Fragmen Memoir – Balik kampung (3)
Aku juga bertanyakan Abdul Karim bin Abdullah Omar, ketika itu Pegawai Kemajuan Negeri Selangor. Sebelum itu beliau menjawat jawatan Pegawai Kemajuan Negeri Terengganu untuk beberapa tahun. Kami saling mengenali ketika sama-sama di Bahagian Perkhidmatan, JPA suatu ketika dahulu; beliau mengetuai Cawangan Tatatertib dan aku menjawat Ketua Penolong Pengarah, Cawangan Naik Pangkat. Dia menyokong. Negeri Terengganu tempat yang baik untuk mencari pengalaman baru. Kelainan bidang tugas diakui mencabar tetapi, mengenali perwatakanku, dalam jangka masa yang singkat dia yakin aku boleh menyesuaikan diri.
Kebetulan pula, salah seorang penolongku, Izhar, pernah bertugas di Pejabat Kemajuan Negeri Sembilan, sebelum ditempatkan di Bahagian Latihan. Beliau juga kuusuli untuk mendapat maklumat tambahan. Selaku Penolong Pegawai Kemajuan Negeri, Tingkatan Biasa, tugas-tugasnya tentulah tidak jauh bezanya dari segi ruang lingkupannya. Perbezaan hanya dari segi bidang kuasa, jaringan kawalan dalam pejabat, dan keinteraksian antara jabatan, berbanding seorang pegawai yang bertaraf jawatan Tingkatan Tertinggi ‘G’, iaitu taraf jawatan hakikiku.
No comments:
Post a Comment