Fragmen Memoir – Melangkah pergi (3)
Seronok juga menerima perutusan tahniah daripada beberapa individu. Seorang, Datuk Abu Talib bin Haji Harun, Ketua Tim Nukleus, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, bertarikh 23 Disember 2004, meniup semangatku dengan “ucapan setinggi-tinggi tahniah atas pelantikan tuan sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri berkuatkuasa pada 11 Disember 2004./ Pada kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada tuan dalam memberi sokongan dan nasihat dalam menubuhkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia khasnya dari aspek Sumber Manusia dan Perkhidmatan./ Sesungguhnya pelantikan serta kenaikan pangkat tersebut merupakan pengiktirafan tertinggi kepada tuan atas perkhidmatan yang telah dicurahkan kepada Perkhidmatan Awam Malaysia khasnya dan kepada Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik.”
Dalam perutusan bertarikh 30 Disember 2004, Dato' Abdul Wahab Mulajat menulis, “Sesungguhnya pelantikan tersebut amat bertepatan sekali dan semoga tuan akan terus dapat memberi sumbangan yang terbaik kepada Jabatan.”
Dan, yang cukup menyentuh perasaanku, daripada seorang pegawai bawahan yang kutahu berdedikasi lagi cemerlang prestasinya, Wan Khairil Anwar bin Wan Muhammad, menulis sambil menganalisis, “Tahniah atas kenaikan pangkat tuan. Berkat kerja kuat, kesabaran dan bersangka baik terhadap-Nya. Selamat Maju Jaya.” Aku tahu dia memperhatikan tindak-tanduk dan kelibatku selama kami sama-sama berkongsi satu pejabat, walaupun memikul bidang tugas yang sedikit berlainan.
No comments:
Post a Comment