(Fragmen Memoir – Tak jadi (12) sambungan)
Dalam keseluruhan JPA, bahkan diselorohkan di kalangan tertentu, hanya ada tiga pegawai yang diakui ‘pakar’ lagi disegani. Pandangan mereka didengar. Seseorang tidak menyanggah ‘fatwa’ mereka tanpa dukungan maklumat dan asas-asas yang jitu. Tetapi, dua ‘pakar’ lain bertugas di bahagian lain; di Bahagian Perkhidmatan dan seorang lagi di Bahagian Pencen. Masing-masing berprestasi cemerlang dan senama dengan bahagian masing-masing, seakan legenda hidup. Tetapi mereka tidak memiliki kelebihan pengetahuan dan kemahiran dalam aspek-aspek ‘pembangunan organisasi’. Maka, amatlah jauh kemungkinannya pegawai lain menjadi calon utama mengisi kekosongan di bahagian tempat aku sedang bertugas. Hampir-hampir aku muncul dan menyerlah sebagai calon tunggal!
Dalam perkhidmatan PTD, pertukaran boleh berlaku melibatkan calon-calon dalam atau luar; dari kementerian dan jabatan lain. Tiada sekatan langsung malah lebih kerap berlaku begitu. Demikian salah satu ciri perkhidmatan “Gunasama”. Tetapi dalam kes ini, calon-calon di luar JPA kukira tidak mempunyai merit setara. Mungkin itulah sebabnya, ada pegawai-pegawai bawahan yang tidak sabar-sabar melontarkan ucapan tahniah apabila terserempak denganku! Nampak benar mereka gembira kalau aku menjawat Pengarah BPO, Gred Utama B. Kesipuan juga aku kerananya. Atau, adakah aku terperasan?
No comments:
Post a Comment