(Fragmen Memoir – Tak jadi (8) sambungan)
Tetapi pemilihan beliau menjadikan pegawai-pegawai mendesas-desuskan bakal Pengarah BPO yang datang mengambil alih.
Jawatan itu sangat penting. Seakan JPA itu samalah BPO. Ia jantungnya. Tiada BPO, tiada saktinya JPA. Kementerian, jabatan lain tidak memandang hormat lagi. Apa tidaknya? Untuk mengubah struktur organisasi, BPO awal-awal terlibat menyelidiki. Untuk menambah pegawai BPO dijelang lagi mohon jawatan diwujud pasti. Untuk mengeluarkan waran perjawatan perakuan BPO ke Perbendaharaan suatu syarat wajib. Hendak menaikkan pangkat pegawai cemerlang, jawatan lebih tinggi perlu tersedia. Kalau satu kementerian, jabatan, bahagian atau unit baru hendak ditubuhkan BPO jugalah dijemba, agar datang meneliti kesesuaiannya. Malah, kalaupun sudah ada jawatan, BPO juga yang datang menaziri; supaya benar-benar optimum mendukung misi yang diwawasi. Kalau ketua jabatan terasa rendah statusnya BPO boleh ubah jadikan lebih tinggi apabila disiasat rapi.
Namun, hasrat sahaja tidak mencukupi. Ketua Setiausaha perlu mengemukakan justifikasi. Asas-asas permohonan untuk setiap pemantapan atau penambahbaikan mesti tidak boleh dikemukakan sembarangan. Jumlah jawatan awam tidak boleh diwujud sesuka hati. Implikasi kewangan tidak boleh diketepi. Ada dasar dan garis panduan menjamin pendekatan pelaksanaan. Dengan maklumat lengkap, hujah-hujah yang padat, pendekatan pun berhemah baharulah kejayaan boleh digarap. Pendekatannya perlu benar-benar profesional. Barulah BPO boleh bertindak positif sebagai agensi pusat yang memudah cara.
No comments:
Post a Comment