Wan Khairil Anwar bin Wan Muhammad, menulis sambil menganalisis, “Tahniah atas kenaikan pangkat tuan. Berkat kerja kuat, kesabaran dan bersangka baik terhadap-Nya. Selamat Maju Jaya.” Aku tahu dia memperhatikan tindak-tanduk dan kelibatku selama kami sama-sama berkongsi satu pejabat, walaupun memikul bidang tugas yang sedikit berlainan.

Fragmen Memoir – Melangkah pergi (2)

Fragmen Memoir – Melangkah pergi (2)
Aku sungguh-sungguh bersyukur. Sebagai peluahan rasanya, aku telah menulis surat-surat terima kasih dan keterhutangan budi kepada beberapa individu. Semua surat itu bertarikh sama, 22 Disember 2004.
Kepada Tan Sri SbinO, Ketua Setiausaha Negara, kutulis, “Dengan penuh takzimnya saya merakamkan rasa syukur di atas keyakinan dan persetujuan Y.Bhg. Tan Sri memperakui pemangkuan saya di jawatan yang sangat penting dan bertanggungjawab besar dalam hal ehwal pemantauan projek-projek pembangunan lima tahun Malaysia. Sesungguhnya penempatan saya ke jawatan sekarang memberi peluang untuk saya terlibat semula dalam pengkhususan kerja yang telah saya ceburi dan amat minati sebelum berkhidmat di Jabatan Perkhidmatan Awam.”
Mereka yang lain, Tan Sri J, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Dato' AWbinM, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), JPA dan Datin HbtAT, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) pun mendapat surat yang mengandungi isi yang sama, dengan sedikit ubahsuaian di sana di sini.

(Fragmen Memoir – Melangkah pergi)

(Fragmen Memoir – Melangkah pergi)
Kini usiaku mencapai 53 tahun.
Aku mengira-ngira antara 1 Julai 2004 hingga 11 Disember 2004, tempohnya 6 bulan 10 hari atau 163 hari. Keresahan selama itu, campur lagi sebulan dua sebelumnya baru terlerai dengan kenyataan dialami di depan mata. Aku benar-benar mendapat surat arahan pertukaran. Kepuasan memekar dalam hati.
Hari terakhir di Cawangan Skim Perkhidmatan ialah 10 Disember 2004. Datin Habibah, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) telah menandatangani Sijil Penghargaan merakamkan “jasa bakti berkhidmat”ku selama enam tahun 1 bulan 10 hari di situ. Tetapi jawatan Pengarah BPO masih belum diisikan.
Maka beredarlah aku. Kutinggalkan kedinamikan kerja-kerja penggubalan skim perkhidmatan seluruh sektor awam. Banyak bekas bertebaran di serata tingkat dan ruang pejabat itu. Aku percaya bekas-bekas itu bahkan terpercik ke tempat-tempat lain juga. Di serata tanah air. Barangkali kalau mahu dicatat, 1,000 halaman tidak mencukupi untuk merakamkan kenangan selama mendedikasikan perkhidmatan di situ. Lebih banyaknya, indah-indah sahaja! Penuh sejarah tentang usaha-usaha penambahbaikan dan pemudahcaraan.
Perskiman bukan kerja-kerja sambil lewa. Banyak pemikiran, kemahiran, masa dan tenaga dituntutnya. Bersama-sama pegawai-pegawai lain aku telah menyemai benih-benih, mendasarkan tapak-tapak, sambil menanam tiang-tiang bagi menopang skop bidang tugasnya yang sebenarnya anjal itu.
Aku telah juga mewariskan para pendukungnya. Aku yakin mereka berupaya mengembangkan apa yang kutinggalkan. Nota Serah Tugas kusediakan setebal 52 halaman. Lampirannya pula setebal 31 halaman. Dokumen itu unik. Tidak mengikut format biasa. Sangat tidak konvensional. Ia suatu ‘memoir’ pengalaman diri selama memikul amanah di situ. Semoga Cawangan bertambah mantap; muncul menyerlah mewajarkan kewujudannya. Semoga, perskiman perkhidmatan tidak lagi kelihatan selekeh, dianggap remeh, sedikit terabai dan terkitar-kitar di belakang tabir.

Saturday 18 June 2016

(Fragmen Memoir – Tak jadi (16) sambungan)

(Fragmen Memoir – Tak jadi (16) sambungan)
Sedangkan pertukaran terawang-awangan menyata kini. Dan aku tidak pula boleh dianggap ketinggalan. Dari segi masa terkelompok antara segelintir yang terawal. Dari segi kekananan melangkau sebahagian besar yang seusia. Ramai lagi yang seangkatan tercorot, memintal idam. Rupa-rupanya terkedepan juga aku di kalangan pegawai selantikan. Jawatan yang dicamkan bukan pula kurang wibawa. Ini jawatan Timbalan Ketua Pengarah. Jabatannya pula ICU. Orang kerajaan ramai tahu letak duduknya. Dalam memoriku pula ia jabatan istimewa. Inilah jabatan pertama kukhidmati ketika memasuki perkhidmatan PTD lebih tiga dekad lalu. Begitu gah namanya dahulu. Ia masih begitu. Tetap menguja minda.
Aku sempat mengalami kepemimpinan Dato' Tunku Shahriman Sulaiman, Dato' Sapian Abdul Majid yang menjadi ketua pengarahnya berturutan ketika tahun-tahun 70-an itu. Timbalan-timbalan Ketua Pengarahnya pun, Clifford F. Herbert dan Dr. Mohd. Iwaz Karim dikenali seluruh perkhidmatan. Sudah dua kali aku masuk dan keluar bertugas di situ. Dan kini, aku pula bakal menjadi orang kedua utamanya, di bawah Ketua Pengarah. Sambil menyandang jawatan Gred Utama B. Aura lama jawatan itu kukira tetap kekal terpelihara. Aku bersyukur ke hadhrat Ilahi.

(Fragmen Memoir – Tak jadi (15) sambungan)

(Fragmen Memoir – Tak jadi (15) sambungan)
Bakal bidang tugas itu tidaklah pula asing sama sekali bagiku. Aku pernah terlibat melaksanakan tugas-tugas sedemikian pada peringkat pengurusan bawahan dan pertengahan. Ternyatalah pengalamanku selama 11 tahun di ICU; di ibu pejabat, di negeri Terengganu dan negeri Pulau Pinang berharga. Begitu juga tempoh dua tahun di Bahagian Kemajuan Wilayah Persekutuan dan Perancangan Lembah Klang menambah kuat lagi kredibiliti. Aku sudah pernah menjawat timbalan ketua pejabat. Aku sudah dua kali menjadi ketua jabatan di pejabat-pejabat peringkat negeri. Pengalaman dan latar belakang itu tentu mencukupi sebagai persediaan bagi memikul jawatan di Jabatan Perdana Menteri itu.
Bukan tidak seronok meneruskan perkhidmatan sebagai pegawai kanan di JPA. Di situ aku berkhidmat dengan selesanya selama ini. Terlintas juga, “Apalah sangat nilai tambahnya bertukar. Bukankah jabatan itu jauh berbeza. Kautahu sekitaran pekerjaan sama sekali berlainan berbanding sekitaran kerja di JPA?”
Ttetapi, aku benar-benar tidak kecewa. Ketua Perkhidmatan sendiri menentukan jawatan kenaikan pangkat yang paling sesuai untukku. Kalau aku sendiri yang diminta membuat pilihan tentulah aku menghadapi dilema.

Friday 17 June 2016

Fragmen Memoir – Tak jadi (14) sambungan)

Fragmen Memoir – Tak jadi (14) sambungan)
Dalam diariku tercatat, “Ulang tahun ke-6 di JPA” pada tarikh 1 Oktober 2004. Ketika itu aku sudah 30 tahun 3 bulan dalam perkhidmatan.
Pada masa yang sama perkembangan lain berlaku. Perubahan tampuk menyandang jawatan sentiasa terjadi. Di mana-mana. Tidak terkecuali juga dalam perkhidmatan awam. Sampai masa seseorang pegawai bersara dan serentak itu datang pula penggantinya. Betullah, patah tumbuh hilang berganti!
Pada 7 Disember 2004 aku dipanggil berjumpa Tan Sri Jamaluddin bin Ahmad Damanhuri, Ketua Pengarah di bilik beliau. Hebat juga rahsia ini tersimpan. Baru hari ini aku diberitahu secara rasmi. Bahawa keputusan telah dibuat menempatkanku mengisi kekosongan jawatan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Unit Penyelarasan Pelaksanaan, di Jabatan Perdana Menteri. Penyandangnya, Datuk Md Sani bin Adam mulai bersara pada 11 Disember 2004. Tan Sri Jamaluddin memaklumkan, beliau meneliti latar belakang penempatanku sebelum ini serta mengambil kira juga tempoh penempatanku di BPO. Pada hemat beliau adalah lebih baik aku ditukar keluar daripada JPA, berubah angin mendepani suasana yang berbeza daripada apa yang sedang dikendalikan.

Thursday 16 June 2016

(Fragmen Memoir – Tak jadi (13) sambungan)

(Fragmen Memoir – Tak jadi (13) sambungan)
Masa beredar jua.
Dalam pada itu, salah seorang ‘pakar’ JPA yang kusebutkan itu juga akan bertukar keluar untuk menyandang jawatan Gred Utama B. Beliau bakal menjawat Setiausaha, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam. Secara perbandingan, beliau adalah rakan satu sekolah semasa di Tingkatan Enam tetapi beliau lebih tua setahun dariku sebaliknya lebih junior pula dalam perkhidmatan PTD, setahun. Pada peringkat Gred Utama C beliau dan aku diberi tarikh memangku dan kenaikan pangkat yang sama.
Aku teringat, ketika menghadiri satu mesyuarat di Suruhanjaya tersebut, Setiausahanya yang bakal bersara (Dato' Ibrahim bin Shariff) berseloroh menyuarakan jangkaan awalnya bahawa akulah yang menggantikan beliau. Aku sendiri pun tidak dukacita atau keberatan bahkan bersyukur jika jawatan itu diarahkan aku mengisikannya. Hakikatnya, seseorang hanya boleh menyandang satu jawatan. Orang itu tentulah orang yang dipilih oleh ketua perkhidmatan dan dipersetujui oleh Lembaga Kenaikan Pangkat. Pakar JPA yang dikenalpasti itu memang cukup berwibawa. Suruhanjaya akan mendapat faedah besar dengan beliau memegang teraju pentadbiran. Aku pasti , beliau akan menjadi ketua jabatan yang baik.

Tuesday 14 June 2016

(Fragmen Memoir – Tak jadi (12) sambungan)

(Fragmen Memoir – Tak jadi (12) sambungan)
Dalam keseluruhan JPA, bahkan diselorohkan di kalangan tertentu, hanya ada tiga pegawai yang diakui ‘pakar’ lagi disegani. Pandangan mereka didengar. Seseorang tidak menyanggah ‘fatwa’ mereka tanpa dukungan maklumat dan asas-asas yang jitu. Tetapi, dua ‘pakar’ lain bertugas di bahagian lain; di Bahagian Perkhidmatan dan seorang lagi di Bahagian Pencen. Masing-masing berprestasi cemerlang dan senama dengan bahagian masing-masing, seakan legenda hidup. Tetapi mereka tidak memiliki kelebihan pengetahuan dan kemahiran dalam aspek-aspek ‘pembangunan organisasi’. Maka, amatlah jauh kemungkinannya pegawai lain menjadi calon utama mengisi kekosongan di bahagian tempat aku sedang bertugas. Hampir-hampir aku muncul dan menyerlah sebagai calon tunggal!
Dalam perkhidmatan PTD, pertukaran boleh berlaku melibatkan calon-calon dalam atau luar; dari kementerian dan jabatan lain. Tiada sekatan langsung malah lebih kerap berlaku begitu. Demikian salah satu ciri perkhidmatan “Gunasama”. Tetapi dalam kes ini, calon-calon di luar JPA kukira tidak mempunyai merit setara. Mungkin itulah sebabnya, ada pegawai-pegawai bawahan yang tidak sabar-sabar melontarkan ucapan tahniah apabila terserempak denganku! Nampak benar mereka gembira kalau aku menjawat Pengarah BPO, Gred Utama B. Kesipuan juga aku kerananya. Atau, adakah aku terperasan?

Monday 13 June 2016

(Fragmen Memoir – Tak jadi (11) sambungan)

(Fragmen Memoir – Tak jadi (11) sambungan)
Pada pandangan ramai pegawai BPO, akulah orang yang paling layak. Di kalangan dua orang Timbalan Pengarah Kanan, Gred Utama C yang sedia ada dalam bahagian, aku lebih kanan. Prestasiku pun tidaklah diragui lagi. Hampir tujuh tahun aku menyandang jawatan sekarang; mula-mula pada Gred M1 (atau Gred 54 di bawah Sistem Saraan Malaysia) dari 1 Oktober 1998 hingga 15 Oktober 2001 dan kemudian Gred Utama C semenjak 16 Oktober 2001 lagi. Pada suatu tempoh lebih awal akulah satu-satunya pegawai yang bertaraf JUSA di kalangan empat timbalan pengarah di bahagian itu. Yang lain-lain hanya bergred 54, segred lebih rendah.
Impak kehadiranku selama itu terpampang, diketahui umum. Walaupun kerja-kerja skim perkhidmatan yang kukendalikan dibezakan dengan perjawatan aku tidak pula asing dari urusan perjawatan. Sebagai Timbalan Pengarah semenjak tahun 1998 aku telah menjadi salah seorang ahli mesyuarat JKPO, yang bersidang setiap minggu dipengerusikan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan). Pengalaman relatif lama dalam selok-belok penstrukturan organisasi dan pengklasifikasian jawatan tidak tersesia. Pengetahuan dan penglibatan secara langsung itu sudah lebih daripada memadai untuk memberiku asas-asas kukuh memimpin pengurusan bahagian.

Sunday 12 June 2016

Fragmen Memoir – Tak jadi (10) sambungan)

(Fragmen Memoir – Tak jadi (10) sambungan)
Maknanya mencari pengarah baru BPO tidak semudah dilihat mata atau ditelah minda para anggota. Ada kriteria-kriteria tertentu harus diteliti dahulu. Tanggungjawab itu terserah kepada Ketua Pengarah. Memanglah pihak urus setia ada peranan meneroka potensi calon-calon sebaya dalam perkhidmatan PTD. Timbalan Ketua Pengarah pun boleh menyebut-nyebut calon-calon yang ‘serasi’. Yang harus disedari, Pengarah BPO bukan sekadar dilantik mengisi kekosongan jawatan. Beliau penapis akhir semua perakuan sebelum pembetangan luaran. Beliau akan menasihati pengurusan atasan bahkan kerajaan dalam urus perjawatan dan perskiman perkhidmatan. Tanggungjawab ini bukan calang-calang kerana menuntut kebijaksanaan dan kejatidirian.
Lalu, siapakah calonnya?

(Fragmen Memoir – Tak jadi (9) sambungan)

(Fragmen Memoir – Tak jadi (9) sambungan)
Penggubalan terma-terma perkhidmatan juga jatuh dalam bidang fungsi BPO. Gaji permulaan pegawai yang memasuki perkhidmatan awam, hadiah pergerakan gaji, syarat-syarat pengesahan dalam jawatan, keperluan latihan pra dan dalam perkhidmatan, syarat-syarat kenaikan pangkat, gred-gred jawatan dalam sesuatu jawatan dan klasifikasi perkhidmatan ditetapkan dalam skim-skim perkhidmatan mereka masing-masing. Peruntukan-peruntukan demikian sedia termaktub sebaik sahaja seseorang pegawai dilantik berkhidmat. Beberapa bahagian JPA diberikan pertanggungjawaban. Tetapi BPO jadi peneraju. Ia berwibawa menyelaras dan menggubalnya sebelum dimuktamad dan dikuatkuasakan. Kalau ada pegawai tidak puas hati tentang sebarang peruntukan yang sedia termaktub ia tentulah tahu tanpa usaha BPO masalah akan kekal berterusan. CUEPACS faham benar tanpa peruntukan-peruntukan yang membenarkan dalam skim-skim perkhidmatan perjuangan atau tuntutannya akan buntu separuh jalan.
BPO sensitif pada persekitaran kerja. Ia harus memantau perkembangan semasa. Kalau kekosongan jawatan sukar menarik calon penjawat awam tentu ada sebab di sebaliknya. Kalau penjawat sedia ada meninggalkan perkhidmatan awam sebabnya boleh jadi gaji, elaun dan kemudahan tidak memberansangkan. Kritikaliti perkhidmatan ini menjadi cabaran bagi pegawai-pegawai BPO menanganinya. Jentera kerajaan tidak boleh terikat dengan peraturan-peraturan yang usang. Penambahbaikan harus diteroka sedaya upaya. Penjawat-penjawat awam seharusnya menikmati ganjaran atau habuan setimpalnya.

Friday 10 June 2016

(Fragmen Memoir – Tak jadi (8) sambungan)

(Fragmen Memoir – Tak jadi (8) sambungan)
Tetapi pemilihan beliau menjadikan pegawai-pegawai mendesas-desuskan bakal Pengarah BPO yang datang mengambil alih.
Jawatan itu sangat penting. Seakan JPA itu samalah BPO. Ia jantungnya. Tiada BPO, tiada saktinya JPA. Kementerian, jabatan lain tidak memandang hormat lagi. Apa tidaknya? Untuk mengubah struktur organisasi, BPO awal-awal terlibat menyelidiki. Untuk menambah pegawai BPO dijelang lagi mohon jawatan diwujud pasti. Untuk mengeluarkan waran perjawatan perakuan BPO ke Perbendaharaan suatu syarat wajib. Hendak menaikkan pangkat pegawai cemerlang, jawatan lebih tinggi perlu tersedia. Kalau satu kementerian, jabatan, bahagian atau unit baru hendak ditubuhkan BPO jugalah dijemba, agar datang meneliti kesesuaiannya. Malah, kalaupun sudah ada jawatan, BPO juga yang datang menaziri; supaya benar-benar optimum mendukung misi yang diwawasi. Kalau ketua jabatan terasa rendah statusnya BPO boleh ubah jadikan lebih tinggi apabila disiasat rapi.
Namun, hasrat sahaja tidak mencukupi. Ketua Setiausaha perlu mengemukakan justifikasi. Asas-asas permohonan untuk setiap pemantapan atau penambahbaikan mesti tidak boleh dikemukakan sembarangan. Jumlah jawatan awam tidak boleh diwujud sesuka hati. Implikasi kewangan tidak boleh diketepi. Ada dasar dan garis panduan menjamin pendekatan pelaksanaan. Dengan maklumat lengkap, hujah-hujah yang padat, pendekatan pun berhemah baharulah kejayaan boleh digarap. Pendekatannya perlu benar-benar profesional. Barulah BPO boleh bertindak positif sebagai agensi pusat yang memudah cara.

(Fragmen Memoir – Tak jadi (7) sambungan )

(Fragmen Memoir – Tak jadi (7) sambungan )
Hari-hari berlalu dengan rutin kerjaya. Kerja-kerja terjadualku berterusan lancar. Di JPA, jawatan Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) bakal kosong apabila penyandangnya Dato' Zakaria bin Mohd. Taib bersara pada 27 November 2004. Tan Sri Jamaluddin telah mencalonkan Dato' Habibah binti Ahmad Termizi, Pengarah Bahagian Pembangunan Organisasi (BPO), Gred Utama B mengambil alih jawatan berkenaan. Pilihan itu tidaklah di luar dugaan. Ia tidak mengejutkan. Dato' Habibah seorang tokoh di JPA. Lama beliau berkhidmat, menyandang pelbagai jawatan dalam beberapa bahagian. Prestasinya diakui cemerlang. Hasil tangan beliau memberi impak pada organisasi yang dikendalikan. Aku sendiri selaku salah seorang timbalannya menyaksikan kekemasan pengurusan dan kepemimpinannya. Wajar benar beliau dinaikkan pangkat. Tentulah Ketua Pengarah sendiri tidak tersalah pilih. Pegawai itu kelak menjadi timbalannya. Ketrampilan pegawai tentulah jadi keutamaan. Dengan rasional demikian, perakuan beliau kepada Lembaga Kenaikan Pangkat tiada sebab untuk ditolak. Dan begitulah, Dato' Habibah mengosongkan jawatan hakikinya.

(Fragmen Memoir – Tak jadi (6) sambungan)

(Fragmen Memoir – Tak jadi (6) sambungan)
“1. Menetapkan 75 peratus tenaga pengajar universiti memiliki Ph.D atau kepakaran profesional menjelang 2005. 2. Menetapkan 50 peratus daripada tenaga pengajar di Politeknik serta IPTS yang mengendalikan program diploma mempunyai kelulusan ijazah tinggi menjelang 2005.” (muka surat 4-38)
“2. Menyediakan insentif yang menarik kepada personel yang pakar dalam penyelidikan dan pembangunan. (muka surat 4-39)
“7.44 Perkhidmatan pendidikan kurang menarik calon yang berkualiti terutama calon-calon siswazah bidang kritikal disebabkan pelbagai faktor seperti suasana kerja yang kurang kondusif, beban tugas yang dirasakan semakin bertambah, gaji yang tidak kompetitif berbanding sektor swasta dan kurang insentif dan peluang naik pangkat dalam skim perkhidmatan. Oleh itu menjadi cabaran bagi KPM untuk menjadikan profesion keguruan lebih diminati terutama di kalangan calon berijazah dalam bidang-bidang kritikal.” (muka surat 7-16)
“7.45 PPP Siswazah yang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi seperti peringkat sarjana dan kedoktoran tidak mendapat pengiktirafan yang setimpal dan telah menimbulkan rasa tidak puas hati. Cabaran KPM adalah menyediakan insentif yang wajar dengan kelayakan seseorang bagi mengelakkan KPM kehilangan PPP Siswazah yang berpengalaman dan berkelulusan tinggi.” (muka surat 7-16)
(Kuhiasi laman ini dengan keratan akhbar Berita Harian, 17 Mac 1997, muka 7).

(Fragmen Memoir – Tak jadi (5) sambungan)

(Fragmen Memoir – Tak jadi (5) sambungan)
Pada tahun 2001 telah terbit draf “Pembangunan Pendidikan 2001-2010” yang disediakan oleh Jawatankuasa Induk Pembangunan Pendidikan yang dipengerusikan oleh Tan Sri Dato' Seri Musa bin Muhamad, Menteri Pendidikan Malaysia. Urus Setia kajian itu ialah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia. Satu naskhah salinan fotokopi ada dalam milikku.
Selaku salah seorang pegawai JPA yang skop tugasan termasuk bertanggungjawab ke atas hal ehwal perskiman perkhidmatan pendidikan aku tidak boleh berdiam diri. Kajian berkenaan harus dianalisis, walaupun masih bertaraf 'draf'. Aku telah meneliti semua perakuannya. Sejauh yang mengenai bidang tugas jawatanku, diperturunkan beberapa petikan sebagai contoh:
“1.65 Untuk menarik lebih ramai calon berkualiti menjadi guru, skim perkhidmatan pendidikan yang lebih baik seperti peluang kenaikan pangkat, elaun lebih masa dan insentif yang sesuai disediakan terutama kepada guru mata pelajaran kritikal….” (muka surat 1-21)
“2.50(d). Penempatan guru siswazah terlatih sehingga 100 peratus mengajar di Tahap II sekolah dan sebelum tahun 2010.” (muka surat 2-20)
“3(iii). menggiatkan program bimbingan dan kaunseling pada semua peringkat persekolahan; (muka surat 3-44)
“1(iv). menyediakan skim insentif dari segi elaun dan naik pangkat bagi guru yang mengikuti program latihan dan ijazah lanjutan khususnya bidang-bidang kritikal.” (muka surat 3-49)
“2(ii). menerus dan memperluaskan Program Pensiswazahan Guru bagi menambahkan bilangan guru siswazah terutama bagi sekolah menengah:” (muka surat 3-50)
“4.59. ….. Suatu skim perkhidmatan dan saraan yang fleksibel dalam pengurusan IPT perlu diperkenalkan bagi menarik tenaga pengajar yang berkualiti dan seterusnya meningkatkan kecemerlangan IPT.” (muka surat 4-24) dan “i. (ii) menyediakan skim saraan tenaga pengajar yang kompetitif;” (muka surat 4-26)
(Sebagai gambar yang ada kaitan kupamerkan keratan akhbar Utusan Melayu bertarikh 30 Jun 1997, Isnin).