Fragmen Memoir – Tak jadi (14) sambungan)
Dalam diariku tercatat, “Ulang tahun ke-6 di JPA” pada tarikh 1 Oktober 2004. Ketika itu aku sudah 30 tahun 3 bulan dalam perkhidmatan.
Pada masa yang sama perkembangan lain berlaku. Perubahan tampuk menyandang jawatan sentiasa terjadi. Di mana-mana. Tidak terkecuali juga dalam perkhidmatan awam. Sampai masa seseorang pegawai bersara dan serentak itu datang pula penggantinya. Betullah, patah tumbuh hilang berganti!
Pada 7 Disember 2004 aku dipanggil berjumpa Tan Sri Jamaluddin bin Ahmad Damanhuri, Ketua Pengarah di bilik beliau. Hebat juga rahsia ini tersimpan. Baru hari ini aku diberitahu secara rasmi. Bahawa keputusan telah dibuat menempatkanku mengisi kekosongan jawatan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Unit Penyelarasan Pelaksanaan, di Jabatan Perdana Menteri. Penyandangnya, Datuk Md Sani bin Adam mulai bersara pada 11 Disember 2004. Tan Sri Jamaluddin memaklumkan, beliau meneliti latar belakang penempatanku sebelum ini serta mengambil kira juga tempoh penempatanku di BPO. Pada hemat beliau adalah lebih baik aku ditukar keluar daripada JPA, berubah angin mendepani suasana yang berbeza daripada apa yang sedang dikendalikan.
No comments:
Post a Comment