(Fragmen Memoir – Tak jadi (4) sambungan )
Ketakjadian beralih ke Kementerian Pendidikan bermakna ‘melepas’lah aku untuk meningkat gred dalam kerjaya dalam jangka masa terdekat. Perkembangan yang tidak dijangka itu memalapkan arah tuju kerjaya. Aku sudah tidak dapat membayangkan destinasi perkembangan kerjaya lain yang bakal mendatang segera bagi mengubatkan kekesalan yang bercambah!
Semangat yang kukobarkan dalam diri beberapa bulan kebelakangan itu dicakari sedikit kekecewaan. Begitu pun aku tidak sekali-kali membenarkan peristiwa itu mempengaruhi dan menjejaskan prestasiku dalam jawatan semasa. Selaku pengamal malah terlibat secara langsung dalam pengurusan ehwal demikian menjadikan aku faham benar proses yang terlibat. Kenaikan pangkat atau pertukaran bukan perkara yang kerap berlaku. Ia hanya berbangkit apabila wujud kekosongan jawatan – penjawatnya bersara, penjawatnya meninggal dunia, penjawatnya dinaikkan pangkat, penyandangnya meletak jawatan, gred jawatan sendiri dinaikkan, pewujudan jawatan baru atau apabila Lembaga Kenaikan Pangkat bersetuju memberi kenaikan pangkat secara ‘khas untuk penyandang’.
Aku harus menunggu. Tetapi, sampai bilakah?
No comments:
Post a Comment