(Fragmen Memoir – Tak jadi (15) sambungan)
Bakal bidang tugas itu tidaklah pula asing sama sekali bagiku. Aku pernah terlibat melaksanakan tugas-tugas sedemikian pada peringkat pengurusan bawahan dan pertengahan. Ternyatalah pengalamanku selama 11 tahun di ICU; di ibu pejabat, di negeri Terengganu dan negeri Pulau Pinang berharga. Begitu juga tempoh dua tahun di Bahagian Kemajuan Wilayah Persekutuan dan Perancangan Lembah Klang menambah kuat lagi kredibiliti. Aku sudah pernah menjawat timbalan ketua pejabat. Aku sudah dua kali menjadi ketua jabatan di pejabat-pejabat peringkat negeri. Pengalaman dan latar belakang itu tentu mencukupi sebagai persediaan bagi memikul jawatan di Jabatan Perdana Menteri itu.
Bukan tidak seronok meneruskan perkhidmatan sebagai pegawai kanan di JPA. Di situ aku berkhidmat dengan selesanya selama ini. Terlintas juga, “Apalah sangat nilai tambahnya bertukar. Bukankah jabatan itu jauh berbeza. Kautahu sekitaran pekerjaan sama sekali berlainan berbanding sekitaran kerja di JPA?”
Ttetapi, aku benar-benar tidak kecewa. Ketua Perkhidmatan sendiri menentukan jawatan kenaikan pangkat yang paling sesuai untukku. Kalau aku sendiri yang diminta membuat pilihan tentulah aku menghadapi dilema.
No comments:
Post a Comment